Thursday, December 26, 2013

Jadual Gaji Tahun 2014

Jadual gaji kakitangan awal tahun 2014



Salam kawan ...

Rezeki bukan semestinya harta. Ianya istilah abstrak yang menghimpunkan seribu makna.
Rezeki bermakna anugerah dan kurniaan. Ianya manifestasi cinta dan kasih sayang. Juga signifikan restu dan keredhaan.

Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya. Tanpa had. Tanpa kekurangan. Allah mengurniakan rezeki kepada setiap hambanya berdasarkan keadilan dan kebijaksanaanya. Pembahagian yang cukup saksama untuk manusia menginsafi dan sentiasa mensyukurinya.

Juga pengagihan telus yang mendorong manusia terus mendambakannya dan mengharapkan bantuannya.

Ianya kontrak janji allah kepada manusia. Rezeki yang terus tersurat tanpa sesiapa yang mampu menghentikannya. Hanya maut menjadi penghujungnya. Tika tiada lagi suratan rezeki yang tertulis maka siratan kehidupan akan terputus ... dan manusia akan menempuh takdir kematiaannya yang tak pernah diragukan.

Ia rezeki kurniaan Allah.

Bersyukurlah.

Sedikit ataupun banyak bukan persoalannya. Kaya atau miskin bukan juga titik problemnya.
Yang mendasari hakikat kita sebagai hamba .... ialah setiap ujian ini kita hadapi dengan kesyukuran terhadapNYA. Mensyukurinya ialah mengingatinya.

Mengingatinya ialah mentaatinya.

Mentaatinya ialah melakukan apa yang disukaiNYA.

Adakah kita mensyukuri dan mengingatinya selalu ...?

Atau kita hanya mengingati ....... kesan rezekinya sahaja ... ??

Atau kita hanya mengigaukan jadual rezeki sahaja ....

Moga2 kita dapat berfikir.

Wednesday, December 25, 2013

Rindu Seputih Kanvas




Salam kawan ..

Gamitan rindu membawa aku kembali. Singgah bersimpuh buat seketika di birai beranda teratak usang travelogku ini. 
Entah aku rasa ianya tidak sesuai menjadi travelog yang bermaksud kembara hidayah dan tarbiyah lagi. Ianya seolah villa usang yang hanya menyimpan memoir lama khazanah kisah2 yang menyimpan momen antik hidupku sahaja.Villa usang tanpa roh dan penghuni  .... villa kosong tanpa sapa dan suara ... villa sepi tanpa entry dan berita. 

Namun yang positifnya .. ianya bukanlah Villa Nabila yang terfitnah nista dek kenakalan anak remaja yang galak mengejar keseronokan.

Sekilas mataku menerawang ke setiap sudut teratakku. Ianya hanya dipenuhi sawang entry lama yang sudah berkurun sejarah penulisannya. Tanpa disuruh jemari reflekku terus mengibas2 dan menepis habuk2 yang sudah mendekam kental disana sini. Sayu tangkai hatiku. Teratak ini tidak terjaga sempurna.

Aah.. Sudah sekian lama aku bermusafir rupanya. Berkelana mencari sesuap pengalaman untuk bekalan dihari muka. Rupanya dalam merentas denai hidup yang panjang ini ... aku terasa seperti kehilangan sesuatu. Kehilangan asal ku. Aku berharap untuk kembali semula .. setingi dan sejauh mana terbang bangau pastikan pulang semula kebelakang kerbaunya suatu hari nanti.

Bukankah cacat panorama sawah bendang jika hanya kelibat sang kelabu agam bertanduk teguh ini berposing tanpa pasangan putih unggasnya. Tiada kontras warna hitam dan putihnya umpama tempo irama dan lagu yang sumbang melodinya.



Aku pasti kembali ... sekurang2nya mengulit rindu dihati. 

Mencoret bingkisan ...  mengarca memori.... mahupun mengkordinat imej lensa.

Semuanya diatas kanvas putih skrin ini.

Di dalam teratak travelog ku.
................

Moga kedatangan tahun 2014 nanti mampu mengukir entry2 yang baik untuk perhiasan travelog ini.

Dan harapnya ... teratak ini kekal bermanfaat dan tidak menjadi kubur yang sepi tanpa ruh dan harapan.