Wednesday, March 31, 2010

Khatam Quraan



Hening malam dilimpah suram cahaya, angin semilir berlalu perlahan. Nafas malam ditarik lembut dan perlahan setenang lena tidur penghuninya.

Terjaga Comot si teddy bear dari lenanya, menguap dan menggeliat sedikit .. kemalasan, Bingkas dia bangun dari pembaringannya, kotak kayu mainan berunsur rotan itu agak padat berisi puluhan mainan rosak yang lain, ada kereta yang tercabut rodanya, ada spiderman yang terkoyak kangkang seluarnya. Berselerak kekabu keluar dari celahannya.

Dengan susah payah dia memanjat turun dari kotak itu, tangannya yang tidak berjari menyukarkan pegangannya. Menggelungsur dia turun dari kotak kayu permainan itu dengan diam dan penuh berhati2.

Aah … segar sikit udara disini, dah lama aku terperap didalam kotak itu, sambil dia cuba menghidu2 bau hamis dibajunya. Dah lama aku tak mandi, baju dan seluar pendek ini berbau peluh, mungkin kesan pelukan dan tumpahan air anak majikanku ini. Seingatku, hanya sekali aku pernah dimandikan, dalam baldi biru aku disabun dan dibersihkan. Wow, tika itu tak sangka pula aku masih hensem dan menawan. Hahaha, riangnya hatiku perasan.



Ha ! Berangan ya ? …. Tiba2 satu suara halus menegurnya.

Opocot !! Terkejut aku, apalah kau ni Miaw, lain kali bagilah salam dulu. Ni, terus sergah, kau ni Islam ke apa ?

Ketawa Miaw melihat telatah teddy bear putih itu, dialah kawan yang paling rapat dengannya, hadiah dari Mak Long Faizah untuk anis anak majikannku. Kalau dulu, Miaw hanya berseorangan, dia hadir ketika anas masih kecil, hadiah ulang tahun kelahiran keduanya, diambil diatas para pasaraya Giant di Karamungsing dahulu. Miaw jadi teman baik anas, dan dimana ada anas disitulah Miaw akan mengikut walau pulang ke rumah nenek dikedah sekalipun. Pernah dia merasa naik kapalterbang MAS itu dalam dakapan erat anas yang tak mahu melepaskannya.

Heheehe, saja je nak mengusik, kenapa ? tak boleh tidur ke ? Selalunya kau la yang paling lena tidur, macam si baby elephant Huggies tu, muncung Miaw melirik kepada Huggies yang tidur hanya berlampin, tanpa risau di gigit nyamuk dan dibalut sejuk.

Takpalah dia pakai pampers cantik, TIDUR LENA PAGI SENYUMAN … nyanyi Teddy Bear sambil membetulkan riben biru dikepalanya.



Apa yang ganggu kau tidur malam ni ? Cuaca dah tak panas sangat sekarang, petang tadi hujan dah turun lebat, kau lapar ke ? nak curi makanan kat dapur ya !! serkap Miaw mengacah jenaka.

Takdelah, aku sekadar terhibur melihat senyum tuan kita tadi, aku pasti dia sedang gembira, hatinya berbunga , aku boleh baca dari lirik sepet matanya tu.

Ya, aku pun sama, sejak maghrib tadi aku tengok dia serius mengaji, biasanya dia mengaji 3-4 mukasurat je, kenapa pula, ada kematian ke ?? Tanya Miaw ingin tahu.



Hish, takdelah kesitu pulak kau. Tuan kita dah khatam Quran malam ni, aku tengok sejak januari dia mula membaca albaqarah, dan hari ini dia dah habiskan juz amma, maknanya dalam 3 bulan dia akan khatamkan sekali quran. Bear kecil menjelaskan.

Yalah, aku pun selalu dengar dia mengaji. Dia niat untuk cuba konsisten membaca quran dan khatam 3 bulan sekali. Moga allah membantunya dan berkatkan kita kat dalam rumah ni kan…. Sambung Miaw sambil membetulkan silanya. Misainya yang terputus diusap perlahan.

Beruntunglah siapa yang makan dengan dia esok !! kata Teddy perlahan antara dengar dan tidak.

Kenapa pulak ? Miaw melemparkan pandangan hairan. Biasalah tu,habis membaca Quran kan nikmat tuhan, kalau dengan usaha kita sahaja takkan mampu, tapi dengan izinnya, allah memilih hambanya untuk taat dan bersyukur. Esok, biasalah kalau ustaz tu buat kesyukuran, belanja kawan makan dan sedekah apa yang patut, moga allah kekalkan dan tambahkan lagit. Bear membalas pandangan.

Oh, ya… aku ingat, kalau kat sabah dulu, dia selalu berlumba dengan ustaz norawi kan.
Khatam je quran, terus belanja kawan kesyukuran. War2kan sedikit secara tak sedar dan mengada2, moga yang baik dapat ditiru, yang dibuat jangan sampai mendapat celaka riak. Sambung Miaw nak menunjuk pandai.

Ya lah tu !! cebek Bear sambil kata2nya digangu tangisan kuat Alif kecil, mmm,dah pukul 4 pagi mesti nak minta susu lagi ni. Kejap lagi pasti Mama dia akan bangun.

Cepat2 ! Miaw …. Aku nak masuk tidur balik, esok kita sambung cerita lagi.

Lampu terbuka ….. Miaw dan Teddy bear terus membatukan diri macam patung.

Eh, mereka kan memang patung mainan.

Sunday, March 28, 2010

Kekuatan Subuh



Antara paparan menarik garapan Ustaz Pahruol Mohd Joui dalam genta rasanya. Moga kita merasa getarnya.

Dalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”

Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.

Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.

Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.

Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.



Keesokan harinya, sewaktu solat Subuh di surau kolej kediaman, saya dapati hanya beberapa kerat pelajar yang datang untuk solat berjemaah. Sangat minoriti, tidak sampai satu saf pun. Ke mana perginya mereka yang bersemangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram. Dan paling aneh, para pemimpin pelajar yang hebat berpidato itu pun tidak muncul-muncul.

Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian? Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.

Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan yang menghalang kita bangun untuk solat Subuh berjemaah? Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam, tetapi alangkah baiknya jika suara itu digunakan juga untuk bertabiratul Ihram dalam solat Subuh secara berjemaah?

Hemm, mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah??

Ada tokoh yang hebat yang begitu menarik kata dan ucapannya tentang Islam… begitu indah, bersemangat dan menyentuh. Tetapi apakah ertinya jika dia melazimi tidak hadir ke masjid untuk berjemaah Subuh? Atau figur ekonomi Islam yang berjaya membentang segala perancangan dan strategi muamalat Islam tetapi liat melangkah kaki menyertai solat Subuh berjemaah. Atau seorang yang begitu menonjol sekali dalam melahirkan produk-produk serta perkhidmatan Islam, tetapi hanya “kadang-kadang” dan “jarang-jarang” menyertai solat berjemaah Isyak dan Subuh!

Marilah kita renungi dua hadis ini:

1. Rasulullah saw telah bersabda:
“Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh.” (HR Muslim).

2. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (HR Ahmad dan An Nasai’)

Komitmen Subuh

Pagi saya disapa dengan satu persoalan rumit yang perlu diselesaikan segera.

Diajukan seorang guru senior yang begitu prihatin, jujur dan ikhlas memberi pandangan dan menyalurkan penyelesaian. Beliau saya kenali sebagai seorang kakak yang baik hati dan mudah menghulur bantuan. Keramahannya menegur saya dan selalunya beliau menumpang bilik agama saya untuk solat zohor dikala kelas tingkatan enamnya berlanjutan hingga ke jam 3.30 petang menggusarkannya selalu andai tidak sempat bersolat dirumahnya. Jujurnya saya memandangnya mulia dan menyimpan hormat padanya.

Tatkala ustazah kami terpaksa bercuti kerana terkena buatan orang (baca bersalin), beliau kekadang terpilih menjadi ustazah ganti untuk kelas agama yang ditinggalkan. Keprihatinannya membolehkannya menyelami pelbagai masalah agama pelajar yang saya tidak sempat perhalusi. Pemilihannya bagi saya amat bertepatan dan kena pada masanya.
Terima kasih Kak Halina.

“ Rupanya ustaz, ada ramai pelajar kita yang tak bersolat subuh, mereka terpaksa datang awal kesekolah dengan menaiki bas seawal jam 6 dan sampai sebelum jam 7. Mereka tiada tempat untuk solat kerana surau berkunci. Bila saya tanya, mereka jawab hanya qadha dirumah sahaja setiap hari , harap ustaz dapat bantu mereka.” Ujarnya sewaktu kami terserempak dikantin sekolah satu hari.

“Kunci surau ada pada saya dan ustazah, saya hanya berada disekolah setiap hari jam 7.20 pagi tak sempat nak membuka surau, kalau diserahkan pada pelajar pun. Saya khuatir ia akan menjadi port ponteng dan lepak pelajar sebelum masuk ke kelas awal pagi. Mungkin ada juga yang masih ingin menyambung baki tidur disekolah, apapun saya cuba fikirkan sesuatu” kata saya sambil tangan sempat mengeluarkan duit membayar harga minuman. Aah, masih berbaki 80 sen,saya terkial menggapai kocek dengan sebelah tangan memegang pinggan sarapan.

Takpalah ustaz, bakinya kak lina bayarkan.

Terima kasih, moga murah rezeki. Doa saya membalas budi.

Separuh pagi minda saya berputar ligat, mencari jangkaan penyelesaian termungkin bagi mengatasi keadaaan, juga menyelidik silang nama sahabat yang mungkin boleh membantu, juga mencari kaedah selamat dan senang untuk dipraktikkan.

Disurau kami, bukan sekadar pintunya bahkan pilinya juga memerlukan kunci dan tombol untuk membukanya. Satu alternative tradisi yang saya warisi untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan salahguna dan pembaziran.

Jam 12 sempat saya menemui beberapa pelajar yang diadu masalahnya, mereka menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat bersolat. Dengan kesal mereka hanya mampu qadha sebagai tanda bersalah dan masih sayangkan taat.

Bingung lagi. Adakah kunci surau ini patut diijazahkan pada seorang pelajar? Atau tombol keramat ini juga disembunyikan diluar surau? Atau saya wasiatkan mereka berwuduk awal dan menjaganya, saya bekali mereka dengan sejadah diluar surau? Entahlah, Penyelesaiannya belum menjengah minda.

Tiba waktu zohor, allah melapangkan kerja dan keputusan saya.

Dengan bantuan ustazah ganti yang baru, beliau sanggup menjadi pembuka surau dan pemerhati dari jam 7 pagi setiap hari. Saya amanahkan beliau untuk memastikan tiada yang mengambil kesempatan tidur dan berbual kosong saban hari. Beliau menyatakan kesanggupannya yang terpuji. Moga hidupmu diberkati Ustazah Siti Atikah.

Usai zohor, saya duduk memberi amanat tergempar. Betapa berdosanya janji allah kita mungkiri. Betapa khianatnya menjadi petualang yang engkar untuk sujud bersyukur. Solat bukannya mainan dan perhiasan, dia adalah jiwa dan uniform islam. Bukanlah islam bagi mereka yang tidak bersolat.



Marilah kita menjadi hamba allah yang bersyukur.

Janji terpatri, azam bersemadi lafaz, moga allah mempermudahkan.

Esok lusanya, saya menziarahi awal ke surau pagi, alhamdulillah …. Bermula dengan 3 orang pelajar, kini sudah sampai belasan pelajar yang mahu datang menunaikan syukur pada allah diawal pagi ini.

Syukur dipanjatkan hanya untuk Allah.

