Sunday, October 31, 2010

Menempa Sejarah



NEGERI SEMBILAN 1
Shahurain Abu Samah (pen m-14)

KELANTAN 2
Hairuddin Omar (m-57)
Muhd Badhri Radzi (m-65)



KUALA LUMPUR – Kelantan muncul juara Piala Malaysia edisi kali ke-84 setelah mengalahkan juara musim lalu, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Lebih manis, kejayaan muncul juara pertama kali itu merupakan hadiah istimewa sempena pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad Ke-V. Kejayaan malam tadi membolehkan nama Kelantan terpahat dalam senarai pemenang kali pertama dalam perebutan piala paling berprestij itu sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1921.

Beraksi dihadapan hampir 90,000 penonton, dengan didominasi sokongan penyokong setia Merah Putih, The Red Warriors jelas membuktikan mengapa mereka tidak boleh digelar sebagai kuasa baru dalam arena bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi kelas yang tersendiri biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa yang pertama.

Sementara kekalahan malam tadi memaksa barisan pemain Negeri Sembilan menelan kepahitan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu apabila terpaksa merelakan piala tersebut untuk dibawa pulang ke bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.



Dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua menerusi jaringan Hairuddin Omar dan Muhd Badhri Radzi akhirnya menjulang Kelantan sebagai juara baru Piala Malaysia edisi kali ke-84.

Dan dari http://sangkunang.blogspot.com/ saya menampal turun foto sejarah tercipta ini.



Thursday, October 28, 2010

Kreativiti Membina Soalan



Kreatif itu hikmah. Hikmah itu kebijaksanaan.

Kebijaksanaan itu merupakan khazanah mukmin yang paling berharga. Bukan sedikit ayat ilahi yang menggetus hikmah dalam berdakwah, bahkan hikmah diperlukan hampir disemua posisi dakwah samada bertamu didepan penguasa zalim menyatakan yang makruf dan mungkar, atau berada di situasi mendamaikan sengketa nusyuz isteri mahupun ketika menyampaikan formula ilmu dan kebaikan. Hikmah sememangnya senjata ampuh islam memenangkan kebenaran.

Wahyu allah pernah membisikkan : Serulah (berdakwahlah) di jalan allah dengan penuh hikmah kebijaksanaan, juga gunakanlah nasihat yang baik dan menyenangkan atau jika perlu berdebatlah dengan cara yang paling terhormat untuk mematahkan hujjah lawan.

Hikmah datang dengan pelbagai dimensi.

Standardnya berbeza menyantuni kepelbagaian ragam akal manusiawi.

Jangan pula berlagak akademik tika menyantuni fikrah persoalan anak kecil, dan jangan juga terlalu berteori tika berdepan sang remaja yang sedang dibakar amarah mudanya, lagi tak wajar melayani pak tua hanya dengan bicara panjang yang membosankan.

Bukankah nabi pernah berpesan : ucapkanlah bicaramu berpandukan kondisi tahap akal yang mendengar. Jika tidak, pastinya ia satu noktah kesalahan yang memalitkan nista pada maruah kalaupun ia bukannya pembaziran lisandan mungkin juga kebiasaannya menimbulkan kecamuk fitnah.

Antara method hikmah yang terbaik….. lontarkanlah soalan.



Soalan membuka pintu ilmu sebagaimana soalan dapat member nilai pada keberkesanan pengajaran atau mendedahkan kebebalan penanya.

Mereka yang pandai mengutarakan soalan akan memanfaatkan khalayak dengan krisis persoalannya. Minda menjadi kritis dalam menyimpulkan pengalaman kehidupan menjadi tandatanya. Bahkan ketepatan soalannya akan menjurus kepada pintu ilmu yang lebih tinggi dan baik….

Tapi jangan tersalah soal. Soalan yang tidak kena pada tempatnya hanya akan mengundang malu. Soalan yang disangka madu kebijaksanaan rupanya hampas kedunguan pemiliknya.

Bayangkan tika pengajian penuh persoalan puasa yang dikupas panjang lebar berdasarkan hukum, hikmah dan peraturannya. Semua audiens bersemangat menjamu pemikiran mereka dengan jawapan pada persoalan ibadah mereka yang ingin dijana sebaiknya. Persoalan batal dan rukhsah puasa dibincangkan sewajarnya, mencakupi persoalan kesihatan terkini yang sedikit sebanyak akan merencatkan momentum kualiti puasa itu sendiri.
Dan disatu sudut, dengan pakaian bersih jubah putih yang menutupi fizikalnya, dengan serban merah yang berekor kemas berjuntai kekiri bahunya, dengan sedikit janggut menjemput dagunya ia mengangkat tangan bertanyakan soalan persis seorang ulamak besar yang ingin menghakimi viva pembentangan anak muridnya.

Dia bertanya : Macamana ustaz ? Kalau suatu hari kita berpuasa tiba2 kiamat, apakah yang harus kita buat ?? Batalkah puasa kita ?? Jika ya, adakah kita kena ganti puasa kita ?


Soalan yang berona lembut keluar dari halkumnya ternyata seperti halilintar menjamah setiap sudut pendengaran audiens yang lain. Semua terpana kehairanan dan ketakjuban. Sekelip mata ruang masjid turut menyepi.

Satu soalan berani dan berwawasan. Melangkaui zaman. Sang penanya tersenyum kepuasan. Soalannya menggugat kredibiliti si ustaz muda. Kagumnya sendirian disebalik rawak wajah yang cuba ditenangkan.

Tenang sang surau menampung audiens yang terpaku menanti jawapan.

Gelojak nafas mereka tak keruan merenung wajah si ustaz yang barangkali kepanasan.

Apa jawapannya ustaz ???

Soalan istimewa ini susah giler. Bagaimanakah jawapannya ya !

Ustaz tersenyum dan berkata : Biarlah soalan ini kita jawab kemudian. Saya terpaksa selidik dulu jawapannya.

Si ustaz mengelengkan kepala merendah diri, mematikan tujahan pandangan mata yang sedang melingkari tubuhnya,sedangkan dihatinya tertawa berdekah-dekah. Aku ingatkan anak mufti mana yang bergaya hebat dengan jubah keilmuan… rupanya lebai malang yang terkhayal dalam kejahilannya. Jikalau datangnya kiamat, hukum dan syariat sudah tidak terpakai lagi. Kita hanya akan ditanya dengan amalan yang telah kita laksanakan, dan jika mati yang merupakan kiamat kecil juga datang menjemput kita, tak perlu lagi kita meneruskannya kerana kita sudah berada di alam yang lain.

Lebar senyuman si penanya. Pulangnya bangga membawa rekod baru. Soalannya maut tak tercabar di minda sang guru yang mengajar. Esok lusa … boleh dia bertanya lagi. Galak hatinya bermonolog.

Kenapa ustaz tak menjawab ?

Bukankah sebenar-benar ilmu itu ialah mengatakan “Wallahua’lam,saya tak tahu”.

