Sunday, March 14, 2010

Kem Ibadah Maulidurrasul (1)

Cuti persekolahan datang lagi.

Raut ceria pelajar jelas terpamer pada sorakan gembira mereka tika melangkah kaki meninggalkan laman sekolah yang sentiasa setia diposisinya.

Berlarian mereka melintasi jalanraya menuju deretan kereta ibubapa yang sudah sedia menunggu sambil minda mereka sedang rancak menconggak perancangan masa cuti yang panjang itu.

Bergegas saya kembali kerumah, mengambil anak sulung untuk segera menunaikan kewajipan solat jumaat.

Usai solat, saya membuat persiapan semula untuk kembali ke sekolah. Bukankah sekolah sudah mengumumkan cutinya. Kenapa saya masih ke sekolah ?

Alhamdulillah, bermula jumaat 12/3 dan sabtu 13/3 telah berlangsung satu program KEMAH IBADAT SEMPENA MAULIDURRASUL disekolah saya.



Idea Perkemahan ini saya cetuskan bila ditanya berhubung bilakah pula sambutan Maulidurrasul patut kami raikan disekolah ini. Saya tersenyum mendengarnya. Ternyata semangat merancang dan melaksanakan program ceramah Maalhijrah tempohari masih berbaki.

Perlahan saya lontarkan idea ini, program ceramah tempohari banyak manfaatnya, tetapi ianya tidak boleh terlalu kerap dan dekat jangka waktunya. Ia akan merimaskan dan menjemukan.

Apatah lagi, bagi saya ianya juga boleh merugikan warga muslim disekolah ini daripada mendatangkan kebaikan. Bayangkan seharian para pelajar muslim di kepung untuk bersama menadah telinga mendengar curahan maklumat ilmu dan agama samada secara rela atau paksa sedangkan pada masa yang sama kelas pengajian harian berjalan seperti biasa. Harga minority pelajar muslim ini terpaksa dibayar dengan membiarkan kelas terus berlangsung walau ada program agama diadakan. Keladang dalam satu kelas hanya ada seorang pelajar muslim berbanding 40 yang lain, tak mungkin kelas akan ditangguhkan semata-mata memberi ruang pelajar muslim mendengar ceramah.

Bayangkan juga,jika seharian mereka di dewan dan para guru pula terus membuka topic baru dikelas, mungkin pelajar muslim akan kedunguan 6 topik baru dalam sehari. Bayangkan juga jika ianya berlaku kerap dan dekat.

Sesuatu perlu difikirkan segera, penyelesaian ditagih bukan hanya sekadar keseronokan dan semangat berprogram.

Keduanya, program islamisasi disini perlu dipelbagaikan dan disentuh kreativiti, menggamit hati pengunjung yang baru berjinak islam tidak sama dengan tempo hati yang sudah serasi menyantuni islam.

Pelajar yang agak agresif dengan jiwa leka perlu ditangani dengan sentuhan dan mesra, apatah lagi mereka yang masih hingusan ilmu dan tarbiyah perlu dididik dalam suasana rapat dan prihatin.



Ketiganya, meluncurkan ikon agung ke lorong ingatan dan penjiwaan sukar sekali diaplikasikan hanya dengan sekadar laungan ceramah, ianya perlu diserapkan dengan contoh, selawat, muhasabah, aplikasi solat, penerangan sunnah dan erti cinta rasul.

Ianya tak mudah untuk dipakukan pada hati dengan ceramah bak biduk berlalu, namun penekanan reality dan aplikasi dijangka boleh mempertaut kembali kiambang ingatan damai ke penghujung hayat.

Idea saya lontarkan, disambut ceria para petugas BAKTI. Mereka mengimpikan satu program yang menyeronokkan dan menghiburkan.

Namun, merancang dalam tempoh 2 minggu yang sibuk untuk menganjurkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Diselangi dengan aktiviti padat sukantara peringkat sekolah dan ujian berpusat menjadikan waktu amat mencemburui keringat usaha yang bersisa.

Dan saya perlu bereksperimen lagi, bersama dengan tenaga kerja baru dan suasana baru. Mampukah saya merealisasikannya.

Masanya makin suntuk dan hampir.

Dan akhirnya tanggal Jumaat 12 Mac tiba jua.

Saturday, March 13, 2010

Tamu Seperjuangan

Pernah kami bertemu.

