Saturday, December 19, 2009

Jamuan Hijrah



Hijrah dan Jamuan

Dalam syahdu malam hijrah, awal tahun hijrah bermula cerlang dengan kehadiran warga Flat Persekutuan ke Majlis Sambutan Maal Hijrah dengan kehadiran yang membanggakan.

Rupanya ia juga diatur sempena perpisahan terakhir bersama pengerusi surau flat ini yang baru berkhidmat selama setahun, dengan jasa yang baru setahun jagung , terlalu besar ingatan dan simbolik kebersamaan ukhuwwah yang dipamerkan pada malam itu.

Jamuan Mengujakan

Seusai majlis kami dijamu dengan juadah hidangan yang pelbagai.

Menu yang begitu mengujakan dan membangkit selera hingga ke hujung lidah.

Lebih dari 10 menu hidangan menanti kami untuk menjamah dan menikmatinya.

Alhamdulillah, moga kehadiran kami dimalam itu memberi sesuatu kesan pada jiwa kami, hati kami dan pastinya perut kami.



Sengaja saya masukkan entry ini untuk membangkit rasa bangga atas keutuhan semangat, kesatuan jamaah surau, kerelaan pengorbanan dan ketulusan ikhlas.

Rancangan yang hanya memakan masa dua hari, bukan penghalang untuk melaksanakan kebaikan dan memintal ukhuwwah yang terjalin, bahkan ia menerbitkan kesan ingatan yang bukan sedikit, dengan jamuan yang banyak dan hadirin yang sabar menjadikan malam terakhir saya di bumi ini begitu bermakna.

Coretan Jamuan

Pengajaran yang saya ingin coretkan di sini ialah :

1) Budaya kerjasama menyediakan jamuan dikalangan anggota warga Flat khususnya jiran wanita amat membanggakan, rekod program disurau flat selama ini meyaksikan hanya dengan kos yang sedikit dan perancangan yang ringkas mampu memberikan sesuatu yang amat bererti.

2) Menu pelbagai yang hadir adalah dari kebijaksanaan perancangan dan pengagihan tugas yang baik dan terusun, ianya juga hadir bersama keikhlasan dan pengorbanan.

3) Setiap makanan dan minuman yang dijamu dan dijamah dimalam itu pastinya memberi habuan pahala yang bukan sedikit kepada empunya nya. Dengan sumbangan tenaga dan dana, ia menjadikan hati dan diri lebih mudah menerima hidayah ilahi.

4) Hidangan dan jamuan adalah pemangkin dakwah, bahkan ianya kekadang menjadi motivasi jamaah untuk menghadiri program yang dianjurkan.

5) Budaya makan dan seterusnya menjaga kebersihan harus terus dipupuk dan diamal sepanjang kehidupan ini.

Akhirnya saya ingin menyatakan untuk para sahabat yang masih sangsi, sesungguhnya keutuhan jawatankuasa surau sudah berpaksi lama dengan asset yang begitu membanggakan.

Ahli jawatankuasa yang sedia bekerjasama dan merancang, ustaz2 luar Flat yang konsisten memakmurkan, hadirin yang memberi sumbangan dan sabar, jiran wanita dan RT yang banyak membantu serta tabungan surau yang masih bersisa besar.

Oleh itu, pemergian seorang pengerusi yang baru berkhidmat pastinya tidak memberikan kesan, kerana asas ukhuwwah yang terbina itu lebih kekal dan manis nikmatnya.

Antara rakaman lensa peristiwa jamuan hijrah malam itu :



Thursday, December 17, 2009

Merafak Doa di awal Muharram 1431 H

Tatkala kerancakan hadirin dan kegamatan sokongan pastinya tertumpu di kaca televisyen menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Vietnam adakah kemarau emas sejak 1989 Malaysia di sukan SEA bagi acara bola sepak akan tamat.

Dan jawapannya adalah ya, Satu perkhabaran gembira yang cukup mengujakan kita semua rakyat Malaysia pastinya.

Namun pada jam yang sama dibahagian timur Malaysia, waktu 6 petang biasanya sudah dikunjungi Maghrib. Harapannya mereka yang meraikan kejayaan menumpaskan musuh Malaysia dalam bolasepak juga berjaya menunaikan solat dan menundukkan musuh nafsu kita dalam diri.

