Monday, May 24, 2010

Meladeni Secangkir Teh Pengubat Letih

Baru-baru ini kembara ilmu saya berlabuh pada dua buah buku karangan penulis dan blogger terkenal Abu Saif.

Idea pemikiran baru dan anjakan paradigma kritis yang sentiasa disinggungnya dalam susunan rantaian bahasa yang diatur indah umpama kepingan mozek marmar berseni menghasil satu arca yang istimewa nan menghiburkan sentiasa menggamit minat saya meninjaunya.



Mungkin kerana pernah melalui secebis sudut pengalaman yang sama, pernah bertapak dipermusafiran ilmu di lembah yang sama, menguliti kitab dan masyayikh yang diminati hampir sama, pernah bersua susuk fizikal dan terpukau merdu suara nasyid FIRDAUSnya dahulu, saya kira ianya antara indicator pemangkin untuk saya mengikuti susur galur pemikirannya, apatah lagi saya kekuatan bahasa seninya, jiwa pendidiknya, semangat pejuangnya serta idealis mindanya amat mengujakan saya.

Alhamdulillah saya berjaya menamatkan permusafiran mengutip ibrah pengajaran dalam travelog hidup yang penuh tarbiyah dan digarap dalam bentuk sebuah catatan dakwah. Buku yang bertajuk Secangkir Teh Pengubat Letih adalah kenangan dan pengajaran dakwah sepanjang kembara dakwahnya di bumi khilafah terakhir, Turki.

Kekangan dan halangan sentiasa menjadikan manusia ini hidup berfokus dan berani mendepani cabaran. Umat yang terdidik dengan pengorbanan dan perjuangan akan cepat mematangkan generasinya. Inilah antara analogi mudah yang ingin dibawakan kepada kita tentang rakan seagama kita nun jauh disana.

Ideanya mungkin jua untuk mencetuskan pemurnian sejarah islam yang sekian lama ditohmah dan direkayasa dalam bentuk negative dan busuk.

Sudah menjadi lumrah perjuangan, mereka yang benar sentiasa terbuang dan terhalang, manakala juak2 penjajah dan pengadau domba akan menggunakan segala peluang terhidang untuk meracuni pemikiran ummah dan menyingkirkan kebenaran.

Namun, janji allah pasti akan zahir. Sekira datangnya kebenaran segala bentuk dan rekaan penipuan dan pendustaan akan terserlah jua. Hero tetap hero walaupun matinya terbuang, jagoan tetap terhormat walau kuburnya tidak ketahuan dan begitulah yang berlaku dengan Sultan Abdul Hamid yang merajai khilafah terakhir ini dimomok dan didustai sejarah perjuangan islam nya menentang penjajahan dan hari ini sekularisme meratah rakus tubuh turki hingga ke sumsum tulangnya.

Pembacaan sebegini juga menimbulkan keinsafan bahawa agama akan mempertautkan kita, umat beraqidah ini akan sealiran walau disudut mana mereka berbaring. Dan umat yang satu akan tetap mendoakan kesejahteraan saudaranya.disini juga kita ditemukan dengan kelebihan bangsa masing2 yang dengannya menimbulkan keunikan dan keistimewaan, darinya kita akan mempelajari sesuatu.

Khilafah yang hilang menuntut pengorbanan, maka diatas jemala tanggungjawab generasi kitalah yang memikul pundak amanahnya.

Moga pembacaan sebegini menimbulkan kesedaran dan siap siaga kita mendepani amukan licik zaman.

No comments:

Post a Comment