Sunday, February 17, 2013

Pesan Qaseh Bersahabat




Hey kawan,

Dalam meniti kehidupan ini, kita pasti lelah dengan dugaan. Tiada ketenangan dalam melayari kehidupan ini kecuali dengan sabar dan redha. Selagi kehidupan ini bernama ujian, ianya pasti menyakitkan.

Setiap kesakitan memerlukan pengorbanan. Setiap pengorbanan menuntut korban rasa yang bukan sedikit.

Alam dunia hanyalah sementara, ianya alam untuk beramal dan menabur bakti. Tiada yang lebih indah dari bertemu tuhan dalam keadaan yang disenangi dan diredhaiNya. Untuk itu, amal memerlukan usaha, kerja memerlukan kesungguhan, kesungguhan menjanjikan penat, dan penat menuntut kesakitan.

Wajarkah untuk kita sakit dan berpenat di dunia ? Berbaloikah kita melupakan nikmat senang dan ingin berseronok menikmati anugerah tuhan yang sementara ini.

Mungkin jawapan kita masih bernada : Tak salah ! Tuhan mahukan kita menikmati dunia ini untuk perjalanan menuju akhirat. Ambil lah dunia dan berusahalah untuk akhirat yang lebih gemilang.

Tapi sayangnya kawan, itulah bermulanya angan dan mimpi kita. Akhirnya kita tenggelam dalam menikmati dunia hingga mengabaikan akhirat kita.

Kawan ingatlah, dunia tempat beramal. Bukannya tempat berseronok. Tempat bekerja bukannya tempat berehat sambil joli bersantai.

Hanya KEMATIAN permulaan kesenangan, ianya pembuka kerehatan dan keseronokan bagi orang yang beriman dengan janji tuhannya. Dengannya kita mampu berjumpa kasih dan menyaksikan reality janji tuhan.

Jadi kawan, ayuh kita bekerja untuk agama ini. Biar berpenat dan berkeringat pedih dan sakit. Kita pasti akan diganjari pahala. Bukankah janji tuhan bagi sesiapa yang menikmati sakit dan susah untuk agama ini akan mendapat pahala. Biar terencat agenda seronok dan terbantut impian duniawi demi merebut kasih janji tuhan dalam menabur rahmat pahalanya ini. Berbaloi kan ???

Oleh itu, usahlah kita menggantikan pedih dan sedih untuk agama demi sengketa dan prasangka. Ianya langsung tidak menguntungkan bahkan menambah beban dosa.  Sedih yang tidak berguna, pedih yang hanya memijar rasa bagai untung sabut timbul, tapi ruginya batu tenggelam begitu sahaja.

Perlukah kita masih ingin bermasam muka,ingin dimanja prihatin dan sering meneka rasa dan sangka sedangkan kerja islam dan dakwah masih membukit banyaknya? Tekanlah butang STOP untuk permusuhan dan terasa hati, kita sepatutnya terus menerus FORWARD untuk kerja dan perjuangan. Bukankah kerja Islam itu banyak cabarannya ???

Saya nukilkan dari buku : Bahtera Penyelamat karangan Fathi Yakan beberapa hadis memintal hati kita untuk bersatu dan tabah menghadapi dugaan.

Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam telah meramalkan cabaran dan dugaan-dugaan yang dihadapi oleh para Mukmin, Da’ei dan Mujahidin di jalan Allah Subhanahu Wata’ala.
Beliau bersabda: Orang Mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang susah:
1. Mukmin yang dengki padanya
2. Munafiq yang benci kepadanya
3. Kafir yang memeranginya
4. Syaitan yang menyesatkannya
5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya
(Hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dan hadith Anas
dalam tajuk: “Akhlak Yang Luhur.”)


ORANG MUKMIN YANG DENGKI KEPADANYA

Sebagaimana lumrah diketahui hasad adalah penyakit hati yang amat berbahaya. Hasad boleh mengikis Iman seseorang Mukmin jika ia tidak cepat kembali siuman, bertaubat kepada Tuhan dan tidak dilimpahi ‘Inayah dan Rahmat Subhanahu Wata’ala. Tepat seperti yang apa disabdakan oleh Rasulullah

