Friday, November 25, 2011

Menyelar drakonian sang Diktator

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Keluarga lima tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah minggu lalu ke Parlimen hari ini menyerahkan memorandum kepada wakil Pakatan Rakyat dan BN.

Hei Kawan,

Tersinggung saya dengan kenyataan berbelit dari manusia yang bersila ampuh ditampuk kuasa hari ini, jika suatu ketika mereka mampu berlembut lidah mengucapkan selamat tinggal kepada undang2 drakonian ISA dan tahanan tanpa bicara, tiba2 hari ini pula mereka boleh menjerit lantang menyokong dan mengakta kan hukuman ala patriot dengan kandungan inti kezaliman yang sama.

Yang berubah hanyalah nama dan jenama.

Tiadakah lagi maruah sang manusia seperti ini yang bisa meludahi mukanya sendiri untuk kekal berkuasa dan kekal mengeksploitasi segala benda demi kepentingan sebuah posisi yang bernama kuasa.

Dan beberapa hari sebelum ini, saya mendapat mesej yang sama dan mengharukan, tatkala rakan sepengajian dan seperjuangan di JORDAN sana kini dihumban keras untuk mendekam sekali lagi dalam akta yang telah dimansuhkan.

Beliau ditahan lagi tanpa bicara. Dibiar menghidu hamis lokap yang ada tanpa mampu membela diri. Undang2 kejam untuk tembolok para pemerintah mengekalkan authoriti suara mereka untuk terus dominan bergema.

Atas alasan apa beliau ditangkap ? Berdasarkan akta mana beliau ditahan tanpa bicara sedangkan ianya akta zalim yang telah dimansuhkan....

Allah sentiasa mengintai manusia zalim sepanjang masa, tanpa lepas .... tanpa belas ...

dan tunggulah pembalasannya. allah membela mereka yang dizalimi....

Cukuplah episod tragik tumbangnya diktaror dunia sebagai iktibar .... adakah mereka belum mengambilnya sebagai pengajaran ?????

Tatapilah berita dari sumber blog sahabat saya Ust NorYusri Mansur melaporkannya :

Mereka yang ditemani Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membebaskan kesemua tahanan tersebut dan membawa mereka ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keluarga mangsa cukup tertekan dengan penahanan tanpa bukti kesalahan yang kukuh itu.

Apatah lagi katanya, penahanan tersebut dilakukan selepas Najib mengumumkan akan memansuhkan ISA, 15 September lalu.

"Tindakan penahanan ini menimbulkan keraguan serius terhadap kredibilti dan janji Perdana Menteri tersebut.

"Ia menunjukkan semua proses berjalan seperti biasa dalam kerja melanyak hak asasi manusia. Najib perlu berasa malu dengan penangkapan ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Apa yang lebih malang, sebab penahanan 13 orang di bawah ISA itu tidak dinyatakan secara jelas sebaliknya hanya dikaitkan dengan keganasan.

Mereka ditahan oleh pegawai polis dari Jabatan Petugas Khas Bukit Aman diketuai DSP Azman Omar di Tawau sebelum dibawa ke Kota Kinabalu dan kemudiannya ke Bukit Aman.

Menurut kakak kepada salah seorang tahanan, Mohd Sarail Osman, nama adiknya itu tidak terdapat dalam senarai yang dikeluarkan Ketua Polis Negara (KPN) namun dia ditangkap ketika berada di rumah.

Manakala kakak seorang lagi tahanan, Mohd Nazri Dollah, adiknya yang merupakan guru agama ditahan ketika baru pulang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan.

Dia ditahan di hadapan isteri dan anak-anaknya dan kini berada di Bukit Aman.
Menurutnya yang tidak mahu namanya disiarkan, ketika melawat Mohd Nazri, adiknya itu kelihatan tidak bermaya dan tidak banyak bercakap.

Namun apabila ditanya samaada dia dipukul sewaktu dalam tahanan, dia mengakui perkara itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, beliau dan wakil Pakatan Rakyat yang lain akan membawa isu ini sewaktu membahaskan usul untuk menarik balik tiga perisytiharan darurat yang dibentangkan Najib pagi tadi.

