Monday, January 31, 2011

Mukjizat Ajaib



Sebagaimana biasa, di malam isnin saya berkuliah di surau flet Kastam.

Mengupas topik penuh ibrah dalam tafsir Surah Kahfi yang telah sebulan saya ladeni bersama penghuni flet disini.

Dalam keterujaan audiens mengulit watak para penghuni gua yang penuh keajaiban tersebut, saya terus memperingatkan semua tentang ayat ke sembilan dari surah kahfi sendiri tatkala ALLAH melampirkan tempelaknya kepada pengkagum kisah2 misteri sebegini.

Antara maksud yang terkandung dalam ayat tersebut ialah : Adakah kamu menyangka kisah ashabul kahfi dan catatan AR RAQIM itu adalah tanda keajaiban ilahi yang terulung ?? (Bahkan tidak, ternyata lebih banyak lagi keajaiban tuhan yang lebih hebat daripada ini.)

Kerana itulah juga , saya melontarkan perkataan penuh bervisi daripada al imam ibnu kathir yang menyatakan : Kisah berkaitan gua ini berlangsung dalam banyak peristiwa sejarah, bahkan ianya pernah berlaku di zaman nabi ketika uzlahnya di gua hira' bahkan ketika berhijrah di THUR bersama sahabat setianya ABU BAKAR.

Lalu beliau menyambung lagi : Sesungguhnya kisah GUA THUR INI lebih ajaib dan lebih penuh pengajaran berbanding kisah ASHABUL KAHFI ini.

Dan sebagai contohnya juga saya menyuntik pengajaran dan keajaiban yang terkandung dalam kisah Nabi YUsuf dan ayahandanya nabi YAakub sebagaiamana yang saya petik dari blog sahabat saya perenung langit yang lantas mengamit kagum disinar galak mata audiens saya malam itu.

Mari kita bersama mengulit rahsia ajaib mukjizat tuhan ini dengan tinta Ustaz Kama sendiri :

Firman Allah SWT:

اذْهَبُواْ بِقَمِيصِي هَـَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَىَ وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيراً

“Pergilah kamu dengan membawa baju gamisku ini, lalu letakkanlah dia kewajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali…”.

(Surah Yusuf: Ayat 93)

Ketika ayat di atas dibincangkan dalam Daurah Al-Quran beberapa malam lepas, aku telah membaca satu penemuan yang telah dibuat oleh seorang saintis dari negara Mesir bernama Dr Abdul Basit Sayed Mohammed mengenai rahsia di sebalik suruhan nabi Yusuf agar bajunya dibawa kepada ayahnya nabi Ya’kob yang mengalami kegagalan fungsi penglihatan. Nabi Yaakob, sebagaimana telah diceritakan dalam Al-Quran menerusi surah Yusuf, telah menjadi putih kedua biji matanya lantaran sedih atas kehilangan nabi Yusuf dan kemudian disusuli dengan penahanan anaknya Bunyamin. Al-Quran tidak mengatakan bahawa nabi Yaakob buta kerana buta adalah satu kecacatan. Para nabi-nabi adalah bersifat ma’sum yang bermaksud bersih daripada dosa dan selamat daripada kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Buta mata merupakan satu kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Justeru, nabi Yaakob bukan buta. Dalam bahasa kedoktoran optik, ia disebut sebagai katarak (Cataract).


Menurut ensiklopedia versi maya Wikipedia, katarak ialah sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata menjadi keruh dan cahaya tidak dapat menembusinya. Keadaan ini menjejaskan penglihatan seseorang dan akan menjadi buta sekiranya lewat, atau tidak dirawat. Masalah katarak berbeza dengan masalah mata yang disebut glaukoma.


Berbeza dengan katarak, glaukoma merupakan sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta.


Menurut Dr Abdul Basit Sayed Mohammed, tanpa menafikan sisi mukjizat dari kisah baju nabi Yusuf memulihkan mata ayahnya,dia percaya terdapat unsur saintifik yang mendorong penyembuhan mata ayahnya itu. Itulah yang mendorongnya membuat kajian. Akhirnya, beliau menemui satu rahsia bahawa peluh dapat menyembuhkan katarak pada mata. Beliau berpendapat bahawa pada baju nabi Yusuf itu terdapat peluh. Peluh itu unsur yang bernilai saintifik yang boleh disandarkan sebagai ramuan penyembuhan masalah katarak mata nabi Yaakob.