Sallallahu’alaihi Wasallam:
دب اليكم داء الامم قبلكم , الحسد و البغضاء .والبغضاء هي الحا لقة
.أما اني لا أقول تحلق الشعر ولكن تحلق الدین
“Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan
permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudkan
ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama.”
(Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam bersabda lagi:
ما ذ ئبان جائعان أرسلا في زریبة غنم بأفسد لها من الحرص على
المال والحسد في دین المسلم .وانالحسد تأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب
“Bencana melepaskan dua ekor serigala lapar di dalam kandang kambing tidak lebih
besar daripada bencana yang menimpa pegangan agama seorang Muslim dan sifat
serakah terhadap harta (tamakkan harta) dan hasad dengki. Sesungguhnya sifat hasad
memamah segala kebaikan persis seperti api menjilat kayu kering.”
(Hadith riwayat Al-Tirmizi)

Dalam hubungan ini Allah Subhanahu Wata’ala telah memerintahkan

Nabi dan umatnya supaya berlindung dari bencana golongan pendengki.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ( 1) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ( 2) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ
( 3) وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ( 4) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ( 5 )
“Katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai Subuh, dan kejahatan
makhluknya dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita, dan dari kejahatan
wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, dan dan kejahatan
orang yang dengki apabila ia dengki. ”
(Surah Al-Falaq: Ayat 1-5)

Rasulullah sendiri melarang sifat hasad dengki dan saling dengki mendengki. Beliau melarang sifat benci dan saling menimbulkan kebencian. Beliau juga melarang sifat saling membesar diri dan jebak-menjebak antara satu sama lain.
Beliau bersabda:                                                                     
Maksudnya:
“Awas kalian daripada sifat prasangka. Sesungguhnya prasangka itu adalah kata-kata
yang paling dusta. Jangan saling olok-mengolok, intai-mengjntai, atas-mengatasi, dengki
mendengki, benci-membenci dan jebak menjebak. Jadilah kalian laksana hamba-hamba
Allah yang bersaudara seperti yang telah diperintahkan kepada kalian. Seorang Muslim
itu adalah saudara bagi seorang Muslim yang lain. Janganlah ia menzalimi saudaranya;
janganlah ia membiarkannya (apabila ia dizalimi); janganlah ia menghina saudaranya.
Taqwa itu (letaknya) di sini, seraya baginda menunjuk ke dadanya. Cukuplah bagi
seorang Muslim itu kejahatan (dosa) menghina saudaranya yang Mukmin haram bagi
seseorang Muslim itu (menceroboh) darah (nyawa) nama baik dan harta seseorang
Muslim yang lain.”
(Hadith riwayat Malek, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Babak-babak dakwah Islam yang dilalui sepanjang sejarah zaman dahulu
dan kini banyak memperlihatkan peristiwa-peristiwa tragis di mana penyebab
utamanya ialah sifat hasad dengki. Bukan sifat dengki dan orang jauh tetapi
yang datang dan kalangan sahabat handai sendiri. Salah seorang penyair
bermadah:
وظلم ذوي القربى أشد مضا ضة على المرء من وقع الحسام المهند
Penganiayaan oleh kaum kerabat
lebih berbisa dirasakan,
oleh seseorang,
dari tusukan pedang waja India.

ليس مني ذو حسد ولا غميمة ولا آهانة ولا أنا منه
“Orang yang berhati dengki, yang menjadi batu api, beramal dengan yang karut-marut
bukan daripada umatku dan aku bukan ikutan mereka.”
Kemudian baginda membaca firman Allah Subhanahu Wata’ala yang berbunyi:
وَالَّذِینَ یُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اآْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا
( وَإِثْمًا مُّبِينًا ( 58
“Orang-orang yang menyakiti para Mu‘min lelaki dan perempuan (dengan membuat
fitnah) padahal mereka (orang-orang yang beriman tersebut) tidak berdosa maka
sesungguhnya pembawa fitnah tersebut telah memikul beban pendustaan dan dosa yang
nyata.”
(Surah Al-Ahzab: Ayat 58)


Aaaah, cukuplah sekadar ini kawanku. Ayuh kita jernihkan suasana, kalau keruh air di muara jangan kita terus melatah prasangka, jom kita mudik ke hulu bersama2 pasti ada jernihnya muafakat dan indahnya persaudaraan disana.

Friday, February 15, 2013

Trauma bersahabat ?


Hey kawan,

Moga rahmat Allah sentiasa bersama kalian.