"Semalam saya sudah bawa isu ini dan Timbalan Menteri Dalam Negeri kata polis ada bukti mereka yang ditahan ini terlibat dengan kegasanasan.

"Saya tegaskan kalau ada bukti, dakwa di mahkamah. Tidak guna Perdana Menteri umum mahu mansuh ISA tapi dalam masa yang sama membiarkan tangkapan ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima memorandum bantahan tersebut.

Bagaimanapun, tiada wakil daripada kerajaan yang ingin memorandum tersebut.
Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ahli Parliman Pendang, Datuk Dr. Hayati Othman, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR dan
Ahli Parlimen Sungai Siput daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta beberapa wakil NGO yang bersama-sama dalam GMI.

Rombongan tersebut tengahari ini ke Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum sama

Thursday, November 24, 2011

Mentari di hari Cuti Persekolahan


Hei Kawan ....

Matahari terus menekuni rutinnya tanpa jemu, menginjak saban pagi untuk memberi sinaran kepada alam ini tanpa pernah mengeluh letih dan kebosanan.

Cahayanya yang mulanya lembut dan menyegarkan menjamah dedaun yang mula terbakar embunnya, wapnya menguap menaiki angkasa hingga sirna dari pandangan zahir mata manusiawi, tatkala sepenggalah pagi berlalu, kehangatannya mula menggigit tubuh .... memberikan aura aktif untuk sang pekerja kekal bertenaga melaksanakan kerja disepanjang hari.

Hingga ke petang ia mengagahkan diri memanaskan permukaan bumi tanpa henti, membakar diri demi memberikan keselesaan pada seluruh jagat bumi, hinggalah tiba senja untuk dia mengensot ke bawah memberi ruangan baru kepada saudara seangkatannya sang buklan yang bertugas di syif malam.

ia hilang dari pandangan, namun hakikatnya kita tahu ... sang mentari bukannya berhenti seketika untuk berehat dan bersantai, atau lari memontengkan diri dari tanggungjawab asasinya memberikan cahaya. Ia tetap bekerja dan bertugas, dengan caranya yang tersendiri ... menyinari permukaan bumi yang sebahagaian lagi tanpa henti .... tanpa jemu .... dan tanpa CUTI.

Andai sang mentari ini bisa berkata2, tidak jemukah ia bekerja dan terus didesak bertugas, tanpa ada senggang masa walau seketika untuk relaks bersantai, pasti ia akan kekal menjawab ... AKU BANGGA BERTUGAS MENGIKUT ARAHAN dan SUNNATULLAH yang diamanahkan ALLAH untukku.

Alangkah indah dan bahagianya jiwa makhluk yang mampu berkata2 sedemikian.

Oh, alangkah baiknya kalau kita mampu bertukar jua menjadi mentari kecil yang sentiasa bertugas memberi sumbangan sinar untuk manusia, tanpa merungut dan tanpa mengkhianati amanah yang dibahukan dipundak kita. Bekerja untuk menjadi HAMBA ALLAH yang sentiasa berusaha menjadi yang terbaik disisiNYA dan terelok akhlak disisi para hambaNYA.

Alam tidak pernah bercuti.

Alam tidak pernah jemu bertugas.

Alam menggalas saban hari arahan tuhan.

Alam tak pernah gentar dengan cabaran .... dan terus komited dengan jatidirnya.

Hei kawan, mahukah kalian bersamaku menjadi ...... Laskar Sang Mentari ??

Saturday, November 19, 2011

Berguru Dengan Jibril



Hei kawan, sudahkah kalian bersedia untuk mendengarnya ??

Andai selepas ini, kalian masih menyangka aku gila dan sasau pun aku akan terima sahabatku, dengarlah dulu penjelasanku ini !!

Malam itu semilir angin malam bulan Syaaban berhembus tenang seperti biasa. Langit hitam mendakap malam dengan cengkaman dinginnya. Gelap jalan disimbah cahaya neon memudarkan sedikit kelam warnanya.

Usai aku menunaikan solat Isyak di Masjid Abdullah Badawi di Kepala Batas ini, aku berkelana menuju teratakku di bertam putra. Entah kenapa, hatiku terasa disapa sesuatu, ianya semakin lama semakin jelas , auranya menarik dan memimpinku untuk melencong keluar dari jalanraya menuju ke suatu tempat yang bersih dan agam. Bunyi cengkerik dan unggas menjadi orchestra malam menemani langkah gemuruh perasaanku yang dihimpit misteri. Gerangan petaka apakah yang menungguku disana.