Pernah kami makan setalam, pernah seperjalanan dan berkenderaan meredah denai dan lurah, mendaki cerun dan bukit, tidur berbantal lengan bernaungkan langit, berlampukan bintang.

Pernah kami hidup bersama, dalam satu fikrah perjuangan. Beramal, berkorban dan terkorban.

Dalam kehidupan ini kami mimpikan kedamaian, kesatuan , kesolehan dan kedaulatan Islam.

Dalam perlahan gerak dakwah diselimuti lembayung bayu kinabalu, kami cuba gagah berdiri dan berlari. Bergerak dan bereksperimen. Dalam focus dan cara kami tersendiri.

Walau tak merubah banyak, mungkin sedikit kami mampu menyuamkan angkasa dakwah dibumi Likas sana. Moga ada yang bermanfaat.



Beliau ialah akh Nasirin. Pernah berjiran semasa mengajar di sabah, dan tempatnya bersebelahan sekolah saya di SMP. Beliau mengajar di SM Teknik Likas.

Saudara Nasirin ini pernah menjadi sahabat saya, bahkan tak kekok jika saya boleh menyatakan dia juga adalah guru saya berkaitan konsep membina kesatuan pelajar, mengaplikasikan IT dalam dakwah, dan mengkhusus dalam dakwah penerangan terhadap muallaf dan mengajak manusia kepada islam.

Kami bercita citra yang sama, mendahulukan cinta allah dalam hati manusia. Pernah beliau menyatakan : sudah lama kita hanya mengetengahkan muhasabah bersumberkan kasih ibubapa dalam menyedarkan pelajar, mengapa tidak kita mengubahnya kepada mengasihi manusia yang lebih agung lagi… iaitu Rasulullah. Dan beliau tidak beromong kosong, beliau menjayaknnya melalui paduan visual dan simfoni yang disusun menarik untuk menginsafkan.

Walau impian kami sama, mimpi kami agak berbeza, beliau terpaksa lebih awal berpindah ke Pulau Pinang atas factor keluarga. Perhubungan akhirnya terputus hanya melalui teks mesej dan komunikasi lewat telefon yang amat jarang.

Tapi, hubungan kami masih terus berlangsung ceria satu hala kerana beliau mempunyai blog yang mampu berkongsi segalanya. Namun hanya bisu dan satu hala.



Baru2 ini, saya diziarahi beliau yang menyambut berita kepulangan perpindahan saya ke pulau pinang dengan perasaan gembira, teringat teks yang beliau kongsikan bersama saya : kepulangan ustaz disambut sedih oleh sahabat2 disabah, tapi ianya merupakan satu berita gembira kepada kami di pulau pinang.

Setelah genap 2 bulan saya berkelana disini, akhirnya beliau muncul bertamu, menjalin ikatan yang lama berlangsung. Menyambung semula citra ukhuwwah dan dakwah yang sama.

Blognya boleh dilayari dalam rangkaian sahabat seperjuangan saya di : stay alive

Terima kasih akh nasirin, ana bersetuju kata2 anta, Mungkin jalannya tidak akan sama seperti sebelum ini, tapi rantai persahabatan & perjuangan ini pastinya lebih mudah bertaut, insyaAllah.

Wednesday, March 10, 2010

Raja Komedi Islam

Musim Ke 4, Raja Lawak di Astro baru sahaja melabuhkan tirainya.

Tanpa disangka anak-anak sabahan juga mampu mencipta nama sebagai jagoan dibidang seni dan komedi ini.

Jika sebelum ini, kita hanya mengenali Abu Bakar Ellah dengan karektor AMPALnya sebagai pelawak dan pengacara pentas hiburan, namun kini ORANG KITA itu tidak lagi keseorangan, beliau kini diapit sama tinggi oleh kumpulan lawak dari Sabah yang bernama KECIKS dan ALEX, yang baru sahaja ditabalkan menjadi juara rancangan membina bakat comedian di Malaysia ini.



Sesungguhnya, menjadi pelawak dan penghibur komedi ini bukanlah sesuatu yang mudah, ia sebenarnya datang dari watak dan jiwa kelakar yang semulajadi dalam diri. Tapi akhir2 ini, fonemena melawak dan membuat joke bodoh semakin menjadi2.

Ianya mungkin kesan kepopolaritian dan keglamouran yang dikecapi mudah para artis komedi ini.

Lihatlah alam realitinya, bakat2 komedi ini akan mudah diingati, diterima masyarakat dan mudah meniti tangga kemasyhuran.