Dan sememangnya ya. Saya tak tahu bagaimana nak menjawab soalan tersebut tanpa menelanjangkan air muka sipenanya dari jubah keilmuaannya. Wallahua’lam.

Tuesday, October 26, 2010

Escapisme 2



Dye itu haram dan tak boleh untuk orang Islam, jangan banyak tanya lagi. Jawapan persis tumbukan KO itu terus meniti dari bibir sahabat saya untuk mematikan langsung langkah penanya tanpa berkutik lagi. Dengan kuasa dan status yang ada, jawapan pemutus tanpa perbincangan dan percambahan minda biasanya amat senang dituturkan semudah membaca A dan B, halal dan haram.

Tapi sayangnya ia memandulkan minda sebagaimana ia menjemukan kreativiti. Dan ia juga meminggirkan pemikir dan cendikiawan sebagaimana ia menjauhkan para pencari tuhan dengan kebobrokan belenggu status dan kuasa.

Saya melihat lembut ke wajah pelajar yang bertanya. Tersentuh firasat saya dari wajahnya yang tersirat, soalannya ingin menguji dan mencari helah merungkai hokum yang sudah tersimpul. Saya menoleh pula ke sisi, tercatuk wajah-wajah ceria pelajar2 lain menunggu jawapan. Terngadah minda mereka minta dileraikan kekusutan masalah. Jawapan saya pastinya menjadi hujjah mereka untuk galak berfesyen nanti.

Saya berkata tenang, mula beranalogi tentang islam dan kesyumulannya.

Pertama, Islam melarang DYE kerana ianya satu penipuan. Nabi menyebut dengan tegas dalam persoalan ini (Man ghasshana falaisa minna) yang bermaksud sesiapa yang menipu kami mereka bukanlah dari golongan kami (umat islam). Pembohongan identity akan melahirkan jiwa pembohong dan anti kebenaran. Mereka akan membiakkan generasi munafik yang akan merosakkan agama nanti, akuilah kebenaran walaupun pahit – mungkin itulah maksud nabi menghindarkan umatnya dari persoalan DYE.

Ianya dizaman dahulu dianggap penipuan dalam umur dan identity, ramai orang yang tua mengecat rambut bewarna hitam untuk menipu umur mereka bagi memikat gadis yang lebih muda. Mungkin kerana itulah hadis yang disebutkan pada FATWA USTAZ MUDA tadi mengatakan nabi melarang umatnya mewarnakan HITAM pada rambut kecuali peperangan, bahkan nabi membenarkannya diwarnakan INAI dengan citra PERANGnya yang menyerlah.

Kedua, mungkin kita mewarnakannya kerana kita suka dan bukan untuk menipu. Lagipun kita masih muda dan bukannya mewarnakannya dengan HITAM tapi biru, hijua, merah dan putih atau selainnya.

Islam menjaga kebersihan fizikal dan anggota badan sebagaimana ia mementingkan kebersihan rohani. Islam menjadikan wuduk asas dan rukun untuk solat. Tanpa wuduk solat akan terbatal. Banyak DYE yang diperbuat dari bahan yang diragui kesuciannya, bahkan banyak yang bercampur lemak haiwan dan dikhuatiri haram dan tidak disembelih. Ada juga yang mengandunngi bahan kimia yang merosakkan rambut dan memberi kesan kimia kepada kepala. Ianya ditegah oleh islam kerana memudaratkan. Dan jika bahannya berminyak dan bersalut cecair pekat yang akhirnya menghalang kesahan wuduk, ianya jelas sama sekali adalah haram kerana ianya bermakna membenarkan diri kita untuk tidak solat secara sah. Oleh itu kita tolak DYE kerana nilaian ibadah kita pada tuhan.

Tapi nabi menghalangkan DYE yang tidak memudaratkan dan bersumber dari tumbuhan, kerana itulah nabi menggalakkan pewarna rambut dari pokok inai dan katam asal ianya tidak bewarna hitam.

Ketiga, jika sumber DYE disahkan halal dan berasal dari tumbuhan yang menghasilkan pelbagai warna, maka bolehkah ianya diharuskan kepada kita ??

Nabi pernah bersabda : Man tashabbaha biqaumin fahuwa minhum. Mereka yang suka meniru dan menyerupai sesuatu kaum maka mereka akan termasuk dari kalangan tersebut. Golongan yang taksub menggayakan fesyen barat tanpa segan silu, dan bangga memperagakan budaya barat tersebut maka nabi sendiri menggelarkannya kebaratan dan kekafiran. Maka usahlah lagi mereka ingin menggabungkannya dengan nilai keislaman.


Budaya berfesyen dengan DYE rambut bukannya budaya Islam. Ianya juga symbol kepada kebejatan social remaja yang hilang arahnya. Ianya juga trademark kepada pembenci kepada aliran agama ketuhanan ini.

Adakah kita masih mahu lagi berfesyen dengan DYE yang disadur dengan nilai barat dan keparat agama ini ??

Jadi memang tak boleh lah ya Ustaz ???? Kumpulan pelajar ini bertanya kesekian kalinya memohon kepastian.

Kamu nilai dan fikirkanlah sendiri …..

Moga mereka mengerti dan tidak pula sengaja mencari teori ESCAPISME, satu helah bersadur agama yang menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan Allah.

Monday, October 25, 2010

Nostalgia NKISM 2010



Terkenang saya saat ditaklifkan menjadi guru pengiring untuk peserta Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Kebangsaan tempohari di Kelantan.

Banyak kenangan manis yang tercatat dan tersisip kemas dingatan.

Kepulangan ke desa asal saya manfaatkan namun melihat kecaknaan peserta mengikuti rutin asas program adalah lebih bermakna.


Kerana itu, saya lebih gemar untuk turut menyertai setiap aktiviti anjuran nadwah ini moga ianya menjadi bekalan bermakna untuk dibawa pulang tatkala berakhir permusafiran nanti.



Ihsan dari SPI Penang yang dipamerkan Ust Suhaizi, ketua rombongan kami di facebook spi. Banyak memori seolah berbicara kembali dibenak saya. walau dialognya sepi, namun kesepiannya bersulam pengalaman.

Dan pengalaman itu boleh menjadi sebaik2 guru yang mendewasakan kita.




Escapisme - Madah Berhelah

Manusia suka beralasan untuk menutup kekurangan dirinya. Dalih yang sentiasa berubah dan direka2 menyelamatkan mereka daripada dimalukan.

Jika ada kekurangan mahupun kekalahan dalam persaingan, cara yang paling mudah bagi sesetengah manusia ialah menuding jari pada orang lain, ianya juga dianggap alasan terbaik daripada mengakui kelemahan diri.

Manusia yang suka beralasan akan merasa selamat dan tidak akan memperbaiki diri dan kelemahan mereka.