Tatkala itulah aku mula diselubungi cahaya.

Cahaya didalam cahaya.

Aku terpaku. Mataku berpinar. Tanganku seperti menyentuh sesuatu.

JIBRIL …. Ya sememangnya JIBRIL !!? Aku tidak menipu.

Ini buktinya. Kalian lihatlah sendiri …


Ianya sebuah buku yang aku temui dalam timbunan buku motivasi agama yang berselerakan diatas pangkinnya. Entah kenapa hati ini terus disapa ceria dan berbunga harapan. Mungkin ianya benar sapaan dari JIBRIL kepada ku….

Ianya sebuah buku yang ditulis oleh seorang Ustaz Muda yang mampu menghafaz 30 juzuk al Quran dan mewakafkan dirinya untuk memotivasikan orang lain untuk sama menjiwai dan hidup bersama al Quran.

Ianya diformulakan secara mudah untuk kita berjaya menghafaz al Quran, dengan kaedah 3 baris ayat sehari, 3 kali ulangan , satu muka surat seminggu dan insya allah bagi yang kekal konsisten akan dapat menghafaznya dalam tempoh 7 tahun.

Dewasa ini, semakin ramai warga Muslim yang menjauhkan diri dari al Quran.

Tuntutan membacanya dan mempelajari teknik bacaannya semakin disisihkan dari keutamaan pembelajaran alaf baru gen Y sekarang ini. Apatah lagi suruhan menyelak tafsiran makna dan hikmat tersiratnya semakin pupus para penuntutnya….

Dan kekecewaan paling besar yang saya rasakan kawanku, hari ini tak kira golongan marhaen agama dari jalur remaja dan dewasa, mahupun golongan pak tua pengungsi setia serambi masjid bagi menghabiskan sisa usia mereka juga para cendikiawan yang berstatus elit agama dalam ceramah dan ilmunya seolah2 semakin lemah dan mudah mengaku kalah , tewas dan mengangkat bendera putih tanda berundur dari perjuangan jihad suci mendokong al Quran yang mulia ini untuk menjaga dan mengHAFAZnya.

Jarang di antara kita yang masih berazam untuk menghafaz al Quran, dengan alasan umur yang menginjak 40 an kita menyalahkan potensi akal yang semakin menyusut kuasa sedutan dan scanningnya, begitu juga hambatan keluarga dan profesion yang semakin ligat menghimpit kita ke penjuru masa yang sentiasa kehabisan. Mana mungkin kita mampu mengahafaz al quran , lainlah kalau kita baru berusia belasan tahun dan belum berumahtangga dan berkerjaya, nescaya lebih mudah , berdisiplin dan terurus untuk agenda murni hafazan al Quran ini. Mungkin kita telah terlewat, biarlah sahaja anak2 kita yang mewarisinya nanti, kita pastikan mereka akan cuba dan berjaya menghafaznya nanti….. pasti ini getus hati kita yang sentiasa kreatif menyulam alas an dan helah bela diri.

Tapi tahukah kalian, para sahabat Radiallahu anhum adalah penhafaz dan penjaga alQuran yang tulen.

Apa beza kita dengan mereka, kawan.

Mereka ada kerjaya dan perniagaan mencari rezeki yang memerlukan masa yang bukan sedikit , kawan. Mereka juga mempunyai anak isteri dan keluarga seumpama kita yang digalas tanggunjawabnya diatas pundak mereka sentiasa.

Namun yang lebihnya para sahabat, mereka juga di amanahkan BERJIHAD mengangkat SENJATA untuk mempertahankan agama dengan jiwa dan nyawa mereka, tapi kenapa mereka mampu menjaga dan menghafaz al Quran sedangkan kita tidak.

Berapa ramai para sahabat tua yang masih mampu berstatus HUFFAZ penghafaz al Quran tatkala mereka menerima Islam diusia yang sudah senja, adakah tua alasan mereka untuk mereka tidak menghafaznya. Adakah kesibukan mencari nafkah dan hambatan keluarga yang mengganggu menjadi alas an mereka …. , dan kita semua tahu jawapannya pasti tidak.