Hasilnya, beliau telah mencipta ubat titis katarak mata daripada peluh dan kini hasil kajiannya itu telah mendapat paten antarabangsa.


Subhanallah!, sesungguhnya Al-Quran itu sangat kaya dengan rahsia yang belum dan tak akan pernah habis diteroka manusia.

Tuan Rumah MTQ 2011



P.PINANG TUAN RUMAH MTQSS PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-37 TAHUN 2011

Menjenguk Febuari bermakna kelangsungan tugasan keguruan semakin mencabar dan bercambah.

Agenda ko-kurikulum dan akademik biasanya semakin membeban di bahu para guru.

Dan tahun ini, bebannya pasti terasa tatkala negeri Pulau Pinang di amanahkan untuk menjadi tuan rumah MTQ. Pastinya dipundak guru2 pendidikan islam jugalah tanggungjawab untuk mengurus dan melaksanakannya sebaik mungkin.

Di peringkat sekolah, saya diminta untuk mengendalikan pertandingan MTQ peringkat sekolah untuk memilih calon yang terbaik mewakili sekolah ke pertandingan yang sebenarnya nanti.

Moga SMK DHMNA mampu memberi saingan.

Wednesday, January 26, 2011

Bercanda di Panggung


Pada zaman pasca kemodenan ini, panggung wayang adalah salah satu tempat yang sangat digemari oleh masyarakat kita di Malaysia tanpa mengira usia dan agama. Tetapi ramai yang yang tidak mengetahui dan masih belum jelas tentang hukum memasuki dan menonton filem dalam pawagam.

Banyak persoalan-persoalan yang sering bermain di benak fikiran kita tentang hukum memasuki dan menonton di panggung wayang atau pawagam. Seperti Apakah hukum mengikut pandangan ulama' tentang masuk ke panggung wayang?Adakah menonton wayang bersama isteri atau anak-anak juga di kira haram?, dan banyak lagi. Selain itu, ada juga yang mengatakan ia terpulang kepada niat seseorang yang hendak menonton.

Sebenarnya, panggung wayang adalah benda baru dan tidak ada nas yang mengharamkan panggung wayang. Namun sesuatu yang tidak diharamkan lizatihi ( kerananya ) berkemungkinan diharamkan lighoiri ( disebabkan hal-hal yang mendatang ). Sebagai contoh cerita yang ditayangkan adalah kisah hidup ulamak, namun kedudukan dalam dewan panggung bercampur dan bersebelahan dengan bukan mahram. Ini mengundang kepada pengharamanya.

Maka panggung wayang kini boleh jadi haram kerana beberapa sebab :-
1. Cerita yang ditayangkan (mengandungi unsur-unsur haram di sisi Islam)
2. Kedudukan yang bercampur antara lelaki dan perempuan
3. Mengundang fitnah

Sekiranya kita berjaya membuang semua sebab yang membawa kepada pengharamanya , maka bukanlah suatu perkara yang pelik jika selepas ini kita katakan bahawa panggung wayang dibenarkan.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah ditanyakan mengenai hukum menonton filem di pangung wayang, jawab beliau :

لا شك أن (السينما) وما ماثلها أداة هامة من أدوات التوجيه والترفيه، وشأنها شأن كل أداة فهي إما أن تستعمل في الخير أو تستعمل في الشر، فهي بذاتها لا بأس بها ولا شيء فيها، والحكم في شأنها يكون بحسب ما تؤديه وتقوم به.
وهكذا نرى في السينما: هي حلال طيب، بل قد تستوجب وتطلب إذا توفرت لها الشروط الآتية:

“Tidak syak lagi bahawa panggung wayang merupakan satu alat dari alat-alat pengarahan (directing) dan hiburan (entertainment), maka hal-ehwal (aktiviti) setiap alat ini dilihat samada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Maka ia diterima, dan tidak adalah masalah keatasanya. Maka hukum aktivitnya adalah menurut apa ia ambil dan lakukannya.