Waktu yang sama, surau Flat Persekutuan menganjurkan Malam Sambutan Maal Hijrah yang di mulai dengan bacaan yasin, doa penutup dan pembuka awal tahun baru serta sedikit tazkirah atas permintaan sahabat2 surau.



Ingatan saya pada diri ialah acara keagamaan seperti ini perlu di asaakan atas rasa ilmu dan iman, walau hakikatnya ia bukan perbuatan sunnah rasul untuk berdoa di awal muharram seumpama ini, namun detiknya yang mampu mengumpulkan manusia untuk kekal dan suka mengingati Allah dan agama sesuatu perkara yang cukup elok dan bermanfaat.

Apatah lagi, kiranya diri mampu menidakkan nafsu hiburan untuk bersantai dan bersorak percuma menanti takdir penentuan keputusan perlawanan bolasepak itu.

Ianya sesuatu yang besar untuk kita syukuri dan banggakan.

Inilah antara intipati doa awal tahun yang kita persembahkan pada tuhan, kiranya amalan soleh kita sepanjang tahun yang lalu moga diterima dan di letakkan dalam akaun pahala kita yang tersimpan baik diakhirat. Moga ianya juga jadi pemudah kepada ketaatan dan ibadah kita dan dalam masa yang sama hendaknya menjadi pelindung kita dari murka allah dan bencana yang tidak kita ingini.

Banyak bicara saya pada malam ini sebenarnya saya cedok dari pengkisahan iman yang diceritakan sendiri oleh Rasulullah, ianya satu tulisan warisan yang disempurnakan oleh al Marhum Mantan Mufti Selangor. Ustaz Ishak Baharum.



Manusia memang sukakan cerita dan kisah, lalu nabi tampil bercerita. Cerita dari seorang manusia yang benar dan tidak berkata kecuali kebenaran.

Saya singgung kisah 3 bersaudara yang terkepung didalam gua, hanya diselamatkan bukan dengan kekeuatan fizikal mereka atau dengan bantuan manusia atau mesin pemecah batuan, tapi mereka terselamat hanya kerana tulus amalan dan niat mereka.

Hijrah adalah niat yang suci. Hijarah adalah keazaman untuk perubahan.

Hijrah adalah kemenangan dan Hijrah adalah idntiti agung umat Islam.

Hijrah lah yang merubah lanskap politik dan maruah umat islam ini.

Saya bawakan lagi cerita rasul tentang taubat hamba tua yang mewasiatkan abu mayatnya dibakar, kerana takutkan tuhan dan sedikitnya amalan.

Dan saya juga sebut tentang pepatah agama : innamal a’mal bil khawatiim, setiap amalan itu akan dikira berdasarkan kepada hujung amalnya. Ianya tuntutan kita untuk terus istiqamah membawa hidup ini kearah redha ilahi dan tidak membiarkan diri untuk terus celaka dan menderhaka.



Dan akhirnya saya patrikan dengan ayat 134 surah ali Imran sebagai cek list perubahan kita:

1. Bersegeralah memohon keampunan Allah.
2. Berlumbalah membuat kebajikan untuk menikmati syurga allah.
3. Belanjakanlah harta dijalan Allah dalam senang dan susah.
4. Tahanlah amarah diri dan cuba untuk tidak marah.
5. Sentiasa memaafkan orang lain dan yang lebih utama diri sendiri.
6. Berusaha untuk tidak kekal dalam maksiat dan kesalahan, bersungguhlah untuk mendaki tangga ketaatan untuk hamper kepada tuhan.

Moga kita selamat dunia dan akhirat.



Mungkinkah ini saat dan program terakhir saya disini ?? Entahlah, hanya takdir tuhan yang menentukan.

Selamat tinggal Surau Flat Persekutuan Km 4 Likas.

Salam Maal Hijrah 1431 Hijri



Salam Ukhuwwah

Salam Maal Hijrah

Dan Salam Tahun Baru 1431 Hijri

Kepada semua sahabat Fillah yang mengenali dan melayari blog ini, terima kasih jua kepada semua yang menghantar ucapan greeting maal hijrah, dengan doa saya semoga amalan kita diterima allah dan kehidupan kita diberkatiNya.

Moga tahun baru Hijrah ini menjanjikan amalan yang terbaik buat kita disamping menginsafi usia yang semakin menginjak tua.

