Monday, July 30, 2012

Ramadhan Bernadi Syafaat


Hey kawan, 

Seronokkah puasa kalian hari ini ? Pernahkah engkau bertanya hatimu,Bagaimana rasanya puasamu ? Adakah terasa nikmatnya ?? Terasakah segar imanmu kini berbanding dahulu ? 
Terdetikkah rasa kegebuan hati dalam tamak jiwa mengejar pahala berganda tawaran tuhan yang maha pemurah, atau tersentakkah rasa dengan kesempatan berbaki Ramadhan terakhir kita kali ini, ops … masih adakah ramadhan lain untuk kita kan ….?

Emm, tapi perlukah kita berdialog dengan hati sendiri ? Bukankah jika kita bahagia, kita tak punya masa bertanya tentang kenapa kita bahagia kan, tapi jika kita kecewa dan merana …. Akan lekas terpacul dibibir munggil kita ; Kenapa aku tidak bahagia seumpama orang lain, kenapa AKU yang sentiasa terseksa ???

Aaah, mungkin aku lah teman yang belum mengecapi makna bahagia ramadhan. Kerana itu barangkali, aku sering bertanya kalian …… !! aku terkial meniti denai ramadhan ini dengan jalanan yang penuh hati2 dan waspada. Debar aku memijak lopak masa yang berlalu antara waktu solat dan waktu malam yang amat berharga. Tapi akhirnya, kerap juga aku terkilan kerana khilaf dan dungu meladeni leka yang akhirnya meluputkan saat indah dan berharga itu. Ruginya aku …. Dan ruginya aku.

Pantasnya Ramadhan berlalu. Hari ini sudah genap Sembilan hari umat Islam berpuasa. 

Menjunjung kasih.

Mentaati perintah Allah dengan kepatuhan berbunga ikhlas dan harapan.

Moga tergolong menjadi platun terpilih di medan yang paling besar untuk berkawad tegap menuntun pintu ar Rayyan disyurga nanti. 

Dan aku juga berlumba dengan masa ini,kawan. Aku terkejar dengan kesempitan waktu rutinku sendiri. Antara memacu kencang mengurus hidup dan mengawal kemudi mentadbir rohani, aku biasanya tercampak di aspal takdir. Kelelahan …. Kehilangan ….. dan kekosongan.

Dan masa ini kian deras berlalu, hingga aku sedar dalam jaga, aku belum mengucapkan pada kalian : Selamat menjalani Ibadah Ramadhan dengan ketaatan dan jiwa kesyukuran. Merasai setiap detik dan nadi ramadhan dengan nafas pengharapan dan permintaan, moga kita diberi suntikan bahagia dan gembira, menggamit rahmat ramadhan, dibawah lembayung taat dan ibadat yang kuat , bermohon agar kita disayangi, dihargai dan tidak tersisih lagi.

Oh tuhan, berikan kami rasa kasih pada ramadhan sebagaimana ia menjadi sanjungan para kekasihmu, jadikan kami para pemujanya bersama dengan mujahid yang berjuang membangunkan tugu ramadhan dengan ukiran kebajikan dan kesolehan dan belailah kami tuhan, dengan pengotaan janjimu memberi keampunan dan maghfirah, juga cetakan sijil pengiktirafan ….. agar kami bebas dari seksa azabmu nanti.

Ramadhan, kami menyayangimu dan akan berusaha menjagamu. Jagalah kami nanti untuk syafaatmu !!!



Thursday, July 12, 2012

Mimpi Sarjana




Hey Kawan,

Hari ini aku tak bermimpi lagi.

Ianya sememangnya realiti yang memaksa kakiku menginjak pedal minyak keretaku seawal jam 7 pagi untuk meredah rutin perjalanan yang baru bermula minggu ini. Aspal yang masih basah dengan embun itu kujejaki dengan penuh fokus dan teliti. Kebiasannya aku akan menggunakan lebuhraya untuk memotong jarak perjalanan dan waktu untuk segera sampai ke destinasi. Setiap minggu perjalanan sehalaku menuju ke alor setar akan menculik RM10 dari saku kad touch n go yang kumiliki.

Minggu ini ialah minggu pertama bermulanya sesi pengajian masterku di semester yang kedua.

Dan kali ini, kelasku bermula lebih awal dari kebiasaannya dahulu bermula sekitar pukul 9 pagi kepada pukul 8. Aku sememangnya perlu bersiap dan bergegas lebih awal untuk rutin pengajian kali ini.