Bahayanya, sekiranya alasan ini sengaja diada2kan sebagai satu cara dan helah untuk menyelamatkan diri dari dirundung kesusahan dan melepaskan diri dari tanggungjawab. Dan yang lebih padahnya jika ianya sudah menjadi satu TREND untuk membebaskan diri dari tanggungjawab dan penghayatan beragama…..

Rutin awal malam rabu biasanya dihabiskan bersama pengisian tafseer di asrama Abdullah munshi ini. Ternyata jiwa muda yang dahagakan ilmu ini begitu ketara diwajah jernih mereka, setiap untaian kata yang saya lontarkan ke ufuk minda mereka terasa cepat disambar mulut mereka untuk terus dihadam. Keletah mereka umpama anak2 burung yang kelaparan .

Kekadang kerana kekangan saya terpaksa kehilangan mereka untuk urusan lebih penting yang terpaksa didahulukan. Namun sepantas itu juga, esoknya saya akan diterpa soalan, kemana menghilangnya ustaz…..?Kami menunggu ustaz penuh sabar diserambi musolla, mungkin2 ustaz akan datang walau terlewat seketika.

Sememangnya mereka begitu ustaz…. mereka kehausan ilmu agama, saya pun kagum semangat mereka untuk belajar dan mendengar kuliah
, terngiang suara Cikgu Salman warden asrama yang sentiasa ceria mengalu-alukan kedatangan saya saban minggu.

Dan malam itu….. saya beriringan bersamanya ketempat parking kereta untuk meninggalkan perkarangan sekolah seusai kuliah. Berpapasan kami beberapa orang pelajar lelaki yang sengaja mengikuti jejak, tersenyum dan kemudiannya bersuara.

Maafkan saya Ustaz, bolehkah saya bertanya ?
Nadanya rendah dan penuh bersopan.

Saya dimaklumkan oleh kawan saya, dia ada bertanya kepada DUA orang USTAZ tentang hokum memakai dye rambut samada dibolehkan atau tidak ? Dan mereka membenarkannya kerana larangan hadis rasulullah hanyalah mengharamkan penggunaan warna HITAM untuk rambut kerana ia akan mengelirukan dan membohongi fakta usia seseorang. Maknanya kita dibolehkan untuk mengecat rambut dengan dye kan ustaz ??


Cukup berseni soalannya. Pertama – menggunakan kata ganti nama ketiga untuk melampirkan soalan, satu cara yang cukup selamat menyembunyikan identity dan reality sebenarnya. Entah siapalah agaknya yang bernama KAWAN itu.

Kedua – menggunaka angka dan authority agama berstatuskan ustaz sebagai pembuka bicara untuk meneutralkan pandangan awal terhadap isu. Ianya barangkali berstrategi licik melumpuhkan prinsip dan asas pegangan selama ini. Dengan strategi : timbulkan keraguan dan kemukakan fakta, ianya mampu menewaskan hujah pihak lawan.

Dan ketiganya ialah menyerang dan mengasak kesimpulan awal untuk memberikan ruangan sempit untuk para agamawan menjawab dengan selesa dan tanpa tekanan. Seperti kebiasaan, saya dah terlanjur dan buat begitu dan begini, apa hukumnya ustaz ?? Soalan biasa yang akan dikemukakan penyoal. Kalau dah buat, buat apa lagi nak tanya hukum. Hokum adalah berdasarkan apa yang belum dibuat, kalau sudah buat terimalah hukumannya. Bukankah begitu wajarannya.

Kesemuanya adalah madah berhelah bercirikan ESCAPISM untuk menghalalkan sesuatu isu asas yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Bersambung ...........

Friday, October 22, 2010

Jejak Foto Dari Kem Kecemerlangan

Beberapa foto dari ehsan spi penang, mungkin memori ini mampu menjana istiqamah berkekalan.









Kem Kecemerlangan Pelajar Islam 2010

Berlangsung tanpa publisiti meluas ialah sebuah program anjuran Sektor pendidikan Islam Pulau Pinang dibawah kendalian dua murabbi SPI Penang, Ustaz Suhaizi dan Ustaz Arizualdy.



Program berskala sederhana ini mengumpulkan para pelajar dari beberapa buah sekolah yang terpilih sahaja. Kendati nawaitu yang asasnya ialah mengumpulkan para pelajar yang bermasalah dari sudut pemahaman akidah, penghayatan ibadah dan pemakaian akhlak.

Justeru saya menyambut positif tatkala dihubungi al fadhil pengelola program untuk menempatkan 10 pelajar berstatus tersebut untuk dibimbing didalam komuniti kem kesedaran yang lebih dihighlightkan sebagai kem kecemerlangan ini.

Seawal tugas amat rumit untuk mengumpulkan pelajar tingkatan 4 yang diminta penganjur, ini kerana tapak program yang bertempat di masjid negeri pulau pinang mematikan langsung keinginan para pelajar berstatus nakal2 remaja ini untuk mengikuti program.

Setelah beberapa hari bertolak ansur dan berbahasa halus dengan pelajar, saya amanahkan kepada saudara HILMI, ajk BAKTI untuk mempromosi dan mengambil maklum balas dari pelajar, tapi ternyata saya dihampakan dengan pelbagai alasan pelajar untuk tidak menghadiri kem tersebut.

Lalu, dengan kuasa SUPERGURU yang ada pada saya, saya memilih secara terpilih beberapa nama pelajar yang agak nakal namun masih boleh dibimbing untuk diserapkan dalam senarai pelajar yang akan diasuh nanti. Dengan menggunakan sedikit teknik pujukan ala paksa, mereka bersedia mengharunginya.

Namun, sebagai strateginya, saya masih menempatkan beberapa orang pemimpin BAKTI untuk menjadi peninjau dan penasihat on the spot kepada rakan2 yang mungkin terlupa.

Berlangsung selama 3 hari bermula 12-14 haribulan 10 yang lalu, respon pelajar saya cukup positif, mereka seolah tersihir dan tersentuh dengan aura positif yang hadir dari kalangan murabbi dan fasi yang terdiri dari pendidik agama di sekolah berdekatan.

Andaian awal dan nakal rakan guru yang pelajar ini akan membawa masalah dan mencalar imej sekolah ternyata meleset, sebaliknya mereka dipuji antara kumpulan aktif dan berdisiplin dikalangan komuniti peserta. Ulasan rawak yang saya terima dari para fasi dan murabbi juga menceritakan perkara yang sama.



Dan mungkin kerana itu jualah, beberapa peserta dari SXI ini terpilih memimpin kumpulan dan program2 tertentu, dan dipenghujungnya serumpun doa dirafakkan doanya oleh wakil pelajar dari SXI juga.

Moga arus perubahan ini mampu terus bertahan dan menderukan momentumnya untuk merancakkan penghayatan agama disekolah satu hari nanti.

Tatapilah beberapa gambar fasilitator dari laman facebook spi penang.



Wednesday, October 20, 2010

Pandanglah ke Belakang !!



Hidup umpama roda yang berpusing.