Saturday, March 27, 2010

Cemburu Iman

Menatap setiap huruf dan aksara yang tertera diblog sahabat saya Abu Nuha sekarang ini hanya menimbulkan geram, cemburu dan hasad.

Tulisannya berbau provakasi, jelas menimbulkan rasa tidak selesa di sanubari ini, penceritaannya mengenai rehlah iman dan pengalaman rohani dan amali ditanah suci sentiasa menggamit kejealousan, terasa ketinggalan dan kehilangan kesempatan.

GERAM … kerana saya tidak terpilih untuk turut serta dalam rombongan mulia ini menunaikan umrah dan meneruskan travelog iman mereka, geram juga kerana kesempatan itu timbul semasa kami kali kedua bermesyuarat dalam PUM, persatuan ulama Malaysia cawangan sabah yang berlangsung disurau riadhus solihin kala itu.

Tika itu, kelihatan Al Fadhil Ust Azam sedang sibuk on line tiket Air asia untuk perjalanan membuat umrah, spontan beliau mempromosi pakej umrah bersama2 ini untuk semua AJK yang hadir, moga ia meperkuatkan iman. Hati ini membuak untuk turut bersama namun persimpangan kehidupan memerlukan saya memilih keutamaan untuk menangguhkannya dahulu atas andaian mendapat pertukaran ke semenanjung.



CEMBURU ….
Mereka bertolak dalam perjalanan keimanan dalam mencari keredhaan Allah, meninggalkan sebentar keduniaan semata2 menagih janji dan cinta ar Rahman. Cemburu dengan kejayaan mereka menjadi tetamu Allah di kota mulia dan kota bercahaya itu.

Hasad ….. amarah ini timbul dengan perasaan GHIBTAH, dengki yang dihalalkan agama, dengki atas semangat persaingan dan perlumbaan mencari keredhaan tuhan dan memperbanyakkan amalan. Hasad atas kesempatan mereka berada ditanah suci yang penuh kemuliaan, hasad dengan bacaan quran dan doa mustajab disisi tuhan ar rahim, hasad dengan pengorbanan harta mereka dijalan Allah.

Saya takkan menjadi Aiman, Aiman tak kisah dengan segalanya, saya ingin menjadi pemuja iman, perindu tuhan dan pendamba janji untuk bertemu tuhan suatu hari nanti.
Moga kita menjadi manusia yang saling berlumba untuk menjadi manusia yang kaya ibadah dan ketaatannya, bukannya meletakkan kegilaan hanya pada skim pyramid memburu habuan duniawi semata2.



Alhamdulillah, mereka adalah antara jutawan segera dan manusia suci dosa bila pulang nanti. Moga allah menerima amalan semua para sahabat kita.

Doanya juga semoga Allah menghadirkan pula peluang kita untuk bertamu dirumahnya nanti.

Friday, March 26, 2010

Al Fatihah Untuk Guruku Sheikh Mohd Khalil Bin Sheikh Ahmad

Pemergian Sheikh Mohd Khalil Bin Sheikh Ahmad. Al Fatihah.

Mendapatkan berita pemergiannya seawal jam 7.00 pagi amat mengejutkan saya, sedikit sebanyak kehilangan insan yang banyak jasanya merencatkan keceriaan hati saya pagi itu.

Namun mesej yang saya terima, saya tatap sayu sambil mendoakan segala yang terbaik buat ustaz khalil yang diingati.

Terdetik hati untuk sama menghantar mesej pemergiaannya kesemua rakan Sabahan dan ex MPI dan yang mengenalinya, moga doa tulus dari sahabat seperjuangan akan mempermudahkan perjalanan rohnya kealam yang lebih abadi.

Dalam kagetan mesej yang baru diterima, tangan saya tiba2 kaku untuk meneruskan niat awal, ingin saya cari kepastian dahulu. Dan apabila mesej2 dari sahabat yang lain sampai ke kotak pengetahuan saya samaada melalui email ataupun mesej handphone, fahamilah saya … al Fadhil Ustaz Khalil telah kembali menemui cinta abadinya.

Al Fadhil Ustaz Sheikh Khalil bukanlah orang yang asing bagi saya yang mengenalinya sebagai guru bahasa arab semasa pengajian KPLI di Maktab Perguruan Islam di Bangi dahulu.

Perawakan yang agak serius dan wajahnya yang garang menyebabkan kami para ustaz muda graduan Jordan ini sedikit kecut,hormat dan kagum, apatah lagi penguasaan bahasa arabnya amat baik walaupun beliau tidak pernah menyambung pelajaran ke timur tengah. Beliaulah antara hasil terbaik Pengajian Arab ditanah melayu versi dahulu.

Namun kehadirannya kekelas antara yang dinantikan, perawakan wajah seriusnya sama sekali berjauhan dengan perwatakan ceria dan jenakannya bila bersua, beliau seperti tidak pernah marah dan tawanya seakan terakam dimemori ini setiap kali kami bersua. Katanya penuh nasihat dalam versi orang lama yang begitu kaya dengan pengalamnnya.

Al Fadhil Ustaz bersama dengan Ustaz Muzni (HEP MPI) tika itulah yang paling digeruni pelajar asrama, dengan jerkah dan tegurannya, para ustaz berdarah muda ini akhirnya patuh dan mendisiplinkan diri pada setiap peraturan terutamanya waktu solat. Dengan sabar beliau berhenti ditepi padang memperingatkan ketibaan maghrib, tika amarah muda masa rancak memburu bola.

Beliau seterusnya ditawarkan jawatan pengetua disekolah agama Sandakan. Selama beberapa tahun beliau mengabdikan diri dan membawa perubahan baru disana.

Hinggalah beliau akhirnya diserap ke jawatan tertinggi pendidikan islam di sabah pada waktu itu sebagai Ketua Sektor SPPIM.

Mungkin jodoh kami panjang dan saya masih sempat lagi untuk terus bersua dan berguru dengannya di Kota Kinabalu, apatah lagi al Fadhil Ustaz ditakdirkan hidup dalam kejiranan saya di Taman Yakim Jaya, Likas. Apatah lagi isterinya Ustazah Zainun dinaikkan pangkat kejawatan HEM disekolah lama saya SMP. Hubungan kami terus berlangsung hormat.

Walaupun sibuk dengan tugasannya disektor pendidikan islam yang terlalu besar fungsi dan aktivitinya, beliau masih sempat menuai ukhuwwah dan bermasyarakat. Beliau sentiasa menjadi rujukan dikalangan kami, dan kewujudannya ditaman kami menjadikannya Insan Terbaik dan Terpilih untuk kami para ustaz dan jiran menjadikkannya sebagai guru mulia pembelah mulut (tahnik) bagi anak2 kami. Anak ketiga saya diTAHNIK oleh beliau dirumah lama saya dahulu dalam majlis yang dihadiri seisi taman.



Meriah dan penuh Barakah, malam itu saya memerhatikan bibirnya dan mengaminkan doa beliau supaya anak2 kami membesar menjadi anak amilin yang soleh dalam islam. Doa yang cukup istimewa diadun dalam ungkapan bahasa arab yang amat menarik, belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.

Dan semasa kami sibuk melaksanakan program korban aidiladha peringkat sekolah, beliaulah yang turun untuk bersama menjadi tukang sembelih dan pengagih utama dagingnya. Kebersamaannya bersama kami tidak ternilai.





Akhirnya beliau berpindah ke Putrajaya menjawat jawatan baru, seingat saya sebagai ketua dibahagian dakwah.

Dan disanalah hubungan kami terpisah lama, hinggalah hari ini, berita kehilangannya menyambung semula hubungan ini, namun dalam ertikata doa dan ingatan seorang mukmin kepada saudaranya.

Wednesday, March 24, 2010

Tahbibul Lughah SMKAM

Pada hari rabu 2 minggu yang lalu, saya dijemput sebagai panel motivasi bagi program Tahbibul lughah Arabiah bagi SMK Abdullah Munshi, Jalan P.Ramlee, Pulau Pinang.

Bermula jam 2-3 petang, program tersebut mengumpulkan keseluruhan pelajar kelas Bestari tingkatan satu hingga tiga berjumlah 60 orang yang juga merupakan pelajar kelas aliran agama di sekolah elit tersebut.

Kedatangan pelajar dalam jumlah yang agak besar dan berbeza tahap pendedahan bahasa arab ini sedikit menyukarkan titik fokus saya, kepelbagaian mereka memeriahkan dan menguji apatah lagi diwaktu matahari tegak dikepala yang hanya terfikirkan bantal disorong memang selalunya akan mencabar keupayaan kreativiti saya memberi penyampaian terbaik.

Pendedahan maklumat awal saya dapati sekolah ini sudah lama menubuhkan sebuah kelas bahasa arab disetiap tingkatan bagi memenuhi taraf sebuah sekolah bestari, apatah lagi dengan kedatangan pelajar yang dianggap bijak apabila diterima masuk kesolah ini,kebiasaannya mendapat tapisan akademik yang agak tinggi, mungkin minima 3A sahaja yang layak merasa nilai pendidikan kelas atasan ini.

Pelajar kelas agama pula dipilih sendiri oleh jabatan dan diletakkan didalam sebuah kelas yang sama berdasarkan krtiteria tertentu.

Alhamdulillah, ianya berjaya di kekalkan konsisten sehinggalah kehari ini bahkan sekolah ini juga memilih specialist “subjek bahasa arab antarabangsa”sebagai subjek pilihannya sebagai sebuah sekolah bestari berbanding sekolah lain yang memilih bahasa jepun atau perancis.

Namun ajaibnya gabungan pelajar elit, sekolah bestari, infranstruktur tahap sempurna dan pentadbiran berprestasi tinggi kelihatan tidak berjaya mencapai kecemerlangan dibidang bahasa arab. Sejarah mereka mencatatkan keputusan tidak memberansangkan untuk subjek ini sejak dahulu bahkan sering dikambing hitamkan apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan. Satu kenyataan pahit yang perlu ditelan.

Teringat selalu saya pada teratak sekolah lama yang saya tinggalkan, tiada kumpulan pelajar tapisan elit, tiada elemen infranstruktur, yang ada jauh dari sempurna, mungkin yang ada hanyalah sebutir aircond sebagai pembakar motivasi dan kelainan, itu sahaja.

Namun pencapaian pelajar pernah dibanggakan antara terbaik setanding sekolah agama.



Bila ditanya guru berkenaan tentang cara memperbaiki pencapaian. Saya kaget dan kehairanan, bagi saya … sekolah ini sudah mempunyai prasyarat asas untuk kecemerlangan bahasa arab. Tapi kenapa kegemilangan seakan diserkap muram prestasi, mungkin pelajarnya belum cukup digilap dan gurunya belum cekap memberusnya lengkap.

Pengalaman sedikit saya pertaruhkan, saya huraikan prasyarat perubahan drastic pencapaian bahasa arab ini perlu diletakkan diatas landasan konkrit sewajarnya. Asas yang utuh inilah akan mempastikan konsistensi pencapaian pelajar pada peringkat seterusnya, tahun demi tahun… insya allah.

1) Asas minat dan mencintai bahasa arab.
2) Motivasi berterusan kearah penguasaan bahasa.
3) Pengetahuan dan kemahiran asas yang lengkap seperti penulisan jawi dan kemahiran membaca alquran.
4) Kebiasaan amalan menghafal yang sentiasa perlu diterapkan kepada pelajar bahasa ini.
5) Kreativiti pengajaran menyeronokkan dan berkesan.
6) Teknik dan kemahiran menjawab yang harus dikuasai pelajar dan terlebbih dahulu guru yang mengajar.
7) Meletakkan dorongan pengiktirafan langsung dan tidak langsung : melalui kelas bahasa arab yang perlu dinaikkan taraf dan tahap keelitannya sesuai dengan pengorbanan banyak subjek pelajarnya.
8) Program peransang luaran seperti kem bahasa arab, perkemahan dan aktiviti lainnya.