Dengan itu kami berpendapat bahawa pangung wayang : adalah halal dan baik, akan tetapi ia memerlukan dan meminta agar syarat yang dinyatakan wujud”
Syarat-syaratnya :-

1. Tajuk dan isinya tidak boleh bertentangan dengan Aqidah Islam, Akhlak dan Syariah. Ia tidak boleh mengandungi unsur seks, mengajak kepada jenayah, ajaran sesat dan sebagainya.

2. Menonton wayang tidak menghalang seseorang itu dari melakukan perkara wajib, seperti solat 5 waktu. Tidak boleh seseorang itu meninggalkan solat wajib, contohnya Maghrib semata-mata untuk menonton wayang. al-Quran memberi amaran keras kepada sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah.

3. Elak dari bergaul diantara lelaki dan perempuan yang ajnabi (orang luar), elak dari fitnah dan juga bersyubhat, lebih-lebih lagi menonton didalam keadaan gelap.

Jika syarat ini dapat dipatuhi, maka menonton wayang tidaklah di larang.

Dr Ahmad Syarabasi mengatakan bahawa ia boleh dijadikan untuk memunafaatkan umat keseluruhannya, seperti menegakkan agama dan menunjukkan akhlak yang baik. Ada juga yang menyalah gunakannya yang boleh menggalakkan jenayah, seks, tekanan psikologi, etika dan korupsi sosial didalam masyarakat.

Tetapi pada hakikatnya, adakah pawagam atau panggung wayang yang sedia ada pada hari ini mematuhi syarat-syarat yang dinyatakan tersebut? Adakah benar tidak mengandungi unsur-unsur kurang sopan, tidak bercampur baur lelaki dan wanita, tidak mengundang fitnah dan tiada unsur-unsur yang mengundang bala' daripada Allah? Sudah tentu tidak, ia langsung tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas malahan mencabar hukum Allah dan mengajak manusia lalai daripada mengingati Allah.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM )

Monday, January 24, 2011

Pekerja Muda

Dalam kebeningan sepi pagi, awal tahun persekolahan sebegini menyaksikan para pelajar masih belum teratur, bersiponggang dalam lenggang dan lenggok masing2 bergegas menuju destinasi kelas.

Kesunyian dewata pagi akhirnya dibunuh kebisingan dialog dan gurauan para pelajar yang baru berjumpa sesama mereka setelah beberapa hari bercuti. Mereka saling bersapaan, bertolakan, bercerita dan bergosipan seolah membawa seribu satu cerita walau hanya 2 hari tidak bertemu. Dalam kemas langkah, mereka menapak anak tangga menuju ke lokasi pengajian sambil sesekali memberi salam bila berpapasan bersama Cikgu.

Panorama serba bingit dan kalut ini kemudiannya beransur sepi dan sunyi tatkala deringan loceng menjerit penuh nafsu memaklumkan permulaan waktu persekolahan baru sahaja bermula.

Masa masih kosong buat saya, jadual pengajaran saya hari ini bermula jam 9.30 pagi. Mungkin agak lewat tapi rasanya wajar sekadar memberi peruntukan ruang buat saya menghirup secawan kopi panas dipagi hari sebagai pembuka selera dan pemanas badan di dingin subuh. Dengan sarapan awal inilah menjadi modal saya untuk terus bertahan ke hujung minit 4.30 petang menghabiskan tugasan pengajaran bahasa arab yang diletakkan diluar jadual setiap isnin dan selasa.



Biasanya saya bersarapan dirumah, tapi hari ini, gatal hati saya untuk menghirup sarapan ringkas di astaka gelugor yang terletak bersebelahan sekolah saya.

Sarapan ringkas dan bersendirian.

Leka saya melihat gelagat manusiawi.

Berniaga mencari sesuap rezeki.
Seorang makcik separuh umur datang, menuding beberapa kepingan kuih kemudiannya mengunjukkan not merah, peniaga pantas menyerahkan plastik kuih ke tangannya dengan beberapa keping not biru sebagai bakinya.

Wang berpindah tangan, wajah peniaga ceria berbunga senyuman.

Tapi, kenapa janggal pula peniaga ni ? Kenapa kecil sahaja tubuhnya ? Berapakah pula umurnya ? Pasti dia masih bersekolah ,minda saya membuat telahan.

Sayangnya, umur semuda ini sudah terbeban dengan tanggungjawab mencari nafkah.