Entah sudah berapa jauh jaraknya perjalanan, ianya tetap bergolek sabar dengan pelbagai rencam masalah dan kehidupan.

Namun walaupun pandangan mata perlu fokus di aspal perjalanan, permusafiran takkan tenang dan berjaya ke destinasi tanpa ada cermin belakang dan sisi untuk memantulkan sudut pandangan berbeza buat kemaslahatan semasa berkelana.

Resmi kita untuk menyorot sejarah lama, mengintai ibrah dan pengajaran, menyulam azam dan tindakan, menekuri keabsahan keputusan serta mengandai pelbagai dimensi pengalaman. Namun resminya tolehan, ianya bukan bermakna terleka lama di pandangan belakang, menangisi dan menyesali, menggelisahi dan meminggir harapan, bukan juga bermakna untuk kita terus muram dan berdendang sedih, mengandaikan kalau begini dan begitu, menyesali takdir dan memarahi waktu…..



Tapi pandanglah ke belakang untuk memilih yang hitam dan putih dari jendela pengalaman, tolehlah seketika untuk menikmati kenangan, suntiklah motivasi untuk diri yang kekadang terlalai lali dari prinsip perjuangan, ketuklah diri dengan ingatan silam supaya lebih tegas berjuang dan berkorban…

Sesekali saya menoleh tulisan lama ini, garapan kedua diblog travelog ini. Mungkin ada azam yang belum tertunai dan ada harapan yang semakin sirna.

ENTAHLAH HIDAYAH ......

Entah bagai dirancang dan sememangnya sudah tersurat, kelahiran blog ini amat membahagiakan. Ianya juga lantunan dari idea dan gesaan kawan – kawan yang mahukan perkongsian ilmu dan rasa ini berterusan diabadikan dan dimanfaatkan secara bersama di alam maya ini.

Dan kini ianya menjadi kenyataan namun rasa rendah diri dan kekurangan terus menyerang sudut hati ini takut dan bimbang amanah ilmu yang disampaikan tersasar dari hidayat dan niat yang dipaterikan diperingkat awal terpesong jauh dari keikhlasan.Ya allah,ku pohon padamu agar usahaku ini mendapat keredhaan mu dan caraku ini tidak melalaikan dan memesongkan aku dari hidayahmu.

Dan entah mengapa ianya bagai direncanakan apabila blog ini dengan bersendikan judul Travelog Hidayah diluncurkan ke alam maya ini, rupanya ia serentak dengan kemunculan Solusi isu ke12 yang membawa tajuk utamanya Hidayah Kompas Kehidupan yang dicanang oleh Ketua editornya Sdr Pahrol Mohamad Juoi, memang ia sebuah majalah yang baik untuk tatapan umum yang dahagakan informasi agama apatah lagi ianya diulas dan diolah oleh minda ulamak yang sudah teruji kewibawaannya. Moga ianya terus membawa kebaikan untuk semua.

Sebenarnya entah mengapa hati ini terus terpaut dengan nama Travelog Hidayah ini mungkin selepas diri tergamam dan kagum dengan buah tangan penuh rasa dan airmata serta hadiah pengalaman Prof Mohd Kamil Ibrahim,yang menulis buku bestsellernya Travelog Haji dan Dakwah, seterusnya melakarkan perubahan dan hidayah luarbiasa yang mengubah sempadan iman dan amal sebelum ini.Moga blog ini juga mampu mencoret perubahan dan hidayah pada diri pemilik dan pembacanya,insya allah.

Dan memang entah mengapa, rasa ingin memiliki dan menyebarkan blog yang berorientasikan dakwah dan ilmu ini ke tengah arus masyarakat ini semakin menebal dan membuak apabila sifu sahabat blogger sabah Ust Akmal Othman dengan blog popularnya Abu Nuha Corner menyarankan usaha dakwah di alaf moden ini harus dirancakkan dengan pelbagai alternatif,strategi dan medium yang boleh dimanfaatkan.Gesaannya itu dibuat semasa membentangkan slot tarbiah dan pengenalan blogger semasa Konvensyen IT Pemuda Islam di Kundasang 24-25 okober yang lalu, ia amat bermakna dan mengujakan.Banyak manfaat yang diperolehi… moga allah memberi ganjaran.

Ya,memang entah mengapa…. Hakikat hidayah ini hanya allah yang tahu, allah memberi hidayah kepada siapa yang ia kehendaki dan allah juga akan menyesatkan mereka yang membenci agamanya ini berdasarkan apa yang ia kehendaki.

Moga allah memberikan kita hidayah dan petunjuk dan ini bukannya entahlah, tapi mohonlah dengan penuh kepastian dan keyakinan.

21 Oktober 2010



Tatkala khalayak gah menanti kehadiran tanggal 10.10.10 dan juga tarikh 20.10.2010 untuk diabadikan sebagai tarikh sempurna untuk ikatan perkahwinan, pertunangan mahupun perSUNATan. Saya lebih teruja menunggu tibanya hari ini 21.10.2010.

Apa ada pada tarikh dan angka ? Ianya hanya gabungan nombor yang tercantum menjadi sejarah, kejelitaan yang terpamer pada susunannya langsung tidak berkait dengan tuah mahupun keberuntungan seseorang. Angka juga makhluk tuhan sebagaimana hari dan waktu, ianya akan datang dan berlalu. Sepantas detik dan waktu, selaju angin yang menyongsong hari. Tiada berhenti dan tidakkan kembali.

Bayu yang datang seterusnya adalah hembusan angin yang baru, samada dinikmati kelembutan sapaannya atau pun tidk diendahkan… ianya tetap berlalu pergi sepantas kedatangannya. Dan angina yang baru akan tetap berhembus dan bertugas, mendaulatkan tanggungjawabnya berfungsi sebagai makhluk tuhan.

Apa istimewanya hari ini ???

21.10 tahun 2010 merupakan tarikh genapnya setahun kelahiran blog ini. Ianya diluncurkan tatkala saya masih bermusafir dibawah hembusan bayu kinabalu yang membelai, diiringi nikmatnya salju ukhuwwah yang mendingin bersama sahabat seperjuangan di Sabah dahulu.

Blog ini sudah setahun rupanya. Bermula pada tarikh 21.10.2009 sebagai reaksi positif saya menyahut seruan dakwah di alam maya sekembalinya saya dari Seminar IT di Kundasang Sabah.

Dan kini ianya sudah dikunjungi oleh 7854 tetamu setia dengan kebiasaan hitnya ialah 20 pengunjung sehari. Terima kasih jua kepada 32 sahabat yang sudi menjadi koleksi daftar pengikut dipenjuru kiri skrin blog saya. Entahlah, kekadang saya tak tahu apakah kelebihannya menjadi follower sebagaimana saya juga tidak pasti adakah kehadiran blog ini didunia siber mampu menyuntik manfaat ataupun tidak… Begitulah juga garapan karya saya kekadang banyak pasang surutnya, bergantung pada mood dan kelapangan waktu yang ada. Namun jauh dipenjuru hati, jemari nakal ini sentiasa ingin mengetuk keyboard yang ada selagi sentuhan idea mampu merembes mengikat untaian kata yang memberi erti dan makna. Selagi ada hayatnya…..



