HUKUM TALAK
SI MABUK
Frasa SI
MABUK sengaja diketengahkan disini sebagai merujuk kepada situasi dan individu
yang berbeza dari PEMABUK yang boleh dikategorikan sebagai seorang yang tegar
dan mangli dalam penagihan alkoholik mahupun narkotik seperti ini.
Wajar juga
dinyatakan disini, sumber atau media untuk mabuk mungkin bermacam bentuknya
sama ada cecair seperti arak dan tapai mungkin juga serbuk seperti dadah heroin
dan morfin mahupun ubatan seperti pil dan sebagainya.
Sebagaimana
yang telah disepakati para ulamak, berakal dan waras adalah salah satu syarat
utama bagi kesahan talak, jika seseorang didapati hilang akal seperti kurang
siuman dan gila maka ucapannya tidak akan dikira dan talaknya tidak berlaku,
begitu juga kepada seseorang yang hilang kesedaran akal kerana tidur dan
mengigau tidak juga diiktiraf talaknya.
Adapun bagi
SI MABUK yang kehilangan deria sedarnya dan terlibat dalam ucapan menjatuhkan
talak kepada isterinya boleh di bahagikan hukumnya kepada dua situasi :
1)
Sekiranya mabuk itu terjadi secara tidak disengajakan dan bukannya berpunca
dari pelanggaran syariat islam dan pengambilan bahan-bahan yang memabukkan maka
sekiranya berlaku lafaz talak ianya tidak diiktiraf.
2) Adapun jika
ianya sengaja mengambil serta mengetahui bahawa sesuatu bahan itu memabukkan
lantas dalam keadaan tidak sedarnya dia telah menjatuhkan talak. Maka dalam
keadaan ini jumhur ulamak menyatakan jatuh talaknya sebagai satu pengajaran dan
hukuman kerana dia telah memilih kemaksiatan dan jenayah dengan kerelaannya
sendiri. Maka kesalahan yang dihimpunnya kesan dari mabuk itu juga terpaksa
ditanggungnya sekali. Jika dia membunuh, berzina mahupun mencuri maka kesemua
kesalahan itu perlu dihukum dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh syariat
kerana dia dianggap sebagai waras ketika memilih mabuk dan mengetahui
implikasinya melakukan dosa.
Pandangan
ini ditegaskan kebanyakan fuqaha daripada jalur aliran syafiiyyah, hanafiah, malikiah
mahupun hanbaliah dan zaidiyyah bersumberkan pandangan teras dari tokoh tabien
said bin musaiyyib, ata’ , mujahid , hasan al basri, ibnu sirin, sya’bie
sebagaimana ianya merupakan pandangan terpilih dari saidina ali, ibnu abbas dan
saidina umar.
Namun
disebalik kesepakatan majority ulamak ini, terdapat juga para tokoh fuqaha yang
memberikan hokum : tidak berlaku talak dan tidak diiktiraf kata-katanya
sebagaimana tidak diambil kira lafaz dan ucapan orang yang gila dan tidur.
Ianya
merupakan jalur fahaman bersumber dari peneroka mazhab Dzohiriah iaitu Ibnu
Hazm dan juga pegangan mazhab jaafariyyah. Imam ibnu hazm menukilkan tidak
jatuh talak orang yang mabuk (tanpa membezakan antara yang disengajakan atau
tidak).
Namun
perbahasan hukum ini menjadi semakin menarik apabila beberapa ulamak berwibawa
hari ini turut mengambil sikap dan pandangan menyetujui pandangan Ibn Hazam dan
lebih menyebelahi pandangan bahawa tidak jatuh talak mereka yang mabuk sama ada
secara sengaja atau tidak. Antara yang meletakkan tarjih hukum kepada pandangan
ini ialah Dr Abd Karim Zaidan dan Dr Wahbah Zuhaili dalam teras kitab feqah
pandangan mereka.
Untuk
memperhalusi perbezaan jalur pemikiran mereka, eloklah kita menelusuri sumur
sumber dan hujjah yang dipegang dan dinilai kedua pandangan ini.
PERBAHASAN
DALIL BAGI KEDUA PIHAK
Pandangan
Jumhur
1) Amalan
Para Sahabat – Tidak terlindung daripada para ulamak bahawa amalan yang
tersebar dan diamalkan oleh para sahabat di zaman mereka ialah menjatuhkan
hukum sah talak dan perceraian kepada mereka yang sengaja memilih mabuk sebagai
pengajaran dan denda kepada mereka sebagaimana mereka menjatuhkan hukuman yang
sama sebagaimana orang yang sedar jika mereka melakukan jenayah lain seperti
qazaf, curi mahupun bunuh.