       Bersama rakan guru yang mengemudi pertualangan bahasa al quran dibumi penuh mutiara ini.

Aku lebih teruja kali ini. Kelasku kali ini agak besar juga. Menghimpunkan lebih 30 orang graduan dari pelbagai universiti dan pusat pengajian untuk tersu berjuang di medan bahasa ini, walaupun kebanyakan mahasiswanya masih beridentitikan tempatan namun hampir 1/4 pelajarnya memiliki kewarganegaraan antarabangsa dan nusantara seperti thailand, kemboja, indonesia dan juga dari negara arab mesir.

Dalam pertemuan pertama yang menempatkan sesi perkenalan secara santai dan gamat dengan ketawa, aku disimbah warna inspirasi tatkala berdiri seorang kakak yang sedang berkhidmat di politeknik terengganu memperkenalkan dirinya, wajahnya yang masih bersalut keletihan menempuh perjalanan hampir 6 jam pagi itu masih mampu tersenyum merah dan berona kental. Terpamer nada cekal pada setiap bilah bicaranya. Aah, moga allah mempermudahkan dan memberikan manis kesabaran untuk kita semua.

Kawan,

Malu aku pada diri. Apalah sangat sejam perjalanan yang aku tempuh berbanding dirinya.
Berapalah sangat ongkos mingguan yang wajib aku peruntukkan untuk pengajian ini berbanding dirinya. Ternyata, keletihan aku hanyalah mainan dan pengorbananku hanyalah gurauan semata2 berbanding dirinya.

Doakan aku kawan, moga terus tabah dan mampu berkelana lagi.

Moga aku tidak lelah di perjalanan.

Dan moga aku tidak terfikir untuk berhenti berlari.

Saturday, July 7, 2012

Cerpen Keguruan


Hey Kawan, 

Saya cukup teruja dan terinspirasi membaca garapan pena sahabat saya yang versatile ini, dengan menggunakan bahasa sastera halus melalui penceritaan sahaja juga mampu merobek keegoaan dan keakuan seorang guru seperti aku. Kekadang ianya lebih mujarab dan bermanfaat dari jeritan leteran dan nista hamun yang berpanjangan. Apatah lagi ... ianya diolah dengan watak bibliografi diri yang benar2 wujud.Syabas sahabat. Moga terus maju berkarya.
Cerpen ini hasil nukilan Ustaz Hasmadi Hamdan. 



Senja 

"Baba! Baba sihat?" Hannan bertanya kepada aku sambil menolak kereta sorong melewati jambatan di perkarangan rumah kami. Dia baru sampai dari Melaka. Tidaklah jauh sangat dia dipostingkan walau tanpa campur tangan aku pun. Aku tidak pernah melarang dia untuk menjadi guru seperti aku. Aku juga tidak pernah menggalakkan. Aku cuma beritahu dia, kalau hendak menjadi guru, jadilah guru yang mendidik. Bukan menjadi guru yang menjadi jurujual. Atau yang cuba menjadi doktor, dukun dan pawang menghalau hantu, jin dan syaitan.

Dia terus menolak kereta sorong aku. Sesudah kakiku dipotong kerana penyakit kencing manisku, aku hanya mampu disorong ke sana sini oleh orang. Kalau Hannan tidak balik pada hujung minggu, Hajjajlah yang selalu menolak kereta sorong aku. Tetapi, biasalah Hajjaj. Dia hanya menyorong. Suaranya tidak pernah keluar.

Hannan menolak aku melewati kolam ikan. Kolam itu memang aku designkan begitu. Terdapat jambatan kecil merentangi kolam. Di dalam kolam adalah dua tiga ekor ikan yang berenang di celah-celah pokok teratai putih dan bunga kiambang batu. Sekali ekornya melibas, terpecahlah bunga kiambang batu. Ombak-ombak kecil terhasil. Bunga-bunga teratai putih pun terliuk-lintuk ke kiri dan ke kanan.