Bermula dengan scenario, apek gitu2, nabil lu pikirlah sendiri, sepah dan lain2 yang dengan mudah mendapat undian keramat untuk menjadi artis paling popular tanahair dan membawa pulang pelbagai habuan menarik.

Ia seolah2 menunjukkan komedi ini adalah lubuk duit, kemasyhuran dan kemewahan.



Lalu kita pun turut tertarik untuk mengajuk cakap, beraksi dengan cara para pelawak ini berinteraksi, bercakap dengan penuh muslihat, suka mentertawakan orang, suka membuat jenaka dan ditertawakan.

Tapi kekadang hiburan kita berlebihan, sinis dan tajam, tujuan asal untuk dihiburkan tiba2 menjadi kutukan, amarah dan permusuhan. Inikah yang kita mahukan.

Apa rasional dan pandangan islam berkaitan komedi ini, moga disana ada batas susila yang boleh dipatuhi.

Atau sahaja islam ini agama serius yang hanya bisa mengangkat kening dan mengerutkan dahi semata-mata.



Merujuk kepada artikel Dr. Yusof Qaradhawi dalam bukunya Paradigma Masyarakat Islam yang kita impikan – beliau menegaskan 5 perkara untuk menjadi pelawak islam.

1. Jenaka islam mesti bersih dari penipuan dan pemalsuan fakta semata2 untuk menerbitkan tawa dikalangan audiens dan orang ramai.
Nabi pernah juga melawak dengan para sahabatnya, dan nabi sendiri menyatakan bahawa lawak itu tidak menghalalkan penipuan.
Bersama hadis nabi yang dipilih riwayatnya oleh imam tarmizi dan abu daud: (wailun ) celakalah bagi mereka yang bercakap lalu berdusta untuk menghiburkan orang lain, celaka buat mereka (diulang sebanyak 3x.)

2. Jenaka islam tidak menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.
Sabda junjungan dalam sahih muslim : cukuplah kejahatan untuk seseorang manusia yang menghina / memandang hina kepada orang lain.

3. Tidak menakut dan mencemaskan orang lain.
Ianya seumpama menyorok kasut kawan sekadar hiburan, kehilangan kasut akan membuatkan simalang menggelabah dan tercari2. Kegelisahan dan kekalutan itu mungkin menjadi hiburan spontan untuk kita semua.
Ia juga seperti menarik kerusi kawan yang berdiri, dan apabila dia ingin melabuhkan punggungnya, tapak lantai yang menjadi tempat henyakan landingnya. Dan kawan2 yang berada disisi akan saling tertawa dan tersenyum.

4. memilih tempat untuk menyampaikan jenaka.
Setiap tempat itu ada tahap percakapannya, serius pada tempatnya dan ceria pada tempatnya.
Jagalah adab dan kesesuainnya, takkan kita ingin meluncurkan jenaka di bawah bumbung rumah yang baru kematian ahlinya, atau mengolok2kan kesakitan kawan yang sedang nazak dipembaringan.

5. Berpada2lah dan jangan menjadi profesion. Jenaka islam hanyalah untuk hiburan, dan ketenangan itu datangnya bertempat dan akan membawa aura dan nilai positif pada keadaan dan tempat, ia umpama garam, hadirnya mencukupkan rasa, lebihnya memudaratkan kesihatan.

Umat islam adalah umat ibadah dan jihad, juga umat yang sederhana dan positif.
Lawak yang melampau dan terlampau hanya akan memburukkan imej agama, sebagaimana ianya menjauhkan hati dari ketenangan dan kemanisan iman.

Nabi bersabda : janganlah kamu banyak ketawa, sesungguhnya ketawa yang banyak itu akan mematikan hati (mengeraskan hati).

Benarlah umpama kata hebat saidina ali : gunakanlah jenaka sekadar perlu, seumpama menggunakan garam dalam hidangan (sekadar keperluan).

Ustaz, kalau begitu…kami tak boleh nak melawak lah ustaz??

Ustaz dah terangkan tadi, selebihnya….. LU PIKIR SENDIRILAH NABIL.

Memilih nama anak yang baik

Alhamdulillah semuanya sihat !! Moga allah jadikan anak saya seorang yang mampu mambahagiakan kedua ibubapanya. Ujar seorang kenalan saya yang baru menerima kelahiran anak sulungnya seminggu yang lalu. Namun riak ceria tidak jelas terpamer diwajahnya seperti biasa.