Mereka MAMPU menjadi HUFFAZ kerana mereka MAHU.

Kerana itulah para sahabat menyatakan teorinya, tatkala kami menerima 10 ayat al quran , tidak kami berpindah kepada ayat yang lain sebelum kami terus membaca dan memperbetulkan bacaan kami, MENGHAFAZnya, menyelediki dan mempelajari maknanya dan mengamalkannya . Dan inilah PETUA mereka yang menjadi formula keampuhan peribadi mereka.

Dan inilah sebenarnya kekuatan KAEDAH JIBRIL yang cuba dicetuskan al Fadhil Ustaz Ashraf Ayub ini bagi mengembalikan kegemilangan para penghafaz alQuran dan penjaganya di alaf gen Y ini.

Kaedah mudah dan santai , khususnya bagi mereka yang berkerjaya dan sibuk dihimpit urusan duniawi yang sepatutnya ditapis keutamaannya, ia juga buat golongan yang sedang menunggu panggilan tuhan untuk dijemput ke alam barzakh dengan muhasabah berpanjangan … tegakah kita menemui tuhan dalam pembaziran usia muda sebelum ini dengan jiwa dan dada yang kosong dari secubit ayat quran sahaja, banggakah kita dengan status keISLAMan kita nanti, juga bagi mereka yang MAHU dan TIDAK MUDAH MENYERAH KALAH untuk menjadi THE GUARDIAN OF THE HOLY QURAN ini.

Ayuh juga para agamawan yang bertitle ustaz, haji dan tuan guru dan puan guru.

Mari kita susun dan himpunkan semula hafazan ayat quran yang sedia ada, kita ulangi ia agar kental diingatan. Kita usahakan dengan hafalan yang baru walau berdikit perlahan, allah tidak akan Tanya kuantitinya tapi kita akan dihujani pertanyaan tentang usaha kearahnya.

Mari kita bernaung dibawah bayangan Quran ini, mengintai maknanya dalam siulan ayat2 quran yang kita ulangi saban hari. Ianya pasti penuh dengan hiburan jiwa melalui alunan dan rentak ketaatan. Bayangkan jua ianya akan menjadi pendorong terampuh untuk merasakan MURAQABAH dan pembenteng ajaib untuk kekal dilindungi dari virus NIFAQ dan FAHSYA’.

Percayalah, ianya penawar jiwa dan pemangkin kita untuk berani berdiri dikelam malam dengan penuh keterujaan .

Alhamdulillah, mujurlah kita sempat bertemu KAEDAH JIBRIL ini terlebih dahulu untuk menginsaf dan menyedarkan kita tentang tanggungjawab hafazan al quran ini, nasib baik kita tidak terjumpa KAEDAH MALAIKAT MAUT terlebih dahulu yang jawapannya pastilah kematian.

Adakah anda sudah bersedia untuk KAEDAH IZRAEL itu ???

Kawan, marilah kita menyahut seruan Allah ini. Allah mengajarkan kita al Quran, dan Alllah akan mempermudahkannya. Yakinlah !!

Jadilah Penjaga Al Quran !!!

Friday, November 18, 2011

Bertemu Jibril !!?



Hey Kawan,

Percayakah kalian jika aku katakan bahawa aku telah bertemu JIBRIL ?

Bak diselubungi cahaya yang kemilau sinarnya aku dipeluk 3 kali dalam dakapan yang menghimpit nafasku…. Fizikalnya yang besar dan mengkagumkan terus menjadikan dadaku berombak gemuruh dengan lidah kelu tanpa suara. Kala itu aku seakan terdengar suatu perkataan … BACALAH ! BACALAH ! dan BACALah.

Bermimpikah aku sahabat….. Tidak !! Aku masih dikepung waras dan berpijak dibumi nyata. Namun mungkin malam itu, aku bertuah kerana berjaya bertemu JIBRIL.

Malam yang serba biasa pada awalnya bertukar menjadi keindahan malam yang akan malar segar dihati ini sampai bila2. Mana mungkin pertemuan penuh keberkatan dalam selubung rahmat ini mampu aku lupakan. Ianya perjumpaan yang unik dan istimewa, sesuatu yang tak pernah aku impikan selama ini.

Aduhai sahabat …. Apakah maknanya semua ini ?

Teringat aku persis pertemuan Junjungan terpuji di gua hira’ disapa Jibril dalam khalwat malamnya yang tenggelam dengan tafakur dan pasrah total kepada ilahi. Dengan sapaan dan perkenalan, baginda lantas dikurnia PANGKAT KENABIAN dan Tugasan Menyampaikan yang penuh liku dan mehnah. Baginda tega mengotakan janji dalam dakwah dan tablighnya hingga saat ini kita mampu menerima Islam dengan sempurna. Tanpanya mana mungkin kita akan mengenal tuhan yang maha mulia dengan siri peribadatan dan ketundukan diri yang sahih pada yang kuasa.

Dan susuk inilah yang cukup berharga untuk kita sayangi dan taati. Apatah lagi untuk memanjatkan selawat tanda terima kasih dan penghargaan selayaknya.

Tapi aku, kawan….. aku juga telah disapa JIBRIL !!!

Dalam kelam malam bulan SYAABAN yang lepas, aku sememangnya yakin dengan pertemuan itu. Malam yang tak mungkin aku padamkan dari memeori ingatanku, perkenalan dan pertemuan yang cukup luar biasa …. Bertemu JIBRL ,Bro !

Mungkin kalian akan mengatakan bahawa aku telah gila. Atau bahasa sopannya untuk ustaz seperti ku, aku tersampuk sawan dan mainan malam. Atau kalian lebih senang memanggilku sang pembohong …..

Tidak , kawan….. Penglihatanku belum pernah mengkhianati aku. Aku yakin, dia Jibril ….

Bertemu denganku. Berbicara ……. Dan menukilkan wahyu !!?

Was was lagi kawan…. Kerana itulah aku menyimpan cerita ini sekian lama. Aku takut ia menimbulkan fitnah dan keributan. Mungkin salah faham dan kesangsian. Tapi …. Ianya pengalaman bernilai yang amat membekas untuk ku, apatah lagi titipan hikmah yang dituang kedalam sanubariku terasa segar dan amat memukau, rugi jika aku sembunyikannya.

Biarlah aku mengambil keputusan penuh risiko ini untuk bercerita dan menyampaikan , allah yang menjadi saksi bahawa aku telah menyampaikannya !!

Mari aku ceritakan buat kalian di sana ……….

Mmmm, mungkin aku berhalusinasi lagi, ahh, nantilah aku bongkarkan buat mu, kawan.

Thursday, November 10, 2011

Wednesday, November 9, 2011

Salam Qurban


Hey Kawan ....

Lama rasanya kita tidak berutus salam, lama juga rasanya jemari ini tidak menyentuh mesra kekunci laptop yang ada ini untuk mencoret sesuatu disini. Walau hati sentiasa meruntun untuk menitipkan bicara, akliah dan amaliah diri pula seolah sepakat untuk terus mengabaikannya.
Akhirnya, sepi membungkus blog ini tanpa emosi dan perasaan.

Dalam mood hari raya yang masih bersisa ini, saya hulurkan Salam Hari Raya penuh keinsafan dan pengharapan moga setiap tingkah dan bicara yang pernah menghinggap ke teratak pendengaran dan penglihatan kalian sahabatku, mungkin penuh dengan kesilapan dan kekhilafannya, ku mohon agar dapat kalian maafkan bersama. Janganlah tinggalkan memori penuh kesalahan itu terus memayungi perjalanan hidup kalian dalam membenci diri ini. Maafkan aku jika sentiasa mengulit mimpi dan angan yang salah, aku hanyalah seorang pemimpi biasa.

Bermimpi untuk menjadi insan baik dalam menabur jasa dan keringat terpuji. Mengimpikan hari tenang dalam damai penerimaan tuhan buat amalan kerdil yang mampu disumbangkan buat khalayak terbanyak.

Dengan sedikit ilmu dan amalan yang ada, aku cuba menongkah arus kehidupan yang semakin ligat beralun deras, nyata aku belum kuat untuk berdiri dan bertahan ampuh. Hentaman aliran air yang menggila sentiasa mencemas dan melemaskan aku. Banyak langkah yang tersadung dan kerap jika mengundur kelelahan. Kala itu, hanya tuhan yang kuharapkan untuk membasuh pudarnya semangat dan membalut calarnya azam, moga aku dapat berehat seketika dan menghirup semula udara semangat, memugar kekuatan untuk terus berjalan, beramal dan berbakti .... dalam ruangan lingkup kecil yang menempati sesuai posisi diriku.

Pernah dulu aku berazam untuk galak berdiri, menggapai awan , memintal kejora kejayaan dan menggilap sinar menjadi yang terbaik. Dan untuk itu , aku perlu memberikan yang terbaik dan mengorbankan jua sesuatu yang terbaik dalam diri dan lingkungan hidupku...... namun sayangnya, ianya angan bersalut hampa, aku melihatnya sebagai sesuatu yang tidak banyak memberi manfaat dan menempa kebaikan.

Terasa sedih tatkala ramai rakan yang sedang menyilaukan nama mereka dipersada sebutan massa, kini tidak mampu lagi untuk duduk bertasamuh dan bertoleransi bersama. Seakan nama dam kemasyhuran sudah membunuh rasa kasih bersaudara dan manisnya persahabatan terdahulu. Sudah ada yang memilih bulu dan puak, sentiasa ada yang mencari pengaruh dan pengikut tersendiri, sedang ada yang asyik menfitnah dan berburuk sangka, dan akan ada yang terasa dan terbuang.

Ku kira diri ini terlalu banyak berdosa pada tuhan, aku tidak lagi mampu mengimpikan yang terbaik walau hanya untuk sekadar bermimpi cuma, biarlah aku memilih posisi melukut untuk menemani setianya gantang berseorangan berbakti tanpa didendang jasanya.

Aku kini lebih suka bersendirian. Memilih untuk terus menghitung sepi dalam batasan yang ada kiranya.

Memilih untuk berkongsi sesuatu manfaat atas nama agama. Menjulang nama Islam yang teramat indah dan mengharum wangi kebaikannya.

Tolonglah tuhan, aku tidak mengingini lagi namaku menjadi sebutan manusia atas pentas agama. Bermain dan menjual ilmu atas nama agamamu. Sesungguhnya yang baik hanya lah dari mu dan kembalinya kebaikan ini adalah untukmu.

Biar aku menjadi bersihnya debu menyucikan manusiawi yang tercemar seketika.

Aku tidak mahu menghimpun manusia dihujung jubahku, aku tidak mahu ada insan menadah muka untuk menyambut hanyir liurku, yang aku mahukan cuma ................ mereka melihatku sebagai mata rantai perjuangan Islam ini. Aku hanya ingin mempamerkan kesucian dan keindahan agamamu semata2. Moga tergambar di mata mereka kemilau kegemilangan Islam itu dan menemgelamkan terus suara dan status diriku yang masih berbicara.

Biar gugur air mata ini menempati ruang terdalam dalam sudut hati yang paling sunyi.

Dan kita akan terus bertasbih dan memuji tuhan yang memberikan segala kelebihannya kepada manusia, kerana tanpa tuhan .... ilmu, suara, bahasa, gaya , penyampaian dan rupa langsung tidak akan memberi makna.

Ayuh kawan ........... Mari kita himpunkan manusia untuk mengagumi Allah dan Islam, bukannya kita menjaja nama dan kehebatn diri untuk dikagumi manusiawi lagi.

Dan akhirnya teman, moga sempat lagi saatnya untuk kita terus berubah dan melakar pengorbanan. Korban untuk menjadi manusia yang lebih baik, baik dan baik.

Dan kawan ..... akhirnya juga, aku sampaikan salam dari sudut terpinggir dihujung hatiku walaupun aku tahu hatiku ini tidak berpenghujung, moga kalian semuanya berbahagia dan maafkan jua diri ini andai TIDAK MAMPU MENJADI SAHABAT TERBAIK untuk mengutus, berkongsi dan meladeni adab ukhuwwah yang terbaik.

Maafkan aku dan Salam Penuh Aura Pengorbanan.