Aku menyayangi kalian kerana Allah. Aku ingin menyantuni kalian sebaik yang dianjurkan Rasulullah. Aku rela menggadaikan masa terluangku untuk bersama menyunting silaturahim agar kekal berseri dijambangan ukhuwwah, bukankah SILATURRAHIM ini penyubur perpaduan dan evidens akhlak mulia yang bersemi di sanubari jiwa.

Tapi Kawan,

Hati aku terasa pilu.

Mudahnya goresan sedih ini mencalarkan gebu ceria syawalku.

Kilatan permukaan perasaan yang sekian lama telah ku polish dan gilapkan sepanjang Ramadhan yang lalu kini semakin kabur dipuput kabut dan debu perjalanan ini.

Coretan khilaf pantas menampal di cerminan rasa. Aku terkedu langsung terkilan.

Kawan,

Maafkan aku untuk berkongsi rasa.

Sesak juga rasanya bila diterjah teguran. Kedu membalut rasa.

Aku bukan seorang yang sering on-line. Mungkin selepas 3-4 hari, baru aku punya masa untuk mengunjungi teratak maya ku ini. Rutinku memaksa aku begini. Namun, cukuplah aku katakan aku  sememangnya selesa begini.

Kerana itu aku tidak memilih method social seperti facebook, twitter dan lain-lainnya sebagai medium berhubung. Aku takut aku tak punya masa dan kesempatan berbalas salam dan sapaan. Kalau sekadar senyum, aku tak kisah ….. aku kan sentiasa senyum untuk kalian.

Aku juga bimbang ianya akan mempengaruhi dan memberi kesan kepada rutin kehidupanku nanti yang akan sentiasa terkejar2 dengan sesuatu yang bersifat HAJIYAT semata2. Justeru, aku senang memilih wacana kurang popular seperti blog ini untuk berbicara dan menyatakan …. Aku masih update bermakna aku masih hidup.

Aaah, itulah pilihan mediumku buat setakat ini. Mungkin di kemudian hari nanti ia akan berubah.

Tapi senyumku kawan tak selebar dulu.

Hari ini aku diterjah rambang diruangan komen.

Oleh seseorang yang amat akrab, kerana itu mungkin ianya melestarikan nick name TEMAN yang sentiasa 
lebih rapat dan intim dari kawan bukan.

TEMANku menulis : ZIARAHLAH DAN HUBUNGILAH TEMAN2 ANDA, JANGAN ASYIK BERTAZKIRAH SAHAJA. BUKANKAH ITUPUN AJARAN NABI JUGA.

Terima kasih teman, atas ingatanmu.

Ingatan yang cukup tulus dan baik ….. maklumlah datangnya dari TEMAN yang ikhlas sehingga segan untuk bermadah salam dan menyatakan identity. Bukankah menyatakan identity juga adalah sunnah nabi yang cukup anti kepada orang yang hanya ingin bersembunyi disebalik nama Ana, Ana, Ana ….. Man Ana ?????



Justeru, aku tidak ingin tersinggung dengan teguran.

Cuma aku tersentuh kiranya aku sebenarnya, memang telah menyakiti dan mengabaikan ramai kawan2ku diluar sana. Seakan aku terpetik suis automatic untuk membayangkan slide wajah kawan2 yang mencetuskan ceria dalam hidupku ….

Aku terbayang taulan seperjuanganku dibumi syam dahulu.

Aku terkenang rakan sepengajianku di maahad muhammadi sebelum itu,

Aku tersilau cerminan wajah sahabat2 pemuda di bumi bawah bayu dahulu,

Aku terimbau figura teman sepasukan di pulau mutiara ini yang menunjangi aktiviti dakwah pelajar dan 
pengajian berguru, juga rakan sepemuda yang baru sepekan ku kenali,

Aku tertoleh ke memori imej anak2 didik balkis dan bakti yang kini bertaburan meneruskan nafas perjuangan,

Aku terenung dengan imbasan watak sahabat kesarjanaan yang menghuni teratak kuin sekarang ini,

Aaah, siapakah gerangan engkau wahai teman yang telah aku calari susilaku …

Aku buntu !!


Dalam kehairanan aku bertafakur, mengamati salah dan bodohku, berkumat –kamit aku hitungkan keburukanku…. Aku sememangnya bukan manusia sempurna.

Maafkan aku duhai teman…..