Atas asas inilah saya berdepan dengan pelajar dihari itu, meletakkan konkrit azam dan sisi pandang berbeza pada kemuliaan dan kelebihan menguasai bahasa quran ini

Mungkin kapasiti saya sebagai mantan jurulatih bahasa arab dinegeri sabah, ianya banyak membantu memberi nilai tambah dan cara berfikir baru untuk mendekati pelajar ini, juga mungkin sedikit eklebihan berbahasa saya yang dapat saya tagih untuk mereka lebih melihat bahasa syurga ini dalam dimensi dan skop berbeza.

Sejam berlalu ceria dengan pelajar memberi reaksi baik, teruja dan supporting berpartisipasi sepanjang program sehinggalah kehadiran kertas memo dari pengerusinya , MAAF 10 MINIT LAGI USTAZ, JAM 3 PELAJAR TERPAKSA BALIK KE ASRAMA, BAS SUDAH MENUNGGU.

Keceriaan terhenti, namun ianya langkah pertama kearah peningkatan motivasi dan prestasi bahasa rasulullah ini.

Saya telah menyampaikan….. Moga allah yang memberkati.

Tuesday, March 23, 2010

PEJABATKU MIHRAB IBADATKU (2)

3) Bersedekahlah walau sekadar senyuman, bersedekahlah dengan memperuntukkan diri melaksanakan pelbagai benda baik untuk manusiawi. Insya allah, kasih sayang allah sentiasa hadir bersama kasih sayang manusia.
Rasul pernah bersabda : Sayangilah mereka yang berada dibumi nescaya kamu akan disayangi DIA yang berada dilangit.

4) Solat dhuha dan doakan kebaikan.

Ruang waktu seharian kekadang sibuk dan tiada celahan masa senggang antaranya, mana mungkin sempat masa kita mencuri detik untuk sesaat berdoa dan bersolat.

Solat Dhuha dikategorikan sebagai solat pengikat amalan, ketaatan dan pemangkin rezeki. Jika ianya diamalkan selalu, nama kita kian termasuk dalam senarai penerima rezeki yang dipegang oleh Tuan Empunyanya.

Bahkan disiplin dan pengorbanan seorang hamba yang sanggup mencelah diri meladeni solat dan doa ini akan diketahui dan dihargai tuhannya. Bagaimana mungkin seseorang yang sanggup untuk menjual masa kantinnya berbual kosong dan makan tidak berhenti semata2 mencari keredhaan tuhan tidak diberi perhatian istimewa tuhan. Bahkan sebaliknya, mereka ini yang pandai dan profesioanal bertugas, mengagihkan masa sesuai dan sewajarnya, datang ke kantin untuk menjamu selera menguatkan tulang empat kerat untuk menyambung baki sisa kudrat yang terhimpun disamping tidak pernah lupa pada tuhan pengurnia nikmat dan kudrat. Berterima kasihlah.

Cuma sedikit pesanan perlu diberi untuk emnjamin imej islam tetap mulia dipandang zaman, gunakanlah kewarasan akal dan kreativiti bagi mencaeri sinar hidayah, mereka yang ikhlas dan tulus beribadah tidak akan mencari alasan BERSOLAT DHUHA untuk ponteng tugas dan menidakkan produktiviti. Jangan kerana mencari SUNAT Dhuha kita meninggalkan KEWAJIPAN tugas.

Dan yang harus diingat semua, mereka yang bersolat dhuha ini adalah golongan pemburu kecemerlangan. Ajaibnya jika golongan ini akhirnya kelihatan terjelepuk ditikar sejadah sambil dengkuran kuatnya jelas mengatasi doanya.

5) Bercakaplah dengan segala pengetahuan dan perkataan yang baik, mulakanlah dengan salam dan bertanya khabar.

Kata2 yang baik umpama akar yang meresap didalam tanah mencari sumber air keredhaan allah yang akhirnya menguatkan hati dan perasaan ukhuwwah.

Semoga kita mampu melaksanakannya. Moga momentum kebaikan dan ibadah yang kita jana diperdu mihrab pejabat ini mampu memberi sinar hidayah kecemerlangan untuk diri dan organisasi.

Monday, March 22, 2010

PEJABATKU MIHRAB IBADATKU (1)

Rutin Harian

Langkahan kita ke sekolah atau kepejabat selepas berlabuhnya cuti biasanya amat berat dan ketandusan motivasi.

Mood bekerja dan mengajar boleh dikatakan jatuh semaksimanya ekoran lambakan relaks dan santai yang kita perolehi tatkala cuti sekolah yang panjang.

Lalu di hening pagi, kita akan meneruskan rutin pagi seperti biasa, menapak kaki ke tangga pejabat atau sekolah tempat kita bekerja, dengan perasaan yang mungkin bersimpang siur. Tanpa wawasan dan tanpa jiwa.

Kita seakan berperang antara kemalasan dan tanggungjawab. Akhirnya kita gagahkan jua kaki ini untuk terus menapak ke pejabat atas alasan tuntutan hidup.Mencari rezeki yang halal adalah tuntutan agama apatah lagi bila ianya digandingkan dengan tugasan mulia umpama rasul membimbing dan mengajar manusia kearah celik didikan dan bersih rohani.

Ya, sememangnya tugas guru amat mulia dan terhormat, namun jika ianya ditangani secara sambil lewa dan tidak professional, manakah mungkin ianya akan menjadi sumber rezeki dan pahala syurgawi bagi kita ?

Pejabatku syurgaku

Ramai yang berhasrat merealisasikan moto pejabatku syurgaku!, lalu ramailah yang bergegas lebih awal ke pejabat dan pulang kekadang lewat malam, bersengkang mata di sekolah dengan tanggungjawab yang sengaja diada-adakan, malahan hujung minggu pun mencatatkan kehadirannya ke tempat kerjanya.

Tapi adakah kita sedar dan faham, adakah pejabat yang kita duduki ini mampu menjadi pusat kita menjala pahala dan keredhaan Allah. Atau kerana kejahilan kita, seharian dipejabat ianya tidak memberikan walau sekelumit kebaikan kepada kita dari sudut ukhrawinya.

Harus kita ingat, tema hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah, berusaha sedaya mampu untuk kekal menjadi hamba yang mengiktiraf ketuanan Allah yang maha agung. Maka kerana itulah kita seboleh mungkin perlu memperelokkan permukiman kita di pejabat yang tanpa kita sedar ianya menggadaikan 1/3 umur kita didalamnya. Tak dapat dibayangkan pula jika pejabat kita adalah sarang maksiat dan kederhakaan, pastinya ia meninggalkan kesan kerugian dan kebangkrapan umur yang besar bagi manusia.

Kerja sebagai ibadah

Justeru, jiwa sedar dan celik agama harus menyaluti diri kita untuk mempastikan motto keramat ini dapat direalisasikan penuh berhemah. Ianya merupakan falsafah kerja yang seharusnya boleh diterjemahkan oleh semua, tak kira dimana kita berada atau siapa pun kita.

Setiap individu pekerja harus mengaplikasikan kerja sebagai ibadah ini dalam kehidupan pejabat mereka mengikut kesesuaian profesion masing2. ianya mungkin berbeza antara satu sama lain, namun niat dan tujuan untuk menyalutkan kerja kita dengan keredhaan Allah patut ditangani dengan lebih kreatif dan bersungguh2.

Disini saya perturunkan beberapa cadangan terbaik untuk kita sama2 praktikkan supaya kesan kemanisan syurgawi meresap kedalam jiwa kerja kita, maka dengan ini insya allah ianya mampu mencerna jiwa insaf kita untuk membentuk sikap pekerja yang bertanggungjawab, professional dan berorientasikan kebaikan (ibadah).

1) Mulakan rutin kita dengan perkara yang baik, tak kira dimana kita berada. Dosa dan kemarahan hanya akan menjauhkan kita dari rahmat allah.

Elakkan marah dan berhemahlah dijalanraya, melanggar lampu isyarat, tidak bertimbang rasa semasa memandu, membunyikan hon tanpa sewajarnya dan lain2 perlakuan tidak bermoral hanya akan menjadikan hati ceria kita gelap dan senakin menjauh dari kebaikan rahmat. Bagaimana mungkin hari ceria kita boleh datang sekiranya rahmat allah makin menjauh. Dan dibimbangi kalau beginilah perlakuan rutin kita, sampai bilakah nilai kedamaian syurgawi mampu hadir bertamu disisi kita.

2) Membaca beberapa ayat al quran setiap pagi. Konsistenlah untuk mengamalkannya walau sedikit, ia lebih disukai dari banyak yang bermusim.

Jika terlalu sukar dilaksanakan, mungkin kerana kesibukan dan timbunan tugas, atau culas tergeliat lidah hendak membacanya ekoran kejahilan semalam, maka janganlah kita mengabaikannya begitu sahaja. Belajarlah membuka radio atau kaset quran barang seketika untuk melawaskan damai hati, dan dizaman teknologi ini allah lebih mempermudahkan ibadat, sambil tekun kita meladeni tugasan bertimbun. Layan dengarlah ayat2 quran dari qari2 terkenal yang suaranya dirakam dalam laptop kita sepagian, pastinya ia mendamaikan.

Sunday, March 21, 2010

Mencari Nyaman

Semalaman saya digeletek kegelisahan, entah mengapa mata terasa berat untuk ditutup dan dibius lena. Minda menerawang ke ufuk sepi, mencari sesuatu titik untuk difokus dan difikirkan, namun buntu.

Badan ini saya golek ke kanan, beralih angin dari posisi biasa, menelentang memandang penjuru almari dikamar saya, mungkin ianya memberi sedikit kenyamanan pada tubuh. Sekejap saya mampu bernafas ceria, meminggir sejenak kegelisahan malam.

Namun ianya tidak lama, haba tubuh yang panas meimaskan saya, perjalanan kelmarin pulang dari kelantan mungkin meyebabkan keadaan fizikal saya keletihan. Mata yang dipaksa focus ke aspal jalanraya selama 6 jam tidak juga mahu berehat. Ianya terasa seperti mencari sesuatu misteri yang hilang.

Saya beralih lagi, dari kanan saya turun dari tilam mencari parker kayu yang keras untuk diletakkan badan ini, kayunya agak keras namun terasa sedikit dingin bila tibanya malam.
Tiupan kipas angina berjenama Panasonic sedikit membantu. Sesekali gigitan nyamuk sesat menyedarkan saya, ditarik gebar merah jambu menutup separuh bahagian tubuh sebelah bawah.

Seminit cuma, saya kerimasan. Malam ini terasa betul bahangnya, panas dan hangat, cuaca di pulau pinang tak sama seperti kelantan.

3 hari saya pulang kekampung dalam damai rindu bertamu dihati.

Kepulangan seolah diberkati dalam dakapan nyaman dan redup cuaca menyelimuti persada langit diKota Bharu.

Setiap hari yang berlalu dinegeri cik siti wan kembang ini saya rasakan damai nyaman hembusan alamnya. Dengan gerimis malam yang turun segar membasah hujung dedaun hijau di sepanjang jalan, ianya menyerikan kuntuman bunga dengan basah embun dijemari kelopaknya.

“Segarnya cuaca di Kelantan ya, tak rasa bahang panasnya sangat” saya melontar bicara sengaja. “Kalau di Penang, panasnya terasa.”

Kat sini pun sama, tapi baru2 ini, tuk guru dah isytihar kepada semua untuk buat solat istisqa’, memohon tuhan menurunkan rahmatnya, memayungi makhluknya yang kepanasan dan kehausan. Mak saya mengulas. Tapi belum pun tiba hari jumaat, hujan dah turun, lebat juga tu.ujarnya lagi.