Atau umur ini terbazir bukan pada masanya dengan keseronokan menimang wang gaji, sedangkan umur sebegini wajar memberi fokus untuk menimang ilmu terlebih dahulu sebagai jaminan kelansungan hidup masa depan.

Menungan saya semakin panjang. Senyum sendirian. Santai dan tenang.

Ghalibnya pantas mengundang memori silam.

Diawal tahun 2010 dahulu, para pelajar saya di SXI ramai juga yang bekerja.

Entah kerana tanggungjawab, terikut2 atau sengaja gian dan seronok memegang wang besar dan berbelanja lebih ekskulusif.

Kerjanya tidak mengenal waktu. Asal mendapat habuan, semuanya dikira halal. Pukul berapa tamat khidmat kerjanya ? Pukul berapa pula kelibatnya baru pulang ke rumah pun tiada siapa kisah.

Dan esoknya, kantuknya merajai matanya.

Lebih banyak dia terbaring di birai katil dari terbungkam tidur dibucu meja kelasnya.

Hadirnya sama dengan ketidakhadirannya.

Kewujudannya halimunan tidak terasa rakan dan cikgu.

Aah, dia pun lebih suka begitu. Bebas dan tidak terganggu.

Dia datang ke sekolah pun dan tak mengganggu orang pun dah dikira baik.

Seingat saya, ramai juga yang bekerja sebagai penjual burger. Membantu ayah meniaga di pasar malam, pelayan menerima pesanan di restoran, cashier di pasaraya pada syif petang, penjaga tiket dipanggung wayang dan jangan terkejut jika saya katakan ada juga yang bekerja sebagai bounzer kelab malam.

Bolehkah kita bekerja dipanggung wayang ustaz ? tanya seorang pelajar saya,
Tiba2 kenangan berdialog dengan anak2 didik saya di SXI menerpa lamunan saya.

Tersentak saya seketika, segera saya melihat jam.

Aah , dah lewat ni. Saya patut bergerak sekarang untuk punch kad di sekolah sebelum jam 930 pagi.

Nanti saya bagi jawapannya kemudian……

Saturday, January 22, 2011

Kunjungan Pegawai Bahasa



Pagi Rabu yang lalu, tenang pelajar saya mengulit soalan bahasa arab Ujian Diagnostik pertama saya sebagaimana termeterai dalam janji Walid dan anak didiknya, 3 AKIK sebelum ini.

3 Akik merupakan sebuah kelas aliran agama yang mengambil subjek bahasa arab dalam penilaian PMR nanti. Kelas ini juga menjadi taruhan komitmen dan pencapaian prestasi saya selaku guru bahasa arabnya samada berjaya atau gagal. Untuk mereka saya sentiasa tiupkan semangat mampu berjaya dan tinggi motivasi untuk menundukkan ego bodoh sombong persepsi mereka terhadap bahasa arab dan juga sindrom mudah putus asa dan kemalasan yang sentiasa membelit azam mereka.

Mereka boleh berjaya, dan alhamdulillah saya juga diberi keistimewaan untuk telus memantau mereka dengan amanat sebagai GURU TINGKATAN tersandang di bahu saya.

Belum pun usai ujian pertama saya bagi menguji kekuatan dan kelemahan awal pelajar2 bahasa arab saya, gegendang telinga saya menangkap pengumuman ringkas yang menerpa melalui corong pembesar suara sekolah saya, ringkas mesejnya … DI MINTA KEPADA USTAZ HAFIZULLAH UNTUK DATANG KE PEJABAT DENGAN KADAR SEGERA.

Tersenyum kelat saya menerimanya, kekadang terasa kemudahan komunikasi PEMBESAR SUARA yang ada iras2 bunyi dan lenggok suara pramugari di airport antarabangsa pulau pinang ini banyak disalahgunakan. Pengumumannya yang berterusan tanpa senggang masa tertentu kerap memerangkap saya untuk kehilangan idea dan mood tika mengajar, kekadang hanya kerana urusan individu dan peribadi, satu sekolah terkena badi gangguannya. Moga ada penyelesaiannya suatu hari nanti.

