Monday, December 27, 2010

Syoknya Krismas !



SYOKNYA KRISMAS.

Spontan terpacul kata2 tersebut dari bibir seorang pelajar saya.

Kata2 yang tanpa sengaja terucap tatkala menyaksikan kemeriahan sambutannya dalam dingin salju yang membahang dalam suhu yang terendah, kagum dan teruja dengan putihnya salji yang menderu turun merimbunkan keputihan di serata tempat.

Seronok dengan pemandangan orangan salji yang berdiri utuh menyaksikan peperangan olok2 bola salji antara anak2 kecil yang kegembiraan. Gembiranya Krismas … dan tanpa sedar ucapannya dilirik tajam pandangan mata rakan2 sekelas yang terasa bingit digigit kontra pandangannya.

Ustaz, bolehkah kita merayakan KRISMAS dan merasa seronok di perayaan ini? Bukankah kita orang Islam diminta membenci KRISTIAN dan penganutnya ??

Saya membatukan diri seketika. Seakan membiarkan sahaja persoalan tersebut dipupuk angin bayu yang berlalu dicuping telinga.

Ustaz, meriah betul sambutan Krismas ini, berbeza dengan AIDILFITRI kan. Syoknya kalau dapat sambut raya macam suasana KRISMAS ni, kan ustaz..

Saya menoleh kearah mereka sejenak dan spontan berkata : BETUL3 …. SALAH !!! persis ikon kartun nasional upin dan ipin, yang sejenak juga menggamit perhatian mereka kepada saya.

Manakan sama ISLAM dan KRISTIAN.

Islam agama tuhan, kristian hanyalah ciptaan manusia.

Islam agama yang adil tetapi kristian menampilkan ketidaksamarataan.

Islam menandakan keagungan pencipta tetapi Kristian menampakkan kelemahan idealogi ciptaan manusia yang terdedah disana-sini kepalsuannya yang cuba disembunyikan.
Lihatlah, perayaan KRISMAS yang mereka sambut juga menampilkan kelemahannya.

Dalam keseronokan Krismas yang kita saksikan hari ini dan kemeriahannya, ia hanyalah pameran kosong dan non reality yang ditanggapi oleh jutaan penganutnya. Salju putih dengan pohonan RU yang melingkari keajaiban sambutannya hanya dapat dirasai hanya sebilangan kecil penganutnya, bahkan yang lainnya hanya merasai sisa sejuk dan panas yang berpanjangan.

Dengan menggunakan kalender masihi yang berpandukan matahari, cuaca alam telahpun diformat sama sepanjang abad. Dengan itu, kedinginan KRISMAS yang dirayakan hanyalah retorik sambutan yang hanya meliputi 1/3 umat kristian yang mendiami kawasan eropah yang terdedah dengan musim sejuk sekarang ini, namun selebihnya sama sekali tidak ada.

Mungkin yang ada hanyalah kapas putih yang ditaburkan disinggahsana pohon RU palsu yang sengaja dipamerkan ditengah pasaraya cosmopolitan bagi membangkitkan citra krismas yang sama. Tapi sayangnya ianya PALSU.

Lalu, ini seolah2 menandakan ketidak adilan agama dan juga pemalsuan rayanya.

Tapi ISLAM membawakan AIDILFITRI dan RAMADHAN dalam tempo berbeza dan penuh keadilan.

Dengan bersendikan bulan sebagai kompas takwimnya, kedatangannya sentiasa berbeza saban tahun, bukan sahaja dinegarakita bahkan diseluruh dunia. Ianya merentasi musim dan geografi masa.

Kekadang kita dipagut hangat mentari seawal Febuari dengan takwim solatnya sentiasa lewat dari kebiasaan, namun dilain masa kita digigit pula dingin tengkujuh Disember yang memberikan keringanan dalam waktu berbuka yang lebih awal dan anjal.

Dan mungkin teropong kita ke negara2 empat musim ini boleh membantu kefahaman kita, kawasan yang sentiasa berbeza suhu dan hawanya juga tempoh waktu siang dan malamnya memberikan keringanan kepada para umatnya secara adil dan bertimbang rasa, mungkin kali ini kita diminta bersabar dengan tempoh puasa yang panjang dalam terik mentari yang panas namun dilain masa kita bersyukur dibalut sejuknya musim dengan tempoh yang lebih pendek. Dan tanggal yang sama saudara kita dilain tempat pula merasai panasnya hawa.