Dengarnya tuk guru buat juga solat istisqa’tu kan, pernah terbaca dalam beberapa blog rakan seperjuangan di alam maya. Tokok saya menambah.

“Memang pun, ramai juga yang bersama tuk guru solat …. Masa berdoa, hujan turun lagi, habis basah kuyup jemaah yang sama berdoa” cerita mak saya.

Seronok betul ya, bila islam dilaksanakan, alam pun turut merasai nikmatnya.



“Nampaknya saya kena buat solat istisqa’juga dekat pulau pinang ni …” putus saya sambil terus berhempas pulas mencari keselesaan tubuh untuk memejamkan mata.

Aktiviti BAKTI

PROGRAM BADAN KEPIMPINAN DAN TARBIAH ISLAM (BAKTI)


PERSATUAN PELAJAR ISLAM
SMK ST XAVIER


SETIAP ISNIN JAM 2.30 – 3.15 PTG

PROGRAM SAHABAT ISLAM


SETIAP RABU JAM 2.00 PTG

LATIHAN NASYID DAN KOMPANG


SETIAP KHAMIS JAM 1.30 – 2.30 PTG

KELAS TAHSIN AL QURAN ( AKADEMI ALQURAN )


KLINIK AGAMA (SOAL JAWAB AGAMA)

TERBUKA BAGI SESIAPA YANG INGIN BERTANYA TENTANG ISLAM DAN HUKUM AGAMA, SILA LAYARI LAMAN BERIKUT DAN TINGGALKAN SOALAN ANDA DI SHOUTBOX YANG DISEDIAKAN

ANDA BERTANYA DAN USTAZ AKAN MENJAWAB

LAMAN WEB : TRAVELOG HIDAYAH ( laman alternatif BAKTI )



BERSAMA MEMBENTUK JATIDIRI MUSLIM CEMERLANG

Saturday, March 20, 2010

Santai dalam Mendidik

Terjumpa lawak santai ini dalam perjalanan saya menghirup kesegaran maklumat2 baru juga mencari berita sahabat2 seperjuangan.

Ianya memberi keselesaan pada minda yang sentiasa bergerak dan bekerja.

apatah lagi, dalam klise santainya, ada pengajaran yang mungkin boleh dikongsi.

Peribadi saya lebih suka memilih lawak atau jenaka yang ada kaitan ibrahnya bukan cuma lelucon splastik yang dibuat hanya untuk memancing tawa dan gelihati.

Biasanya saya akan melampirkan tips pengajaran yang boleh diambil dalam setiap santai lawak yang saya ceduk dan kiaskan, biar kita tertawa dan belajar atau biar kita mentertawakan kebodohan kita dengan tujuan untuk lebih memperbaiki tanpa ada yang tersentuh dan terasa.

Kisah 1

"Mama.. hari ini saya dapat markah 100% di Sekolah," kata Kamal kepada mamanya.

"Iya ke??.. macam nilah anak Mama yang pintar..Pelajaran apa yang kamu dapat markah 100%?" tanya ibunya.

"Matematik 30%, Bahasa Melayu 50%, dan Sejarah 20%."

Kisah 2

Najman ditanya gurunya. "Najman.. kenapa karangan kamu yang bertajuk "Kucingku" sama seperti karangan Misha?"

"Sebenarnya Misha tu sepupu saya cikgu " jawab Najman ketakutan.

"Kalau ya pun sepupu tetapi kenapa isi dan jalan ceritanya sama 100%?" "Betullah cikgu.. dah karangan yang saya dan Misha tulis adalah berkenaan kucing yang sama mana boleh isi dan jalan ceritanya berlainan...."

Kisah 3

Seorang gadis yang Bahasa Inggerisnya kacau-bilau... suatu hari terlanggar seorang pelancong ketika berjalan-jalan di The mall.

Gadis : " I'm sorry "

Pelancong : " I'm sorry, too "

Si gadis kelihatan bingung kerana tidak faham apa yang diperkatakan oleh pelancong itu..dia meneka-neka dan terus menjawab..

Gadis : " I'm sorry. three "

Pelancong : " What are you sorry for? "

Gadis : " I'm sorry, five "

Thursday, March 18, 2010

SPM bukan noktah kehidupan

Tatkala saya meraikan berita gembira kejayaan para srikandi saya yang pernah bersama berbumbung dibawah program BALKIS dahulu. Tiba2 saya diterjah mesej ringkas umpama telegram mengejut berikut :

Maafkan saya Ustaz, result SPM saya mengecewakan, tidak sebagaimana yang saya harapkan sebelum ini.

Noktah.

Sepi. Dan pastinya berbuku sedih dihati.

Terhenyak seketika pemikiran saya dikerusi memori, teringat kembali zaman lama tika masih disapa bayu kinabalu. Pelajar2 Balkis ini adalah harapan dan impian saya, memacu mereka kelandasan yang lebih berfokus dan berwawasan adalah niat saya.

Biar mereka berjaya keluar daripada kepompong kebiasaan pemikiran remaja : nda apa2 !
Tapi saya mahu menjadikan mereka remaja yang luarbiasa, bermotivasi, bervisi dan berdikari.

Pelajar ini antara tonggak utama balkis, wataknya mewarnai setiap program kecil atau besarnya, mengemudi setiap langkahan sesi dan slot yang berlangsung didalam diari sejarah balkis. Saya kagumi wataknya, saya hormati semangatnya, saya sanjungi pengorbanannya.

Dalam dinihari kehidupan yang menyinsing, gerimis hidupnya berlagu pahit, bukan sedikit ujian menimpa, tapi kecekalannya saya lihat tidak pernah goyah dan lebur.

Tarbiyah, Kerohanian dan Akademik berjalan seiring dalam hidupnya, menjadi lantera hidayah meresap dan membias cahayanya menyuluh alam buana.

Namun Allah masih mahu mengujinya. Ya, ujian Allah datang dalam bentuk berbeza.

Bangkit ingatan saya kealam sedar, duduk seketika memilih bait nasihat terbaik untuk dilontarkan. Perkataan yang baik umpama secangkir kopi panas yang mengaliri kerongkong membuka kesegaran badan dan menyegarkan kelesuan mata dikala kantuk mula merajai serebrum focus.



SPM sememangnya satu tahap pertama akademik untuk menguji dan mengujakan. Ujiannya bagi menapis kelayakan warga sekolah antara yang layak bersaing diperingkat yang lebih tinggi dan kompetitif ataupun tidak.

Sewajarnya mereka yang layak akan terus bersaing dimedan akademik manakala yang tidak biasanya lebih memilih persaingan dan peluang dibidang kehidupan terbuka.

Benar, kejayaan bergantung kepada usaha seseorang. Bahkan itulah prasyarat pertama kejayaan.

Tapi usaha sahaja belum menjamin segalanya. Kerana itulah doa dan tawakal menjadi pelengkap kejayaan.

Doa dan tawakal adalah penawar kejayaan. Ia mengajar kepasrahan sebagaimana ia menjadi benteng dari keegoan juga sebagai booster kebangkitan dari segala kegagalan dan kesedihan.

Menerimanya dengan tenang dan sedar, adalah nikmat kejayaan yang paling berharga.



Allah sentiasa menguji manusia. Ujiannya membungakan harapan dan pergantungan. Ujiannya menjanjikan kejayaan dan ganjaran.

Berbeza dengan manusiawi, Allah menguji semata2 untuk memberi pengiktirafan, allah menguji sebagai tanda kasih, allah menguji sebagai tapisan penghormatan.

Perlu diingat, Para nabi alaihissalam merupakan golongan terbanyak menerima cubaan dan ujian, silih berganti, menjangkau kemampuan fizikal dan daya emosi manusia. Terbayang kisah ketaatan Ibrahim a.s menerima ujian keimanan dan siti hajar menerimanya patuh keredhaan.

Jadi secebis ujian itu, adalah lautan kasih tuhan yang maha penyayang.

Berdiri sejenak dalam kotak ingatan, teringat satu sabdaan rasul tercinta : Allah sengaja menguji manusia, dan kekadang allah memperlambatkan penerimaan dan pengkabulan doa manusia, manusia terus bergulat munajat, manusia merintih harapan, hingga malaikat bertanya : kenapa ya allah, engkau belum ampuni dan kabulkan permintaannya. Allah berfirman : tangguhkan dulu wahai malaikat, AKU SUKA MELIHAT HAMBAKU MEMOHON DAN MERAYU PADAKU DENGAN PENUH KEHAMBAAN.

Antara ramai, kekadang tumpah ujiannya pada kita, dalam banyaknya khalayak, kita menjadi pilihannya.
Moga pilihan tuhan itu tepat, dan allah pernah berjanji : manusia akan diuji berdasarkan kemampuan dirinya. Dan engkau pelajarku, memang mampu, bangkitlah dan berusahalah. Jangan sesekali putus harapan dan semangatmu.

Perlu diingat : SPM bukan segalanya. Tanyalah kota dunia, siapakah yang cemerlang diSPM tapi akhirnya merempat didada kota, ada juga yang cemerlang di SPM tapi gagal di Matriks, ada yang cemerlang di SPM akhirnya gugur dijalanan maksiat.

SPM adalah permulaan bukan segalanya.

p.s : Ketentuan tuhan adalah yang terbaik, mungkin ia mahu merawat duka kehilangan BALKIS, maka dipilih mereka yang terbaik untuk terus menjadi nada dan denyut utama persatuan islam ini. Antara yang ustaz sarankan, pilihlah TINGKATAN ENAM dan terus berusaha.

STPM adalah level kedua persaingan kejayaan. Rujuk Ustaz Norzam dan Cikgu Juhari untuk lebih informasi dan motivasi.

Wednesday, March 17, 2010

Salam Tahniah Buat Srikandi BALKIS

Alhamdulillah, sesungguhnya pujian dan kekaguman hanya layak buat pencipta yang maha berkuasa. Dedikasi selawat dan ucapan salam buat junjungan Rasul yang banyak berkorban untuk keselamatan dan kejayaan kita.

Debaran keputusan SPM muncul lagi membawa reaksi berbeza setiap warga pelajar yang pernah mendudukinya. Ia datang dengan kegelisahan yang bukan sedikit.

Harapan dan ketakutan berulang gilir berpaut didahan hati. Meniti jemari ranting menuju pucuk tertinggi kepasrahan diri pada sang pencipta.

Begitulah setiap kita melalui tempo dan reality yang sama. Ianya menyakitkan, menakutkan namun sekaligus juga ia membahagiakan, mengharapkan dan mendewasakan.

Pesan seorang rakan, hadapilah debaran ini dengan keyakinan, ALLAH akan sentiasa membantu setiap hambanya.

Keputusannya bertunas positif bergantung pada momentum usaha yang pernah terbaja sebelum ini.

Hikmah keputusannya juga berbeza antara indivudu yang pelbagai.

Level kejayaan juga sememangnya sengaja dihadirkan untuk menguji tahap jiwa dan pengertian pengorbanan yang ditagih maha kuasa.

Keputusan jaya bukan noktah pada kecemerlangan dan kegagalan juga bukan perhentian pada kehidupan.

Maka, pesanan saya kepada semua : ENJOYLAH DEBARAN SPM INI, ianya mematangkan jiwa dan mendewasakan emosi.


Tahniah juga kepada semua warga BALKIS (Badan Latihan dan Kepimpinan Islam) di SMK Perempuan Likas yang telah menunjukkan kecemerlangan mereka tersendiri dalam mempatri hakikat, perjuangan memartabatkan islam dalam diri dan terlibat langsung dalam aktiviti berpersatuan tidak pernah menjadi batu penghalang dan petualang yang menggangu kecemerlangan akademik kita.

