Thursday, August 18, 2011

Quran dan Pembesar Suara

Rasanya elok juga saya perturunkan beberapa kupasan menarik berhubung penggunaan pembesar suara untuk melantunkan bacaan Quran secara Jahar pada masa2 tertentu ini.

Dari satu laman web saya menjumpai point2 berguna ini, Moga ianya memberi pedoman untuk kita meneliti hujjah dan pandangan para ulamak berhubung isu ini :

Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan -selain azan – yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan.

Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

• Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

• Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.

Keliru antara azan dan bacaan lain

• Ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

• Sebenarnya, Nabi sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Baginda, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi Muhammad SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain.

Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid).

Dosa menyakiti sesiapa di sekeliling

“Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara.

“Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”.
(Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin:
http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Arab Saudi yang penduduknya semua beragama Islam. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita?

Tipu daya iblis
• Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

• Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak

Wednesday, August 17, 2011

Quran Subuh



Serius beb !! Melenting beberapa orang tok imam bila isu ini disensasikan media kali ini.

Dalam keheningan Ramadhan dan keghairahan semangat al Quran semakin berkobar2 di bulan yang mulia ini, tiba2 Majlis Fatwa Pulau Pinang ini mengambil jalan mundur ke belakang dalam isu ini. Momentum yang mula meluncur deras ke arah penghayatan beragama yang lebih baik seolah-olah dibantutkan pergerakannya.

Ianya amat menjengkelkan, apatah lagi persepsi masyarakat hadhari merasakan POLITIK KECINAAN sudah boleh menguasai jabatan agama disini bahkan mampu menarik tali dihidung para ahli jawatankuasa fatwa dipulau mutiara ini.

Ikut sangat telunjuk kafir ni !! nanti azan pun diaorang akan larang untuk dilaungkan ... Tengoklah nanti !!

Begitulah ledakan amarah warga masjid dan surau kala ini. Ianya seakan memenangkan AGAMA KAFIR berbanding umat Islam sendiri. Bila Majlis Agama pun sudah tidak boleh mempertahankan syiar agama, siapa lagi yang boleh.

.........................................

Saya melihat isu ini bukanlah sesuatu yang serius untuk di sensasikan.

Bahkan ianya langsung tiada kaitan dengan RUKUN agama dan perkara yang sememangnya disepakati para ULAMAK.

Ianya hanya ijtihad masyarakat islam terdahulu untuk memperelokkan penghayatan beragama dan tak lebih dari itu.

Bahkan isu ini juga ada kebaikannya untuk kita sama mengulitnya dengan penuh rasa keinsafan dan tanggungjawab menjulang agama bersama tanpa kepentingan. Dalam nada lain, saya merasakan ianya berjaya memecah kepompong pemikiran masyarakat untuk melihat isu berdasarkan ilmu dan bukannya sentimen.

Hormatilah keputusan para ulamak dan mufti yang bersidang dan memberi pandangan. FATWA adalah TAUDHIIHUL HUKUM iaitu menjelas dan menerangkan sesuatu hukum dalam agama.

Lalu, apabila para mufti sudah bersidang, terimalah sebagai satu anjuran yang baik dalam memahami dan menghayati agama.

Kalau ianya kelihatan memenangi hati orang kafir , bahkan nabi pernah terlebih dahulu ditempelak para sahabat dalam peristiwa HUDAIBIYYAH dengan kata -kata mereka : siapakah mereka yang berada dilandasan kebenaran , KITA atau MEREKA ? adakah kita merelakan KERENDAHAN dan KEHINAAN untuk agama kita...

dan nabi tega memilih perdamaian dan gencatan senjata yang dilihatkan sebagai jalan mundur, kehinaan dan tiada wibawa pada pandangan sahabat2. Hasilnya islam berkembang hebat dengan siasah toleransi dan berhemah dari nabi yang mulia ini.

Marilah kita melihat sudut pandangan Jawatankuasa Fatwa yang cukup cermat untuk menilai hukum dan maslahah agama ini, bahkan keputusan ini telah pun dipersetujui lebih awal dari bulan mulia RAMADHAN ini sahaja untuk di WAR_WARkan dan bukan di WARTAkan.

Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bil. 2/2011 yang bersidang pada 7 April 2011, mengenai hukum membaca Al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara.

Mesyuarat Majlis Fatwa Bilangan 2/2011, yang dipengerusikan Mufti Negeri Pulau Pinang kemudiannya telah disahkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil.3/2011 pada 6 Jun 2011 memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara dari surau dan masjid sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut Hukum Syara'.

Namun, kerajaan negeri PULAU PINANG berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh
mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ( JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa.

Sungguhpun begitu, sebagai pentadbir institusi agama, mereka sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Majlis Fatwa memutuskan bahawa perbuatan tersebut boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid demi maslahah ummah.

Ini berdasarkan hadis dan dalil yang berkaitan, bermaksud…

"Daripada Abi Sa'id al-Khudri berkata ia : ketika Nabi s.a.w beriktikaf ( beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat." ( sunan Abi Daud, hadis ke 1332, juzuk 2, cet. Dar al Hadis)

Keputusan tersebut kemudiannya telah dimaklumkan kepada JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk tindakan selanjutnya.

Moga ianya sedikit sebanyak menjernihkan emosi kita.