Adilkan Islam…. ! ujar saya menamatkan sketsa soaljawab penuh prihatin dan ingin tahu terhadap agama ini.

Moga ia membibit rasa bangga pada agama tanpa merasa cuak untuk terus membaiki diri.

Saturday, December 25, 2010

Ahmad Deedat – Benteng Islam Di Sahara Penyelewengan Akidah


Kredit Artikel : Taman Ulama’ M. Uswah dengan beberapa suntingan kecil.

Latar Awal Kehidupannya

Ahmad Deedat dilahirkan di Surat, India, pada tahun 1918. Ayahnya adalah seorang penjahit, akibat dari profesionnya itu beliau telah berhijrah ke Afrika Selatan tidak lama setelah kelahiran Ahmad Deedat. Beliau tidak dapat kekal bersama dengan ayahnya sehinggalah tahun 1926.

Tanpa pendidikan formal dan untuk mengelak diri dari kemiskinan yang amat larat, Ahmad Deedat telah pergi ke Afrika Selatan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik bersama ayahnya pada tahun 1927. Pada tahun itulah beliau terpaksa berpisah dengan ibunya. Rupanya perpisahan Deedat dengan ibunya itu adalah merupakan perpisahannya yang terakhir bersama ibunya,pada tahun kepergiannya ke Afrika Selatan untuk menyusul ayahnya itu adalah saat terakhir ia bertemu ibunya dalam hidupnya kerana ibunya telah meninggal dunia beberapa bulan kemudian (dari tarikh penghijrahan Deedat bersama ayahnya ke Afrika Selatan).

Di negeri yang asing, seorang anak lelaki kecil berusia 9 tahun tanpa berbekal pendidikan formal dan penguasaan bahasa Inggeris telah mula menyiapkan perang yang harus dimainkannya berpuluh-puluh tahun kemudian tanpa disedarinya.

Dengan ketekunannya dalam belajar, anak lelaki kecil tersebut tidak hanya dapat mengatasi hambatan bahasa asing, tetapi juga unggul di sekolahnya. Kegemaran dan hobi Deedat dalam membaca telah menolongnya untuk memudahkan dirinya mendapatkan promosi pendidikan sehingga beliau tamat pendidikan pada darjah 6. Kekurangan pembiayaan pelajaran menyebabkan persekolahannya tertunda dan di awal usia 16 tahun untuk pertama kalinya ia bekerja dalam bidang retail.

Yang terpenting sekali adalah pada tahun 1936, sewaktu beliau bekerja di kedai / toko Muslim berdekatan sebuah sekolah menengah Kristian di pantai selatan Natal.
Beliau melihat Penghinaan yang tidak henti-henti dari siswa Misionaris menantang Islam selama kunjungan mereka ke toko Muslim telah menanamkan keinginan beliau yang membara untuk melakukan aksi menghentikan propaganda Kristian yang salah itu.

Mempelajari Kitab Bible

Ahmad Deedat telah berjaya menemukan sebuah buku berjudul Izharul-Haq yang bererti mengungkapkan kebenaran. Buku ini berisi teknik-teknik dan keberhasilan usaha-usaha umat Islam di India yang sangat besar dalam membalas gangguan Misionaris Kristian selama penaklukan Inggeris dan pemerintahan India.
Secara khusus, idea untuk menangani debat telah berpengaruh besar dalam jiwa dan diri beliau.
Beliau juga turut menghafaz Al-Quran sehinggakan beliau digelar Al-Hafiz.

Beberapa minggu setelah itu, Ahmad Deedat membeli Injil pertamanya dan mula melakukan debat dan diskusi dengan siswa-siswa misionaris. Ketika siswa misionaris tersebut mundur dalam menghadapi argumen balik Ahmad Deedat, secara peribadi telah memanggil guru teologi Kristian kepada siswa-siswa misionaris untuk berdebat bersamanya, bahkan pendeta-pendeta Kristian di daerah tersebut juga turut diajak berdebat bersama Deedat.


