Pengalaman Baru
Berlangsung pada hari sabtu yang lalu pertandingan Majlis atdarus alquran peringkat saringan zon timur laut, pulau pinang melibatkan hampir 20 buah sekolah.
Ia berlangsung di SMK Methodist Perempuan yang jaraknya kira-kira 20 minit perjalanan daripada sekolah saya.
Suasana awal pagi sebagaimana dijanjikan agak tenang dengan kehadiran peserta seolah berperingkat, kami mendaftar untuk pertandingan seawal jam 8.15 pagi dikantin sekolah.
Rupanya acara ko-kurikulum melibatkan pasukan beruniform disekolah itu juga berlangsung pada masa yang sama menjadikan keadaan agak sesak diperingkat awal dengan kepelbagaian pakaian dan lagak pelajar yang tidak mencerminkan acara majlis tilawah alquran diadakan.
Saya cuba melupakan kesesakan itu dengan mendaftar awal dua acara yang kami ikuti iaitu nasyid dan syarahan lelaki. Saya mempertaruhkan pengerusi BAKTI untuk acara syarahan ini yang sudah berlatih bersama saya secara intensif selama seminggu lebih lamanya. Acara yang saya harapkan saingan dan harapan berbanding pasukan nasyid yang masih diperingkat pendedahan dan latihan. Kami cuma bergantung kepada suara solo yang seraknya agak unik sekali, manakala harmoninya … biarlah irama terbang bersama lagunya.
Pertandingan ini kami sertai bersama maruah persaingan dan cabaran yang saya letakkan dibahu para pelajar bertuah ini. Mereka bagi saya membawa nama dan imej agama yang sama sekali tidak boleh diperlekehkan. Mereka harus membuktikan sesuatu walaupun ianya datang dari pelajar sekolah muibaligh dan muallaf.
Memo Negatif
Pendaftaran berlangsung sederhana, dengan beberapa sekolah sudah mula mengambil langkah selamat menarik diri dari persaingan. Mungkin alasannya tidak bersedia dan tidak mahu memalukan nama sekolah, atau kerana terpedaya dengan surat jemputan daripada PPD yang hanya mahukan penyertaan yang diyakin boleh menang sahaja, yang sekadar nak tunjuk muka dan cari makan … minta fikir berulangkali. Satu jemputan yang saya kira bersikap negative dan hanya mematahkan semangat pemupukan dan kebangkitan jiwa islami dikalangan pelajar sekolah disini.
Kemudiannya, Pertandingan masih berlangsung gamat, saya pula sudah pasti bersedia di dewan syarahan untuk memantau acara yang berlangsung. Melihat hujahan, isi, persembahan, intonasi dan gaya setiap wakil yang bertanding. Peribadinya, saya melihat banyak kelompangan dan ketirisan pengurusan yang berlaku, juga diperingkat persaingan dan standard hujahan dan teks yang dikemukan, seolah tidak mencapai standard isi syarahan sebenar.
Cabaran Bermula
Memegang nombor 14, pelajar saya Hazmizal memulakan hujjahnya, gamat dewan terdiam seketika, mata bagai tidak berkelip melihat gaya pemidato baru mengungkap setiap hujahan katanya, dewan tersihir seketika untuk pasrah menuruti setiap bicara dan ungkapannya. Hati saya pula berdebar kencang, berdetik sesaat demi sesaat untuk melepaskan nafas yang tersekat, mampukah dia menghabiskan syarahannya.
Umpama anak borek bapak rintek, pelajar asuhan saya juga terbius dengan hujahan bicara hingga terlepas deringan loceng, penutup kesimpulannya hadir setelah 30 saat tamat masa 7 minit yang diberikan.
Apapun alhamdulillah, kerana dia mampu menyempurnakan tugasan yang diberikan sebaiknya, dengan hafalan dan hujahan yang tersusun, saya pasti dia mampu menempatkan standard saingan diperingkat yang tertinggi, sedangkan peserta sebelumnya hanyalah menggulung hujah yang jauh dari cukup isi dan penutupnya, ramai juga yang gulung tikar dengan membawa teks dan membacanya selamba diatas pentas acara.
Debar Persaingan
Berbaki dua pencabar dibelakang yang belum beraksi, saya gementar dalam tenang, tugasan kini hanya dibahu mereka untuk mengatasi standard tinggi yang telah pelajar saya letakkan.
Sorotan kepada pelajar berbaju hijau, datang dengan sokongan padu rakannya, rupanya dia membawa title cemerlang sekolah agama al Mashoor, salamnya padu bergema dan rawak jasmaninya juga menjanjikan cabaran, tapi sayangnya hanya buat seketika… dia pasrah melirik selamba kepada 4 lembaran teks yang dibawanya. Membacanya dengan penuh semangat hinggalah kebatas minit yang terakhir.
Tiba pula giliran palajar berkot, saya dimaklumkan dia punya kekuatan untuk jadi juara, saingan terhebat abad ini, entah dari sekolah mana saya belum dapat pastikan… tatkala salamnya bergema, hadirin terpaku ceria, kami dipana dengan kemerduan dan keaslian suara pidato yang gemersik dalam seriusnya, yang tegas dalam lemak merdunya, memang suaranya amat sesuai untuk acara ini, muqaddimahnya lancar dan bersantun kata, dia pasti tepat sebagai pencabar terbaik kami hari itu. Gulungan hujahnya lancer namun tiba minit keempat dan sebelum loceng pertama dibunyikan, entah mengapa gemuruhnya datang, dan akhirnya dengan gopoh dia menamatkan saingan sebelum sempat loceng pertama 5minit dibunyikan.
Deretan Penantian Natijah
Terkedu saya dalam ritma sendu yang berbeza, namun mungkin ini ritual kemenangan sulung saya dipulau mutiara ini, saya yakin dan pasti, hati berbunga bukan lagi dengan harapan .. tapi kepastiannya menjangkau 85%, insya allah.
Acara ditamatkan dan kami semua menuju dewan.
Tenang dan spontan, tanpa perlu ucapan sesiapa, seorang hakim datang memberi sedikit ulasan nasyid dan kemudiannya menyampaikan watikah pertandingan.
Pemenang dan wakil bagi zon timur laut ini ialah bagi acara nasyid ialah SMK Perempuan Al Masyhoor, dan syarahan lelaki ialah Masyhoor Lelaki dan syarahan perempuan ialah Methodist Perempuan. Tahniah dan terima kasih.
Tanpa tempat kedua dan ketiga, tanpa markah dan hadiah, tanpa salam, tanpa segalanya.
Noktah.
Dan saya toleh pemenangnya, pelajar berbaju hijau dari smk al masyhoor, pelajar yang memegang dan membaca teks adalah pemenang pertandingan syarahan kami bagi zon timur laut.
Entah tahniah atau takziah yang patut saya berikan.
Wallahuallam.
adoh2...sungguh mcam kucar kacir je ustz suasana MTQ..hebat lagi di sabah kot ;P
ReplyDeletedan pelik semacam je juri2 pidato boleh pilih juara pidato baca kertas..saya pun terkedu baca ni either nak ucap tahniah ke takziah.hehe