Sengaja saya melengahkan masa, biar kertas ujian itu dijawab sempurna, saya tak mahu keputusan ujian DIAGNOSTIK itu nanti hanya sia2 dengan jawapan tidak tulen, telus atau sempurna tanpa dapat membezakan antara DINASOUR dan ITIK.

Usainya saya melangkah ke bilik pengetua.

Selang 5 minit saya sudah berada di dalamnya.

Tergamam saya melihat bersama pengetua, dua susuk manusia berkot hitam sedang tersenyum kearah saya. Kelibatnya persis pegawai dari Jabatan Pelajaran ujar hati saya.
Selepas berkenalan, ternyata agakan saya tidak meleset, mereka berdua adalah pegawai kanan BAHASA ARAB di pulau mutiara ini.

Dengan nametag di sudut poketnya yang jelas terpampang nama UST LUKMAN dan UST SUHAIMI , mereka memperkenalkan diri dan memaklumkan tujuan kedatangan.

Terasa saya sedang ditemuduga dan dipantau.

Dalam nada tenang mereka memaklumkan kunjungan ini sekadar muhibbah dan taaruf mengenali guru beropsyen bahasa arab yang tidak ramai di bahagian Pulau ini. Sempat juga diselitkan harapan untuk melihat kerjasama antara sekolah dan jabatan khususnya dalam program bahasa arab ini dapat ditingkatkan dan diteruskan, jamin mereka untuk tidak menganak tirikan DHMNA dalam pembangunan KAA dan Bahasa Arab.

Namun dalam diam, terpancar senyum cabaran mereka untuk melihat satu perubahan DRASTIK berlaku dalam pencapaian subjek ini di PMR nanti.

Kami di Jabatan tidak pernah lupa dan mengabaikan rakan seopsyen bahasa arab ini, kami sentiasa memantau dan memberi masa yang sewajarnya untuk guru beraksi baik meningkatkan kualiti dan prestasi subjek ini, namun jika sudah diberi peluang, jabatan juga akan mengambil langkah perubahan dan tindakan drastiknya yang tersendiri untuk menyelamatkan talian hayat bahasa arab ini. Kami rasa bertanggungjawab terhadap janji KPM kepada para ibubapa, kelas KAA adalah ganti nama yang sinonim dan TAMPUNGAN kepada para pelajar yang tidak dapat menyertai kelompok yang berjaya ke SMKA. Mereka akan dididik dengan cara dan standard kualiti yang sama oleh guru berpengalaman dalam bidang masing2 bahkan istimewanya mereka kerana kuantiti mereka lebih kecil berbanding pelajar SMKA yang memudahkan mereka diberi tumpuan dan pengukuhan. Tutur pegawai tersebut lembut.

Usai pertemuan, beliau menjanjikan komitmen pertolongan untuk memajukan bahasa arab ini.

Untuk maklumat, latih tubi, sukatan dan huraian pelajaran, rancangan tahunan semuanya boleh dilayari diblog :

http://bahasaarabpenang.blogspot.com/


Abu Hanan - pegawai bahasa arab dan pengasas blog

Moga bahasa agama ini berjaya diangkat ke mercunya.

Thursday, January 20, 2011

Menjulang Tanggungjawab Bloggers



Sesuatu yang menarik untuk renungan bersama, sebuah cetusan fikrah yang hadir dari amanah dakwah yang segar di sumurnya. Tatapilah beberapa idea menarik dari empunya blog episod perjuangan Ustaz Nasaruddin Tantawi. Moga ada manfaatnya.


1. Blog menepati risalah untuk menyampaikan ilmu atau maklumat kepada ummah. Mana - mana blog yang berkeupayaan memberi ilmu atau maklumat yang benar dan tepat berasaskan nas dan fakta maka ia adalah blog yang berwibawa dan mulia. Itulah blog yang wajar dibaca dan dilink kan ke laman - laman lain untuk diakses oleh orang ramai justeru ia membekalkan maklumat yang betul dan membina minda yang soleh.

2. Tujuan asal risalah ialah mendidik minda berasaskan maklumat. Benar maklumat maka betullah tindakan sementara salah maklumat maka pincanglah tindakan.