Tanpa sedar, aku mula bersetuju dengan pandangan al Imam al Ghazali ketika beliau mengupas tajuk uzlahnya di lembaran bukunya Minhajul abidin ila jannati rabbil alamin, untuk menuju jalan selamat …. Ke teratak kasih ar Rahman, ambillah jalan yang menjauhi massa, elaklah untuk berterusan menggauli manusia, sesungguhnya ramai manusia dan rakan itu akan melalaikan diri dari ibadah dan mengingati allah, manusia juga punca kerosakan hati dan diri, pujian manusia adalah pemusnah, penghormatan mereka adalah hamparan untuk riak dan bangga diri, apatah lagi ianya juga sumber kesedihan dan kepedihan …. Bukankah kita akan terasa lebih sakit bila ditegur dan dimarahi oleh orang yang kita lebih sayangi berbanding orang yang tidak kita kenali ??

Maknanya : semakin ramai TEMAN dan KAWAN , kita bisa disakiti berulang kali , bahkan bisanya lebih pedih menyengat ulu hati.

Benar juga petikan ucapan yang terhambur dari bibir DR Zulkifli al Bakri pada perhimpunan Guru Mursyid kebangsaan di IAB, Genting tempohari, Buku adalah sebaik2 rakan dan ianya tidak akan sekali2 menyakiti mu, pilih dan berpadalah dalam berkawan, kerana kawan bukan semuanya akan menguntungkan diri dan maruah agamamu, bahkan ramai kawan yang sebenarnya tidak engkau perlukan sama sekali….

Atau , mungkin juga ayat al quran yang membisikkan makna : Para pencinta, rakan taulan yang berkasih saying dan berkenalan di dunia ini suatu hari nanti akan saling bermusuhan di hari akhirat nanti kecuali lah mereka yang benar2 bertakwa dan memilih berkasih hanya untuk Allah dan agamanya.

Aaah, aku ingin berada dikelompok suram ini, dalam kelompok bak melukut ditepi gantang, tanpa perlu didendang di mata manusia, biarlah amal dan bakti menjadi wira dicakna malaikat pencatatnya.

Terima kasih teman atas teguran.

Aku tidak ingin tersinggung lagi.



Dan tatkala engkau datang lagi selepas sekian lama menyepi sejak syawal dahulu dan berkata dengan mengharmonikan nick name baru iaitu KAWAN, aku tahu engkau TEMANku yang sama.

KAWAN pun berkata : bila nak ziarah dan jemput kawan kawan mai rumah, janganlah kedekut sangat.

Aku tersenyum dan berterima kasih atas ingatanmu.

Jika engkau pun kawanku, jemputlah ke rumahku tanpa perlu diundang.

Pasti engkau sudah tahu jalan dan lorongnya kan.

Atau sebagai kawan dan teman, hantarkan lah suaramu ke corong telefonku bertanya khabar dan salam, aku pasti menyantuni mu. Takkan engkau tidak tahu nombor telefonku kan ??

Dan alangkah baiknya kalau engkau tanggalkan seketika topeng zorro nick name mu untuk sekurang2nya aku mampu menatap ceria ikhlas wajahmu. Dan aduhai malangnya kalau tidak, dapat juga aku jemput dalam kenduri sulung dirumahku pada 23 Disember yang lalu. Kenduri meraikan rakan sekejirananku di bertam putra ini, juga buat mensyukuri kedua anakku yang Berjaya khatam bacaan al-quran kali pertama mereka, juga buat meniup semangat buat anak sulungku Anas yang Berjaya melanjutkan pelajaran di asrama penuh, SMKA al Masyhur lelaki sana … juga buat memohon keberkatan dan keamanan pada kediamanku agar dapat dimanfaat dan bermanfaatkan.

Apapun, terima kasih buat TEMAN ataupun KAWAN atau SESIAPA pun dirimu yang ku kenali.

Thursday, February 14, 2013

Benci Kematian 2



Semalaman, aku diulit ilham.

Biduk hidupku mara ke samudera hitam, badai pesimis ini ganas membantai. Aku terhuyung haying memimpin kemudi. Samada aku harus tenggelam atau aku ingin bertahan. Dayung sudah ditangan, kemudi sudah berada dihaluan, biar layar patah seribu …. Tapi aku masih punya satu kekuatan..

Aku masih punya PILIHAN.

Pilihan untuk mati berjuang atau mati sebagai petualang.

Kematian tetap kematian…. Ia akan hadir juga tanpa diminta.

Setiap manusia pasti merasainya.

Dan begitulah aku…. Kenapa perlu PESIMIS pada kematian.

…………….