Dakwahnya

Keberhasilan-keberhasilan ini telah memacu Ahmad Deedat untuk berdakwah. Bahkan perkahwinan, kelahiran anak dan persinggahan sebentar selama tiga tahun ke Pakistan sesudah kemerdekaannya tidak mengurangi keinginannya untuk membela Islam dari penyimpangan-penyimpangan yang memperdayakan hasil dari para misionaris Kristian yang tidak bertanggungjawab.

Dengan semangat misionaris untuk menyebarkan agama Islam, Ahmad Deedat telah membenamkan dirinya pada sekumpulan kegiatan lebih dari tiga dekad yang akan datang. Beliau memimpin kelas bagi matapelajaran Injil dan memberi sejumlah kuliah ilmu.
Beliau mendirikan As-Salaam, sebuah institut untuk melatih para pendakwah Islam. Ahmad Deedat, bersama-sama dengan keluarganya, hampir seorang diri mendirikan bangunan-bangunan termasuk masjid yang masih dikenali sehingga saat ini.

Ahmad Deedat adalah anggota paling awal yang menganggotai Islamic Propagation Centre International (IPCI) dan menjadi Presidennya, sebuah posisi yang dipegangnya sampai tahun 1996. Ia menerbitkan lebih dari 20 buku dan menyebarkan berjuta-juta salinan secara percuma. Ahmad Deedat mengirim beribu-ribu materi kuliah ke seluruh dunia dan mendebat dengan pengabar-pengabar Injil pada debat umum. Beribu orang telah memeluk Islam atas rahmat Allah serta hasil usahanya yang tidak pernah mengenal erti penat lelah.

Antara perdebatan beliau yang hebat ialah perdebatan dengan Paderi Josh McDowell bertajuk ‘Benarkah Nabi Isa disalib? dan paderi Jimmy Swaggart bertajuk ‘Adakah Injil kalam Allah?’.

Karya-karyanya

Antara karya beliau yang masyhur ialah seperti ‘The Choice Between Islam and Christianity’, ‘Is the Bible God Word?’, ‘What is His Name?’ dan ‘al-Quran, The Miracles of Miracles’.

Penghargaan

Sebagai penghargaan yang tertinggi untuk prestasinya yang bersejarah itu, beliau telah dianugerahkan penghargaaan antarabangsa dari Raja Faisal pada tahun 1986. Penghargaan bergengsi yang sangat berharga dalam dunia Islam.


Akhir Hayat

Sisa sembilan tahun usia hidupnya, Ahmad Deedat hanya boleh berbaring di tempat tidurnya di Verulam, Afrika Selatan. Dan akhirnya pada 8 Ogos 2005, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah menderita sakit dan kelumpuhan hampir 10 tahun lamanya akibat terserang strok di rumahnya di Trevennen Road di Verulam, provinsi KwaZulu-Natal, Durban.

Ribuan orang dari seluruh Afrika Selatan menghantar jenazah beliau ke tempat peristirehatan terakhirnya. Keranda yang membawa tokoh cendiakawan muslim ini ditutupi kain berwarna hijau dan diusung dari tempat kediamannya di Verulam, Afrika Selatan untuk disolatkan di Masjid Wick Street. Solat jenazah itu diikuti oleh sekitar 1000 orang jemaah dipimpin oleh ulama terkemuka asal Zambia Mufti Ismail Menk. Setelah itu jasadnya dimakamkan di pemakaman umum Islam di Verulam.

Beliau dikenal sebagai pejuang dakwah. Kiprahnya dalam dakwah berhasil meningkatkan status warga muslim di Afrika Selatan, namanya dikenal juga dikenal oleh komuniti muslim di
Asia.

Moga Allah menempatkan beliau di kalangan para nabi, orang-orang soleh dan syuhada.

Selamat Menyambut Krismas

Detik 25 Disember semakin hampir.

Detik yang saban tahun ditunggu penuh ghairah oleh para penganut Kristian seluruh dunia.

Detik yang menyaksikan lanskap kotor kebejatan akidah manusia yang terpesong akhirnya terhias indah dengan kelahiran sang penyelamat umat Nabi Isa a.s.