3. Asas risalah untuk mendidik ummat manusia agar benar tindakan dan amalan mereka ialah al Quranul Karim. Al Quran ialah risalah yang memuatkan wahyu Allah swt sebagai pedoman dan petunjuk buat manusia menjalani kehidupan mereka di dunia ini . Al Quran adalah "blog\website" Allah swt yang wajib dibaca oleh seluruh ummat manusia kemudian amal dan hayati seluruh isi kandungannya justeru ia adalah hidayah yang tiada siapa boleh mempertikaikan kesohihannya.

4. Rasulullah saw pula diutus untuk menafsirkan kandungan "blog\website" Allah swt yang diberi nama Al Quranul Karim agar manusia mudah memahami apa yang telah diwahyukan oleh Allah swt. Malah Nabi saw menyampaikan risalah as samawi itu dengan sabdanya melalui "blog\website" baginda saw yang dinamakan As Sunnah atau Al Hadis.

5. Para sahabat rhm. menulis di pelepah - pelepah tamar, kulit - kulit kambing sebagai "blog\website" mereka untuk disebarkan kepada seluruh ummat manusia, menyambung risalah an nabawiyah. Para ulama' Islam meneruskan kerja - kerja murni mendidik ummah melalui kitab - kitab yang dikarang oleh mereka sebagai "blog" yang memuatkan ilmu untuk rujukan dan panduan ummah. Sebagai contoh "Blog\website" Imam Malik rhm bernama al Muwatta', "blog\website" Imam Syafie rhm bernama Al Uum dan "blog\website" Imam Nawawi bernama Riadhus Solehin.

6. Zaman mutaakhir menyaksikan Islam ditegak dan diperjuangkan melalui kekuatan tradisi ar risalah yang digerakkan untuk membangkitkan kesedaran, keinsafan dan kesatuan ummah. Menetang penjajah atau kuasa toghut di Turki, Asy Syeikh Said Badiuzzaman an Nursi menggerakkan Risaalatun Nur sebagai "blog\website" rasmi Gerakan Islam Turki menyemarakkan kesedaran ummah.

7. Risalah Al Manar di Mesir dan Risalah Al Imam di Nusantara antara dua "blog\website" yang masyhur membangkitkan kebangkitan ummah menentang penjajah dan memperjuangkan Islam sehingga tertubuhnya Gerakan Islam yang sistematik memperjuangkan Agama Allah swt terutama setelah kejatuhan khilafah Islamiah Turki pada tahun 1924 .

8. Teknologi moden adalah anugerah Allah swt dan sebahagian dari hikmah yang mesti diambil dan wajar dimanafaatkan oleh orang - orang yang beriman untuk menyambung risalah dan lidah perjuangan Rasulullah saw serta generasi terdahulu. Kini teknologi seperti blog, website, facebook, my space, twitter dan lainnya mestilah digerakkan untuk membina minda ummah, mendidik aqidah, fikrah dan akhlak mereka .

9. Justeru itu, blog\website yang hanya memuatkan berita sensasi tanpa peduli 'betul benar" sumber berita atau maklumat yang dipost kan adalah blog\website yang perlu diperbaiki dan perbetulkan agar ia benar - benar berfungsi menepati prinsip ar Risalah as samawi . Saya menyeru semua bloggers, facebookers dan websiters agar kita mencontohi kredebiliti Risalah terdahulu yang sangat mengutamakan ketulenan dan keabsahan ilmu berlandaskan sumber yang benar dan tepat seperti Al Quran dan As Sunnah. Prinsip Risalah kita tetap sama seperti Risalah di zaman silam. Hanya yang membezakan kita ialah teknologi. Selayaknya lebih maju dan lebih moden teknologi kita, maka lebih benar dan lebih tepat maklumat kita.

10. Jauhilah fitnah dan jangan biarkan ia bersawang di dalam blog\]website kita. Pastikan blog\website kita memimpin diri dan ummah ke arah syurga Allah swt dengan ilmu dan maklumat yang benar. Janganlah blog\website kita mengundang kemurkaan Allah swt. Awas ! blog\website kita akan senantiasa diaudit oleh Raqib dan Atid .


Wednesday, January 19, 2011

Merungkai Sumpahan Bahasa



Seperti terkena sumpahan, blog saya semakin bersawang.