"Sekolah macam mana?" Aku bertanya Hannan. Ringkas. Memang begitulah ayat aku pun apabila berhadapan dengan anak-anak. Aku masih ingat ketika menghantar dan mengambil Hussam ke sekolah aku. Kadang-kadang aku lebih suka melayan Sy, KE dan Khrill di Sinar Pagi tanpa bercakap apa-apa pun dengan Hussam. Aku dapat perhatikan apabila dia menaiki kereta dengan isteri aku, dia lebih senang berbual bicara dengan isteri aku. Begitu juga kalau di rumah. Apabila aku memberitahu isteriku aku akan out station, dia lebih suka bertanya: "Umi! Baba hendak pergi ke mana?" sedangkan aku berada di depannya. Ayat aku dengan anak-anak memang ringkas. Tidak seperti ayat aku dengan kawan-kawan aku. Entahlah. Aku cuba juga memahami literaturku. Mungkin aku tidak mahu dilihat sebagai bapa yang suka berleter. Anak-anak memang tidak suka ibu bapa yang suka berleter pun.

"Macam biasa baba. Ada yang tidak boleh membaca. Sudah puas cek usaha nak ajar mereka. Tetapi apa yang boleh diajar kalau mereka tidak tahu membaca?" Jawab Hannan.

"Pernah Hannan ajar mereka itu membaca?" Aku bertanya kepada Hannan.

"Cek ajar Matematik. Kalau mereka tidak tahu membaca, itu tugas cikgu Bahasa Melayulah." Hannan menjawab.

"Hannan! Sebab itu baba tidak suka Hannan menjadi cikgu dahulu. Walaupun Hannan adalah guru Matematik, tidak semestinya Hannan hanya mengajar murid mengira sahaja. Begitu juga kalau cikgu Bahasa Melayu sekalipun. Tuga guru bukan hanya mengajar murid menulis membaca. Tigas guru bukan hanya mengajar fakta-fakta Sejarah. Tugas guru juga bukanlah sekadar mengajar murid menghafal tasrif fa'ala, fa'alaa, fa'aluu. Tugas guru adalah menjadikan murid insan seimbang dan holistik. Sekiranya Hannan mendapati murid tidak tahu membaca dan menulis, sebagai guru opsyen apa pun, ajarilah dahulu murid itu mengenal A, B, C." Aku mengungkap kembali kata-kata keramatku yang pernah aku jaja di mana-mana pun dahulu. Ketika aku masih boleh berjalan. Sebelum kakiku dipotong. Ke sana ke sini memperjuangkan kasih sayang dalam pendidikan.

"Kalau begitu, bila hendak habis sukatan Matematik kalau asyik mengajar A, B, C?" Hannan bertanya. Soalan itu adalah soalan yang sama yang aku temui di mana-mana pun. Sejak dulu hingga kini, ramai guru-guru yang gagal memahami maksud sukatan dan kurikulum. Mereka hanya membaca sukatan pada kolum-kolum fakta sahaja. Bukan sedikit yang tidak membaca dan tidak memahami mukaddimah sukatan. Lebih-lebih lagi selepas langkah mundur KSSR dan KSSM yang hanya meninggalkan dua kolum iaitu kolum standard kandungan dan standard pembelajaran. Cadangan aktiviti sudah dihapuskan, begitu juga dengan pengisian dan kehendak kurikulum. Akhirnya guru hanya meluahkan konsep ilmu tanpa kesepaduan dan kreativiti untuk melahirkan murid yang seimbang. Oleh kerana standard pembelajaranlah yang perlu disuap kepada murid, guru menggunakan apa sahaja langkah pengajaran - oleh kerana tidak disebutkan - untuk mencapai standard. Ada murid yang dirotan kerana tidak mencapai standard, ada murid yang dimaki hamun kerana gagal mencapai standard dan ada yang disepak terajang semata-mata untuk mengejar standard. Kegagalan kurikulum dalam menekankan pembinaan insan 10 tahun lalu menyebabkan negara kita menjadi seperti negara Arab. Dihuni oleh manusia yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan. Bumi Malaysia yang dahulu bersih, damai dan tenteram dipenuhi dengan manusia yang keji akhlak, suka meninggikan suara dan tidak menghormati orang lain dek kerana pendidikan yang tidak manusiawi." Aku lihat Hannan seperti tidak puas hati dengan khutbahku yang panjang.

Dia mengambil seketul batu lalu melontar ke dalam kolam. Aku seakan mengerti bahawa khutbahku yang panjang tidak dapat diterima. Dia seolah mencampakkan kata-kataku jauh ke dasar kolam. Aku amat faham. Jiwa guru memang sukar menerima nasihat orang. Bukankan guru itu seperti nabi? Dan nabi tidak perlukan nasihat daripada orang lain. Katanya adalah wahyu. Perlakuannya adalah wahyu. Niat hatinya juga adalah wahyu. Golongan guru memang sukar untuk berubah. Mereka tidak pernah merasa berdosa pun kalau murid mereka tidak lulus peperiksaan. 100% murid mereka gagal pun tidak membuatkan mereka berfikir. Memanglah Dale Carnegie mengatakan bahawa kritikan tidak ada gunanya. Kita harus menggantikan kritikan dengan pujian. Pujian apa yang harus diberikan kalau tidak mampu memberi sinar kepada murid. Kalau asyik menyalahkan murid tidak hadir kelas. menyalahkan murid kalau tidak membuat kerja rumah. Sedangkan kerja rumah yang bertimbun tidak pernah disemak pun.

Aku telan kata-kataku. Aku tidak mahu Hannan terasa. Kata-kataku itu tersekat di kerongkongku. Biarlah orang tidak mengetahui apa yang aku rasa. Walau pahit yang aku rasa, namun madu jugalah yang harus aku luahkan. Itu juga aku belajar daripada Dale Carnegie.

"Kalau murid itu tidak mahu belajar? Tidak buat kerja rumah? Selalu ponteng? Selalu berkurang ajar dalam kelas?" Suara Hannan aku lihat seperti dia penat. Aku tahu dia memang penat pun. Mengajar di sekolah menengah harian biasa di perkampungan nelayan bukan sedikit halangannya. Anak-anak nelayan yang kurang kasih sayang, yang ibu bapa entah ke mana, yang ayah mereka bukan hanya menjadi nelayan di laut, tetapi menjadi peniaga dadah dan ganja juga adalah cabaran yang bukan main-main.

"Jangan beri mereka ilmu," kataku ringkas.

"Justeru, apa yang harus diberikan kepada mereka?" Balas Hannan.

"Beri mereka kasih sayang. Cakaplah kepada murid-murid yang nakal di sekolah, izinkan saya menjadi ibu kamu. Kalau Hannan rasa Hannan belum terlalu tua untuk mereka, cakaplah, izinkan saya menjadi kakak kamu. Saya menyayangi kamu." Selepas itu, lihatlah perubahan mereka." Aku hanya mampu bercakap kepada diriku. Aku sebenarnya sudah bosan hendak bercakap perkara ini. Banyak sangat yang aku kesal. Banyak sangat yang kita nyatakan tidak pernah dilakukan pun. Guru-guru hanya menghadiri kursus tetapi mereka tidak melakukan apa-apa pun ketika kembali ke sekolah. Aku pernah berkereta 1000km untuk berkongsi cinta dan perasaan kepada mereka. Dan apabila aku melawat mereka di sekolah, aku masih melihat telinga murid yang dipiat oleh guru. Aku masih mendengar guru yang mengherdik murid dengan berdoa supaya dia gagal kerana terlupa membawa buku teks.

Pandangan ini bukanlah pandanganku. Mungkin aku terkesan dengan al-Jahiz yang menukilkan kisah-kisah guru ini di dalam bukunya. Menceritakan kisah-kisah guru yang mengajar dan menghamburkan isi buku tanpa mengambil kira tahap pemikiran murid. Samalah seperti guru-guru agama Hassiba dan Hassina yang memaksa mereka ketika berumur 7 tahun dahulu membuat peta konsep tauhid. Yang memaksa mereka menulis Qul Yaa Ayyuhal Kaafirun. Kedua-dua mereka akan menangis ketika disuruh pergi ke sekolah agama. Akhirnya aku hanya mengatakan kepada mereka, pergilah ke sekolah. Tidak perlulah belajar kalau tidak mahu belajar. Kalau cikgu tidur, tidurlah bersama-sama guru di kelas.

