Tersentuh, saya membaca entry KEHILANGAN dari blog Abu Nuha dengan perasaan terharu. Apatah lagi ianya melibatkan insane yang pernah dikenali dan mengenali.
1) Ust Bungsu Aziz dan Puan Ofelia kehilangan cahayamata sulung lelaki pada 28 Mac di Kota Kinabalu. Bayi berumur 6 bulan dan hidup selama 3 jam.
2) Sdr Nor Fitri Abdullah dan isteri, yang kini berada di Politeknik Arau, Perlis memperolehi anak kembar tiga. Salah seorangnya meninggal dunia beberapa hari lalu. Mudah-mudahan yang dua lagi sihat dan selamat.
3) Tuan Hj Sunarto Sipin dan keluarga di Kg Lubok Temiang WP Labuan kehilangan anak sulung mereka Nasyriq, berumur sekitar 27 tahun yang kemalangan pagi tadi. Saya terbayang wajahnya kerana dia pemuda yang rajin ke masjid di kampung.
4) Ust Mahari Abu Bakar dan Puan Nurain Lim kehilangan cahayamata kedua semalam. Puan Ain Lim khabarnya bersalin bayi berumur 6 bulan.
Meruntun hati untuk turut sayu mengenang kehilangan semalam. Terbayang saat sukar dan sedih menyelubungi keluarga yang menerima musibah.
Terbayang anak kecil yang ceria, montel dan cerdas bertatih, berjalan, memanjat pagar dan melompat riang. Sekejap ketawa mengikik, kemudian merengek tangis dan akhirnya lena bermimpi damai. Namun simfoni fitrah itu amat menghiburkan.
Tiba2 nikmat tuhan itu ditarik balik, pinjaman allah buat manusia diminta kembali, siapakah yang mampu menghalangnya.
Nabi pernah kehilangan. Anak bersama kekasih hatinya siti khadijah. Membesar dalam acuan soleh didikannya, meremaja dengan ingatan kasih ibunya. Rasul senang bersamanya, nostalgia ibunya Khadijah sentiasa terbayang diwajahnya.
Namun tak siapa pernah menyangka, Umi Kalthum puteri rasul ini akan menuruti arwah ibunya lebih awal menapak meninggalkan alam fana dari ayahnya Rasulullah.
Air mata berlinang diwajah nabi, tatkala sakaratulmaut datang menjemputnya, rasul meletakkan anaknya keatas ribaannya, dipeluknya dan diusapnya penuh rahmat.
Dan bila ajalnya tiba tidak tertangguh, air mata mengalir deras tanpa dapat disekat lagi. Rasul juga menangis.
Terbaca saya hadis ini dari kitab Syamail Muhammadiah, bab Tangisan rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.
Ummu Aiman melihat peristiwa tersebut, dia meraung tangis. Lantas nabi bertanya : Mengapa kamu meraung didepan Rasulullah ?? Ummu Aiman menjawab : Bukankah engkau pun menangis wahai rasul. Nabi menjawab : Aku tidak menangis (meraung menidakkan takdir) tapi aku menangis kerana rahmat dan belas.
Moga allah mencucuri rahmat keatas ibubapa yang kehilangan.
Sabarlah, ada ganjaran menanti kalian.
Senyumlah kerana nabi menjamin kalian dengan anugerah syurga diatas musibah kehilangan ini.
Juga melalui kitab syamail ini bab kewafatan Rasul: menceritakan dialog antara rasul dan isterinya Aisyah : Rasulullah bersabda : sesiapa yang kehilangan 2 orang anak dari kalangan umatku, nescaya allah akan memasukkannya kedalam syurga disebabkan anak-anaknya itu. Aisyah berkata : Bagaimana pula kalau dia hanya kehilangan seorang anak , Rasul menjawab : begitu juga kalau ia kehilangan seorang anak. Dan Aisyah bertanya lagi : Bagaimana pula dengan yang tidak pernah kehilangan anaknya (rugilah mereka). Rasulullah menjawab : Akulah yang (menjadi galang gantinya) seumpama anak untuk mereka, sesungguhnya inilah (ganjaran bagi) musibah yang mereka akan terima.(Tiada musibah yang lebih besar dari kehilanganku)
Moga allah memberi kesabaran dan keimanan kepada semua yang terlibat musibah.
No comments:
Post a Comment