Terima kasih untuk semua …..kerana sudi berkongsi masa menziarahi bolg saya yang sekadarnya. Tanpa eksesori ….. Tanpa halwa telinga …… tanpa animasi dan video….. tanpa aksara penuh warna warni…….tanpa iklan…….. tanpa berita semasa ……. Tanpa sensasi ….. tapi tidak TANPA HIDAYAH.

Kerana nawaitu saya ialah memberi dan berbicara tentang HIDAYAH ini untuk semua, agar pemiliknya jua disenangi tuhan dan diberi peluang mengecapi nikmat hidayah dan istoqamah selama-lamanya.

Dan kerana itulah saya gagaskan tulisan pertama saya dibawah tajuk : Dimulakan dengan bismillah.

Salam ukhuwwah fillah..

Perasaan pertama untuk memiliki blog peribadi sudah lama tersimpan di hati kecil ini tatkala melihat usaha dakwah yang kerdil mampu menjana kesan yang lebih besar dengan medan dakwah terbuka tanpa sempadan ini... ianya juga mungkin kesan dari kecemburuan yang sentiasa bergayut ditangkai hati melihat sahabat2 lain sudah mula melakar idea islah dan lantera tazkirah mereka dalam menyinari alam kehidupan yang mula sirna dan kelabu dari hidayah.

Ia juga mungkin sekadar langkah untuk mencari momentum pahala yang lebih lantaran umur berbaki yang semakin sempit dan takut tidak berkesempatan,mungkin juga rasa zulmat dosa yang banyak harus dicari noktah dan timbangan pahala sebanyak2nya untuk mengimbangi neraca amalan juga untuk menjemput rahmat dan belas ihsan pencipta pada insan kerdil lagi hina ini.

Mungkin perkataan hidayah lah yang paling baik untuk memulakan tindakan dan amalan, tanpa restu dan keizinan tuhan ... kita manusia tidak punya harga dan maruah.
Doakan moga amalan ini akan berterusan tulus dan berbunga manfaat yang tidak akan menghampakan tuannya di hari pertemuan dengan Rabbul Jalil satu hari nati.
Bukankah nabi pernah bersabda : Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain.

Harapannya agar hidayah ini akan terus menyubur dalam diri dan menjadi suluh hidup kita semua.

Saturday, October 16, 2010

Majlis Pengiktirafan Huffaz



Mungkin ramai yang tertanya, apakah yang sudah berlaku di Pulau mutiara ini, ribut konfliknya tak pernah reda.

Percaturan dan amarah rasis perkauman seolah begitu membuak2 di seluruh kepualaun kerdil ini.

Perjudian, Kezaliman dan Manipulasi perkauman seperti jelas bersarang dipermukiman sekangkang kera. Mana pula janji Ketua Menterinya yang ingin meneladani kepimpinan Khalifah Umar Abd Aziz satu ketika dulu. Dimanakah beliau kini ...? Mungkinkah sedang bersembunyi ....

Mungkin patut untuk kita bersama ke laman facebook Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut untuk mengetahui respon dan prinsipnya.

Antara yang baik untuk dikongsikan disini ialah :

Majlis Pengiktirafan al Hafiz dan Ijtimak Huffaz Pulau Pinang Tahun 2010
Tarikh : 11 Oktober 2010 (Isnin)
Tempat : Dewan Sri Pinang

Mungkin dengan objektif yang dilestarikan dengan tema Satu Keluarga Satu Hafiz, ketua menteri walau berlainan agama berpegang pada prinsip agama akan mengajarkan kebaikan optimis untuk terus menyuburkan program seumpama ini.

Beliau turut menyatakan bahawa bilangan penghafaz al quran semakin meningkat saban tahun di Pulau Pinang ini, rekodnya dikumpul mulai tahun 2008 semenjak kemenangan PR bermula dengan 103 orang hafiz.

Alhamdulillah, momentum positifnya berterusan meningkat ke 140 hafiz pada 2009 dan ditahun ini Pulau Pinang berjaya melahirkan 180 orang hafiz.







Moga Allah memberi hidayahnya kepada siapa yang DIA kehendaki.

Saturday, October 9, 2010

Mencari Kelainan

Bersama lensa kamera yang tidak pernah berhenti berkelip.

Terakam episod yang kekal di memori.

Di Majlis Restu Ilmu yang berlangsung dalam selubung rahmat dan kasih tuhan.


Menadah segala inayah dalam perhambaan kerdil seorang hamba.


Barisan anak2 pelajar SXI khusyuk menunaikan solat.


Tenang mentaati tuhan.


Tapi dalam gambar ini, seolah ada sesuatu yang tak kena. Apa ya ????

Majlis Restu Ilmu

Salam Peperiksaan !

Masih belum terlambat rasanya untuk saya memintal ingatan pada para pelajar yang kini sedang bergelut dengan PMR dan juga yang akan menempuh peperiksaan yang lain. Ingatan untuk kita pasrah dan berdoa selepas usaha dan ikhtiar.

Worship Day 2 !! Itulah tugasan saya berikutnya. Ianya merupakan hari penganut semua agama untuk bermeditasi mengingati pengasasnya.

Juga untuk membina rangkaian kesatuan dalam beragama pada semua warga ST Xavier ini.



Tilikan saya mendapati tarikhnya tepat menghampiri situasi kritikal – merasai debaran dan gementar – peperiksaan yang akan berlangsung. Tanggal 1 Oktober yang diamanahkan untuk berlangsungnya program pula sememangnya dikhaskan untuk semua anutan fahaman ini memimpin para pelajar agamanya untuk merasai kehebatan pergantungan kepada penciptanya, atau mungkin dalam ertikata mereka (pengasasnya).

Kepimpinan Baru

Namun bagi saya kali ini ialah bagaimana merencana dan melaksanakan program ini dengan saf kepimpinan baru BAKTI, hamper 85 peratus organisasi yang baru ini adalah anggota baru yang mula berjinak dengan wadah perjuangan islam ini. Merekalah sebenarnya pelapis baru yang diharapkan mampu meneruskan kesinambungan episode dakwah dan hidayah dalam komuniti majority islam di sekolah ini. Menangani karenah anggota pelajarnya bukanlah sesuatu yang mudah kerana rebung mereka tumbuh dalam acuan berbeza dan tersendiri. Kekadang tercondong dari lurus cahaya mentari hidayahnya.



Tapi alhamdulillah, dengan karisma pengerusi baru yang dilantik, kelancaran program seolah berjalan tenang dilandasannya. Pengendalian majlis juga tercerna indah dalam sinaran mentari pagi yang gemersik biasan cahayanya.