2) Saddu
Zarai’e – Mencegah Kemungkaran daripada berlaku dan dipermainkan. Jika
dibebaskan pelaku kesalahan dan dosa kerana alas an mabuk nescaya hukum tuhan
seperti hudud dan qisas tidak akan terlaksana dan mencapai objektifnya kerana
setiap mereka yang berkeinginan melakukan jenayah dan kesalahan mengambil
keputusan untuk sengaja memabukkan diri masing-masing bagi melepaskan diri dari
sabitan dosa dan jenayah.
3) Hadis
Nabi “ Semua jenis talak dikira berlaku kecuali talak orang yang kurang siuman”
Riwayat Bukhari dan direkodkan dalam Kitab Nailul Awtar MS235/J6.
4) Hukuman
sebagai pengajaran dan denda – sebagaimana yang disepakati oleh para ulamak
bahawa anak yang membunuh ayahnya tidak akan dikenakan hukuman bunuh qisas
tetapi dia tetap akan terseksa untuk tidak dapat memiliki harta pesaka.
Begitulah yang sepatutnya berlaku kepada para pemabuk sebagai hukuman dan
peringatan kepada mereka.
Pandangan
Ibnu Hazam
1) Firman
Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ
وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ
Ayat al
Quran surah annisak 43, dengan jelas menyatakan solat orang yang mabuk tidak
dikira kerana mereka tidak tahu apa yang mereka ucapkan. Begitulah juga untuk
setiap kata-katanya ketika mabuk tidak akan diterima sebagai rekod dan bukti
menyabitkan kesalahan.
2) Dalam
Sahih Bukhari meriwayatkan cerita tentang Saidina Hamzah yang didapati
menyembelih 2 ekor unta milik saidina ali, maka datanglah nabi untuk menasihati
dan mengadilinya tetapi didapati bapa saudaranya itu dalam keadaan mabuk. Lalu
Hamzah berkata : Kamu semua adalah hamba kepada ayahku (abdul mutalib). Maka
nabi pun pulang tanpa mengambil apa-apa tindakan. Jika kata-kata seperti ini
diucapkan seorang yang waras kepada nabi nescaya jadilah dia seorang yang
murtad dan kufur, tapi nabi tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Hamzah.
3) Amalan
dan Ijtihad Sahabat – Jika dikatakan bahawa majority sahabat berpandangan
sebaliknya, namun terdapat maklumat yang sah menyatakan bahawa saidina usman
bin affan dalam pemerintahannya serta ibnu abbas dalam penghakimannya
menyatakan tidak jatuh talak kepada pemabuk. Maka kedua hukum ini adalah patuh
kepada syariah dan perlu mengikut kesesuaian masa dan tempat berdasarkan
ijtihad yang muktabar.
4) Jenayah
Fizikal dan bukannya dosa ucapan - Menyabitkan hukuman terhadap kesalahan
jenayah bagi pemabuk tidak semestinya perlu menjatuhkan hukuman terhadap setiap
kata-katanya. Ini kerana jenayah fizikal pemabuk tetap akan dikira kerana ia
memberi kesan besar kepada komuniti berbanding kesan kata-katanya yang tidak
akan terpakai kerana bukan bersandarkan akal yang waras dan sedar. Jenayah
fizikal akan meninggalkan kesan dan takkan dapat diundurkan berbanding dosa
ucapan yang tidak meninggalkan bekas dan dikira kata-kata yang tiada makna dan
diiktiraf.
5) Satu
kesalahan dua hukuman – Islam telah menetapkan setiap kesalahan akan dibalas
dengan hukuman yang bertepatan. Kesalahan minum arak dan mabuk hukumannya ialah
sebatan manakala menambahkan seksa hukuman terhadap kesalahannya dengan
mengesahkan perceraiannya hanya akan menimbulkan kesan negatif dan penyeksaan
kepada isteri dan keluarganya diatas kesalahan yang bukan mereka lakukan, bukan
juga dengan kehendak dan kerelaan suaminya sendiri. Sesungguhnya ini akan
memusnahkan sebuah perkahwinan dan mengakibatkan pengabaiaan kritikal terhadap
anak-anaknya yang sememangnya bercanggah dengan kehendak syariat yang murni.
6) Mabuk
yang disengajakan umpama mabuk yang tidak disengajakan – kesalahan maksiat yang
dilakukan secara sengaja tetap memudaratkan kewarasannya dan hukum perlu dikira
berdasarkan ucapan seorang yang kurang waras. Tiada perbezaan antara sengaja
dan tidak untuk dijatuhkan hukuman sebagaimana jika seseorang terjatuh dan
patah kakinya maka dia dibolehkan bersolat secara duduk sama dengan seorang
yang sengaja mematahkan kakinya juga diwajibkan solat secara duduk tanpa
perbezaan.
Bersambung Talak si Mabuk 3
No comments:
Post a Comment