"Memang itulah pun, Hannan, guru-guru di sekolah. tentu Hannan masih ingat cerita-cerita Hassina dan Hassiba yang mengadu guru meminta mereka menyalin buku teks. Kisah guru yang sering tidur dalam kelas. Ingatlah, Hannan. Menjadi cikgu bukanlah jaminan masuk syurga. Hadis yang mengatakan guru itu umpama nabi juga perlu difahami betul-betul. Hadis itu hanyalah perumpamaan. Tidak mungkin musyabbah sama dengan musyabbah bihi. Samalah seperti menubuhkan sekolah agama. Menubuhkan sekolah agama bukan jaminan seseorang masuk syurga. Bahkan kadang kala menubuhkan sekolah agama adalah jalan pintas ke neraka. Apa tidaknya, sekolah agama telah banyak merosakkan masa depan umat Islam. Dengan pencapaian GPS yang tidak seberapa. Dengan merosakkan emosi kanak-kanak dengan hukuman keras dan guru yang sepatutnya menjadi hakim dan polis. Dengan GPS 4.80 di peringkat PMR dan 8.00 di peringkat SPM, apalah yang sekolah-sekolah agama ini hendak banggakan? Apa yang hendak dibanggakan dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia pun kalau peratus lulus hanya 10%? Ibarat menanam padi tidak menjadi, jalan mana lagi yang membawa kita ke syurga? Malaikat mana lagi yang sanggup menulis pahala kebaikan sekiranya duit yuran murid pun dibelanja ikut suka hati dan tidak mahu mengemukakan laporan perbelanjaan ketika diminta? Yang paling melucukan ada pula gerakan menubuhkan koalition semata-mata untuk tidak mahu mengemukakan laporan yuran. Salah guna wang murid dan pecah amanah sudah berdarah daging dalam hidup mereka dan mereka tidak merasa berdosa pun."

"Hannan! Di depan Hannan ada dua jalan. Kalau Hannan hendak mendengan nasihat baba, Hannan teruskanlah mendidik murid dengan kasih sayang. Sekiranya masih ada sekelumit rasa untuk mendenda murid, merotan murid, tidak sanggup untuk bekerja lebih masa, tidak sanggup untuk pergi memahami murid-murid di rumah mereka, melihat dengan mata hati kehidupan mereka, Hannan berhentilah menjadi guru. Hannan duduklah di rumah menolak baba. Biarlah Hajjaj keluar pula mengembangkan seninya. Banyak lukisan-lukisan Hajjaj dalam studionya yang boleh dipamerkan. Dia sudah lama berbakti kepada baba."

Hari semakin gelap. Pokok-pokok teratai di kolam sudah mula menunduk. Ombak di kolam sudah tenang. Tirai malam mula berlabuh. Hannan menolak aku di atas kerikil menuju ke rumah. Sekejap lagi malamlah. Aku mula menghitung detik untuk pergi. Pergi dengan hati yang kecewa. Aku adalah guru yang gagal. Gagal meyakinkan guru untuk berubah.

Friday, July 6, 2012

Mimpi Semlam.

Hey Kawan,

Sudikah kalian mencuri masuk ke dalam mimpiku.

Mengikuti impuls tanpa sedar berkonvoi memasuki fantasi alam yang penuh keajaiban dan kemungkinan itu. Membelok dan pantas gerakannya. Menerawang ke segenap penjuru imiginasi untuk menancapkan cerlang fokus ke skrin minda bawah sedarku ...

Aku bermimpi !!!?

Pancaran slide pertamanya membawaku menekuni imej pegun ini. Agam dan indah, bak sentuhan seniman berpengalaman , lanskapnya menuntaskan kontras warna dan suasana yang cukup damai. Dan entah mengapa, hatiku tersentuh dan berkaca.





Kawan, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain ! Inilah sekolah tempat pertama ku dipostingkan dahulu : SMK Perempuan Likas.

Aaah, seindah namanya , seayu itu juga kenangan silamku membelainya.

Mengadaptasi citra penuh warna ini membawaku menyelinap ke kabinet memoriku, aku menggeledah mencari fail lama yang hilang, menyelongkar dan mencari. Namun ianya serabut berselerakan. Aku gagal kepasrahan....

Titis air dihujung hatiku membeku, serentak itu dinginnya menggigitku, aku kaku seketika, namun magisnya ... rindu ini membakarku untuk terus cekal berusaha. Memadamkan api gundah tersihir potret sekolah lamaku, aku membulat dengan gigih mengemas semula data ingatanku.

Aku menarik nafas keazaman, menghela seketika keserabutan minda yang kusut kebuntuan, aku singkirkan genggaman memori yang berseliratan, aku susun dan pilih hanya yang berkaitan, Aku mencari fail memori ku : Kenangan di SMK Perempuan Likas.

Masih adakah simpanan fail itu di memoriku ??

............................

Aaaah, aku terhantuk dengan deringan jam subuh tadi. Aku kebingungan dan kebuntuan.

Apakah yang aku mimpikan semalam ?? Dalam mamai aku kehilangan kata .....  tahukah kalian apa mimpiku ?

..........................

Petang ini, aku kembali sedar. Teringat sambungan mimpiku yang hilang dari aksinya. Tanpa ending ....