Detik yang juga bakal menjadi mercu tanda kemeriahan yang paling gemilang sepanjang tahun apatah lagi perayaan meriahnya bakal dilanjutkan dengan kunjungan tahun baru yang serba baharu.

Tapi buang tabiatkah saya bila memulakan entry ini dengan ucapan salam krismas untuk antum saudara muslimin semua.

Harus dan harmonikah lafaz salam dan krismas ini untuk digabungkan bersama2.

Salam yang bermaksud ucapan selamat dan doa kesejahteraan islam, mungkinkah kita cemari dengan lafaz X’mas yang melambangkan kesyirikan, pemujaan salib dan kebobrokan akidah.

Bolehkah ianya kita santunkan dengan penuh hormat dan baik untuk kita lafazkan pada non muslim khususnya para penganut kristian di luar sana sebagai tanda penghargaan dan baik budi kita.

Saya sebenarnya bukanlah ingin membawa semua untuk menelusuri tempo dan rentak perbahasan fuqaha’ tentang isu ini, apatah lagi kehadiran krismas ini pastinya terus memaksimakan perdebatan isu biasa yang tak pernah tamat antaranya pemakaian topi santa, ucapan merry krismas, menziarahi rakan sejawat yang beragama kristian dan lain2 isu yang seangkatannya.

Ianya isu lama yang sepatutnya telah kita noktahkan prinsip dan pemahaman dasarnya.
Islam agama mulia dan seharusnya kontra dan berbeza dengan selainnya.

Tapi sedarkah kalian, CHRISTMAS juga membawa membawa maksud KELAHIRAN NABI MULIA ISA AL MASIH yang kita umat Islam dan seantero dunia mengkaguminya.

Kelahiran yang memecahkan kesongsangan fitrah dan akidah umatnya kearah mengabdikan jasad dan nurani kepada tuhan pencipta yang bersih dari segala penyelewengan. Betapa besarnya pengorbanan nabi istimewa nabi ini dalam menongkah arus menyaingi segala dugaan bangsa pembunuh nabi2 atau BANI ISRAEL yang ditaklifkan menjadi umatnya.

Atas pundaknyalah, tugasan mengislahkan masyarakat bukannya mudah. Mempatrikan semula kesucian agama disebalik hiasan dunia yang mempesonakan juga bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan kekuatan, keazaman, keberanian, kebijaksanaan dan bantuan terhebat dari Allah yang maha esa.

Dan nabi ISA BINTI MARYAM ini juga merupakan antara susunan terutuh dalam organisasi kenabian yang dinobatkan sebagai ULUL AZMI.

Oleh itu, alangkah baiknya jika KRISMAS yang mendatang ini kita cuba mengenali tokoh terbesar ini dalam kacamata Islam yang sebenar tanpa dipalsukan dengan propaganda kristian yang tersasar. Sudahkah kita menggali maklumat terbaik dan tersahih bersumberkan agama yang sebenarnya dalam memahami susuk manusia agung ini.

Sayangnya, entah berapa ramai di antara kita yang mampu berdiri tenang mendepani soalan, KAMI DENGAR UMAT ISLAM MENCACI DAN MENYATAKAN PERKARA YANG KARUT TERHADAP NABI KAMI, SIAPAKAH ISA PADA PANDANGAN KAMU ?

Sedangkan inilah soalan yang dijawab tenang oleh Saidina JAAFAR AT TAYYAR ketika diajukan soalan provakasi Musyrikin Quraisy didepan Raja HABSYAH, an NAJASHI. Soalan yang cuba memerangkap persengketaan kebencian antara umat akhirnya dijelaskan secara terang dan tenang berdasarkan firman tuhan yang serba benar.

Benarlah, ISA AL Masih itu hanyalah seorang hamba Allah yang diistimewakan sebagai Kalimahnya, tanda kekuasaan Allah yang mencipta manusia tanpa syarat dan tanpa sebab musabbab, lahir tanpa ayah, menjadi ikutan dalam kebaikan, berbakti kepada bondanya MARYAM al Batul,diangkat menjadi Rasul pembawa kedamaian dan keselamatan. Membenarkan akidah tuhan yang esa, diangkat kelangit dalam misi akhir yang belum selesai dan ditugaskan memimpin kebenaran diakhir zaman memerangi Dajjal dan tenteranya yang menggila.

