Tuesday, April 20, 2010

Jangan Jadi Binatang !!

Jangan jadi binatang, manusia lebih mulia dari makhluk tidak berakal itu.

Jangan jadi macam haiwan ! Ibadat adalah tanda syukur dan ketaatan hamba kepada tuhannya.

Mana mungkin kita samakannya dengan perbuatan binatang yang duduk mematuk dan merangkak hina melata dimuka bumi. Kerana itu ibadat kita juga patutnya mempunyai standard dan piawaian sunnah yang disahkan oleh nabi sendiri.

Ibadat merujuk perkara kepatuhan kepada suruhan nabi dan ketundukan kepada tuhan, ianya mungkin ada hikmah tersembunyi, namun ketaatan tanpa bicara dalam melaksanakannya adalah amat dituntut.

Begitulah sedikit coretan pesan saya pada para pelajar yang datang dengan persoalan memeranjatkan.



Usai kuliah maghrib malam itu, saya didatangi dan dikerumuni oleh beberapa orang pelajar SMK Abdullah Munshi.

Mereka seolah ingin menghakimi saya atas perkara yang saya tidak pasti, namun raut serius dan ingin tahu mereka seolah memuncak terpancar diwajah jernih mereka.

Terpaksa sekejap saya permisi dari Cikgu Salman, Warden asrama yang ingin meladeni tetamu baru berkunjung ini didewan kantin sekolah.

Ustaz, kami ada sedikit kemusykilan, boleh kami bertanya? Bukankah tatkala kita turun dari qiam untuk sujud kita kena gunakan tangan dahulu. Kan hadis nabi ada menyebut : jangan kita sujud umpama sujud unta !!

Terkial senyum saya mendengar soalan mereka, ternyata kemusykilan mereka berasas tapi kenapa mesti soalan ranting sebegini yang mereka utama dan seriuskan.

Oh, begitu, jadi kamu lihat Ustaz sujud macamana ?

Tulah kami lihat ustaz sujud dengan lutut dahulu baru meletakkan tangan.

Kan lebih senang dan selesa sujud dengan lutut dahulu, ianya lebih mudah daripada menggunakan tangan dahulukan, lutut boleh mengampu berat badan apabila kita turun dari sujud, barulah kita memilih ruang mana yang kita boleh letakkan tangankan.

Sekilas mata saya melihat antara mereka ada yang mengangguk tanda setuju, namun seorang bingkas pula menyatakan khilaf pandangannya :Tapi ustaz, saya selesa dan senang menggunakan tangan dahulu. Lagipun ianya hadis rasulullah dan cara rasul bersolat, dan bukankah rasul dah larang kita sujud cara unta, betulkan ustaz !!

Baiklah, izinkan ustaz menjawabnya.

Pernah atau tidak kamu melihat unta duduk dari qiamnya. Itulah tafsiran pada kata2 nabi jangan sujud sebagaimana unta.

Mereka serentak mengeleng kepala sebagaimana andaian awal saya.

Baiklah, hadis yang kamu nyatakan itu adalah dari hadis Abu Hurairah sebagaimana berikut : Apabila kamu sujud, janganlah kamu turun sebagaimana turun dan duduknya unta, kamu hendaklah meletakkan dua tangan dahulu sebelum lutut. ( Satu hadis yang kemudiannya saya rujuk berstatus Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tarmizi, Abu Daud, Nasaie, Bukhari dalam Tarikh Kabirnya, Baihaqi dan lain2nya. )

Ianya hadis yang kuat dan diterima pakai oleh sebahagian ulama’hadis. Ianya juga dikuatkan dengan beberapa hadis lain yang menunjukkan perkara yang sama.Kerana itu juga mazhab maliki menganggapnya sebagai satu cara sujud mereka.

Hadis ini membawa makna larangan dan suruhan, larangan untuk tidak meniru gaya duduk unta dan suruhan untuk sujud dengan tangan.