Majlis Restu Ilmu…..

Itulah program yang kami luncurkan bersama di pagi itu.

Bersama menyembankan permohonan didahi sujud, bersama merafak doa kelangit harapan, bersama menyulam pasrah didada tahlil, bersama mendengar tazkirah dan motivasi nasihat yang disampaikan guru dan barisan pendidik.

Kali ini, saya bawakan segmen kelainan dengan menjemput beberapa orang guru PMR dan SPM untuk bersama berkongsi pentas majlis memberi nasihat, dorongan dan inspirasi buat pelajar. Moga kepelbagaian dan keiklasan yang tampak disetiap lenggok bicara sang muaddib ini mampu dijamah rasa sedar dan insaf dihati pelajar.

Dan akhirnya, saya maklumkan tatkala terasa sudah ada mata yang bergenang airnya, tatkala hati sudah ada yang tersentuh emosinya, tatkala motivasi sudah ada yang menggunung tekadnya…. Wahai pelajarku sekelian, pergilah ke setiap guru kalian, yang pernah mendidik dengan nawaitu ikhlas yang membara, tatapilah wajah mereka, mintalah ampun pada mereka dan mohonlah dihalalkan agar segala ilmu yang mereka berikan padamu. Moga tiada secalit geram dan benci pada diri mereka. Ingatlah … doa seorang guru selain ibubapa adalah amat mustajab.

Dan semasa majlis bersalaman, saya mewakii panitia islam menghadiahkan mereka dengan sejambak alat tulis yang dibungkus indah menjadi kelopak ingatan yang mewangi syukurnya.



Moga mereka mampu menghadiahkan yang terbaik buat diri mereka dan sekolah..

Respon Positif

Beberapa hari berlalu…

Seorang guru memberitahu saya, alhamdulillah ustaz, sejuk hati keibuan saya melihat anak2 islam kita berkerumun memenuhi bilik guru mencari para guru yang mengajar mereka. Tanpa segan silu mereka memohon maaf dan minta didoakan kejayaan mereka kepada guru, tanpa berselindung ada yang menangis keterharuan, tanpa berpaling mereka berjumpa dengan semua guru mereka.

Dan alangkah harumnya hati saya ustaz, bila ada sebahagian guru bukan islam amat terperanjat dan teruja melihat perubahan akhlak para pelajar kita ini.

Alhamdulillah, segala yang baik dan mulia adalah milik kesempurnaan allah jua.

Wednesday, October 6, 2010

Keluarga baru OUM Penang



Hari Sabtu saya kembali hidup, jika sebelum ini kebiasaannya kami sekeluarga hanya akan meluncur dijalanraya untuk pulang ke kampong untuk bertemu keluarga.

Kali ini jadual Sabtu saya kembali padat. Terisi dengan tugasan pengajaran tutorial di sebuah universiti swasta yang meniti glamournya tersendiri, Open Universiti.

Sejak 2005, saya dilamar untuk menyertai kumpulan awal peneroka gerak kerja pembelajaran sepanjang hayat anjuran universiti ini. Ketika itu, kolej PTPTL di Sembulan menjadi pusat pengajian pertama warga senior yang keciciran kesempatan zaman untuk meneruskan cita akademik mereka.

Dengan kemudahan yang ada dan wawasan universiti yang sentiasa muda. Saya melihat kewajaran dan kebaikan pada usaha yang dilakukan.

Ianya memberi ruang lebar untuk semua warga senior ini untuk berjaya mencapai peningkatan dalam taraf akademik mereka disamping mampu mendepani arus dan cabaran semasa.

Tugas dan profesion yang pelbagai dengan masa kerja yang beragam tidak menjadi penghalang buat kumpulan pelajar ini, bentuk pengajian jarak jauh yang ditawarkan juga amat memudahkan kumpulan sasar ini meneruskan pengajian walau karenah anak beragam dikeliling pinggang, walau timbunan tugas yang menyesakkan, walau jarak dan sempadan geografi juga begitu jauh dan memanjang jalur aspalnya.

Pusat pengajiannya disabah juga sentiasa berubah, dari sembulan ke UMS, dari UMS ke Maktab Perguruan Gaya, dan akhirnya kini OUM mampu menjana ekonomi dan promosi gahnya memungkin universiti ini memiliki 2 bangunan kekalnya di Kota Kinabalu dan Tawau.

Berada dalam keluarga OUM merupakan satu perkara yang menyeronokkan, saya sempat bertemu ramai kenalan dan rakan sejawatan yang tega menuntut ilmu.

Teringat kali pertama menjejak menara OUM ini untuk memberi kuliah, saya terkejut dengan jarak usia yang begitu jauh antara saya dengan para pelajar OUM ini, apatah lagi jawatan mereka. Dengan usia yang begitu berbeza, bukanlah menghairankan jika saya pernah mengajar mereka yang 15 hingga 25 tahun lebih berumur dari saya, dan ada dikalangan mereka merupakan penolong kanan, guru besar malahan ramai juga yang telah lama berbumbung khidmat di JPN Sabah sendiri.

Kekadang terasa malu dan kerdil saya terhadap mereka, perasaan hormat menebal untuk mengajar dan mendidik sementelahan saya yang sepatutnya menerima didikan, tapi yang kecil bukan semestinya anak yang besar bukan selalunya bapak … maka saya gagahi jua tugasan ini apatah lagi bila saya mendapati ada kelompangan ilmu dan maklumat pada mereka yang perlu saya isi. Moga saya mampu membantu dan bermanfaat.

Dan Januari 2010, akhirnya sang bangau kembali kebelakang kerbau, destinasinya Pulau Mutiara yang serba cerlang bergemerlapan.

Disini, saya terpisah lama dari OUM.

Tapi Oktober 2010 ini,nadi jodoh saya di OUM masih berdenyut rupanya.

Setelah mendapat panggilan dan akuan tugasan dari pihak terbabit, saya d iberi tugasan mengajar subjek pendidikan Islam dan Tajwid pula. Destinasinya, saya terpaksa menjelajah dua buah Insitut Perguruan, IP 4P di Gelugor dan IP Bainun di Mengkuang, Pulau Pinang dalam senggang masa yang diberikan sejam cuma, namun alhamdulillah terasa segala urusan dipermudahkan tuhan.

Harapannya, cetusan pembelajaran sepanjang hayat yang dicetuskan para pelajar senior ini mampu membara dan membakar semangat saya untuk terus bergelumang dengan ilmu dan mendaki tahap akademik yang lebih tinggi.

Ya allah, permudahkan saya untuk terus belajar dan belajar.

Monday, October 4, 2010

Jam oh Jam !



Jam saya rosak lagi.

Entah ini buat kali yang ke berapa.

Terasa tangan ini seperti tidak serasi dengan jam.

Sejak di usia tingkatan lagi, terasa tangan saya selesa memakai jam, bahkan ianya sudah menjadi kebiasaan saya memilikinya untuk mempermudahkan saya menilik masa dan menilai mutunya.

