Pernah kami bertemu.
Pernah kami makan setalam, pernah seperjalanan dan berkenderaan meredah denai dan lurah, mendaki cerun dan bukit, tidur berbantal lengan bernaungkan langit, berlampukan bintang.
Pernah kami hidup bersama, dalam satu fikrah perjuangan. Beramal, berkorban dan terkorban.
Dalam kehidupan ini kami mimpikan kedamaian, kesatuan , kesolehan dan kedaulatan Islam.
Dalam perlahan gerak dakwah diselimuti lembayung bayu kinabalu, kami cuba gagah berdiri dan berlari. Bergerak dan bereksperimen. Dalam focus dan cara kami tersendiri.
Walau tak merubah banyak, mungkin sedikit kami mampu menyuamkan angkasa dakwah dibumi Likas sana. Moga ada yang bermanfaat.
Beliau ialah akh Nasirin. Pernah berjiran semasa mengajar di sabah, dan tempatnya bersebelahan sekolah saya di SMP. Beliau mengajar di SM Teknik Likas.
Saudara Nasirin ini pernah menjadi sahabat saya, bahkan tak kekok jika saya boleh menyatakan dia juga adalah guru saya berkaitan konsep membina kesatuan pelajar, mengaplikasikan IT dalam dakwah, dan mengkhusus dalam dakwah penerangan terhadap muallaf dan mengajak manusia kepada islam.
Kami bercita citra yang sama, mendahulukan cinta allah dalam hati manusia. Pernah beliau menyatakan : sudah lama kita hanya mengetengahkan muhasabah bersumberkan kasih ibubapa dalam menyedarkan pelajar, mengapa tidak kita mengubahnya kepada mengasihi manusia yang lebih agung lagi… iaitu Rasulullah. Dan beliau tidak beromong kosong, beliau menjayaknnya melalui paduan visual dan simfoni yang disusun menarik untuk menginsafkan.
Walau impian kami sama, mimpi kami agak berbeza, beliau terpaksa lebih awal berpindah ke Pulau Pinang atas factor keluarga. Perhubungan akhirnya terputus hanya melalui teks mesej dan komunikasi lewat telefon yang amat jarang.
Tapi, hubungan kami masih terus berlangsung ceria satu hala kerana beliau mempunyai blog yang mampu berkongsi segalanya. Namun hanya bisu dan satu hala.
Baru2 ini, saya diziarahi beliau yang menyambut berita kepulangan perpindahan saya ke pulau pinang dengan perasaan gembira, teringat teks yang beliau kongsikan bersama saya : kepulangan ustaz disambut sedih oleh sahabat2 disabah, tapi ianya merupakan satu berita gembira kepada kami di pulau pinang.
Setelah genap 2 bulan saya berkelana disini, akhirnya beliau muncul bertamu, menjalin ikatan yang lama berlangsung. Menyambung semula citra ukhuwwah dan dakwah yang sama.
Blognya boleh dilayari dalam rangkaian sahabat seperjuangan saya di : stay alive
Terima kasih akh nasirin, ana bersetuju kata2 anta, Mungkin jalannya tidak akan sama seperti sebelum ini, tapi rantai persahabatan & perjuangan ini pastinya lebih mudah bertaut, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment