Sunday, March 14, 2010

Kem Ibadah Maulidurrasul (1)

Cuti persekolahan datang lagi.

Raut ceria pelajar jelas terpamer pada sorakan gembira mereka tika melangkah kaki meninggalkan laman sekolah yang sentiasa setia diposisinya.

Berlarian mereka melintasi jalanraya menuju deretan kereta ibubapa yang sudah sedia menunggu sambil minda mereka sedang rancak menconggak perancangan masa cuti yang panjang itu.

Bergegas saya kembali kerumah, mengambil anak sulung untuk segera menunaikan kewajipan solat jumaat.

Usai solat, saya membuat persiapan semula untuk kembali ke sekolah. Bukankah sekolah sudah mengumumkan cutinya. Kenapa saya masih ke sekolah ?

Alhamdulillah, bermula jumaat 12/3 dan sabtu 13/3 telah berlangsung satu program KEMAH IBADAT SEMPENA MAULIDURRASUL disekolah saya.



Idea Perkemahan ini saya cetuskan bila ditanya berhubung bilakah pula sambutan Maulidurrasul patut kami raikan disekolah ini. Saya tersenyum mendengarnya. Ternyata semangat merancang dan melaksanakan program ceramah Maalhijrah tempohari masih berbaki.

Perlahan saya lontarkan idea ini, program ceramah tempohari banyak manfaatnya, tetapi ianya tidak boleh terlalu kerap dan dekat jangka waktunya. Ia akan merimaskan dan menjemukan.

Apatah lagi, bagi saya ianya juga boleh merugikan warga muslim disekolah ini daripada mendatangkan kebaikan. Bayangkan seharian para pelajar muslim di kepung untuk bersama menadah telinga mendengar curahan maklumat ilmu dan agama samada secara rela atau paksa sedangkan pada masa yang sama kelas pengajian harian berjalan seperti biasa. Harga minority pelajar muslim ini terpaksa dibayar dengan membiarkan kelas terus berlangsung walau ada program agama diadakan. Keladang dalam satu kelas hanya ada seorang pelajar muslim berbanding 40 yang lain, tak mungkin kelas akan ditangguhkan semata-mata memberi ruang pelajar muslim mendengar ceramah.

Bayangkan juga,jika seharian mereka di dewan dan para guru pula terus membuka topic baru dikelas, mungkin pelajar muslim akan kedunguan 6 topik baru dalam sehari. Bayangkan juga jika ianya berlaku kerap dan dekat.

Sesuatu perlu difikirkan segera, penyelesaian ditagih bukan hanya sekadar keseronokan dan semangat berprogram.

Keduanya, program islamisasi disini perlu dipelbagaikan dan disentuh kreativiti, menggamit hati pengunjung yang baru berjinak islam tidak sama dengan tempo hati yang sudah serasi menyantuni islam.

Pelajar yang agak agresif dengan jiwa leka perlu ditangani dengan sentuhan dan mesra, apatah lagi mereka yang masih hingusan ilmu dan tarbiyah perlu dididik dalam suasana rapat dan prihatin.



Ketiganya, meluncurkan ikon agung ke lorong ingatan dan penjiwaan sukar sekali diaplikasikan hanya dengan sekadar laungan ceramah, ianya perlu diserapkan dengan contoh, selawat, muhasabah, aplikasi solat, penerangan sunnah dan erti cinta rasul.

Ianya tak mudah untuk dipakukan pada hati dengan ceramah bak biduk berlalu, namun penekanan reality dan aplikasi dijangka boleh mempertaut kembali kiambang ingatan damai ke penghujung hayat.

Idea saya lontarkan, disambut ceria para petugas BAKTI. Mereka mengimpikan satu program yang menyeronokkan dan menghiburkan.

Namun, merancang dalam tempoh 2 minggu yang sibuk untuk menganjurkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Diselangi dengan aktiviti padat sukantara peringkat sekolah dan ujian berpusat menjadikan waktu amat mencemburui keringat usaha yang bersisa.

Dan saya perlu bereksperimen lagi, bersama dengan tenaga kerja baru dan suasana baru. Mampukah saya merealisasikannya.

Masanya makin suntuk dan hampir.

Dan akhirnya tanggal Jumaat 12 Mac tiba jua.

No comments:

Post a Comment