Tapi seakan jam pelbagai jenama dan harga ini tak pernah betah berada lama di tangan ini. Ia seakan mempunyai badi tersendiri.

Entah ketulahan apa yang ada, jam takkan berdiam lama ditangan kiri saya.

Kebiasaannya jam tersebut tidak akan bertahan lama, sama ada ia rosak dan kekadang ianya hilang ghaib begitu saja. Paling lama ianya akan bertahan seingat saya tak lebih dari setahun setengah, selepas itu ia akan membuat hal.

Mungkin tangan ini agak panas agaknya.

Kerana itulah saya suka membeli jam murahan yang dijual bertaburan dipasar malam di kota kinabalu dulu, harganya semurah RM 25 yang di beli berjenama tiruan tahan dipakai selama setahun. Rasanya amat berbaloi berbanding jam semahal RM 120 yang dihadiahkan isteri sempena ulangtahun perkahwinan juga bertahan hanya setahun.

Kali ini saya membeli jam lagi, entah buat kali ke berapa. Tersenyum isteri saya melihat kegelisahan saya bila tidak berjam ditangan, dengan penuh memahami diajaknya saya menuju ke kedai TIME GALERIES di TESCO untuk memiliki jam lagi.

Setelah wang RM 79 bertukar tangan, jam tersebut sah menjadi milik saya pada tanggal 8 Ogos yang lalu.

Kali ini saya berazam mencipta rekod peribadi, mempertahankan usia dan ketahanan jam ini agar terus bergaya di tangan saya. Azam saya untuk tidak sesekali menjatuhkannya walau dengan tidak sengaja, membasahinya walau untuk berwuduk mahupun meletakkannya bebas di almari yang mungkin dicapai anak2 kecil saya.

Begitu teliti dan konsisten saya bertekad dan mengaplikasinya seharian. Cuba untuk bertahan dan terus bertahan. Mungkin ianya akan menjadi reality.
Siapa tahu…..

Dan siapa juga yang tahu , bila kelmarin selepas menziarahi raya ke rumah adik ipar saya di Taiping, Perak. Tiba2 jam itu terungkai talinya sendiri.

Tanpa salam dan apa2 tanda. Tanpa mahu mengasihani saya.

Tersepuk saya di kerusi khayalan, rekod saya lebur dalam pembikinan impian. Hanya bertahan tidak lebih dari DUA BULAN.

Rekod juga bukan …..! Mujur masih ada warranty nya.

Sunday, October 3, 2010

Persimpangan Waktu



Jam terus berdetik,
Berputar mengikut tingkah waktu
Rutinnya tegas,
Berwawasan ke hadapan,
Barannya tak pernah kenal erti menanti
Meninggalkan yang lemah kerugian …. Terkebelakang.
Dan arus masa tidak pernah menoleh ke belakang

Lakukanlah yang terbaik ..

Semalam adalah sejarah
Esok adalah misteri
Dan hari ini adalah anugerah….



Impikanlah yang terbaik…

Semalam adalah pengajaran
Hari ini adalah cabaran
Dan esok adalah ketentuan…

Hadiahkanlah yang terbaik untuk dirimu..

Hargailah masa yang masih ada…
Bersyukurlah.

Kaabah Sumber Hidayah



Dari blog sahabat saya Ustaz azhari, saya menyusur ke Muallaf Centre online, ianya mengisahkan pelbagai dimensi hidayah yang muncul dalam bentuk berbeza dan tidak terduga cara dan sahsiah pemiliknya.

Tatapilah artikel hidayah ini :

Hidayah bisa datang dari cara yang tak pernah diduga. Mungkin itu pula yang dialami ratusan pekerja Cina di Arab Saudi yang kemudian memilih Islam sebagai agamanya yang baru.Setelah melihat Ka'bah dari TV, tiba-tiba hati mereka bergetar. Pintu hidayah seakan terbuka. Dan Allah SWT pun melapangkan jalan mereka untuk mengucapkan dua kalimat syahadat.

Lebih dari 600 pekerja asal Cina berpaling menjadi Muslim setelah mendapatkan pengalaman spiritual di Arab Saudi.Mereka adalah bahagian dari 4.600 warga Cina yang sedang mengerjakan projek rel kereta api yang menghubungkan Makkah dan Madinah. Rel kereta itu nantinya akan melalui Jeddah dan Khum. Peristiwa yang sempat menghebohkan itu terjadi tahun lalu.Awalnya, kedatangan ribuan pekerja Cina itu sempat dipertanyakan warga Arab Saudi.



Pasalnya dari 4.600 pekerja itu hanya 370 orang yang Muslim. Warga meminta agar pemerintah mempekerjakan buruh Cina yang beragama Islam. Namun Allah mempunyai rencana lain dengan kedatangan para pekerja itu.Kedatangan ke Arab Saudi ternyata membuka peluang bagi mereka untuk melihat Islam langsung dari tanah tempat agama ini diturunkan. Seperti yang dikatakan seorang pekerja yang telah menjadi Mualaf. Pekerja yang telah mengganti namanya menjadi Hamza (42) ini mengaku tertarik pada Islam setelah melihat Ka'bah untuk kali pertama di TV Saudi. ''Ini menggetarkan saya. Saya menyaksikan siaran langsung sholat dari Masjidil Haram dan umat Islam yang sedang berjalan memutari Ka'bah (tawaf),'' katanya.''Saya bertanya ke teman yang Muslim tentang semua hal ini. Dia kemudian mengantarkan saya ke Bimbingan Asing yang ada di perusahaan, di mana saya memiliki kesempatan untuk belajar tentang berbagai aspek mengenai Islam,'' tuturnya.



Kini Hamza merasa lebih bahagia dan lebih santai setelah menjadi seorang Muslim.Pekerja lainnya, Ibrahim (51), mengalami peristiwa yang hampir serupa pada September tahun lalu. Dia yang bekerja di bahagian pemeliharaan perusahaan negara, Kereta Api Cina, menjadi seorang Muslim usai melihat Ka'bah. ''Meskipun kami berada di Cina, kami tidak memiliki kesempatan untuk belajar tentang Islam. Ketika saya mencapai Mekah, saya sangat terkesan oleh perilaku banyak warganya. Perlakuan yang sama bagi orang Muslim dan non-Muslim memiliki impak besar pada saya,'' tambahnya.

Sementara, Abdullah Al-Baligh (51), terinspirasi untuk memeluk Islam setelah melihat perubahan positif dari rakan-rakannya yang lebih dulu menjadi mualaf. ''Enam bulan setelah saya tiba di Makkah, saya melihat bahwa rakan saya, yang sudah menjadi Muslim, telah benar-benar berubah. Tingkah lakunya patut dicontoh. Saya menyedari bahwa Islam adalah kekuatan penuntun di balik perubahan tersebut,'' ujarnya.''Ketika saya bertanya padanya, ia mengatakan bahwa ia sama sekali tak tahu tentang agama ini selama di Cina. Sekarang, ia memiliki pemahaman yang tepat tentang Islam dan ingin menjadi lebih teladan.''