“Ustaz boleh saya tanya satu soalan, kami baru mendapat anak setelah sekian lama menanti, satu anugerah yang besar yang amat menggembirakan kami, tapi kegembiraan kami rupanya tidak bertahan lama, keluarga saya turut sama masuk campur urusan memberi nama kepada anak saya.

Boleh tak saya namakan anak saya isaac. Saya dan isteri memang sukakan nama tu, memang agak berbeza sikit dengan nama melayu dan kerana itulah keluarga sebelah isteri saya agak keberatan bila kami bercadang nak letak nama tu, mereka mahu nama islam, nama nabi atau sahabat, atau nama yang ada abdul sebagai tanda kesyukuran” jelasnya merungkai misteri muramnya dipagi itu.

Spontan saya menyebut :Isaac tu nama nabi, dalam bahasa arabnya Ishak, ianya nama watak orang soleh dalam lipatan sejarah islam.

Walau namanya tak menyamai kebiasaan nama melayu, ianya tidak menyalahi agama kerana ianya bukan satu nama yang mempunyai maksud yang buruk, malahan nabi juga menyukai nama orang yang soleh dan menganjurkan ikutan dan ingatan kepadanya, seperti nama nabi2 dan watak orang soleh dalam sejarah lampau atau masyarakat setempat.

Antara maghrib dan isyak malam tadi, skrin handset saya tertera mesej: apa makna aleesya ? saya suka nama tu untuk anak saya, harap ustaz dapat berikan maknanya.



Yang sedihnya, kekadang, bila sesuatu nama sudah dipilih rasmi, tercatat kemas dalam dokumen kelahiran , barulah terpacul soalan apa maknanya ustaz.? Atau saya dah pilih nama tu, macamana nak jadikan maknanya elok ya ustaz.

Dihari yang lain saya ditanya sahabat , bagaimana cara memilih nama anak yang baik??

Islam tak pernah memaksa atau mewajibkan koleksi nama khas untuk anak. Ianya juga tidak memberi taraf sunnah untuk memilih nama arab melebihi nama terpuji berdasarkan bangsa yang lain.



Sebagai pemudah dan garispanduan pemilihan nama anak, suka saya berkongsi beberapa taujihat islam disini.

1. Memilih nama yang terbaik dan mempunyai makna baik dikalangan masyarakat – rasul pernah menukarkan nama seorang yang bernama (sedikit) kepada nama (banyak). Yang bernama A’siah – pembuat maksiat ditukar kepada Jamilah – sicantik.
2. Tidak memperhambakan selain kepada allah, iaitu menggabungkan dengan perkataan abd selain kepada allah, seperti abduk kaabah, abdul nabi, abd husin dan lain2.

3. bukan juga nama yang menggambarkan keegoan dan kesombongan seperti malikul amlak, raja segala raja dan lain2. sesetengahnya meletakkan nama seperti kahirunnisa’- iaitu perempuan terbaik, sayyidus syuhada’, Rais mujahidin dan lain2 yang boleh membawa kepada kesombongan. (mungkin ini juga berguna untuk mereka yang ingin membuka blog dan menamakannya nanti)

4. Tersangat baik menamakannya dengan nama nabi2 terdahulu, orang2 yang soleh sebagai memperingati dan meneladani sirah kehidupan dan semangat kesolehan mereka.

5. Tidak salah menamakan anak dengan nama yang baik walau dalam bahasa bukan arab(ajam). Nama2 yang cantik dalam mana2 bahasa bangsa diiktiraf oleh islam, dan rasulullah sendiri tidak pernah menukarkan nama Mariah Al Qibtiah isterinya kepada nama lain.

Para sahabat sendiri mempunyai nama berasal dari sepsis bungaan arab seperti : talhah, salmah dan hanzalah.

Bersumber nama binatang seperti asad, fahad, haisam, saqar

Nama benda ; bahar , jabal dan sakhar.

Begitu juga nama nabi2 terdahulu yang asalnya bukan berbangsa arab seperti ibrahim, ismail, yusof, musa , maryam dan lain2.

Jadi boleh tak saya gunakan nama Isaac tu ustaz, tak salah ke ? Tanyanya mengharap kepastian.