Inilah antara maksud petikan surah MARYAM yang sepatutnya bertunjang dalam akidah islamiah kita tanpa perlu menghadirkan krismas dengan semangat permusuhan dan menjauhi urusan dakwah terhadap bukan islam.

Moga kehadiran krismas kali ini mengubah tahap persepsi kita dalam memperjuangkan agama.

Agama Islam bukan agama kebencian tapi agama CINTA dan Kedamaian.

Mungkin sampai sudah masanya kita mengenali dan terus mendalami karya2 AHMAD DEEDAT
dalam menyediakan kalungan mutiara ilmu yang bersih dan mesra dakwah terhadap bukan islam ini.

Selamat Menyambut Krismas Dengan Penuh Kesedaran Islam.

Thursday, December 16, 2010

Mabruk Ust Murtadha



Belum terlambat rasanya untuk saya mengaminkan doa kebahagian dan keberkatan buat sahabat saya USTAZ MURTADHA yang baru melangsungkan perkahwinannya beberapa hari yang lalu.

Moga ikatan suci perkahwinan ini mampu terus memberkati kehidupannya dan membakar semangatnya untuk melahirkan lebih banyak JUNDULLAH dalam arena dakwah ini.

Marilah sama kita berdoa, mengaminkan ungkapan sunnah nabi merstui dan memberkati kedua mempelai :

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير

Ya Allah, berkatikanlah ikatan suci keduanya, berkatikanlah urusan hidup keduanya dan himpunkanlah mereka berdua dengan sakinah dan mawaddah yang berkekalan.

Selamat Pengantin Baru.

Sunnah Puasa Asyura'


Sebagai catatan dan dorongan amal, mungkin kompilasi dari hadis terbaik berhubung Asyura'ini memangkinkan kita untuk terus beramal dengan penuh ilmu dan kesedaran.
Hayatilah artikel ini :

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

“Bersempena dengan kedatangan hari sembilan (tasu’a) dan sepuluh (‘asyura) Muharram ini saya mengingatkan para pengunjung sekelian tentang kita semua disunatkan berpuasa pada hari-hari berkenaan. Sekurang-kurangnya berpuasalah pada sepuluh Muharram. Ini seperti yang ditunjukkan dalam hadis-hadis berikut;


Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.



عن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه. مُتَّفّقٌ عَلَيهِ

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

عن أبي قتادة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم سئل عن صيام يوم عاشوراء فقال: ((يكفر السنة الماضية)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)



وعن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُما قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: ((لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).

Semoga Allah merahmati kita semua dalam berlumba-lumba mendampingiNya.

Wednesday, December 15, 2010

10 Muharram



Marilah berpuasa di 10 Muharram.

Ianya adalah manifestasi kejayaan.

Juga simbol kemenangan kebenaran mengatasi kebatilan.

Tanggal ini selalunya menyaksikan sejarah ummah terdahulu tewas ekoran merajakan kebejatan, manakala zahirnya Islam dibantu kuasa tuhan.

Bersyukurlah kita dengan pertolongan ilahi ini.

Dan syukur itu sebaiknya dengan ketaatan.

Ketaatan bersendi agama, dan Rasul menunjuk jalannya.

Lalu Nabi menyatakan penuh pasti : Kami Umat Islam lebih berhak merayakan kemenangan kebenaran mengatasi kebatilan ini dari mereka(golongan yahudi yang telah menyeleweng), marilah kita berpuasa untuk marayakan syukurnya.

Dan kesyukuran ini harus berbeda zahir dan batinnya dari ritual ibadah agama yang lain.

Moga allah memelihara kita dan memberikan keampunannya pada kita semua.

Monday, December 13, 2010

Program Diskusi Ilmu


Program Diskusi Ilmu siri kedua ini disertai oleh hampir seramai 1000 orang pelajar dari Daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Ianya diadakan pada 3 November 2010 bertempat di Masjid Negeri P.Pinang.Program ini anjuran Unit Operasi Dakwah dengan kerjasama Masjid Negeri P.Pinang.

Majlis ilmu ini diisi dengan soal jawab agama dan bacaan kitab Mukhtasar al Mufid susunan Ustaz Rosli Othman yang juga selaku pembicara pada program kali ini.