Begitu pula dengan Younus. Pekerja asal Cina ini baru mempelajari Islam ketika berada di Makkah. ''Islam di Cina begitu kurang. Aku baru mengetahui Islam setelah datang ke Saudi,'' ujarnya.

Saturday, October 2, 2010

Hujan Persoalan

Gelisah saya di jendela waktu.

Dibalik tirai malam, saya merenung basah alam disirami curahan hujan yang menderu. Entah mengapa, hujan seakan kerap menziarahi kami di pulau mutiara saban waktu tanpa temujanji terdahulu. Hadirnya begitu spontan dan luar biasa lebatnya.

Dan kala ini saya gelisah dijendela skrin.

Hujan yang menyiram bumi diluar jendela tidak menelurkan mood dan idea untuk menulis.

Entah mengapa, semangat dan kudrat untuk mencoret seakan lumpuh seketika. Idea yang cuba untuk menjalar ke angkasa maya cepat dicantas motivasi yang hilang, pucuknya layu tanpa sempat bercambah membentuk lakaran coretan yang tersusun.

Dan saya sememangnya gelisah di Pulau Mutiara ini.

Ketenangannya banyak dirobek hujan isu yang tak kunjung padam.

Terasa diri dihujani persoalan remeh dan biasa tanpa disensasikan media dan pihak yang berkepentingan.

Suatu pagi, saya diajukan soalan dari rakan sejawat yang berbangsa Cina, bertanyakan pandangan saya tentang isu bukan muslim memeasuki masjid. Saya mungkin antara yang dicari kerana kedudukan saya yang mempunyai authority semasa dan menjadi rujukan dalam hal ehwal agama disekolah saya.

Ustaz, apa pandangan islam sebenarnya tentang isu sekarang, bolehkah orang yang bukan Islam memasuki masjid ? Benarkah orang islam itu pengotor dan najis ? Selama mana mereka belum mandi wajib, mereka berdosa dan terhalang menginjak kaki ke lantai masjid…. Dan pakaian mereka yang terdedah auratnya itu, akan mencemar kesucian rumah Allah yang mulia nanti.Bagaimana ya ??? Tanya seorang sahabat menyambut isu semasa ke neraca ilmu, sikapnya menolak prejudis dan sensasi politik.

Inilah antara perkara yang menyesak pemikiran saya kala ini, walaupun hujan masih lebat mencurah dicucuran atap, hujanan persoalan agama yang disadur konspirasi berkepentingan ini lebih merimaskan saya.

Ianya menyusahkan pemahaman masyarakat islam menilai keindahan agamanya sendiri bahkan menjauhkan skop toleransi beragama diantara umat 1 Malaysia dinegara kita.

Bayangkan apabila masyarakat Cina berpandangan serong dengan menyatakan, Islam mengamalkan permusuhan terpimpin antara agama.

Islam tak membenarkan rumah ibadatnya diziarahi dan dijenguk komuniti luar.

Islam tak membenarkan kita merayakan hari kebesaran dan perayaan umat lain.

Bahkan islam tak membenarkan kita mengucapkan salam sejahtera pun pada orang bukan islam, bahkan haram mendoakan kesejahteraan pada mereka.

Bukankah ini, antara intipati isu semasa yang membuahkan kemusykilan umum dikalangan masyarakat satu Malaysia dewasa kini.

Konfliknya hanya membutirkan sebuah bom jangka pergeseran kaum yang tersembunyi dan hanya menunggu masanya. Mungkin juga umpama api dalam sekam yang membara dalam senyap membakar perpaduan yang sedia terjalin.

Sedangkan, pandangan islam yang terbuka, sederhana serta global sekarang ini lebih membuka jalan dan sumber hidayah ini untuk diekspresi dengan cara yang terbaik dan sewajarnya.

Tiada satu dalil pun yang mengharamkan kemasukan non muslim kedalam masjid kecuali yang berkaitan dengan 2 tanah suci umat islam iaitu di mekah dan madinah sahaja. Keduanya wajar dijadikan kawasan larangan kerana ia menempatkan tapak dan asas suci agama ini dan syiarnya yang terindah. Ianya perlu dijaga dan tak sayugia dikongsi bersama kerana ianya berbentuk kawasan ritual ibadah yang khusus.

Sebagai simboliknya, bolehkah kawasan stor simpanan senjata dibuka kepada umum, atau maslahahnya perlu dijaga dan hanya dibenarkan orang awam memasuki premis kem tentera dengan syarat dan kawalan yang ketat.

Sewajarnya premis ibadah umat islam ini juga dijaga kemuliaannya disamping dalam masa yang sama membenarkan cahaya hidayah dari sumbunya ini mampu menjamah hati para pengunjung dan penziarahnya dari pelbagai anutan agama.

Namun syaratnya perlu jelas dan tegas, kesucian …. Kemuliaan …. Dan kebersihan rumah allah ini perlu dijaga sewajarnya.

Oleh itu perkataan najis dan kotor hanya bersangkutan dengan akidah sahaja.

Persoalan mandi wajib tidak dituntut kepada orang yang bukan islam.

Menjaga aurat dan etika pakaian dimestikan kelihatan sopan menurut budaya dan agama masing2, sebagaimana menjadi kesalahan juga bagi isteri para pembesar yang datang dengan tudung berjambul untuk merasmikan majlis dan menyampaikan sumbangan di masjid.

Oleh itu, jawapan saya kepada rakan yang bertanya : Islam mengharuskan orang bukan islam mengunjungi masjid dengan syarat kemuliaan dan kebersihan rumah allah ini dijaga sewajarnya.

Teringat saya pada petugas masjid negeri sabah saudara Janis pernah bercerita : kedatangan para pengunjung ini akan disambut jawatankuasa masjid serta diberi taklimat. Mereka juga bebas bersoal jawab berkaitan islam diplatform yang disediakan sebelum dibawa mennziarahi persekitaran masjid yang ada.

Terkenang juga arwah ustaz nahar mantan imam masjid negeri sabah yang membentangkan ideanya mewujudkan pusat dan markaz informasi islam di beranda masjid dalam pelbagai bahasa khusus untuk menangani dan membuka ruang hidayah bagi para pengunjung budiman ini.

Jikalau niat mereka bukan baik, nescaya lebih baik bagi mereka mengunjungi kelab malam daripada memilih pusat agama ini sebagai destinasi kunjungan.

Dan masih terngiang suara para sahabat ini bercerita , bukan seorang daripada mereka yang akhirnya datang buat kali kedua dan ketiga seterusnya melafazkan syahadah dirumah allah yang mulia ini.

Allah yang mengatur panahan hidayah ini menuju kesasarannya.

Siapa kita untuk menghalangnya …………….