Moga pelajaran Hijrah Rasul dan para Sahabat dapat menyemai ruh pengorbanan dan jihad buat kita semua.

Wednesday, December 16, 2009

Malam Santai di Norita Tomyam



Dalam kesibukan aktiviti masing-masing, jalinan ukhuwwah tidak pernah akan merasa susah untuk sekejap berjumpa dan bersalam mesra.

apatah lagi untuk mengikat rasa kekitaan dan memohon petunjuk ilahi dalam memberkati liku jalan yang dilalui. juga sekadar bertemu dan memesrai perpisahan yang terjadi.

Ahli jawatankuasa surau Flat masih sempat mengatur pertemuan, seusai solat Isyak di Surau kami bergegas ke Norita Tomyam untuk menjamu selera dan bertukar idea.

Bersama setiusaha dan bendahari surau yang sekian lama banyak memberi sumbangan, juga ajk lama surau yang juga akan berpidah ke rumah barunya nanti.

En Latip, En Ismail dan Sdr Rasyid sentiasa bersedia meluangkan masa bila diminta.

Panjang bicara kami, menjurus kisah hidup masing-masing dan tidak lupa juga tentang hambatan dakwah untuk memakmurkan rumah Allah di komuniti kami.

Dengan hidangan mee goreng ayam yang kami licinkan malam itu, diselang seli dengan aroma dan rasa tomyam daging yang pedas dan panas, kami saling bertukar pandangan dan khabar, bertukar nasihat dan pesanan, berbalas pandangan dan cadangan.

akhirnya, kami meterai dengan program sambutan Hijrah Rasul disurau Flat bersama ketibaan awal Muharram Khamis ini.

Foto merangkai tautan hati.



Tuesday, December 15, 2009

Sayang sebuah Perpisahan

Ukhuwwah kerana allah akan menghadirkan kemanisannya.

Rasa memberi tanpa diminta atau dipaksa adalah rutinnya.

Ingatan baik dan doa adalah penghubung komunikasinya walau tidak terucap.

Sentiasa bersangka baik dalam bersahabat tanpa dengki dan sengketa.

Terasa sakit bila sahabat ditimpa musibah.

tidak terpedaya dengan kasih, perasaan atau nafsu melebihi ketaatan pada tuhan.

Sanggup berkorban dan setia membantu tanpa terasa bebanan adalah hakikatnya.

Al ithar ialah tahap tertinggi dalam persahabatan.

Dan Allah akan menempatkan : Mereka yang berkasih Kerana Allah didalam syurganya, namun hanya sedikit bilangannya.

Lebih ramai yang tertipu dengan ukhuwwah walaupun diletak label Fillah.

moga allah memelihara kita dengan ukhuwwah yang sempurna.

catatan : terima kasih pada anak - anak didik di asrama putera dan puteri SMK Likas yang sanggup bersusah payah mengatur program santai dan ringkas untuk meraikan perpisahan ini.

tanda penghargaan cukup indah buat kami.

walau baru selesai berentap minda dalam spm dan stpm masih mampu berkumpul untuk meraikan kami.

terima kasih juga pada rakan guru yang hadir memberi sokongan dan hadiah ingatan untuk sebuah persahabatan.

Ustazah Shofriza, Cikgu Chin, Aspurani , Ramsidar , Harliana dan Suami En. Nordi, Rafiah dan keluarga, Ustazah Fadhilah serta semua yang memberi bantuan kepada kami di SMK Likas sepanjang perkenalan ini.

Program berlangsung diumur pagi yang telah lanjut hingga ke jam 12 tengahari, diselangi dengan doa, sedikit amanat dan ucapan sayang perpisahan.

Moga allah memberkati kita.


Sebahagian Pelajar Asrama SMK Likas Yang hadir Meraikan


Ingatan Dari Rakan Panitia Islam


Tanda Penghargaan dari Aspura & Aspuri SMK Likas

Erti Perpisahan Bermakna



Perpisahan hadiah Tuhan

Pemergian seorang teman biasanya akan memberikan kita rasa kehilangan dan ketakutan. Terasa seolah-olah kita ditinggalkan keseorangan, rasa sedih, mengharap, rasa sedih menyelubungi kita dan mungkin dalam hati kita berdoa untuk allah batalkan perpisahan ini.