Aku segera menuju ke ufuk alam, memohon petunjuk membelai hidayah.

Aku mencari kalimat al-quran.

Aku inginkan ketenangan.

Tanpa dipaksa telingaku sayup dipanggil sang suara.

Harta manakah yang engkau lebih sayangi. Harta milikmu atau milik watan tetanggamu. Aku memilih hartaku bahkan sesiapapun akan mencintai harta miliknya sendiri. Lalu, sedarkah dirimu Tanya sang suara … hartamu ialah apa yang kau belanjakan untuk pelaburan hartamu di sana, malahan apa yang kau simpan hanya menjadi tinggalan buat zuriatmu yang entah akan mempusakainya secara jujur berbakti atau engkar berjoli. Ya, sayangilah harta mu !!

Sang suara bertanya lagi, kenapakah engkau sanggup meredah denai dan gugusan perbukitan hanya untuk pulang bercuti dikala raya. Sanggup engkau belah samudera jalan yang berbatu kilometernya, berpusing putaran jamnya, bertingkah ombak emosimu tatkala kesesakan mencuri sudut fokusmu … kenapa engkau perlu kembali lagi …. Dan lagi …. Dan lagi. Hanya untuk merasai azab dan sengsara rutin kepulangan perantauan yang rimanya sentiasa berlagu sama. Ya, jawapannya masih sama, disana ada harta kesayangan kita. Kita ada ibubapa yang merupakan harta kita yang paling berharga, kita juga masih mempunyai rumah ibunda yang tersergam agam sebagai harta jika orang tua kita sudah tiada, dan kita juga masih mempunyai nostalgia memori kenangan sebagai harta jika semuanya sudah berakhir noktah. Pokoknya, harta menguatkan keinginan kita untuk kembali, untuk berkorban dan untuk merasai peritnya perjalanan.

Ya, untuk harta kita sanggup berkelana kemana jua bisik sang suara lagi.

Tapi … apa maknanya ??

Manusia yang takutkan mati ialah manusia yang tidak bersedia…..

manusia yang tak memiliki harta ….

Dan manusia yang sentiasa tertipu.

Aaah, aku tidak mampu menanggapinya ?? jelaskan padaku sang suara !! batinku menjerit.

Rasulullah saw pernah bersabda : Permata keseronokan seorang mukmin ialah MATI (riwayat daruqutni).

Hidup ini bagi orang yang beriman umpama penjara, kita berada antara larangan dan suruhan, setiap detik ada tanggungjawab waktu yang perlu kita lunaskan. Kita juga akan bermandi peluh keletihan, mencari nafkah dan meladeni karenah manusia dan alam… itupun belum lagi melibatkan peperangan antara diri dan nafsu yang berpanjangan, tenggelam dalam angan dan harapan …. Kekadang diperkudakan pula oleh sang syaitan.



Tapi mati adalah masa untuk kerehatan selepas penat beramal, masa untuk berseronok menikmati pahala, waktu untuk santai melihat dimensi syurgawi, detik untuk membenarkan janji  tuhan izzati.

Jadi, kenapa perlu takut mati ??

Bersedialah. Perbanyakkanlah bekalan dengan beramal dan bersedekah.

Kita membina harta di Negara akhirat. Mengkoordinat antara istana dan perkebunan indah. Menyusun atur khazanah pahala yang tidak terhingga.

Bayangkan jika sudah menempah bilik disebuah hotel dan sudah disahkan. Yakinkah kita untuk bermusafir dan dihujung destinasinya akan tersedia sebuah inap untuk kita diami dan berhenti melepas lelah. Sudah pasti ya kawanku…. Kita sudah membuat tempahan dan pengesahan. Yang ada hanyalah kita dating check in dan mendiaminya.

Sukakah untuk kita ke sana jika semuanya sudah tersedia dan sentiasa menunggu kita ???

Mana ada manusia yang membenci harta ?? Dan disanalah harta sebenar kita !!

Harta keseronokan yang kita akan perolehi selepas mati ditambah dengan janji kerehatan dan ketenangan abadi yang tersimpul janji rabbani. Aaah alangkah indahnya .

Masihkah dirimu takutkan mati kawan ku ???  sayup bunyi sang suara menjauh…

Ya, dan aku sememangnya sedar.

Ajal manusia sememangnya sudah ditentukan.