Tak salah… Cuma kita kena sentiasa beringat, antara tanggungjawab seorang ayah ialah memberi dan memilih nama anak yang baik dan tidak menjelikkan, jangan biarkan kerana keinginan nafsu kita, anak terhina dengan nama yang kita pilih untuknya, jangan satu hari nanti dia menyumpah seranah kita kerana membenci dan terkilan dengan nama buruk yang kita pilih.

Atau jangan satu hari nanti , tika dewasa, anak turut terpalit imej buruk ekoran kesan makna nama anak yang jelik yang kita pilih. Fikirkanlah.

P.s : teringat Haji Ayub Abd Rahman (pendakwah islam dan bekas paderi) menamakan 2 anaknya dengan nama Moses dan Jesus.

Monday, March 8, 2010

Senyum Kehilangan

Tersentuh, saya membaca entry KEHILANGAN dari blog Abu Nuha dengan perasaan terharu. Apatah lagi ianya melibatkan insane yang pernah dikenali dan mengenali.

1) Ust Bungsu Aziz dan Puan Ofelia kehilangan cahayamata sulung lelaki pada 28 Mac di Kota Kinabalu. Bayi berumur 6 bulan dan hidup selama 3 jam.

2) Sdr Nor Fitri Abdullah dan isteri, yang kini berada di Politeknik Arau, Perlis memperolehi anak kembar tiga. Salah seorangnya meninggal dunia beberapa hari lalu. Mudah-mudahan yang dua lagi sihat dan selamat.

3) Tuan Hj Sunarto Sipin dan keluarga di Kg Lubok Temiang WP Labuan kehilangan anak sulung mereka Nasyriq, berumur sekitar 27 tahun yang kemalangan pagi tadi. Saya terbayang wajahnya kerana dia pemuda yang rajin ke masjid di kampung.

4) Ust Mahari Abu Bakar dan Puan Nurain Lim kehilangan cahayamata kedua semalam. Puan Ain Lim khabarnya bersalin bayi berumur 6 bulan.




Meruntun hati untuk turut sayu mengenang kehilangan semalam. Terbayang saat sukar dan sedih menyelubungi keluarga yang menerima musibah.

Terbayang anak kecil yang ceria, montel dan cerdas bertatih, berjalan, memanjat pagar dan melompat riang. Sekejap ketawa mengikik, kemudian merengek tangis dan akhirnya lena bermimpi damai. Namun simfoni fitrah itu amat menghiburkan.

Tiba2 nikmat tuhan itu ditarik balik, pinjaman allah buat manusia diminta kembali, siapakah yang mampu menghalangnya.

Nabi pernah kehilangan. Anak bersama kekasih hatinya siti khadijah. Membesar dalam acuan soleh didikannya, meremaja dengan ingatan kasih ibunya. Rasul senang bersamanya, nostalgia ibunya Khadijah sentiasa terbayang diwajahnya.

Namun tak siapa pernah menyangka, Umi Kalthum puteri rasul ini akan menuruti arwah ibunya lebih awal menapak meninggalkan alam fana dari ayahnya Rasulullah.

Air mata berlinang diwajah nabi, tatkala sakaratulmaut datang menjemputnya, rasul meletakkan anaknya keatas ribaannya, dipeluknya dan diusapnya penuh rahmat.

Dan bila ajalnya tiba tidak tertangguh, air mata mengalir deras tanpa dapat disekat lagi. Rasul juga menangis.

Terbaca saya hadis ini dari kitab Syamail Muhammadiah, bab Tangisan rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.

Ummu Aiman melihat peristiwa tersebut, dia meraung tangis. Lantas nabi bertanya : Mengapa kamu meraung didepan Rasulullah ?? Ummu Aiman menjawab : Bukankah engkau pun menangis wahai rasul. Nabi menjawab : Aku tidak menangis (meraung menidakkan takdir) tapi aku menangis kerana rahmat dan belas.

Moga allah mencucuri rahmat keatas ibubapa yang kehilangan.



Sabarlah, ada ganjaran menanti kalian.

Senyumlah kerana nabi menjamin kalian dengan anugerah syurga diatas musibah kehilangan ini.