Teringat saya pesanan pengarah JAKIM Sabah 2005-2008, Ustaz Paimuzi ketika perasmian penutup Kem Motivasi SMP dikundasang tatkala beliau menegaskan tiada bukti keterlibatan pelajar dalam persatuan dan aktif berorganisasi akan menidakkan kejayaan akademik pelajar, bahkan sebaliknya minda berpersatuan dan bekerjasama dalam organisasi akan melahirkan aset sejati buat ummah ini, modal insane yang berjaya dan mantap keperibadian mereka.

Andalah pemimpin dalam pembikinan umat ini, jangan siakan harapan dan peluang ini, teruslah berusaha….. kasih allah milik mereka yang mencarinya bukan berangan sahaja.

Ucapan Tahniah Buat Kalian Srikandiku:

1. Norazimah Ibrahim 11 A
2. Khalilah Sapawi 10 A
3. Wan NorFatini 9 A
4. Syaza Syafeeqah 6 A
5. Isna Zakiah Fajrin
6. Citi Manisa
7. Munawwarah Jamaludin
8. Nur Afiqah
9. Dg Norlisa
10. Aslinda Asrul
11. Farah Atiqah Ali Rahman
12. Izra Edora
13. Nur Syahirah Irwani Md Nazri
14. dan semua warga SMP yang berjaya.

Terima kasih juga kerana menunjukkan prestasi cemerlang pada subjek yang diajar ustaz, tertamanya Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Monday, March 15, 2010

Bila cinta Allah Berbicara, Cinta Lain Membisu Seribu Bahasa

Membaca garapan penulis ini, saya disentuh syahdu. Mendalami frasa emosi yang menyentap kesabaran, alangkah nikmatnya saat hati tega memilih iman, membelai rindu dihati ekoran perpisahan kerana tuhan.

Betapa kita perlu mencontohinya.

Kembali kita menyelami hakikat cinta ilahi, sanggup dan tegakah memilih Allah dari manusiawi.

Sejenak saya berfikir, dalam hembusan nafas dilepaskan. Alangkah jauhnya diri ini dari suri teladan agung ini, nenda kita Ibrahim Alaihissalam.

Bersama ayat cinta bertajuk BUKAN CINTA BIASA oleh Pahroul Mohd Juoi.



Dipegang jubah suaminya. Matanya yang jernih merenung sayu.

“Apakah ini kerana Allah?” tanya hampir berbisik.

“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.

Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi. Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah, aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.

Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya. Itulah hati Nabi Ibrahim. Jika dulu dia diuji dengan bakaran api, kini dia diuji lagi oleh perpisahan dengan anak dan isteri.

Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan membisu seribu bahasa…

Mengapa hanya kata-kata “apakah semua ini kerana Allah?” yang diminta kepastian oleh Siti Hajar terhadap suaminya Nabi Ibrahim? Mengapa tidak ada ucapan yang lain? Mengapa tidak diucapkan, “kenapa sampai hati kau buat begini?” Tidak, ucapan seumpama itu sama sekali tidak terkeluar daripada mulut isteri solehah seperti Siti Hajar. Apa yang hendak dipastikannya hanyalah satu… semua itu dibuat oleh suaminya kerana Allah. Bila kerana Allah, tenanglah hati Siti Hajar… Tuhan pasti tidak akan mengecewakannya. Suaminya tidak akan menganiayanya.



Bertemu kerana Allah, berpisah pun kerana Allah. Itulah tradisi dalam cinta para solihin dan muqarrabin. Dan iktibar buat kita, untuk mengekalkan cinta dalam rumah tangga inilah juga teras dan asasnya. Jangan ada “kerana” yang lain. Jika ada yang lain, pasti cinta itu tergugat jua walaupun bagaimana teguh sekali pun janji dan peneguhan kata yang pernah dimeterai. Untuk mengekalkan cinta, ini sahaja prinsipnya – berbuatlah apa sahaja kerana Allah. Lurus, tulus dan telus tanpa belok dan bengkok.

Sekalipun terpisah, namun cinta Nabi Ibrahim dan Siti Hajar tidak pernah luntur. justeru kedua-dua berpegang kepada asas cinta yang kekal… cintakan Allah. Dan bila mereka bertemu kembali, beberapa tahun kemudiannya, cinta itu teruji lagi. Kali ini Nabi Ibrahim diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Nabi Ibrahim tekad, Ismail mesti dikorbankan. Tetapi bagaimana Siti Hajar?

Siti Hajar teruji lagi. Nilai anak bagi seorang ibu, kekadang melebihi nilai suami kepada seorang isteri. Ikatan hati antara ibu dan anak jauh lebih teguh dan kukuh daripada ikatan suami dan isteri… begitu kekadang pakar-pakar psikologi mengungkapkan. Namun itu sedikit pun tidak menjejaskan jiwa Siti Hajar, sekali lagi “jika itu kehendak Allah” dia pasrah. Allah tidak akan mengecewakannya. Siti Hajar rela “kehilangan” anak dan suami berkali-kali. Seperti air zam-zam yang menyuburkan lembah Makkah yang gersang maka begitulah iman yang memperkasa jiwa Siti Hajar. Sekali lagi dia rela dan tega.

Sunday, March 14, 2010

Kem Ibadah Maulidurrasul (2)

“Pelajar disini susah dikawal, mereka agresif dan suka melanggar arahan. Mereka bising dan tak hormat cikgu”. Begitu luahan seorang kawan dikantin dalam bualan kosong semasa rehat dan makan,

“Tahun lalu, semasa perkhemahan ramai pelajar yang memanjat pagar, jam 2-3 pagi mereka keluar membeli makanan dan melepak, mereka keluar dalam kumpulan yang kecil. Bahaya woo ustaz, kalau jadi apa2, parents belum saman nanti.” Seorang cikgu memperingatkan saya.

“Siapa yang jaga pelajar malam ni ustaz, tahun lalu ada pelajar merokok dikawasan sekolah, mereka buat bising dan ada yang panjat pagar untuk keluar ditengah malam. Harap ustaz dapat jaga2”. Pesan seorang Guard disekolah saya prihatin.

“Insya allah, saya akan tidur disekolah malam ini. Moga semua berjalan lancer”. Ujar saya berharap.



“Macamana ustaz, kita boleh teruskan ke kem ini ?” Tanya Faizul, bendahari program merangkap ajk makanan yang begitu komited dengan kerjanya. Beliau memberi sepenuh komitmen dalam menjayakannya bermula dengan promosi, pemilihan pelajar, penyediaan makanan dan hadiah serta urusan pendaftaran.

Saya dah jumpa Mr Lim, penolong kanan koko membawa kertas kerja program ini, mohon kelulusan dari dia, kita kena booking dewan dan kelas2 awal takut bertembung dengan camping unit beruniform yang lain, Hazmizal selaku pengarah dan pengerusi BAKTI pula mencelah, melaporkan update perjalanan program yang dirancang.
Nampak responnya dingin, dia tak bagi guna kelas, kalau boleh ustazlah pergi jumpa dia. Sambungnya lagi.

Usai berurusan, saya melihat program ini semakin dipermudahkan tuhan, mendapat lampu hijau dari PK KOKO dan Pengetua, saya dibantu pula dengan dana SUWA yang masih berbaki.

Pengetua pula berpesan teruskan usaha, moga dapat mengumpul pelajar ini untuk terus bersatu mengharumkan nama sekolah dalam kokuruikulum dan juga akademik, beliau memuji usaha cikgu yang sanggup berkorban untuk bersama para pelajar menjalankan aktiviti.

Akhirnya, jam 4 petang kami berkumpul dalam pendaftaran yang diurus cekap ajk BAKTI. Jangkaan dan limit saya telah tetapkan hanya untuk 55 orang pelajar sahaja.
Pengalaman lama saya mengajar bahawa program mestilah berperancangan termasuklah bilangan pesertanya, jumlah yang terlampau ramai atau tiada limit banyak mencetuskan konflik dan sukar dikawal.

Para peserta datang dengan penuh semangat, dihantar oleh para ibubapa yang berbunga harap.

Jam 5 petang kami alunkan azan pertama, solat asar saya imamkan. Para peserta patuh menyusun saf. Rakaat pertama berlangsung tenang, namun bila rakaat2 seterusnya bersambung, suara2 takbir sumbang mula kedengaran, ketawa dan cakap kecil tercetus perlahan dan disembunyikan. Salam akhirnya berlabuh dengan doa yang sengaja saya pendekkan.

Sesudah memberi salam, saya mulakan dengan ucapan salam perkenalan, tegas dan mudah. Berpesan dan mengingatkan, kem ibadat ini hanya untuk mereka yang datang dengan niat yang baik dan ingin berubah, tiada tempat untuk mereka yang main2, atau sekadar datang untuk makan, berjumpa kawan, atau hanya sebagai hiburan tambahan.

Tercabar saya dengan ketawa kalian, mempermainkan takbir, dan tidak menghormati solat umpama menempah neraka. Jangan ingat semua peserta hari ini boleh besar kepala dengan tuhan.

Dan laporan awal saya terima, sebagaiamana tahun lepas, kalau masih ada peserta yang teringin keluar merokok dan melepak, bukan disini tempatnya, sila angkat tangan dan kemas pakaian. Kem ini tidak memerlukan kalian.

Jangan juga ingin berpoya2 dan melanggar peraturan kem, anda dilatih disini untuk beri disiplin dan kerjasama. Malam ini, para ajk dan ustaz akan meronda bilik untuk mempastikan tiada yang melanggar disiplin. Jika ada, semua ahli pasukan harus menanggung padahnya.

Jika anda semua beri kerjasama baik, maka baik dan banyaklah keistimewaan yang anda akan dapat, jika tidak satu demi satu keistimewaan ini akan ditarik balik.

Perkiraan saya, mungkin ingatan dan salam perkenalan saya ini wajar pada tempatnya. Tegas dalam kemesraan saya pamerkan untuk mengumpan komitmen disamping tidak mematikan semangat islam yang mungkin baru bercambah.



Alhamdulillah,saya mendapat kerjasama baik dari beberapa rakan guru yang banyak membantu memugar kem dengan sentuhan rohani, bimbingan dan kreativiti.

Terima kasih kepada Saudara Izzuddin, Kaunselor muda sekolah kami yang begitu berdisplin dan prihatin, bekerjasama dengan toleransi organisasi amat mengujakan saya. Darinya banyak ilmu yang saya timba walau usianya baru menginjak 23 tahun.

Begitu juga untuk cikgu Fairuz yang sanggup meredah pekat malam, berkorban masa yang sedikit dengan pengorbanan besar menidakkan seketika ulangkaji untuk MTEST memasuki KPLI pada keesokan harinya. Moga sumbangan ini akan membuka jalan rezeki buatmu sahabatku, kasih Rasul bersamamu selalu hendaknya.

Terkejut juga dengan ustazah baru, Siti Atiqah yang sanggup berpartispasi memberi komitmen walaupun hanya sebagai guru ganti bersalin. Hadirnya memberi inspirasi dan kelainan dalam acara treasure hunt yang berlangusng segar dipagi hari.

Akhirnya dalam majlis penutupan, saya diberikan kejutan oleh para pelajar yang kebanyakannya memberi kredit LIMA BINTANG kepada aktiviti yang telah berlangsung.

Aktiviti MUHASABAH, Permainan DODGEBALL, dan BALING BALL, MAKANAN, Kerjasama Fasilitator dan AJK, serta ceramah BERSAMAMU RASULULLAH dan Motivasi Dakwah Mencontohi Rasulullah berjaya diluncurkan meniti kefahaman dan penghayatan mereka.