Ustaz Rosli Othman merupakan Penolong Pengarah Kepimpinan Unit Operasi Dakwah SPI. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri P.Pinang


Kem Kepemimpinan Imtiyaz 2010





Kem Pemantapan Organisasi 2.5 dan Kem Kepemimpinan Imtiyaz 2010 telah diadakan pada 19 hingga 21 November 2010 bertempat di SMKA Al-Mashoor Lelaki.

Kem Pemantapan Organisasi 2.5 adalah lanjutan daripada Kem Pemantapan Organisasi siri II yang telah berjaya diadakan sebelum ini.Kem selama 3 hari 2 malam ini disertai oleh 18 orang pelajar lelaki dan 50 orang pelajar perempuan dari SMK Abdullah Munshi.

Kesemua 68 peserta kem ini dibantu oleh 11 orang fasilitator muda dari SMKA Al-Mashoor Perempuan dan 9 orang fasilitator muda dari SMKA Al-Mashoor Lelaki.

Fasilitator-fasilitator ini dibawah bimbingan Unit Operasi Dakwah SPI.

Syabas kepada semua yang telah menjayakan kem pada kali ini.

Walaupun bahang hari raya masih hangat terasa, para pelajar dan tenaga kerja dakwah dari SPI dan SMK Abdullah Munshi telah berjaya menunjukkan erti kata PENGORBANAN mereka dengan menganjurkan dan mengahdiri program yang dirangka sejak awal lagi .

Dengan menggunakan para tenaga fasi dikalangan pelajar yang dilatih menjadi AMILIN tempohari, mereka diberi kesempatan bereksperimen dengan berhadapan mad'u sebenar dalam sekolah yang berbeza.

Alhamdulillah, sesungguhnya mereka mampu melakukan.

Tahniah dan ucapan selamat berjaya juga di ucapkan kepada al Fadhil Ustaz Khairul Asfani yang banyak terlibat menjayakan program tarbiah islam di kepulauan ini.

Walaupun berat rasa hati melepaskan, akhirnya kami terpaksa relakan al Ustaz untuk berpindah dan terus melakar kerja dakwah dengan lebih berkesan di daerah yang baru.

Moga allah merahmati kita semua dan meramaikan AMILIN DAKWAH seperti al fadhil Ustaz.

Kursus Pemantapan Organisasi Siri Kedua



Kursus Pemantapan Organisasi siri kedua untuk pelajar-pelajar Sekolah Berasrama Negeri P.Pinang telah berjaya dilaksanakan pada 8 hingga 10 November 2010.

Kursus ini diadakan di Pusat Kokurikulum JPN Bukit Mertajam. Seramai 120 pelajar menyertai kursus ini dibawah bimbingan 12 orang fasilitator berpengalaman.

Majlis perasmian penutupannya disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah Md Din, Timbalan Pengarah Operasi Dakwah Bahagian Pendidikan Islam KPM.

Syabas kepada semua yang terlibat menjayakan kursus ini.

Semoga akan melahirkan pekerja Islam yang sejati.

Dengan menjenamakan tema MENCETAK PEKERJA ISLAM , saya dan beberapa rakan fasi memegang amanah penting dalam menerapkan semangat amilin ini untuk dihayati.

Ternyata fikrah merasakan tanggungjawab islam ini dibahu mereka yang tertentu hanya akan menjadikan kerja2 islam ini semakin dipandang lesu dan ditinggalkan.

Sindrom merasakan INI BUKAN TUGAS SAYA meletakkan pelbagai aktiviti agama di sekolah menjadi kaku, bosan , dimonopoli dan akhirnya ditinggalkan. Atas semangat inilah perlunya para penggerak remaja disetiap sekolah merasai amanah BERAMAL KERANA ALLAH ini menjadi pemangkin dan pendorong diri untuk terus beramal tanpa rasa jemu dan lelah.

Kem Kecemerlangan Pelajar Islam



Antara program yang sempat saya sertai di penghujung persekolahan yang lalu.

Kem Kecemerlangan Pelajar Islam Peringkat Negeri P.Pinang telah berjaya diadakan pada 12 hingga 14 Oktober 2010 bertempat di Masjid Negeri P.Pinang.

