فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11)
وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12)
10. Maka aku katakana kepada mereka : mintalah ampun kepada tuhanmu sesungguhnya Dia maha pengampun
11. (Kesannya) Allah akan menurunkan (rezeki) hujan kepada kamu dengan banyaknya.
12. DIA juga akan menambahkan kepada rezeki harta dan zuriat keturunan, seterusnya dijadikan bagi kamu perkebunan yang subur dan sungai – sungai (yang mengalir.)
Walau bagaimanapun penentangan itu berlangsung keras, nabi nuh tetap menyeru agar kaumnya supaya mencari keampunan Allah. Hanya rahmat dan keampunan Allah sahajalah yang akan menyelamatkan manusia dari kemusnahan dan bencana bikinan hidup ini.
Kemudian, pada ayat seterusnya Allah menghubungkan antara istighfar dengan pemberian rezeki yang banyak dan mewah.Di antara rezeki yang mewah ialah sumber air hujan yang lebat yang menumbuhkan tanam-tanaman dan yang mengalirkan air sungai, serta rezeki yang luas, mempermudahkan manusia mendapat zuriat dan harta kekayaan. Bahkan boleh dikatakan : istighfar adalah kunci kepada rahmat dan rezaki allah.
مَا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًا (13) وَقَدْ خَلَقَكُمْ أَطْوَارًا (14) أَلَمْ تَرَوْا كَيْفَ خَلَقَ اللَّهُ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا (15) وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجًا (16) وَاللَّهُ أَنْبَتَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ نَبَاتًا (17) ثُمَّ يُعِيدُكُمْ فِيهَا وَيُخْرِجُكُمْ إِخْرَاجًا (18)وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ بِسَاطًا (19) لِتَسْلُكُوا مِنْهَا سُبُلًا فِجَاجًا (20)
13. (Hairannya !)Bagaimanakah kamu tidak takut pada kehebatan Allah.
14. DIAlah yang menjadikan kamu melalui pelbagai peringkat (yang tertentu).
15. Tidakkah kamu melihat bagaimanakah Allah menjadikan langit (tersusun sebanyak) tujuh lapisan bertingkat-tingkat
16. Dan dijadikannya pula bulan yang bercahaya (memantul cahaya) dan matahari pula sebagai obornya (sumber cahaya)
17. Allahlah yang menumbuhkan kepada kamu daripada tanah ini (seperti hidupan ) tumbuhan ini.
18. Kemudiannya allah mengembalikan kamu kedalam tanah dan akan mengeluarkannya (semula satu hari nanti untuk dihitung dan dihisab)
19. Allah juga menjadikan bagi kamu hamparan bumi ini (yang meluas)
20. (Semoga kamu) dapat melaluinya dengan pelbagai cara dan jalan. (samada dengan ketaatan mahupun kekufuran)
Bukti-bukti kekuasaan Allah
Pada ayat 13, beliau menarik perhatian kaumnya kepada bukti-bukti kekuasaan Allah dan mengemukakan persoalan kehairanan terhadap kelakuan mereka yang sewenang-wenang dan tidak menghormati Allah. Disinilah beliau memperlihatkan kekuatan hujah akal yang juga mesti dimiliki para pendakwah, menggunakan logic, pemikiran rasional, memperhatikan kejadian alam semulajadi, melihat kejadian manusia dan menginsafi kelemahan diri adalah antara strategi dakwah kenabian yang telah dipraktikkan keberkesanannya turun temurun.
Manakala ayat 14 pula menerangkan tentang peringkat-peringkat perkembangan manusia. Penentangan manusia biasanya berpunca dari keangkuhan dan kejahilan mereka sendiri, sekiranya mereka diajak untuk menilai dan memerhatikan kekerdilan dan kekurangan diri yang ada, juga kiranya manusia terdedah pada bahaya maut dan kekurangan upaya untuk melindungi diri, pastinya manusia akan segera mendamba harap pada tuhan yang penuh dengan kekuasaan dan kehebatan.
Seterusnya ayat 15 beliau telah menarik perhatian kaumnya kepada penciptaan alam iaitu penciptaan tujuh langit yang bertingkat-tingkat. Allah mengingatkan tentang keajaiban langit yang diberi percuma kepada kita. Langit dijadikan Allah begitu luas dan besar tanpa tiang untuk memegangnya. Pada langit tersebut terdapat bulan yang mengeluarkan cahaya dan matahari sebagai lampu yang terang. Pemikiran tentang keajaiban alam ini akan mendatangkan kekaguman kita kepada tuhan pencipta sistem alam dan cakera suria kehidupan ini.
Manakala pada ayat 17 dan 18 Nabi Nuh A.S menarik perhatian kaumnya sekali lagi kepada kejadian diri mereka sendiri yang diciptakan dari tanah, kemudian mereka akan kembali ke tanah semula apabila mati dan akan dibangkitkan semula dari tanah selepas mati. Keingkaran manusia pada kebangkitan semula adalah kejahilan tahap pertama yang allah sendiri memperli manusia dengan pernyataan bahawa bumi yang mati tanpa hidupan dan tidak bergerak dan tanah yang dulunya gersang lagi kontang, dalam sekelip mata boleh dihidupkan Allah dengan hijau tumbuhan dan rimbunnya pepohon yang bergerak indah ditiup angin dan bayu yang dihantar Allah.
Seterusnya Nabi Nuh A.S menarik perhatian mereka kepada nikmat kemudahan hidup di muka bumi yang luas. Nikmat yang diperolehi sepenuhnya oleh manusia yang bijak bersyukur dan mengenali diri dan penciptanya.
No comments:
Post a Comment