Dan akhirnya, janji saya ditagih, ustaz kena buat lagi program sebegini, pada masa akan datang. Kami berdiri teguh menyokongnya.

TERIMA KASIH semua, Terima kasih BAKTI.

ps : maaf kerana tiada gambar aktiviti yang mampu saya lampirkan, keuzuran kamera yang semakin tenat dan rosak menyebabkan saya terlepas adegan dan episod menarik untuk dikongsi bersama selalunya.

Kem Ibadah Maulidurrasul (1)

Cuti persekolahan datang lagi.

Raut ceria pelajar jelas terpamer pada sorakan gembira mereka tika melangkah kaki meninggalkan laman sekolah yang sentiasa setia diposisinya.

Berlarian mereka melintasi jalanraya menuju deretan kereta ibubapa yang sudah sedia menunggu sambil minda mereka sedang rancak menconggak perancangan masa cuti yang panjang itu.

Bergegas saya kembali kerumah, mengambil anak sulung untuk segera menunaikan kewajipan solat jumaat.

Usai solat, saya membuat persiapan semula untuk kembali ke sekolah. Bukankah sekolah sudah mengumumkan cutinya. Kenapa saya masih ke sekolah ?

Alhamdulillah, bermula jumaat 12/3 dan sabtu 13/3 telah berlangsung satu program KEMAH IBADAT SEMPENA MAULIDURRASUL disekolah saya.



Idea Perkemahan ini saya cetuskan bila ditanya berhubung bilakah pula sambutan Maulidurrasul patut kami raikan disekolah ini. Saya tersenyum mendengarnya. Ternyata semangat merancang dan melaksanakan program ceramah Maalhijrah tempohari masih berbaki.

Perlahan saya lontarkan idea ini, program ceramah tempohari banyak manfaatnya, tetapi ianya tidak boleh terlalu kerap dan dekat jangka waktunya. Ia akan merimaskan dan menjemukan.

Apatah lagi, bagi saya ianya juga boleh merugikan warga muslim disekolah ini daripada mendatangkan kebaikan. Bayangkan seharian para pelajar muslim di kepung untuk bersama menadah telinga mendengar curahan maklumat ilmu dan agama samada secara rela atau paksa sedangkan pada masa yang sama kelas pengajian harian berjalan seperti biasa. Harga minority pelajar muslim ini terpaksa dibayar dengan membiarkan kelas terus berlangsung walau ada program agama diadakan. Keladang dalam satu kelas hanya ada seorang pelajar muslim berbanding 40 yang lain, tak mungkin kelas akan ditangguhkan semata-mata memberi ruang pelajar muslim mendengar ceramah.

Bayangkan juga,jika seharian mereka di dewan dan para guru pula terus membuka topic baru dikelas, mungkin pelajar muslim akan kedunguan 6 topik baru dalam sehari. Bayangkan juga jika ianya berlaku kerap dan dekat.

Sesuatu perlu difikirkan segera, penyelesaian ditagih bukan hanya sekadar keseronokan dan semangat berprogram.

Keduanya, program islamisasi disini perlu dipelbagaikan dan disentuh kreativiti, menggamit hati pengunjung yang baru berjinak islam tidak sama dengan tempo hati yang sudah serasi menyantuni islam.

Pelajar yang agak agresif dengan jiwa leka perlu ditangani dengan sentuhan dan mesra, apatah lagi mereka yang masih hingusan ilmu dan tarbiyah perlu dididik dalam suasana rapat dan prihatin.



Ketiganya, meluncurkan ikon agung ke lorong ingatan dan penjiwaan sukar sekali diaplikasikan hanya dengan sekadar laungan ceramah, ianya perlu diserapkan dengan contoh, selawat, muhasabah, aplikasi solat, penerangan sunnah dan erti cinta rasul.

Ianya tak mudah untuk dipakukan pada hati dengan ceramah bak biduk berlalu, namun penekanan reality dan aplikasi dijangka boleh mempertaut kembali kiambang ingatan damai ke penghujung hayat.

Idea saya lontarkan, disambut ceria para petugas BAKTI. Mereka mengimpikan satu program yang menyeronokkan dan menghiburkan.

Namun, merancang dalam tempoh 2 minggu yang sibuk untuk menganjurkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Diselangi dengan aktiviti padat sukantara peringkat sekolah dan ujian berpusat menjadikan waktu amat mencemburui keringat usaha yang bersisa.

Dan saya perlu bereksperimen lagi, bersama dengan tenaga kerja baru dan suasana baru. Mampukah saya merealisasikannya.

Masanya makin suntuk dan hampir.

Dan akhirnya tanggal Jumaat 12 Mac tiba jua.

Saturday, March 13, 2010

Tamu Seperjuangan

Pernah kami bertemu.

Pernah kami makan setalam, pernah seperjalanan dan berkenderaan meredah denai dan lurah, mendaki cerun dan bukit, tidur berbantal lengan bernaungkan langit, berlampukan bintang.

Pernah kami hidup bersama, dalam satu fikrah perjuangan. Beramal, berkorban dan terkorban.

Dalam kehidupan ini kami mimpikan kedamaian, kesatuan , kesolehan dan kedaulatan Islam.

Dalam perlahan gerak dakwah diselimuti lembayung bayu kinabalu, kami cuba gagah berdiri dan berlari. Bergerak dan bereksperimen. Dalam focus dan cara kami tersendiri.

Walau tak merubah banyak, mungkin sedikit kami mampu menyuamkan angkasa dakwah dibumi Likas sana. Moga ada yang bermanfaat.



Beliau ialah akh Nasirin. Pernah berjiran semasa mengajar di sabah, dan tempatnya bersebelahan sekolah saya di SMP. Beliau mengajar di SM Teknik Likas.

Saudara Nasirin ini pernah menjadi sahabat saya, bahkan tak kekok jika saya boleh menyatakan dia juga adalah guru saya berkaitan konsep membina kesatuan pelajar, mengaplikasikan IT dalam dakwah, dan mengkhusus dalam dakwah penerangan terhadap muallaf dan mengajak manusia kepada islam.

Kami bercita citra yang sama, mendahulukan cinta allah dalam hati manusia. Pernah beliau menyatakan : sudah lama kita hanya mengetengahkan muhasabah bersumberkan kasih ibubapa dalam menyedarkan pelajar, mengapa tidak kita mengubahnya kepada mengasihi manusia yang lebih agung lagi… iaitu Rasulullah. Dan beliau tidak beromong kosong, beliau menjayaknnya melalui paduan visual dan simfoni yang disusun menarik untuk menginsafkan.

Walau impian kami sama, mimpi kami agak berbeza, beliau terpaksa lebih awal berpindah ke Pulau Pinang atas factor keluarga. Perhubungan akhirnya terputus hanya melalui teks mesej dan komunikasi lewat telefon yang amat jarang.

Tapi, hubungan kami masih terus berlangsung ceria satu hala kerana beliau mempunyai blog yang mampu berkongsi segalanya. Namun hanya bisu dan satu hala.



Baru2 ini, saya diziarahi beliau yang menyambut berita kepulangan perpindahan saya ke pulau pinang dengan perasaan gembira, teringat teks yang beliau kongsikan bersama saya : kepulangan ustaz disambut sedih oleh sahabat2 disabah, tapi ianya merupakan satu berita gembira kepada kami di pulau pinang.

Setelah genap 2 bulan saya berkelana disini, akhirnya beliau muncul bertamu, menjalin ikatan yang lama berlangsung. Menyambung semula citra ukhuwwah dan dakwah yang sama.

Blognya boleh dilayari dalam rangkaian sahabat seperjuangan saya di : stay alive

Terima kasih akh nasirin, ana bersetuju kata2 anta, Mungkin jalannya tidak akan sama seperti sebelum ini, tapi rantai persahabatan & perjuangan ini pastinya lebih mudah bertaut, insyaAllah.

Wednesday, March 10, 2010

Raja Komedi Islam

Musim Ke 4, Raja Lawak di Astro baru sahaja melabuhkan tirainya.

Tanpa disangka anak-anak sabahan juga mampu mencipta nama sebagai jagoan dibidang seni dan komedi ini.

Jika sebelum ini, kita hanya mengenali Abu Bakar Ellah dengan karektor AMPALnya sebagai pelawak dan pengacara pentas hiburan, namun kini ORANG KITA itu tidak lagi keseorangan, beliau kini diapit sama tinggi oleh kumpulan lawak dari Sabah yang bernama KECIKS dan ALEX, yang baru sahaja ditabalkan menjadi juara rancangan membina bakat comedian di Malaysia ini.



Sesungguhnya, menjadi pelawak dan penghibur komedi ini bukanlah sesuatu yang mudah, ia sebenarnya datang dari watak dan jiwa kelakar yang semulajadi dalam diri. Tapi akhir2 ini, fonemena melawak dan membuat joke bodoh semakin menjadi2.

Ianya mungkin kesan kepopolaritian dan keglamouran yang dikecapi mudah para artis komedi ini.

Lihatlah alam realitinya, bakat2 komedi ini akan mudah diingati, diterima masyarakat dan mudah meniti tangga kemasyhuran.

Bermula dengan scenario, apek gitu2, nabil lu pikirlah sendiri, sepah dan lain2 yang dengan mudah mendapat undian keramat untuk menjadi artis paling popular tanahair dan membawa pulang pelbagai habuan menarik.

Ia seolah2 menunjukkan komedi ini adalah lubuk duit, kemasyhuran dan kemewahan.



Lalu kita pun turut tertarik untuk mengajuk cakap, beraksi dengan cara para pelawak ini berinteraksi, bercakap dengan penuh muslihat, suka mentertawakan orang, suka membuat jenaka dan ditertawakan.

Tapi kekadang hiburan kita berlebihan, sinis dan tajam, tujuan asal untuk dihiburkan tiba2 menjadi kutukan, amarah dan permusuhan. Inikah yang kita mahukan.

Apa rasional dan pandangan islam berkaitan komedi ini, moga disana ada batas susila yang boleh dipatuhi.

Atau sahaja islam ini agama serius yang hanya bisa mengangkat kening dan mengerutkan dahi semata-mata.



Merujuk kepada artikel Dr. Yusof Qaradhawi dalam bukunya Paradigma Masyarakat Islam yang kita impikan – beliau menegaskan 5 perkara untuk menjadi pelawak islam.

1. Jenaka islam mesti bersih dari penipuan dan pemalsuan fakta semata2 untuk menerbitkan tawa dikalangan audiens dan orang ramai.
Nabi pernah juga melawak dengan para sahabatnya, dan nabi sendiri menyatakan bahawa lawak itu tidak menghalalkan penipuan.
Bersama hadis nabi yang dipilih riwayatnya oleh imam tarmizi dan abu daud: (wailun ) celakalah bagi mereka yang bercakap lalu berdusta untuk menghiburkan orang lain, celaka buat mereka (diulang sebanyak 3x.)

2. Jenaka islam tidak menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.
Sabda junjungan dalam sahih muslim : cukuplah kejahatan untuk seseorang manusia yang menghina / memandang hina kepada orang lain.

3. Tidak menakut dan mencemaskan orang lain.
Ianya seumpama menyorok kasut kawan sekadar hiburan, kehilangan kasut akan membuatkan simalang menggelabah dan tercari2. Kegelisahan dan kekalutan itu mungkin menjadi hiburan spontan untuk kita semua.
Ia juga seperti menarik kerusi kawan yang berdiri, dan apabila dia ingin melabuhkan punggungnya, tapak lantai yang menjadi tempat henyakan landingnya. Dan kawan2 yang berada disisi akan saling tertawa dan tersenyum.