Kem ini adalah hasil kerjasama Unit Operasi Dakwah dan Masjid Negeri P.Pinang. Seramai hampir 80 pelajar lelaki dan perempuan dari SMJKC dan Sekolah Bantuan Modal negeri P.Pinang telah menyertai kem selama 3 hari 2 malam ini.

Antara pengisian utamanya ialah pemantapan Akidah Islam dan tangungjawab sebagai seorang Muslim sejati.

Alhamdulillah, sempat saya mengeksport beberapa orang pelajar Tingkatan 4 untuk menyertainya sebagai langkah awal membina kepimpinan baru bagi menyelaras aktiviti persatuan untuk BAKTI nanti.

Respon yang amat baik apabila mereka yang pulang bertanya dengan penuh semangat untuk menyertainya lagi buat kali yang kedua.

Thursday, December 9, 2010

Salam Hijraturasul



Salam Maal Hijrah.

Salam ingatan buat semua.

Ingatan untuk kita sentiasa memperbaharui tekad dan keazaman dalam kehidupan ini.

Di setiap selekoh kehidupan, Allah akan sentiasa memboncengkan kita dengan peringatan dan pengajarannya agar kita sentiasa beringat dan memilih kejayaan.

Imbas kembali diari lama yang berlalu pergi, seawal muharram kita disemarakkan api perubahan dan keazaman dengan kedatangan hijrah rasul. Bersatu mempertahankan iman dan bersedia mendada pengorbanan.

Bersilihnya kedatangan rabiul awal yang mengkaryakan episod lakaran kelahiran insan agung penyelamat umat dengan maulidurrasul yang membumbui jiwa kita dengan kesyukuran dan kegigihan taat. Sesungguhnya kita ada rasul yang mampu diteladani dan ada penyelamat yang mampu digantung harapan syafaatnya nanti.

Seterusnya kalender besar insan mencoret tarikh rejab, syaaban dan ramadhan yang merangkai ertikata bulan ketaatan dan perhambaan yang penuh keajaibannya.

Dengan zulhijjah membarisi latar terakhir takwim , kita diungkapkan allah dengan peringatan taat, korban dan pasrah hanya kepada allah semata2.

Walaupun diari hijrah setahun yang lalu telah selamat bersemadi di khazanah waktu, namun ruh perjuangan rasul yang meniupkan semboyan kegigihan dan kepasrahan pada tuhan sentiasa mengalun segar di kelopak telinga pendengaran insani.

Dengan lenggok perjuangan dan pengorbanan inilah kita perlu sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Benarlah : Dengan Memperingati Pengajaran Kehidupan ini akan Mematangkan manfaat untuk umat sejagat.

Thursday, December 2, 2010

Tinta Murabbi

Alhamdulillah, sempat saya tamatkan pembacaan ringan berkaitan satu koleksi penulisan sejarah dan kenangan para sahabat terhadap murabbi yang dicintainya. Walaupun bertopik nostalgia dan ingatan santai namun ia berbuah iktibar dan keazaman tekad dan istiqamah yang berat untuk diamalkan oleh kita.

Tatapilah juga,getusan rasa Ustaz Ridhuan selaku pengumpul kompilasi terbaik kata2 ingatan dan salam perjuangan tanpa henti dari pendokong tegar perjuangan islam ini untuk diambil sebagai bekal perjalanan.

Moga ruh Ustaz Hasan Syukri dicucuri rahmat ilahi.



Editor : Ustaz Riduan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Recources

Harga : RM10.00

Keilmuan yang dikahwinkan dengan segudang pengalaman di medah jemaah, yang dirempuh semenjak usia belasan tahun. Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan naum beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumput hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan.

Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat, walaupun beliau seorang ahli legislatif yang berkesan di Dewan Negara. Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua, mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan.

Marah dan jerkahlah, Ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan di bawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.

Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hassan terhadap kami pimpinan pemuda, “PAS parti orang kampung, orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa, jagalah akar umbi, jagalah cawangan-cawangan”.

***

Buku ini adalah koleksi 10 artikel berkenaan Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri (71 tahun) yang telah kembali kerahmatullah pada 14 Jun 2010 Hospital Selayang Selangor. Juga satu artikel oleh Allahyarham sendiri bertajuk ‘Fikrah Pemimpin’ yang pernah disiarkan oleh Harakah pada tahun 1988.

