Monday, March 15, 2010

Bila cinta Allah Berbicara, Cinta Lain Membisu Seribu Bahasa

Membaca garapan penulis ini, saya disentuh syahdu. Mendalami frasa emosi yang menyentap kesabaran, alangkah nikmatnya saat hati tega memilih iman, membelai rindu dihati ekoran perpisahan kerana tuhan.

Betapa kita perlu mencontohinya.

Kembali kita menyelami hakikat cinta ilahi, sanggup dan tegakah memilih Allah dari manusiawi.

Sejenak saya berfikir, dalam hembusan nafas dilepaskan. Alangkah jauhnya diri ini dari suri teladan agung ini, nenda kita Ibrahim Alaihissalam.

Bersama ayat cinta bertajuk BUKAN CINTA BIASA oleh Pahroul Mohd Juoi.



Dipegang jubah suaminya. Matanya yang jernih merenung sayu.

“Apakah ini kerana Allah?” tanya hampir berbisik.

“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.

Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi. Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah, aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.

Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya. Itulah hati Nabi Ibrahim. Jika dulu dia diuji dengan bakaran api, kini dia diuji lagi oleh perpisahan dengan anak dan isteri.

Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan membisu seribu bahasa…

Mengapa hanya kata-kata “apakah semua ini kerana Allah?” yang diminta kepastian oleh Siti Hajar terhadap suaminya Nabi Ibrahim? Mengapa tidak ada ucapan yang lain? Mengapa tidak diucapkan, “kenapa sampai hati kau buat begini?” Tidak, ucapan seumpama itu sama sekali tidak terkeluar daripada mulut isteri solehah seperti Siti Hajar. Apa yang hendak dipastikannya hanyalah satu… semua itu dibuat oleh suaminya kerana Allah. Bila kerana Allah, tenanglah hati Siti Hajar… Tuhan pasti tidak akan mengecewakannya. Suaminya tidak akan menganiayanya.



Bertemu kerana Allah, berpisah pun kerana Allah. Itulah tradisi dalam cinta para solihin dan muqarrabin. Dan iktibar buat kita, untuk mengekalkan cinta dalam rumah tangga inilah juga teras dan asasnya. Jangan ada “kerana” yang lain. Jika ada yang lain, pasti cinta itu tergugat jua walaupun bagaimana teguh sekali pun janji dan peneguhan kata yang pernah dimeterai. Untuk mengekalkan cinta, ini sahaja prinsipnya – berbuatlah apa sahaja kerana Allah. Lurus, tulus dan telus tanpa belok dan bengkok.

Sekalipun terpisah, namun cinta Nabi Ibrahim dan Siti Hajar tidak pernah luntur. justeru kedua-dua berpegang kepada asas cinta yang kekal… cintakan Allah. Dan bila mereka bertemu kembali, beberapa tahun kemudiannya, cinta itu teruji lagi. Kali ini Nabi Ibrahim diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Nabi Ibrahim tekad, Ismail mesti dikorbankan. Tetapi bagaimana Siti Hajar?

Siti Hajar teruji lagi. Nilai anak bagi seorang ibu, kekadang melebihi nilai suami kepada seorang isteri. Ikatan hati antara ibu dan anak jauh lebih teguh dan kukuh daripada ikatan suami dan isteri… begitu kekadang pakar-pakar psikologi mengungkapkan. Namun itu sedikit pun tidak menjejaskan jiwa Siti Hajar, sekali lagi “jika itu kehendak Allah” dia pasrah. Allah tidak akan mengecewakannya. Siti Hajar rela “kehilangan” anak dan suami berkali-kali. Seperti air zam-zam yang menyuburkan lembah Makkah yang gersang maka begitulah iman yang memperkasa jiwa Siti Hajar. Sekali lagi dia rela dan tega.

No comments:

Post a Comment