4. memilih tempat untuk menyampaikan jenaka.
Setiap tempat itu ada tahap percakapannya, serius pada tempatnya dan ceria pada tempatnya.
Jagalah adab dan kesesuainnya, takkan kita ingin meluncurkan jenaka di bawah bumbung rumah yang baru kematian ahlinya, atau mengolok2kan kesakitan kawan yang sedang nazak dipembaringan.

5. Berpada2lah dan jangan menjadi profesion. Jenaka islam hanyalah untuk hiburan, dan ketenangan itu datangnya bertempat dan akan membawa aura dan nilai positif pada keadaan dan tempat, ia umpama garam, hadirnya mencukupkan rasa, lebihnya memudaratkan kesihatan.

Umat islam adalah umat ibadah dan jihad, juga umat yang sederhana dan positif.
Lawak yang melampau dan terlampau hanya akan memburukkan imej agama, sebagaimana ianya menjauhkan hati dari ketenangan dan kemanisan iman.

Nabi bersabda : janganlah kamu banyak ketawa, sesungguhnya ketawa yang banyak itu akan mematikan hati (mengeraskan hati).

Benarlah umpama kata hebat saidina ali : gunakanlah jenaka sekadar perlu, seumpama menggunakan garam dalam hidangan (sekadar keperluan).

Ustaz, kalau begitu…kami tak boleh nak melawak lah ustaz??

Ustaz dah terangkan tadi, selebihnya….. LU PIKIR SENDIRILAH NABIL.

Memilih nama anak yang baik

Alhamdulillah semuanya sihat !! Moga allah jadikan anak saya seorang yang mampu mambahagiakan kedua ibubapanya. Ujar seorang kenalan saya yang baru menerima kelahiran anak sulungnya seminggu yang lalu. Namun riak ceria tidak jelas terpamer diwajahnya seperti biasa.

“Ustaz boleh saya tanya satu soalan, kami baru mendapat anak setelah sekian lama menanti, satu anugerah yang besar yang amat menggembirakan kami, tapi kegembiraan kami rupanya tidak bertahan lama, keluarga saya turut sama masuk campur urusan memberi nama kepada anak saya.

Boleh tak saya namakan anak saya isaac. Saya dan isteri memang sukakan nama tu, memang agak berbeza sikit dengan nama melayu dan kerana itulah keluarga sebelah isteri saya agak keberatan bila kami bercadang nak letak nama tu, mereka mahu nama islam, nama nabi atau sahabat, atau nama yang ada abdul sebagai tanda kesyukuran” jelasnya merungkai misteri muramnya dipagi itu.

Spontan saya menyebut :Isaac tu nama nabi, dalam bahasa arabnya Ishak, ianya nama watak orang soleh dalam lipatan sejarah islam.

Walau namanya tak menyamai kebiasaan nama melayu, ianya tidak menyalahi agama kerana ianya bukan satu nama yang mempunyai maksud yang buruk, malahan nabi juga menyukai nama orang yang soleh dan menganjurkan ikutan dan ingatan kepadanya, seperti nama nabi2 dan watak orang soleh dalam sejarah lampau atau masyarakat setempat.

Antara maghrib dan isyak malam tadi, skrin handset saya tertera mesej: apa makna aleesya ? saya suka nama tu untuk anak saya, harap ustaz dapat berikan maknanya.



Yang sedihnya, kekadang, bila sesuatu nama sudah dipilih rasmi, tercatat kemas dalam dokumen kelahiran , barulah terpacul soalan apa maknanya ustaz.? Atau saya dah pilih nama tu, macamana nak jadikan maknanya elok ya ustaz.

Dihari yang lain saya ditanya sahabat , bagaimana cara memilih nama anak yang baik??

Islam tak pernah memaksa atau mewajibkan koleksi nama khas untuk anak. Ianya juga tidak memberi taraf sunnah untuk memilih nama arab melebihi nama terpuji berdasarkan bangsa yang lain.



Sebagai pemudah dan garispanduan pemilihan nama anak, suka saya berkongsi beberapa taujihat islam disini.

1. Memilih nama yang terbaik dan mempunyai makna baik dikalangan masyarakat – rasul pernah menukarkan nama seorang yang bernama (sedikit) kepada nama (banyak). Yang bernama A’siah – pembuat maksiat ditukar kepada Jamilah – sicantik.
2. Tidak memperhambakan selain kepada allah, iaitu menggabungkan dengan perkataan abd selain kepada allah, seperti abduk kaabah, abdul nabi, abd husin dan lain2.

3. bukan juga nama yang menggambarkan keegoan dan kesombongan seperti malikul amlak, raja segala raja dan lain2. sesetengahnya meletakkan nama seperti kahirunnisa’- iaitu perempuan terbaik, sayyidus syuhada’, Rais mujahidin dan lain2 yang boleh membawa kepada kesombongan. (mungkin ini juga berguna untuk mereka yang ingin membuka blog dan menamakannya nanti)

4. Tersangat baik menamakannya dengan nama nabi2 terdahulu, orang2 yang soleh sebagai memperingati dan meneladani sirah kehidupan dan semangat kesolehan mereka.

5. Tidak salah menamakan anak dengan nama yang baik walau dalam bahasa bukan arab(ajam). Nama2 yang cantik dalam mana2 bahasa bangsa diiktiraf oleh islam, dan rasulullah sendiri tidak pernah menukarkan nama Mariah Al Qibtiah isterinya kepada nama lain.

Para sahabat sendiri mempunyai nama berasal dari sepsis bungaan arab seperti : talhah, salmah dan hanzalah.

Bersumber nama binatang seperti asad, fahad, haisam, saqar

Nama benda ; bahar , jabal dan sakhar.

Begitu juga nama nabi2 terdahulu yang asalnya bukan berbangsa arab seperti ibrahim, ismail, yusof, musa , maryam dan lain2.

Jadi boleh tak saya gunakan nama Isaac tu ustaz, tak salah ke ? Tanyanya mengharap kepastian.

Tak salah… Cuma kita kena sentiasa beringat, antara tanggungjawab seorang ayah ialah memberi dan memilih nama anak yang baik dan tidak menjelikkan, jangan biarkan kerana keinginan nafsu kita, anak terhina dengan nama yang kita pilih untuknya, jangan satu hari nanti dia menyumpah seranah kita kerana membenci dan terkilan dengan nama buruk yang kita pilih.

Atau jangan satu hari nanti , tika dewasa, anak turut terpalit imej buruk ekoran kesan makna nama anak yang jelik yang kita pilih. Fikirkanlah.

P.s : teringat Haji Ayub Abd Rahman (pendakwah islam dan bekas paderi) menamakan 2 anaknya dengan nama Moses dan Jesus.

Monday, March 8, 2010

Senyum Kehilangan

Tersentuh, saya membaca entry KEHILANGAN dari blog Abu Nuha dengan perasaan terharu. Apatah lagi ianya melibatkan insane yang pernah dikenali dan mengenali.

1) Ust Bungsu Aziz dan Puan Ofelia kehilangan cahayamata sulung lelaki pada 28 Mac di Kota Kinabalu. Bayi berumur 6 bulan dan hidup selama 3 jam.

2) Sdr Nor Fitri Abdullah dan isteri, yang kini berada di Politeknik Arau, Perlis memperolehi anak kembar tiga. Salah seorangnya meninggal dunia beberapa hari lalu. Mudah-mudahan yang dua lagi sihat dan selamat.

3) Tuan Hj Sunarto Sipin dan keluarga di Kg Lubok Temiang WP Labuan kehilangan anak sulung mereka Nasyriq, berumur sekitar 27 tahun yang kemalangan pagi tadi. Saya terbayang wajahnya kerana dia pemuda yang rajin ke masjid di kampung.

4) Ust Mahari Abu Bakar dan Puan Nurain Lim kehilangan cahayamata kedua semalam. Puan Ain Lim khabarnya bersalin bayi berumur 6 bulan.




Meruntun hati untuk turut sayu mengenang kehilangan semalam. Terbayang saat sukar dan sedih menyelubungi keluarga yang menerima musibah.

Terbayang anak kecil yang ceria, montel dan cerdas bertatih, berjalan, memanjat pagar dan melompat riang. Sekejap ketawa mengikik, kemudian merengek tangis dan akhirnya lena bermimpi damai. Namun simfoni fitrah itu amat menghiburkan.

Tiba2 nikmat tuhan itu ditarik balik, pinjaman allah buat manusia diminta kembali, siapakah yang mampu menghalangnya.

Nabi pernah kehilangan. Anak bersama kekasih hatinya siti khadijah. Membesar dalam acuan soleh didikannya, meremaja dengan ingatan kasih ibunya. Rasul senang bersamanya, nostalgia ibunya Khadijah sentiasa terbayang diwajahnya.

Namun tak siapa pernah menyangka, Umi Kalthum puteri rasul ini akan menuruti arwah ibunya lebih awal menapak meninggalkan alam fana dari ayahnya Rasulullah.

Air mata berlinang diwajah nabi, tatkala sakaratulmaut datang menjemputnya, rasul meletakkan anaknya keatas ribaannya, dipeluknya dan diusapnya penuh rahmat.

Dan bila ajalnya tiba tidak tertangguh, air mata mengalir deras tanpa dapat disekat lagi. Rasul juga menangis.

Terbaca saya hadis ini dari kitab Syamail Muhammadiah, bab Tangisan rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.

Ummu Aiman melihat peristiwa tersebut, dia meraung tangis. Lantas nabi bertanya : Mengapa kamu meraung didepan Rasulullah ?? Ummu Aiman menjawab : Bukankah engkau pun menangis wahai rasul. Nabi menjawab : Aku tidak menangis (meraung menidakkan takdir) tapi aku menangis kerana rahmat dan belas.

Moga allah mencucuri rahmat keatas ibubapa yang kehilangan.



Sabarlah, ada ganjaran menanti kalian.

Senyumlah kerana nabi menjamin kalian dengan anugerah syurga diatas musibah kehilangan ini.

Juga melalui kitab syamail ini bab kewafatan Rasul: menceritakan dialog antara rasul dan isterinya Aisyah : Rasulullah bersabda : sesiapa yang kehilangan 2 orang anak dari kalangan umatku, nescaya allah akan memasukkannya kedalam syurga disebabkan anak-anaknya itu. Aisyah berkata : Bagaimana pula kalau dia hanya kehilangan seorang anak , Rasul menjawab : begitu juga kalau ia kehilangan seorang anak. Dan Aisyah bertanya lagi : Bagaimana pula dengan yang tidak pernah kehilangan anaknya (rugilah mereka). Rasulullah menjawab : Akulah yang (menjadi galang gantinya) seumpama anak untuk mereka, sesungguhnya inilah (ganjaran bagi) musibah yang mereka akan terima.(Tiada musibah yang lebih besar dari kehilanganku)

Moga allah memberi kesabaran dan keimanan kepada semua yang terlibat musibah.

Karya : Berani Berubah

Alhamdulillah, rupanya sudah 6 karya yang berjaya diluncurkan sahabat saya Ustaz Shahrul Azmi Sidek ketengah pentas pasaran kehidupan.

Dengan garapan pelbagai tajuk dan situasi, beliau kebiasaannya menulis dengan bahasa santai dan mesra pembaca. Pelbagai topik kehidupan disentuhnya bukan sebagai watak penglipur lara , tapi mengungkap episod teladan dalam kehidupan ini untuk dilayari sebaiknya.

Beliau pernah menulis tentang i love ramadhan, 24 jam yang bermakna, sakit pun ok, bila haiwan menjadi guru dan lain-lain lagi yang sememangnya rangup dan lazat untuk dinikmati minda dan hati untuk mencari pengajaran.

Seangkatan dengan beliau dibumi anbiya' Jordan, saya mengenalinya sebagai seorang yang mudah didekati dan suka berjenaka, namun dalam kemesraannya tersemat keazaman dan keunikan beliau yang terpamer pada kesungguhan dan komitednya pada setiap bidang yang diceburinya.