Beratus penunggang menggunakan litar yang sama tapi tidak pernah menempuh dinding takdirnya, beratus yang lain melepasi hadangan ajal untuk mereka terus menyambung nafas, tapi seorang hamba ini ….. dalam ratusan yang lain, terpilih untuk bersujud ……

Sujud yang terakhir.

Siapa yang boleh menghalangnya.

Anggota PLUS yang bersungguh2 memberi isyarat amaran. ???

Atau terang neon amaran yang berkelip tanpa penat, ??

Atau kon2 hadangan yang membataskan ruang pergerakan. ??

Ya, tiada siapa yang mampu menghalang.

Memang ianya sudah ditakdirkan.

Takdir untuk bertemu ajalnya.

Suratan untuk membenarkan janji tuhannya.

Aaaah , kawan.
Aku semakin yakin !!!
Aku tidak akan takut mati lagi.
Tapi matilah idamanku kini.

Fokusku, ayuh bersama kita mencipta harta dihari kematian kita !!!

Benci Kematian 1


Hey kawan,

Suis negatif masih terpasang di dinding hidupku. Hawa dinginnya pantas menggigit kulit aku dan memamahnya perlahan2 hinggalah ke sulbi hatiku. Aku tersepuk kepedihan.

Saat ini aku hanya memikirkan tentang kematian.

Penghujung kehidupan.

Pemusnah angan dan pemutus kenikmatan.




Terkadang aku ingin bangkit menguraikan cengkaman hitam ini, aku ingin bangun gagah dan ceria seperti dulu. Aku ingin tega bersyukur.

Tapi, hati kecilku seperti pasrah … redha … dan tekal memilih jalan suram ini. Aku terjerat dalam suratan harapan yang kelabu, dan aku seolah gembira di penjuru gelap ini.

Tiba2 aku teringat beberapa potongan nasihat yang sempat ke titipkan kepada beberapa orang sahabat. 

Persisnya seperti paku serpih yang dipulangkan kedulangnya. Atau mungkin juga ianya air tepukan tanganku yang terpercik ke mukaku sendiri.

Aku pernah ditanya dulu. Benar sememangnya aku masih belum melupainya. Aku dipinta nasihat berhubung seorang rakan yang asyik diburu lembayung maut disebalik tirai kehidupan. Begitu juga bila seorang pelajarku bertanya tentang rasa kematian yang semakin menghimpit dan menghampirinya, seakan maut menyorot matanya yang tajam untuk membaham rakus kehidupannya dan mencariknya bila2 masa.

Aku sedar aku pernah mengutarakan nasihat. Aku yakin aku sempat menitipkan pesan.

Tapi kawan, aku rasa aku kini pula yang berganti baton memegang giliran merasai renungan maut ini kepundak nyawaku. Aku serasa lemah, pasrah dan tak lagi bermaya.

Aku seakan tewas wahai kawan….

Adakah pesan untuk ku teman ??

Atau perlukah aku patrikan wasiatku disini …




Sebelum saat aku melangkah pergi …

Sebelum segalanya bertukar sejarah ….

Sebelum travelog mematikan langkahan …

Biar silam sahaja yang menguntum salam.

Tanda aku pernah bersama kalian…. Berkongsi rasa dan memintal pesan.

………. Biarkan aku pergi kawan !!......

………………..





Sunday, February 10, 2013

Pesimis Sujud Terakhir


Hey Kawan,

Memang sudah menjadi sunnatullah, redup subuh bersama selimut dingin ini takkan selamanya segar, ianya pasti akan hilang disimbah keras bahang siang yang mendatang. Bergilir mereka bertugas tanpa penat dan nista memprotes. Itulah tanda kepatuhan alam yang menunduk taat atas segala perintah ilahi buat mereka yang berfizikal agam dan besar. Patuh dan Akur. Tanpa membangkit protes dan menuntut habuan,mereka rela menjalankan tugas dalam rutin yang sama, setia memberikan khidmat walau jasad kian dipuput usia dan mereka akur untuk sirna hilang tanpa dipagut tanggungjawab memikul beban amanah sepertimana manusia.

Aaah, mereka bijak memilih jalan selamat…..

Tapi manusia pula yang memilih sebaliknya. Walau bersaiz kecil dan minima. Kita tega menggalang amanah bahkan tanpa segan menuntutnya. Mampukah kita ??

Entahlah, tapi yang sudah pasti …. Kita bakal dipersoalkan baik dan buruknya kehidupan kita.

Lalu kawan, Bagaimana kalian ?