Semangat berkarya seperti direntap sesuatu, entah rasukan ablasa mana yang merantai rasa dan fikiran, ghalibnya saya terasa kekosongan mendalam di ufuk minda dari membenihkan pandangan dan meranumkan idea, juga seterusnya beku dari melontar kritis pengalaman dalam coretan ringkas seperti dulunya.

Menjenguk blog rakan seangkatan dan sezaman. Yang dulunya banyak menyuntik inspirasi saya berkarya juga ada pasang surutnya.Cuma segelintir sahaja yang masih konsisten menulis dan mengulas.

Dan kredit yang terbaik pastinya saya tujukan pada MUALLIM pencetus idea dakwah maya saya di sabah dahulu iaitu Ustaz Akmal dalam blog popularnya ABU NUHA CORNER. Uniknya beliau meletakkan prinsip blognya tulus dengan mencatat SENDIRI pengalaman dakwah di bumi sabah tanpa perlu copy dan paste dari sumber yang pelbagai. Moga beliau terus istiqamah dan berjaya.

Malangnya saya juga mula merasai sindrom yang sama. Kehilangan ISTIQAMAH.

Banyak peristiwa yang berlalu tanpa sempat saya kutip ibrahnya.

Perginya selaju bayu yang berhembus, wujudnya hilang hanya dingin sahaja yang terasa.

Moga kedatangan tahun baru ini tidak mengalpakan saya untuk terus menjejak hidayah. Di mana bumi yang dipijak pun pastinya terselit pengajaran kehidupan yang berguna untuk kita lumatinya dalam penghadaman kefahaman dan pengalaman.

Dengan lingkungan konkrit baru yang memagari lokasi sekolah baru ini, saya memasang agenda baru.

Agenda saya dalam permusafiran baru ini ialah melonjak semaksima mungkin martabat pengajian bahasa arab di sekolah ini.

Dengan keputusan lalu yang kurang memberansangkan, tugasan membuat perubahan kini semakin memberat dibahu saya.

Semenjak 5 tahun kelas bahasa arab merangkap kelas aliran agama ini ditubuhkan, ianya belum pernah menobatkan bahasa arab ke standard yang lebih terpuji.

Ramai pelajarnya gagal melakar kecemerlangan pelajar beridentitikan agama. Keputusan akademik arabnya juga sukar menokok ke tangga terbaik. Disini semenjak 2005, hanya C menjadi tanda aras tertinggi untuk subjek serba unik ini.

Untuk rekod , pada PMR 2009 dengan jumlah 13 calon yang ada, 3 orang mendapat C dan 3 juga mendapat D dan yang selebihnya gagal meluluskan diri dan peratusnya ialah 46.2. Manakala 41.9 peratus dicatat pada tahun lepas PMR 2010, dengan calon berjumlah 12 orang, 5 orang mendapat D dan selebihnya kandas dikolam gagal.

Yang lebih menyesak persoalan, seorang pelajar terbaiknya mencatat keputusan 8A dan 1D, dan pastinya sahabat2 sekalian boleh menduga subjek apakah yang mencacatkan pencapaian cemerlangnya.

Terasa saya seperti berada di sekolah lama semula, SMK PEREMPUAN LIKAS di Sabah dahulu dengan agenda dan nawaitu yang sama.

Dengan jumlah calon PMR berjumlah 16 orang kali ini, saya gagah menilai mereka dengan pandangan POSITIF, moga mereka mampu berjaya.

Mampukah saya melakukannya. Harap ia tidak memberi bebanan TENSION kepada saya.

Dan pagi tadi, ……. di sebalik jendela pintu bilik pengetua, saya dikunjungi khusus oleh 2 orang pegawai Bahasa Arab dari JPN Pulau Pinang. Kehadiran mereka pastinya Gah dengan reputasi dan kotnya, dan pastinya juga dengan AGENDA.

Tuesday, January 11, 2011

Satu Pertukaran


Tanpa diundang sepucuk surat tiba ke ribaan pengetahuan saya.

Warkah ringkas berbentuk arahan daripada Jabatan Pelajaran Pulau Pinang merubah segala rutin dan wawasan saya, arahan yang cukup ringkas tapi termaktub penguatkuasaannya serta merta.

Dengan rasminya saya di minta bertukar ke SMK Dato’Haji Mohd Nor Ahmad atas alasan keperluan perkhidmatan bermula pada 1 Januari 2011 yang lalu.