Terkenal sebagai seorang yang tekun dan serius bekerja, rasanya tak hairanlah beliau mampu sampai ke tahap penulisan dan penerbitan seumpama ini, moga niatnya untuk menyebarluaskan ilmu dan menuntun teladan uswah hasanah para cendikiawan islam terdahulu dalam penulisan dimakbulkan Allah.

Bersama penulis, saya serahkan untuknya menyentuh citra bukunya yang baru.



Berani Berubah - Daripada Sebutir Jagung

Sinopsis:

Semua orang ada bercita-cita untuk berhijrah atau berubah. Hijrah atau berubah daripada satu perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik atau daripada yang sudah bagus kepada yang lebih bagus. Di hadapan kita banyak peluang untuk kita melakukan perubahan.

Namun dalam menuju perubahan, kita wajar mengetahui liku-liku dan ancaman yang bakal dihadapi dalam perjalanan tersebut. Dengan menyedari liku-liku tersebut, maka mudah-mudahan kita lebih kuat dan lebih tekad untuk meneruskan perubahan ini.

Tidak memahami benar-benar erti hijrah, halangan-halangan hijrah dan cabaran-cabaran serta realiti sebenar perjalanan hijrah boleh menyebabkan kita tersungkur di perjalanan sebelum sampai ke destinasi sebenar.

Ada cita-cita untuk berhijrah itu memang bagus dan amat bagus, tetapi hendak berhijrah bukan senang. Bukan semudah mengupas kuaci atau mengupas kerang dengan sebelah tangan semata-mata dan bukan sesenang memasang cita-cita seperti Mat Jenin.

Buku ini cuba memberi jawapan kepada topik tersebut.

Sunday, March 7, 2010

Debat Cinta

Debat perdana berlangsung ceria dikelas agama saya.

Setiap kumpulan yang ada berusaha untuk mengucapkan hujjah terbaik mereka.

Tajuknya diberikan spontan untuk mereka cerdas berfikir kreatif.

Sengaja saya garapkan tajuknya agar catchy dan keremajaan : Bercinta sebelum kahwin lebih baik dari bercinta selepas kahwin.

Hangat dan panas. Mereka begitu teruja dan supporting apabila memberi refleksi tentang tajuk ini, masing2 dengan idea tersendiri dan semangat yang menjiwainya.

Tanpa disangka kehangatan perdebatannya menghilangkan kantuk, amarah hujjah bersilih ganti, analogi dan perumpamaan membuak limpah, pengalaman remaja dan info semasa basah dilontarkan mereka.



Suka saya menjadi fasilitatornya, menenangkan yang tegang, menjelaskan yang kabur, mendefinisikan yang berfalsafah, dan memandu mereka yang tersadai dalam lebuhraya idea dan maklumat yang tidak kesampaian.

Kita harus mengenali pasangan kita sepenuhnya, ia akan menjamin persefahaman dan keserasiannya bersama dengan kita, berkahwin tanpa cinta adalah satu perjudian yang hanya membawa kegagalan.

Cinta memang mudah dipermainkan, ianya selalu dikonotasikan kepada perlakuan sumbang dan salah, dengan gaya percintaan zaman sekarang, kita seolah merelakan masyarakat untuk salah membuat pertimbangan. Saya berani sebut – cinta sebelum kahwin hanya akan membanyakkan kerosakan akhlak dan social masyarakat.

Definisikan cinta ? Jangan letakkan ia umpama sampah. Cinta adalah sesuatu yang suci dan tidak boleh dipandang enteng hanya untung kepentingan nafsu haiwani semata-mata.
Bercinta dengan tujuan yang benar dan baik akan membawa kebahagiaan.


Kita bercakap bukannya tentang soal picisan dan pinggiran, memang ada cinta yang suci dan baik, cinta adam dan hawa, cinta romeo dan Juliet, cinta laila majnun, mereka bercinta dengan perasaan kasih mendalam… kalau itulah cinta, lebih baik kita hanya berkasih dan berkorban tanpa perlu bersatu. Indahnya cinta bila dilanda badai ujian dan kita terkorban.

Tapi kita bercakap soal majority, dengan zaman yang serba tandus hidayah ini, ramai yang menggunakan cinta untuk menghalallkan pertemuan dan persentuhan. Akhirnya segala masalah masyarakat timbul seperti sekarang ini.

Islam menghendaki kita untuk mempuntyai disiplin pengetahuan, tak kenal maka tak cinta, kerana itu islam meminta 4 perkara asas untuk dijadikan sumber utama pemilihan pasangan, dan semuanya mesti berlandaskan tahu dan cinta.

Semuanya hanya mainan syaitan, perkenalan lama membibit cinta dan akhirnya berakhir dijinjang pelamin, tiada lagi kejutan dan keistimewaan, kita sudah lama mengenalinya,sejarahnya, tingkahlakunya dan minatnya, tiada lagi yang mengujakan… kita akan diserang virus JEMU, dan akhirnya pasangan macam belangkas percintaan ini tak akan bertahan lama dalam hubungan rumah tangga.

Saya berani mengatakan hubungan cinta selepas kahwin lebih bermakna, lihatlah keutuhan rumahtangga generasi terdahulu dari kita, mereka disatukan oleh keluarga dan cinta selepasnya membawa mereka bahagia sampai kehujung nyawa.

menggunakan hujjah zaman tak relevan, ianya memerlukan batasan tempoh, situasi dan cabaran berbeza, keutuhan rumahtangga dahulu tidak boleh dijadikan asas kebahagian rumahtangga sekarang... ianya totally different.

Serius perdebatan mereka, terusik saya dengan gelagat mereka.

Ada yang tergeliat lidah, ada yang kehilangan ayat dan merapu, ada yang tersilap fakta dan berpaling tadah, ada yang terover2, ada yang terdesak diasak hujjah hingga terpaksa meminta bantuan backup rakan, ada yang bercerita pengalaman, ada yang menyimpul falsafah kehidupan dan ada yang hanya tahu memboo dan menepuk meja. Menambah gamat bahang perdebatan.



Tamat debat, saya membasuh mereka. Menghurai topic perkahwinan dalam bentuk yang simple dan dekat dijiwa yang sedang meningkat remaja.

Setiap manusia berhak menyayangi dan ingin disayangi. Begitu juga dengan cinta.

Dan walau apapun hujjah kita, kita seakan bersetuju…. Cinta yang baik dan sejati ialah cinta yang suci dan tidak disalahgunakan. Ianya tidak boleh sama sekali bercampur dengan tarikan nafsu haiwani manusia.

Dan tanggungjawab kita mencari cinta yang hakiki, dan tiada yang lebih tinggi dari mencintai tuhan kita sendiri. Cinta yang tidak pernah mati dan kecewa.

Dan jikalau kita ditanya tentang cinta ? halalkah kita bercinta atau haram , ustaz ?

Suka saya bawakan petikan kata2 Dr. Yusof Al Qardhawi …. Cinta yang halal adalah halal dan cinta yang haram adalah haram.

Bukankah yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.

Maka pilihlah wahai sahabatku, cinta mana yang kita ingin dambakan.

Mari Menunjukkan Amalan Kita

Melalui Syamail Muhammadiah karangan Imam Tarmizi saya menjumpai mutiara hadis berikut :

1) Dalam bab puasa Rasulullah SAW.

Melalui Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah Bersabda : Semua amalan akan ditunjukkan pada Allah pada hari Isnin dan Khamis, aku menyukai jika amalan aku dibawa naik (pada hari tersebut) ketika aku sedang berpuasa.

2) Dalam bab solat dhuha Rasulullah SAW.

Dari Abdullah bin Saib meriwayatkan bahawa Seeungguhnya rasulullah telah bersolat dhuha sebanyak 4 rakaat selepas matahari tergelincir, sebelum masuk waktu zohor, Baginda bersabda : sesungguhnya waktu itu, merupakan saat2 dimana pintu langit terbuka. Oleh itu aku amat suka jika amalanku diangkat pada masa itu.

3) Dalam bab ibadat Rasulullah SAW.

Dari Mughirah ibni syukbah meriwayatkan bahawa ; Rasulullah SAW telah berdiri solat lama sehingga bengkak kakinya. Baginda ditanya : mengapakah tuan melakukan yang sedemikian, bukankah Allah telah mengampuni dosa2 tuan yang terdahulu dan yang terkemudian? Rasulullah SAW bersabda : tidak bolehkah saya menjadi hamba allah yang bersyukur ?



Meneliti rentetan hadis yang bertaburan berikut, terasa minda dalam diri saya berbicara sesuatu.

Rasul dalam denai bahagia kehidupannya ingin mengajarkan kita sesuatu.

Hidup kita adalah kepunyaan allah, dialah yang menghantar dan menguji kita. Dan ujian itu tidak lain hanyalah sebagai tanda hadiah yang ingin diberikannya kepada para hambanya.

Merasakan diri kita sebagai hamba Allah adalah nikmat perasaan yang cukup sempurna. Ianya akan menyelamatkan kita dari menuntun hidup ini kearah kesia-siaan yang diperdaya oleh hiasan duniawi, ramai manusia akhirnya leka dan menjadi abdi kehidupan percuma dunia ini.

Ramai terpedaya menjadi hamba hiburan dan keseronokan, ramai yang alpa diperbodohkan kemewahan dan kekayaan, ramai yang tertipu dengan permainan dan cinta, dan akhirnya kesemua perhambaan ini hanya akan membawa penganutnya ke neraka allah.

Tertarik dengan rangkaian hadis diatas, saya merasakan rasul ingin membawa kita ke satu dimensi perasaan kehambaan yang tinggi.

Ia mendidik kita untuk berusaha menjadi hamba allah yang serius dan bersungguh.

Dan kesungguhan itu perlu dibuktikan dan dipertontonkan sewajarnya.

Dengan erti kata lain, kita perlu menunjuk2. Kita perlu sengaja memperlihatkan kebaikan dan amalan kita. Kita mesti berkorban untuk mempamerkan cinta kita.

Tapi bukan pada manusia. Bukan pada khalayak. Bukan pada makhluk.

Kita mesti menunjukkan rasa taat kita pada tuhan, kita kena pamer dan tontonkan dengan bangga amalan kita pada tuhan.

Kita kena berusaha untuk mencari waktu amalan kita dipertontonkan dan dipersembahkan buat tuhan yang maha kuasa.

Rasul suka dia mampu memperlihatkan amalan terbaik buat tuhannya. Dan ia mahu amalannya diterima dalam keadaan dia istiqamah melakukan ketaatan.

Justeru, kita juga harus membenci riak, membenci ujub dan menunujuk-nunjuk kepada manusia. Ianya digelar syirik yang tersembunyi. Mengharap penghormatan dan pengiktirafan manusia dalam peribadatan seolah menyekutukan allah jua. Lantas dengan cepat allah memberi ulasan bagi mereka yang riak, mintalah pahala amalanmu dengan manusia yang engkau riak dan tunjuk2kan amalanmu.

Tak malukah kita ? Mahukah kita menuju kepada manusia yang kita ingin tunjuk2kan itu dan meminta pahala daripadanya. Adakah dia memilikinya atau kita hanya akan diperlekeh dan dimalukan olehnya sahaja.

Seterusnya, buktikanlah ketaatan kita dan tunjukkannya dengan solat berjemaah, solat nawafil, puasa, bacaan quran dan pengorbanan kita menangkis ajakan nafsu amarh syaitani.

Perteguhkan niatmu, ikhlaskanlah dan tunjukkan amalanmu hanya untuk tuhan.

Rasul telah menyampaikan, dan kitalah saksinya.