Dan melalui perbahasan usul Fiqh : AL AMRU LILWUJUB, maknanya suruhan dari nabi bermakna wajib. Ekoran itulah ada beberapa pihak yang mengganggapnya penting dan akan menjejaskan kesahan solat, namun pendapat terbanyak dalam mazhab maliki menganggapnya sunat.



Terdapat perbezaan pula pada pandangan mashab yang lain, mereka menerima hadis yang menyatakan nabi meletakkan lutut dahulu sebelum tangannya.

Adapun pandangan imam syafei, imam ahmad, hanafi dan beberapa ulama’ adalah berdasarkan hadis Wail bin Hujr yang diriwayatkan oleh 4 pemilik sunan, ibnu khuzaimah, baihaqi, dan hakim dalam mustadraknya.

Ianya juga hadis yang kuat kerana didokong oleh beberapa hadis yang lain menunjukkan nabi turun untuk sujud dengan lututnya dahulu sebelum tangannya.

Pemudah Kesimpulan.

1) Saya melihat berlaku perselisihan pandangan ini akan memberikan kemudahan kepada kita untuk solat mengikut keselesaan sendiri untuk lebih mendekati khusyuk selama mana tidak bercanggah dengan sunnah nabi yang sah. Kedua2nya adalah pandangan yang boleh diterima dan tiada kesalahan untuk mengamalkan keduanya.

2) Tertarik saya dengan pandangan Ibnul Qayyim Al Jauziyyah dalam Zadul Maadnya yang mengupas persoalan ini berdasarkan pandangan bernas berikut.Hadis Wail lebih tepat untuk dijadikan hujjah berdasarkan beberapa perkara antaranya ialah :

i) hadis abu hurairah seolah-olah berlaku pertukaran lafaz. (hadis mudhtarab) ianya kerana terdapat hadis lain yang seakan sama menyebut , juga diriwayatkan oleh abu hurairah : apabila kamu sujud , mulakanlah dengan lutut dan kemudiannya tangan , jangan kamu sujud umpama unta. (rujuk zad maad jilid 1 ms 157)

ii) terdapat kesilapan pula pada ayatnya, ayat pertama menyatakan jangan sujud seperti unta, dan sujudlah dengan tangan dahulu. Bagi mereka yang berbudaya arab akan melihat unta turun dengan tangan dahulu, oleh itu berlaku sedikit keganjilan bila nabi menyuruh jangan meniru unta tetapi nabi sendiri menyuruh kita turun dengan tangan seperti unta.

iii) Konsisten nabi menyatakan amalan ibadat tidak akan menyerupai rutin hidup dan perangai kebinatangan, maka kita perlu menjunjung taat berdasarkan rasa mulia seorang hamba manusiawi. Sebab itulah antara lain nabi melarang kita solat seperti patukan ayam, jangan berpaling seperti musang , jangan duduk iftirasy seperti binatang buas dan jangan meletak sujud tangan seperti anjing dan lain2 lagi
iv) Hadis ini diriwayatkan dengan menyatakan nabi dilihat sujud dengan lututnya dahulu, riwayat berdasarkan perbuatan lebih diterima amalannya berbanding riwayat berdasarkan sebutan atau perkataan

3) Kita perlu bersikap rasional dalam menerima apa sahaja pandangan yang tidak membelakangi kebenaran dan sunnah nabi. Kepercayaan dan amalan yang berteraskan ilmu akan lebih diyakini dan diterima.

4) Berilah keutamaan kepada isu yang pokok dan penting dalam agama serta meletakkan isu perbincangan ranting dan khilaf ini ditempat yang sewajarnya untuk percambahan ilmu.

5) Segala hikmah dan kebenaran adalah milik allah jua.

Rujukan saya :

1. Subulus salam – Imam An Sana’ni Jilid 1 , Ms 359
2. Zaad maad – Imam Ibnul qayyim Al Jauziyyah – Jilid 1 Ms 155-163
3. Fiqh islami Wa adillatuhu – Dr Wahbah Zuhaili , Jilid 1 Ms706

No comments:

Post a Comment