Tapi, tuhan merencanakan magisnya. aku terpana kagum. Terujanya aku melihat momen kaku tanpa suara dalam blog sahabatku abu nuha dibawah lembayung entry nya : Ceramah Smart Solat di SMK P Likas.

 

Dengan wajah-wajah yang semakin luput dari ingatan memori pelajar2 yang pernah aku kenali, ianya tetap menghadirkan ruangan ceria tatkala aku mampu masuk menerobos celahan gambar untuk menjamah ruangan surau siti khadijah yang pernah menjadi tempat aku berpencak memimpin pengajaran mahupun kuliah,ianya tempat aku berdiri mengatur program mahupun tempat aku tunduk melabuhkan sujudku, tempat aku serius menyunting kaligrafi pertandingan maulidurrasul negeri mahupun tempat aku santai meminjamkan seketika tubuh untuk menyandar kerehatan, tempat aku menjerit mencetak motivasi mahupun tempat aku berbisik dalam munajat tahajjud malam program qiam bersama pelajar, tempat aku berseorangan merenung dinding kegelisahan diri mahupun juga tempat aku berjemaah meladeni ukhuwwah sihat yang membahagiakan.

aku kerinduan, aku kehilangan, dan aku kesyahduan.

kelu ...


Oh, surau siti khadijah ..... antara garapan nama yang tercetus semasa permukimanku disana. Doaku buatmu untuk terus tabah berdiri.

Relakanlah para serikandi cilik itu memijak dadamu saban hari. Dalam rutin pagi mengumpul kekuatan rohani dengan bacaan mathurat dan yasin, dengan tazkirah dan omelan para ustazahnya, biarkanlah mereka disimbah cahaya redupmu, dengan sesekali kau oleskan bayu aircondmu lembut kemuka mereka. Himpunkanlah mereka dengan lembayung teduhan mu, moga mereka akan keluar sebagai mujahidah yang berjasa .... atau sebagai ibu yang berperibadi kental dan sasa.

 

jangan kau lupa untuk doakan mereka surauku, moga mereka kekal tabah dan ceria berpesta di sisimu, berusrah dan berprogram, bercerita dan bersolat .... moga mereka lebih rindu dan teruja bersamamu daripada berkelana ke lembah yang lain.

Surau ku ..... adakah lagi jodohku untuk mengunjungimu ?




Nawaitu Perjalanan

 


Hey Kawan,

Perantauan bukan semestinya satu bencana dan penderitaan.

Berjauhan mungkin menyuntik kesepian rindu dan kepedihan gelisah, namun ianya juga merupakan penawar sengketa dan penebar haruman ukhuwwah.
Betapa ramai yang meningkah : Yang dekat berbau busuk tapi yang jauh semuanya indah dan wangi.

Mungkin pepatah inggeris yang menyimpulkan pandangan seekor kambing yang berjangkit penyakit manusiawi mengeluh : Kenapalah rumput diseberang jalan sentiasa kelihatan segar dan cantik berbanding rumput yang ku ragut seharian di sini ??

Manusia tak pernah puas. Manusia leka membiarkan amarah nafsunya buas. Lalu kebejatan dan kejahatan terbuka luas.

Kehidupan dibiarkan terus tanpa Qanaah, amalan pula tiada istiqamah lantas melahirkan mazmumah yang mengundang padah.

Aaah, aku sering berbicara begini. Tanpa salam dan tujuan. Hanya ingin membekaskan kehadiranku ke teratak usangku ini. Biar ianya berTinta disini, mengandaikan aku masih bernafas dan mengenali kalian.

Terima kasih teman diatas kunjungan yang jarang disapa senyuman dan salam.

Terima kasih jua atas ingatan yang berpanjangan.

Terima kasih juga kerana sudi meneman.

Namun kemaafan tuntas perlu aku hulurkan atas sapaan entry yang jarang2.

Akhirnya mengundang bosan dan keruan.

Aku lemas sendirian.

Mengulit Syaaban yang mendatang. Dengan Syab'aan kekenyangan dan bukannya Sauman puasa membina kesedaran.

Setiap amalan manusia bersandarkan niat.

Niat membentuk tekad dan keazaman.

Azam memacu prinsip dan matlamat.

Matlamat mengarca peribadi dan jatidiri.

Kerana itu kawan, kuatkan niatmu dan olah lah dengan kesedaran nawaitu yang utuh.

Salam dari seorang teman di kejauhan.