Tanpa khabar berita, tanpa salam bermadah …. Surat pertukaran ini menjadi sebab untuk saya berkhidmat di tahun baru 2011 ini di sebuah sekolah baru sekali lagi.

Namun begitu, sekolah ini bukanlah sesuatu yang terlalu misteri buat saya kerana kewujudannya memang sentiasa berada di hadapan mata saya, lokasinya berada dalam kejiranan rumah sewa saya di kawasan Gelugor ini dan hanya memerlukan 5 minit untuk sampai ke hadapan pintu pagar sekolah ini dari rumah saya.

Ternyata ia membawa ekspresi perasaan yang berbeza buat saya.

Jika sekolah pertama saya di Sabah ialah Smk PEREMPUAN Likas, sekolah kedua pula membawakan kontra jantina pelajarnya iaitu sekolah LELAKI, Saint Xavier Institution, dan takdirnya sekolah baru ini pula menghimpunkan pelajar dwi jantina. Mungkin tuhan mahu mengajarkan saya sesuatu….


Setelah menghabiskan awal persekolahan yang serba memenatkan dan rutinnya yang berserabut, saya beberapa kali dapat bertemu muka dengan pengetuanya berbincang dan mendapatkan tunjuk ajar.

Rupanya kehadiran saya ini telah terlebih dahulu dihidu jejaknya oleh pengetua yang dimaklumkan lebih awal oleh pihak jabatan pelajaran bagi membantu melonjakkan imej kelas aliran agama khususnya kecemerlangan bahasa arab di sekolah ini. Dengan pencapaian yang agak negative dan kuantiti pelajar gagal yang agak tinggi, suatu usaha drastic melibatkan perubahan perlu dilaksanakan.

Dan di atas wajaran itu jugalah saya berada di sini, bertugas memberi sinar CEMERLANG untuk pencapaian Bahasa Arab di sekolah yang dikenali penduduk sekitarnya sebagai sekolah buangan, sekolah pelajar nakal dan sekolah tanpa disiplin.

Akur arahan, saya menerima dengan tangan terbuka tugasan ini apatah lagi naluri melebar luaskan pengetahuan agama dan kemahiran berbahasa arab ini telah berakar dihati saya, ianya mempermudahkan nawaitu saya yang sebelum ini menyepi dari subjek ini di SXI dahulu.

Dan yang lebih memudahkan saya barangkali, saya juga diberi watikah memegang ROTAN daripada pengetua untuk menagawal sahsiah dan disiplin pelajar apabila dilantik sabagai guru DISIPLIN di sekolah ini. Satu jawatan yang sebenarnya belum pernah saya pegang dan impikan sebelum ini.

Apapun , sekarang kaki saya sudah berpijak di sini, amanah tuhan saya junjung dibahu ini, doakan saya moga berjaya melakar perubahan dan kebaikan.

Kepada anak2 BAKTI yang saya tinggalkan di SXI sana, teruskan perjuangan kalian menjadi insane mulia dan hamba allah yang beriman, gunakanlah rangkaian cikgu2 yang baik dan berfikrah islam untuk membantu perjalanan tarbiah diri dan pembinaan sahsiah mapan. Ustaz yakin kalian akan berjaya.

Jika ada izinnya, kita akan berjumpa dan berprogram bersama lagi.

Friday, January 7, 2011

Jadual Gaji Kakitangan Awam 2011

Moga bermanfaat untuk semua merangka perbelanjaan.

Hidup ini umpama perniagaan.

Beruntunglah mereka yang mampu berjual beli dengan sesuatu yang berfaedah dan terjamin keuntungannya.

Kerana itu pesan rabbani menggalakkan kita memperbanyakkan sedekah di jalan Allah, ianya pelaburan yang paling menguntungkan. Tiada pelaburan yang mampu menyaingi tawaran dan pulangan keuntungan melebihi bonus yang dijanjikan tuhan ini.

Oleh itu, berbelanjalah di jalan Allah dengan cermat dan berhati2.

Ingatlah, manusia takkan terlepas percuma ke syurga kecuali akan ditanya tentang HARTAnya, dari mana sumber pendapatannya dan ke mana saluran dan sumur perbelanjaannya.