Kita juga takut, takutkan kehilangan, kita takutkan masa depan tanpa rakan yang selama ini bersama kita, kita takutkan misterinya hari esok , dan sebenarnya kita takut diri kita hilang kebiasaan yang sekian lama kita pupuk.

Kita sebenarnya mementingkan diri, inginkan kebiasaan berterusan, sukakan keseronokan dan berada di zon selesa. Kerana itu kita bencikan perpisahan. Kita bencikan kehilangan. Kalau boleh biarlah pertemuan itu berkekalan.

Teringat kiasan yang saya sempat kutip dari blog abunuha corner menyebut : kalau kita tidak mahukan perpisahan jangan sekali-kali sukakan pertemuan.

Kita bimbang perpisahan ini mendatangkan cabaran, kita takut ujiannya, kita takut kita bukan lagi dizon selesa, kita bimbangkan sesuatu yang tidak pasti.

Namun, percayalah… kehilangan dan perpisahan ini adalah nikmat Allah yang cukup indah. Dengannya lah kita akan merasai nikmat persaudaraan, melaluinya kita mengenal keinsafan dan menyedari keagungan cinta tuhan.

Anugerah Keinsafan dan kesedaran Hati

Dalam mengingati pemergian sahabat seJordan Ust Arman, saya mendapat email penguat semangat ini dari seorang rakan, Ustaz Zamri Abd Halim.

Catatannya memang mengujakan saya, mengambil idea dan pengajaran dari kejadian yang berlaku adalah prinsip penulisan saya ini. Renungannya mencambahkan ingatan dan daya insaf pada nilai sebuah perpisahan. Apatah lagi idea renungannya keluar dari idea perpisahan biasa, ianya mengajar kita sesuatu yang baru tentang erti kehidupan yang lebih bermakna.

Layanilah santun bahasanya ini, moga ia mampu mengajar kita dengan adab kehambaan.




assalamualaikum,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menghidupkan kita selepas kematian (tidur), kepadaNya dikembalikan.

Bila teringat atau berbicara pasal kematian lembut sekejap hati yang terasa kesat dan keras ini..sahabat Rasulullah apabila Rasulullah saw berbicara pasal syurga dan neraka seolah2 'ayanan' terpapar syurga dan neraka di depan mereka..Rasulullah saw kadang terlangkah ke hadapan kadang2 terlangkah ke belakang dalam solat baginda. terlangkah ke hadapan keran syok dan terpegun dengan syurgan, terlangkah ke belakang kerana dipaparkan azab neraka yang amat memedihkan. di mana kita dibandingkan dengan mereka..

Saidina Umar mengungkapkan setiap hari kita melihat si fulan dan si fulan meningggal dunia, akan tiba suatu hari orang ramai akan berkata umar pula telah kembali ke rahmatuLlah. ..beliau seorang yang keras dan kelihatan tegas orangnya..tapi lembut bila tibanya waktu malam.beliau menangis dan merintih sehingga dikatakan terdapat jaluran bekas aliran airmata di pipinya..ya beliau seorang yang keras tapi lembut bila di sis Allah...bagaimana pula kita?

Kadang2 kita sibuk dengan urusan dunia dan kerjaya..

Tidak dinafikan kerjaya satu ibadat sekirannya memenuhi syarat..namun, kadang2 kerjaya melalaikan kita..kerjaya menjadi ibadat apabila ianya tidak melalaikan kita daripada melakukan ibadat khusus..di mana kita dengan solat berjamaah? sekadar untuk memperingati diri sendiri..ada di kalangan ust atau graduan agama tapi liat dalam solat berjamaah..apatah lagi sesetengah tu tidak mencerminkan seorang yang berpendidikan agama..tunjukkan syakhsiah yang baik kepada masyarakat,

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud "sebaik baik kamu adalah yang paling bermanfaat kepada manusia". berilah sumbangan kepada masyarakat sekadar kemampuan kita. yang mampu memberi kuliah berilah komitmen mengajar masyarakat, yang mampu dan pakar dalam internet wujudkan laman2 blog dan sebarkan dakwah di sana.

Alhamdulillah ramai kawan2 kita yang dah mula berjinak menerbitkan buku..teruskanlah usaha anda...sebelum Allah menjemput kita..