Juga melalui kitab syamail ini bab kewafatan Rasul: menceritakan dialog antara rasul dan isterinya Aisyah : Rasulullah bersabda : sesiapa yang kehilangan 2 orang anak dari kalangan umatku, nescaya allah akan memasukkannya kedalam syurga disebabkan anak-anaknya itu. Aisyah berkata : Bagaimana pula kalau dia hanya kehilangan seorang anak , Rasul menjawab : begitu juga kalau ia kehilangan seorang anak. Dan Aisyah bertanya lagi : Bagaimana pula dengan yang tidak pernah kehilangan anaknya (rugilah mereka). Rasulullah menjawab : Akulah yang (menjadi galang gantinya) seumpama anak untuk mereka, sesungguhnya inilah (ganjaran bagi) musibah yang mereka akan terima.(Tiada musibah yang lebih besar dari kehilanganku)

Moga allah memberi kesabaran dan keimanan kepada semua yang terlibat musibah.

Karya : Berani Berubah

Alhamdulillah, rupanya sudah 6 karya yang berjaya diluncurkan sahabat saya Ustaz Shahrul Azmi Sidek ketengah pentas pasaran kehidupan.

Dengan garapan pelbagai tajuk dan situasi, beliau kebiasaannya menulis dengan bahasa santai dan mesra pembaca. Pelbagai topik kehidupan disentuhnya bukan sebagai watak penglipur lara , tapi mengungkap episod teladan dalam kehidupan ini untuk dilayari sebaiknya.

Beliau pernah menulis tentang i love ramadhan, 24 jam yang bermakna, sakit pun ok, bila haiwan menjadi guru dan lain-lain lagi yang sememangnya rangup dan lazat untuk dinikmati minda dan hati untuk mencari pengajaran.

Seangkatan dengan beliau dibumi anbiya' Jordan, saya mengenalinya sebagai seorang yang mudah didekati dan suka berjenaka, namun dalam kemesraannya tersemat keazaman dan keunikan beliau yang terpamer pada kesungguhan dan komitednya pada setiap bidang yang diceburinya.

Terkenal sebagai seorang yang tekun dan serius bekerja, rasanya tak hairanlah beliau mampu sampai ke tahap penulisan dan penerbitan seumpama ini, moga niatnya untuk menyebarluaskan ilmu dan menuntun teladan uswah hasanah para cendikiawan islam terdahulu dalam penulisan dimakbulkan Allah.

Bersama penulis, saya serahkan untuknya menyentuh citra bukunya yang baru.



Berani Berubah - Daripada Sebutir Jagung

Sinopsis:

Semua orang ada bercita-cita untuk berhijrah atau berubah. Hijrah atau berubah daripada satu perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik atau daripada yang sudah bagus kepada yang lebih bagus. Di hadapan kita banyak peluang untuk kita melakukan perubahan.

Namun dalam menuju perubahan, kita wajar mengetahui liku-liku dan ancaman yang bakal dihadapi dalam perjalanan tersebut. Dengan menyedari liku-liku tersebut, maka mudah-mudahan kita lebih kuat dan lebih tekad untuk meneruskan perubahan ini.

Tidak memahami benar-benar erti hijrah, halangan-halangan hijrah dan cabaran-cabaran serta realiti sebenar perjalanan hijrah boleh menyebabkan kita tersungkur di perjalanan sebelum sampai ke destinasi sebenar.

Ada cita-cita untuk berhijrah itu memang bagus dan amat bagus, tetapi hendak berhijrah bukan senang. Bukan semudah mengupas kuaci atau mengupas kerang dengan sebelah tangan semata-mata dan bukan sesenang memasang cita-cita seperti Mat Jenin.

Buku ini cuba memberi jawapan kepada topik tersebut.

Sunday, March 7, 2010

Debat Cinta

Debat perdana berlangsung ceria dikelas agama saya.

Setiap kumpulan yang ada berusaha untuk mengucapkan hujjah terbaik mereka.

Tajuknya diberikan spontan untuk mereka cerdas berfikir kreatif.

Sengaja saya garapkan tajuknya agar catchy dan keremajaan : Bercinta sebelum kahwin lebih baik dari bercinta selepas kahwin.

Hangat dan panas. Mereka begitu teruja dan supporting apabila memberi refleksi tentang tajuk ini, masing2 dengan idea tersendiri dan semangat yang menjiwainya.

Tanpa disangka kehangatan perdebatannya menghilangkan kantuk, amarah hujjah bersilih ganti, analogi dan perumpamaan membuak limpah, pengalaman remaja dan info semasa basah dilontarkan mereka.



Suka saya menjadi fasilitatornya, menenangkan yang tegang, menjelaskan yang kabur, mendefinisikan yang berfalsafah, dan memandu mereka yang tersadai dalam lebuhraya idea dan maklumat yang tidak kesampaian.