Wednesday, December 1, 2010

Praktikal Sembelihan 4



Entahlah sesuai atau tidak tajuk entry ini.

Mungkin ada persamaannya barangkali, tapi di mana ya !

Penghujung minggu menyaksikan majlis khatan anak sulung saya ANAS HAMDI di penjuru kampung mertua saya di Kedah.

Tiada majlis rasmi yang berlangsung, hanya saya dan keluarga menziarahi sebuah klinik swasta dan melunasi kewajipan sebagai seorang ayah terhadap anak yang akan menginjak usia remaja tak lama lagi.

Pastinya kewajipan dan tanggungjawabnya bertambah.

Tentunya ia amanah tuhan yang akan dipersoalkan suatu hari nanti.

Ya allah, bantulah aku dalam mendidik dan menjaga amanah yang kau titipkan kepadaku ini, moga mereka dapatku bentuk mengikut arca yang diredhai agamamu.

Praktikal Sembelihan 3



Mencongak hari sebelum cuti sekolah sesuatu yang bukannya menyeronokkan.

Hari2 terakhir persekolahan bagi seorang guru biasanya terisi dengan kerja-kerja pengkeranian yang tidak kunjung habisnya.

Segala data aktiviti yang berlangsung setahun perlu didokumentasikan, termasuklah juga perancangan tahun akan datang serta bajet yang sudah dan akan digunakan. Semuanya memerlukan perincian dan maklumat yang dikemaskinikan teliti untuk kemudahan rujukan di masa yang akan datang.

Dengan sisa masa yang masih berbaki sebelum cuti dan menunggu kedatangan hari raya korban, sekolah kami di ST Xavier sempat mengadakan praktikal sembelihan. Ianya berlangsung sederhana dengan kekangan aktiviti dan campurtangan pentadbiran yang perlu ditangani sewajarnya.

Alhamdulillah, akhirnya semuanya terlaksana dengan sebaiknya.

15 kilometer dari sekolah saya, berjiran dengan rumah lagenda seniman agung P. Ramlee tersergam sebuah sekolah bestari yang menempatkan para pelajar elit terkawal pencapaian akademiknya, itulah SMK Abdullah Munshi yang sentiasa menjadi tempat jatuhnya pemerhatian dan pemantauan para pegawai JPN bagi memastikan kejayaan prosese pendidikan di pulau mutiara ini.

Dan di sekolah ini jugalah isteri saya merupakan salah seorang warga pendidiknya merangkap Ketua Panitia Pendidikan Islam yang berkapasiti 8 orang tenaga penggerak yang mempunyai beragam kemahiran dan kebolehan.

Dan alhamdulillah ternyata mereka berjaya melaksanakan PRAKTIKAL SEMBELIHAN ini dengan penuh bergaya dan berjaya.

Dengan sample ayam untuk dikorbankan berjumlah 40 ekor, tiada seorang pun pelajar terkecuali dan duduk hanya mencuci tangan kecuali setelah mereka sendiri secara langsung terlibat dalam acara menyembelih, memegang, mencabut bulu , memotong, menghidupkan bara, memanggang dan menikmati hidangan rohani berbentuk bimbingan dan tatacara serta pengajaran dari sembelihan juga akhirnya bersama menikmati santapan fizikal yang mengenyangkan dan membangkitkan aroma selera yang mengasyikkan.

Tahniah kepada para penggerak majlis yang terdiri dari para ilmuwan pendidik islam yang berpengalaman dan berkebolehan memimpin dan mengarca acara tersebut hingga berjaya dan wajar diteruskan lagi.

Terima kasih kepada Ustaz Khairul Asfani, Ustaz Khalil, Ustaz Adham, Ustaz Hafiz, Ustazah Shamilah, Ustazah Wan Adilah, Ustazah Azidah, Ustazah Khairunnisa’dan semua guru yang terlibat.

Antara beberapa candid gambar yang sempat dirakam. Sengaja saya sertakan sebagai pembakar semangat untuk saya melaksanakan sendiri program sebegini dengan lebih berjaya dan berkesan.