Hey Kawan,
Memang
sudah menjadi sunnatullah, redup subuh bersama selimut dingin ini takkan
selamanya segar, ianya pasti akan hilang disimbah keras bahang siang yang
mendatang. Bergilir mereka bertugas tanpa penat dan nista memprotes. Itulah
tanda kepatuhan alam yang menunduk taat atas segala perintah ilahi buat mereka
yang berfizikal agam dan besar. Patuh dan Akur. Tanpa membangkit protes dan
menuntut habuan,mereka rela menjalankan tugas dalam rutin yang sama, setia
memberikan khidmat walau jasad kian dipuput usia dan mereka akur untuk sirna
hilang tanpa dipagut tanggungjawab memikul beban amanah sepertimana manusia.
Aaah, mereka
bijak memilih jalan selamat…..
Tapi
manusia pula yang memilih sebaliknya. Walau bersaiz kecil dan minima. Kita tega
menggalang amanah bahkan tanpa segan menuntutnya. Mampukah kita ??
Entahlah,
tapi yang sudah pasti …. Kita bakal dipersoalkan baik dan buruknya kehidupan
kita.
Lalu kawan,
Bagaimana kalian ?
Sudah
bersediakah untuk menjadi beg tujahan tumbukan soalan tuhan satu hari nanti,
tumbukan yang akan membekas parahnya azab dan berparut sengsara. Tumbukan yang
hanya mampu dihadang oleh keutuhan amalan dan dielak oleh kebenaran niat. Ya,
itulah hijrah diri yang terbaik, hijrah bersendikan niat dan jihad penuh
kesungguhan.
Hijrah
sebelum terlambat. Berubah setelah rebah dan berhati2 sebelum bertemu mati.
Aaah,
kenapa persoalan mati lagi yang harus aku bangkitkan kini, setelah sekian lama
meladeni sepi … perlukah maudhuk mati ini menjadi perantara silaturrahim kita
??
Maafkan aku
kawan !
Namun
inilah yang aku rasakan pada dini pagi hari ini.
Entah
mengapa, aku terlalu cepat menekan butang pesimis untuk hidupku. Aku merasai
tekanan gelisah menghimpit berat dinding hatiku. Bebannya terasa senak lantas
mengepam darah adrenalinku untuk pantas berlari, dadaku berombak keras,
fikiranku menjunam ke lantai resah.
Aku kaget
terkesima. Terkedu menafsirkan puncanya ..
Dalam
pelayaranku menyonsong putaran masa mengejar punch card awal untuk ke tempat
kerjaku, aku seperti biasa menyusur laluan lebuh besar dengan kelajuan biasa
diparas 100km/jam. Aliran trafiknya lancer dengan deretan kereta yang saling
tidak mengenali berpapasan tanpa memberi salam, kami terus mengukur aspal
memotong jarak perjalanan menuju destinasi masing2 hinggalah aku dipaksa memperlahankan
kelajuan. Aliran trafik kelihatan semakin nazak menuju mati. Aku melepaskan
keluhan takut kelewatan.
Mataku
bundar mencari punca, leherku sengaja kebiarkan jinjang mengintai dari kaca
motokarku hari itu. Hidungku juga tanpa malu kubiarkan menjadi mancung dalam memek
pipiku yang seakan disorong-sorong. Aku ingin lekas mencari punca …
Tiba2
pantas mataku menangkap kelibat sebuah treler dilorong kecemasan sebelah
kiriku, ianya terhenti mungkin kerana kerosakan. Pantas juga aku melihat peronda
plus membelah lalulintas menuju ke buntut lori itu dengan sinar lampu biru
kecemasannya menyilau mata sepetku.
Namun bukan
lampu itu yang menarik perhatianku…
Bukan juga
buntut treler besar itu yang mencuri fokusku.
Tapi… aku
dipaku terhenyak ke kerusi tatkala pandanganku tertancap pada sekujur tubuh
yang sujud kebumi di belakang treler besar itu. Dengan helmet yang masih
melindungi kepala, beliau berbaring seakan sujud di aspal dingin pagi itu, di
sebelahnya kelihatan sebuah motor terkulai layu.
Petugas
plus dengan cepat menyusun kon keselamatan, teliti dan pantas … tapi aku
langsung tidak melihatnya menyantuni lelaki yang bersujud itu.
Pantas,
hatiku berkaca dalam teka-teki yang semakin terungkai jawapannya.
Innalillahi
wainna ilaihi rajiun.
Aku yakin
lelaki itu bersujud buat kali yang terakhir.
Susah untuk
aku membohongi hatiku sendiri. Sesaat jiwaku
dikepung perasaan takut dan bersalah, sebentar pula aku digigit resah dan
gundah, sekejap yang lain aku dilambung rasa bimbang dan pesimis marah … dimanakah
lagi jalan yang paling selamat untuk pengguna motorsikal seperti aku jika
lorong paling kiri yang dinamakan lorong keselamatan juga tidak menjanjikan
kami perlindungan lagi …. Ianya lebih layak dipanggil lorong selamat untuk kematian.
Hatiku mula
bercelaru.
Jiwaku menjadi
kacau.
Siapakah
pula yang akan dipilih menjadi korban jalanraya ini lagi ?? Mungkin dia,
mungkin mereka dan mungkin juga aku suatu hari nanti.
Aku seakan takut memegang handle motor lagi.
Bagiku
aktivti menunggang ke tempat kerja adalah selangkah menuju kematian. Nasib baik
aku berkereta hari itu.
Lama aku
diapung aura negative ini.
Aku terasa
tidak bersemangat untuk bekerja lagi.
Bayangan maut
seperti berada disebalik jendela langit mengintai saat kealpaan ku. Aku diikat
kecewa dan pasrah.
Assalamualaikum ust,
ReplyDeletesekadar pandangan sy insan yg lemah..
mengingati mati adalah tindakan bijak bagi seseorang mukmin, agar dia bisa mengatur hidupnya di dunia dan di akhirat nanti. :)
mengingati mati seharusnya menjadikan kita lebih bersemangat dan berani hidup di alam fana ini. jangan sampai nikmat rasa mati yang Allah bagi tu merugikan kita.. we should enjoy the feeling with great solutions and actions. :)
-Asas-