Sudah bersediakah untuk menjadi beg tujahan tumbukan soalan tuhan satu hari nanti, tumbukan yang akan membekas parahnya azab dan berparut sengsara. Tumbukan yang hanya mampu dihadang oleh keutuhan amalan dan dielak oleh kebenaran niat. Ya, itulah hijrah diri yang terbaik, hijrah bersendikan niat dan jihad penuh kesungguhan.

Hijrah sebelum terlambat. Berubah setelah rebah dan berhati2 sebelum bertemu mati.

Aaah, kenapa persoalan mati lagi yang harus aku bangkitkan kini, setelah sekian lama meladeni sepi … perlukah maudhuk mati ini menjadi perantara silaturrahim kita ??

Maafkan aku kawan !

Namun inilah yang aku rasakan pada dini pagi hari ini.

Entah mengapa, aku terlalu cepat menekan butang pesimis untuk hidupku. Aku merasai tekanan gelisah menghimpit berat dinding hatiku. Bebannya terasa senak lantas mengepam darah adrenalinku untuk pantas berlari, dadaku berombak keras, fikiranku menjunam ke lantai resah.

Aku kaget terkesima. Terkedu menafsirkan puncanya ..

Dalam pelayaranku menyonsong putaran masa mengejar punch card awal untuk ke tempat kerjaku, aku seperti biasa menyusur laluan lebuh besar dengan kelajuan biasa diparas 100km/jam. Aliran trafiknya lancer dengan deretan kereta yang saling tidak mengenali berpapasan tanpa memberi salam, kami terus mengukur aspal memotong jarak perjalanan menuju destinasi masing2 hinggalah aku dipaksa memperlahankan kelajuan. Aliran trafik kelihatan semakin nazak menuju mati. Aku melepaskan keluhan takut kelewatan.

Mataku bundar mencari punca, leherku sengaja kebiarkan jinjang mengintai dari kaca motokarku hari itu. Hidungku juga tanpa malu kubiarkan menjadi mancung dalam memek pipiku yang seakan disorong-sorong. Aku ingin lekas mencari punca …

Tiba2 pantas mataku menangkap kelibat sebuah treler dilorong kecemasan sebelah kiriku, ianya terhenti mungkin kerana kerosakan. Pantas juga aku melihat peronda plus membelah lalulintas menuju ke buntut lori itu dengan sinar lampu biru kecemasannya menyilau mata sepetku.

Namun bukan lampu itu yang menarik perhatianku…

Bukan juga buntut treler besar itu yang mencuri fokusku.

Tapi… aku dipaku terhenyak ke kerusi tatkala pandanganku tertancap pada sekujur tubuh yang sujud kebumi di belakang treler besar itu. Dengan helmet yang masih melindungi kepala, beliau berbaring seakan sujud di aspal dingin pagi itu, di sebelahnya kelihatan sebuah motor terkulai layu.

Petugas plus dengan cepat menyusun kon keselamatan, teliti dan pantas … tapi aku langsung tidak melihatnya menyantuni lelaki yang bersujud itu.

Pantas, hatiku berkaca dalam teka-teki yang semakin terungkai jawapannya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

Aku yakin lelaki itu bersujud buat kali yang terakhir.


Susah untuk aku membohongi hatiku sendiri.  Sesaat jiwaku dikepung perasaan takut dan bersalah, sebentar pula aku digigit resah dan gundah, sekejap yang lain aku dilambung rasa bimbang dan pesimis marah … dimanakah lagi jalan yang paling selamat untuk pengguna motorsikal seperti aku jika lorong paling kiri yang dinamakan lorong keselamatan juga tidak menjanjikan kami perlindungan lagi …. Ianya lebih layak dipanggil lorong selamat untuk kematian.

Hatiku mula bercelaru.

Jiwaku menjadi kacau.

Siapakah pula yang akan dipilih menjadi korban jalanraya ini lagi ?? Mungkin dia, mungkin mereka dan mungkin juga aku suatu hari nanti.

Aku seakan takut memegang handle motor lagi.

Bagiku aktivti menunggang ke tempat kerja adalah selangkah menuju kematian. Nasib baik aku berkereta hari itu.

Lama aku diapung aura negative ini.

Aku terasa tidak bersemangat untuk bekerja lagi.

Bayangan maut seperti berada disebalik jendela langit mengintai saat kealpaan ku. Aku diikat kecewa dan pasrah.