Monday, March 8, 2010

Karya : Berani Berubah

Alhamdulillah, rupanya sudah 6 karya yang berjaya diluncurkan sahabat saya Ustaz Shahrul Azmi Sidek ketengah pentas pasaran kehidupan.

Dengan garapan pelbagai tajuk dan situasi, beliau kebiasaannya menulis dengan bahasa santai dan mesra pembaca. Pelbagai topik kehidupan disentuhnya bukan sebagai watak penglipur lara , tapi mengungkap episod teladan dalam kehidupan ini untuk dilayari sebaiknya.

Beliau pernah menulis tentang i love ramadhan, 24 jam yang bermakna, sakit pun ok, bila haiwan menjadi guru dan lain-lain lagi yang sememangnya rangup dan lazat untuk dinikmati minda dan hati untuk mencari pengajaran.

Seangkatan dengan beliau dibumi anbiya' Jordan, saya mengenalinya sebagai seorang yang mudah didekati dan suka berjenaka, namun dalam kemesraannya tersemat keazaman dan keunikan beliau yang terpamer pada kesungguhan dan komitednya pada setiap bidang yang diceburinya.

Terkenal sebagai seorang yang tekun dan serius bekerja, rasanya tak hairanlah beliau mampu sampai ke tahap penulisan dan penerbitan seumpama ini, moga niatnya untuk menyebarluaskan ilmu dan menuntun teladan uswah hasanah para cendikiawan islam terdahulu dalam penulisan dimakbulkan Allah.

Bersama penulis, saya serahkan untuknya menyentuh citra bukunya yang baru.



Berani Berubah - Daripada Sebutir Jagung

Sinopsis:

Semua orang ada bercita-cita untuk berhijrah atau berubah. Hijrah atau berubah daripada satu perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik atau daripada yang sudah bagus kepada yang lebih bagus. Di hadapan kita banyak peluang untuk kita melakukan perubahan.

Namun dalam menuju perubahan, kita wajar mengetahui liku-liku dan ancaman yang bakal dihadapi dalam perjalanan tersebut. Dengan menyedari liku-liku tersebut, maka mudah-mudahan kita lebih kuat dan lebih tekad untuk meneruskan perubahan ini.

Tidak memahami benar-benar erti hijrah, halangan-halangan hijrah dan cabaran-cabaran serta realiti sebenar perjalanan hijrah boleh menyebabkan kita tersungkur di perjalanan sebelum sampai ke destinasi sebenar.

Ada cita-cita untuk berhijrah itu memang bagus dan amat bagus, tetapi hendak berhijrah bukan senang. Bukan semudah mengupas kuaci atau mengupas kerang dengan sebelah tangan semata-mata dan bukan sesenang memasang cita-cita seperti Mat Jenin.

Buku ini cuba memberi jawapan kepada topik tersebut.

No comments:

Post a Comment