Kita harus mengenali pasangan kita sepenuhnya, ia akan menjamin persefahaman dan keserasiannya bersama dengan kita, berkahwin tanpa cinta adalah satu perjudian yang hanya membawa kegagalan.

Cinta memang mudah dipermainkan, ianya selalu dikonotasikan kepada perlakuan sumbang dan salah, dengan gaya percintaan zaman sekarang, kita seolah merelakan masyarakat untuk salah membuat pertimbangan. Saya berani sebut – cinta sebelum kahwin hanya akan membanyakkan kerosakan akhlak dan social masyarakat.

Definisikan cinta ? Jangan letakkan ia umpama sampah. Cinta adalah sesuatu yang suci dan tidak boleh dipandang enteng hanya untung kepentingan nafsu haiwani semata-mata.
Bercinta dengan tujuan yang benar dan baik akan membawa kebahagiaan.


Kita bercakap bukannya tentang soal picisan dan pinggiran, memang ada cinta yang suci dan baik, cinta adam dan hawa, cinta romeo dan Juliet, cinta laila majnun, mereka bercinta dengan perasaan kasih mendalam… kalau itulah cinta, lebih baik kita hanya berkasih dan berkorban tanpa perlu bersatu. Indahnya cinta bila dilanda badai ujian dan kita terkorban.

Tapi kita bercakap soal majority, dengan zaman yang serba tandus hidayah ini, ramai yang menggunakan cinta untuk menghalallkan pertemuan dan persentuhan. Akhirnya segala masalah masyarakat timbul seperti sekarang ini.

Islam menghendaki kita untuk mempuntyai disiplin pengetahuan, tak kenal maka tak cinta, kerana itu islam meminta 4 perkara asas untuk dijadikan sumber utama pemilihan pasangan, dan semuanya mesti berlandaskan tahu dan cinta.

Semuanya hanya mainan syaitan, perkenalan lama membibit cinta dan akhirnya berakhir dijinjang pelamin, tiada lagi kejutan dan keistimewaan, kita sudah lama mengenalinya,sejarahnya, tingkahlakunya dan minatnya, tiada lagi yang mengujakan… kita akan diserang virus JEMU, dan akhirnya pasangan macam belangkas percintaan ini tak akan bertahan lama dalam hubungan rumah tangga.

Saya berani mengatakan hubungan cinta selepas kahwin lebih bermakna, lihatlah keutuhan rumahtangga generasi terdahulu dari kita, mereka disatukan oleh keluarga dan cinta selepasnya membawa mereka bahagia sampai kehujung nyawa.

menggunakan hujjah zaman tak relevan, ianya memerlukan batasan tempoh, situasi dan cabaran berbeza, keutuhan rumahtangga dahulu tidak boleh dijadikan asas kebahagian rumahtangga sekarang... ianya totally different.

Serius perdebatan mereka, terusik saya dengan gelagat mereka.

Ada yang tergeliat lidah, ada yang kehilangan ayat dan merapu, ada yang tersilap fakta dan berpaling tadah, ada yang terover2, ada yang terdesak diasak hujjah hingga terpaksa meminta bantuan backup rakan, ada yang bercerita pengalaman, ada yang menyimpul falsafah kehidupan dan ada yang hanya tahu memboo dan menepuk meja. Menambah gamat bahang perdebatan.



Tamat debat, saya membasuh mereka. Menghurai topic perkahwinan dalam bentuk yang simple dan dekat dijiwa yang sedang meningkat remaja.

Setiap manusia berhak menyayangi dan ingin disayangi. Begitu juga dengan cinta.

Dan walau apapun hujjah kita, kita seakan bersetuju…. Cinta yang baik dan sejati ialah cinta yang suci dan tidak disalahgunakan. Ianya tidak boleh sama sekali bercampur dengan tarikan nafsu haiwani manusia.

Dan tanggungjawab kita mencari cinta yang hakiki, dan tiada yang lebih tinggi dari mencintai tuhan kita sendiri. Cinta yang tidak pernah mati dan kecewa.

Dan jikalau kita ditanya tentang cinta ? halalkah kita bercinta atau haram , ustaz ?

Suka saya bawakan petikan kata2 Dr. Yusof Al Qardhawi …. Cinta yang halal adalah halal dan cinta yang haram adalah haram.

Bukankah yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.

Maka pilihlah wahai sahabatku, cinta mana yang kita ingin dambakan.