Seorang sahabat saya bertanya' sudahkah anda bersedia untuk saat kematian' saya menjawab : kalau diberi pilihan samada mahu terus hidup atau mati, saya masih lagi memilih untuk terus hidup' kenapa? ya, banyak lagi rasanya dosa yang tak terhapus, belum cukup lagi amalan, tak bersedia lagi menjawab persoalan yang bakal menerjah pada hari pembalasan.. hari dimana semua anak pinak, isteri, ibu dan ayah masing2 lari berjauhan malainkan yang mendatangi Allah dengan hati yang sejahtera...

Saya paksakan diri supaya menyukai amalan menziarahi kematian dan pesakit. meskipun ikutkan hati malas. sekurang2 nya apabila balik daripada ziarah tersebut, hati ini sedikit sebanyak terkesan dengan pengajaran tersebut.pernah beberapa kali dijemput untuk memberi pengisian di hospital. setiap kali berkunjung ke hospital, rasa ada perubahan pada hati..mengisafi diri, syukur atas nikmat kesihatan dan teringatkan saat kematian. pernah meletakkan hasrat untuk melakukan ibadat ziarah hospital sebagai rutin mingguan, namun apakan daya...tugasan, kerjaya membatasi.

Ya saya bangga dengan sahabat Jordan..kamu telah buktikan..teruskan. Allah menjadikan kita dengan kepelbagaian yang memeriahkan hidup di atas muka bumi, ada yang bijak, ada yang diberi peluang, ada yang berbakat, berpidato, mengarang, intelek...kepelbagaian ini kalau digabung akan memberi impak yang besar kepada kerja2 dakwah di malaysia.

Salam ukhuwwah

Monday, December 14, 2009

Hijrah Ke Jalan Putih



Putih Warna Kesucian

Maksud sabda junjungan : Mereka yang sentiasa solat umpama golongan yang sentiasa mandi dan membersihkan diri, bilangan 5 kali mandi menjadikan seseorang itu bukan lagi bersih suci malahan putih berseri dari segi fizikal bahkan juga rohani.

Nabi memeng menyukai kebersihan bahkan meletakkan agenda kebersihan sebagai satu agenda utama agama dan meletakkan standardnya sebagai tahap piawaian iman seseorang.

Nabi juga menyukai susu sebagai lambang fitrah dan kesucian.

Sunnah Warna

Manakala al Imam Tarmizi mengesahkan laporan tentang konsistensi nabi memilih warna putih dan bersih sebagai gaya berpakaiannya sebagaimana direkodkannya dalam kitabnya Syamail Muhammadiah.

Putih sebagai satu ekstrak warna mempunyai aura dan terapinya tersendiri.

Mereka yang menyukainya merupakan seorang yang berkeyakinan, matang , berintegriti, berperancangan, berani dan sukakan kebersihan serta keindahan.

Terapi Warna

Menurut Dr.Norhisham Wahab pensyarah kinesiologi gunaan, hal ini boleh dijelaskan menerusi pendekatan Terapi Getaran Warna atau Colour Vibration Therapy. "Warna memainkan peranan penting dalam menyembuh, memberi tenaga dan menyeimbangkan tenaga pada tahap-tahap tubuh yang berbeza. Setiap elemen kimia dan benda-benda hidup di dunia ini mempunyai ciri-ciri rajah tenaga warnanya tersendiri. Ini termasuk tubuh badan anda dimana bahagian kepala dinaungi warna-warna lembayung di mana putih diibaratkan kunci mahkota kepada segala warna," terang Dr. Norhisham.



Warna Maya

Ulasannya selari dengan pandangan Mohd Asrin Abd Latif dalam tulisannya tentang warna dalam multimedia merungkaikan : Putih melambangkan keseimbangan di antara warna. Anda boleh membina laman web yang ringkas dengan meninggalkan banyak ruang kosong putih atau ruang kosong di antara elemen muka surat di dalam 'lay-out' terutamanya bagi laman web yang dipenuhi dengan teks. Hadkan warna palet dengan menggunakan 2 atau 3 warna utama. Penggunaan warna yang terhad pada web dan warna palet grafik bermakna saiz fail digunakan adalah kecil. Ia penting kerana masa 'loading' lebih pantas.

Mungkin kerana itulah, saya juga lebih selesa untuk memilih warna sunnah ini sebagai teras perjalanan dan travelog saya mencari hidayah Allah.