Monday, December 27, 2010

Syoknya Krismas !



SYOKNYA KRISMAS.

Spontan terpacul kata2 tersebut dari bibir seorang pelajar saya.

Kata2 yang tanpa sengaja terucap tatkala menyaksikan kemeriahan sambutannya dalam dingin salju yang membahang dalam suhu yang terendah, kagum dan teruja dengan putihnya salji yang menderu turun merimbunkan keputihan di serata tempat.

Seronok dengan pemandangan orangan salji yang berdiri utuh menyaksikan peperangan olok2 bola salji antara anak2 kecil yang kegembiraan. Gembiranya Krismas … dan tanpa sedar ucapannya dilirik tajam pandangan mata rakan2 sekelas yang terasa bingit digigit kontra pandangannya.

Ustaz, bolehkah kita merayakan KRISMAS dan merasa seronok di perayaan ini? Bukankah kita orang Islam diminta membenci KRISTIAN dan penganutnya ??

Saya membatukan diri seketika. Seakan membiarkan sahaja persoalan tersebut dipupuk angin bayu yang berlalu dicuping telinga.

Ustaz, meriah betul sambutan Krismas ini, berbeza dengan AIDILFITRI kan. Syoknya kalau dapat sambut raya macam suasana KRISMAS ni, kan ustaz..

Saya menoleh kearah mereka sejenak dan spontan berkata : BETUL3 …. SALAH !!! persis ikon kartun nasional upin dan ipin, yang sejenak juga menggamit perhatian mereka kepada saya.

Manakan sama ISLAM dan KRISTIAN.

Islam agama tuhan, kristian hanyalah ciptaan manusia.

Islam agama yang adil tetapi kristian menampilkan ketidaksamarataan.

Islam menandakan keagungan pencipta tetapi Kristian menampakkan kelemahan idealogi ciptaan manusia yang terdedah disana-sini kepalsuannya yang cuba disembunyikan.
Lihatlah, perayaan KRISMAS yang mereka sambut juga menampilkan kelemahannya.

Dalam keseronokan Krismas yang kita saksikan hari ini dan kemeriahannya, ia hanyalah pameran kosong dan non reality yang ditanggapi oleh jutaan penganutnya. Salju putih dengan pohonan RU yang melingkari keajaiban sambutannya hanya dapat dirasai hanya sebilangan kecil penganutnya, bahkan yang lainnya hanya merasai sisa sejuk dan panas yang berpanjangan.

Dengan menggunakan kalender masihi yang berpandukan matahari, cuaca alam telahpun diformat sama sepanjang abad. Dengan itu, kedinginan KRISMAS yang dirayakan hanyalah retorik sambutan yang hanya meliputi 1/3 umat kristian yang mendiami kawasan eropah yang terdedah dengan musim sejuk sekarang ini, namun selebihnya sama sekali tidak ada.

Mungkin yang ada hanyalah kapas putih yang ditaburkan disinggahsana pohon RU palsu yang sengaja dipamerkan ditengah pasaraya cosmopolitan bagi membangkitkan citra krismas yang sama. Tapi sayangnya ianya PALSU.

Lalu, ini seolah2 menandakan ketidak adilan agama dan juga pemalsuan rayanya.

Tapi ISLAM membawakan AIDILFITRI dan RAMADHAN dalam tempo berbeza dan penuh keadilan.

Dengan bersendikan bulan sebagai kompas takwimnya, kedatangannya sentiasa berbeza saban tahun, bukan sahaja dinegarakita bahkan diseluruh dunia. Ianya merentasi musim dan geografi masa.

Kekadang kita dipagut hangat mentari seawal Febuari dengan takwim solatnya sentiasa lewat dari kebiasaan, namun dilain masa kita digigit pula dingin tengkujuh Disember yang memberikan keringanan dalam waktu berbuka yang lebih awal dan anjal.

Dan mungkin teropong kita ke negara2 empat musim ini boleh membantu kefahaman kita, kawasan yang sentiasa berbeza suhu dan hawanya juga tempoh waktu siang dan malamnya memberikan keringanan kepada para umatnya secara adil dan bertimbang rasa, mungkin kali ini kita diminta bersabar dengan tempoh puasa yang panjang dalam terik mentari yang panas namun dilain masa kita bersyukur dibalut sejuknya musim dengan tempoh yang lebih pendek. Dan tanggal yang sama saudara kita dilain tempat pula merasai panasnya hawa.

Adilkan Islam…. ! ujar saya menamatkan sketsa soaljawab penuh prihatin dan ingin tahu terhadap agama ini.

Moga ia membibit rasa bangga pada agama tanpa merasa cuak untuk terus membaiki diri.

Saturday, December 25, 2010

Ahmad Deedat – Benteng Islam Di Sahara Penyelewengan Akidah


Kredit Artikel : Taman Ulama’ M. Uswah dengan beberapa suntingan kecil.

Latar Awal Kehidupannya

Ahmad Deedat dilahirkan di Surat, India, pada tahun 1918. Ayahnya adalah seorang penjahit, akibat dari profesionnya itu beliau telah berhijrah ke Afrika Selatan tidak lama setelah kelahiran Ahmad Deedat. Beliau tidak dapat kekal bersama dengan ayahnya sehinggalah tahun 1926.

Tanpa pendidikan formal dan untuk mengelak diri dari kemiskinan yang amat larat, Ahmad Deedat telah pergi ke Afrika Selatan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik bersama ayahnya pada tahun 1927. Pada tahun itulah beliau terpaksa berpisah dengan ibunya. Rupanya perpisahan Deedat dengan ibunya itu adalah merupakan perpisahannya yang terakhir bersama ibunya,pada tahun kepergiannya ke Afrika Selatan untuk menyusul ayahnya itu adalah saat terakhir ia bertemu ibunya dalam hidupnya kerana ibunya telah meninggal dunia beberapa bulan kemudian (dari tarikh penghijrahan Deedat bersama ayahnya ke Afrika Selatan).

Di negeri yang asing, seorang anak lelaki kecil berusia 9 tahun tanpa berbekal pendidikan formal dan penguasaan bahasa Inggeris telah mula menyiapkan perang yang harus dimainkannya berpuluh-puluh tahun kemudian tanpa disedarinya.

Dengan ketekunannya dalam belajar, anak lelaki kecil tersebut tidak hanya dapat mengatasi hambatan bahasa asing, tetapi juga unggul di sekolahnya. Kegemaran dan hobi Deedat dalam membaca telah menolongnya untuk memudahkan dirinya mendapatkan promosi pendidikan sehingga beliau tamat pendidikan pada darjah 6. Kekurangan pembiayaan pelajaran menyebabkan persekolahannya tertunda dan di awal usia 16 tahun untuk pertama kalinya ia bekerja dalam bidang retail.

Yang terpenting sekali adalah pada tahun 1936, sewaktu beliau bekerja di kedai / toko Muslim berdekatan sebuah sekolah menengah Kristian di pantai selatan Natal.
Beliau melihat Penghinaan yang tidak henti-henti dari siswa Misionaris menantang Islam selama kunjungan mereka ke toko Muslim telah menanamkan keinginan beliau yang membara untuk melakukan aksi menghentikan propaganda Kristian yang salah itu.

Mempelajari Kitab Bible

Ahmad Deedat telah berjaya menemukan sebuah buku berjudul Izharul-Haq yang bererti mengungkapkan kebenaran. Buku ini berisi teknik-teknik dan keberhasilan usaha-usaha umat Islam di India yang sangat besar dalam membalas gangguan Misionaris Kristian selama penaklukan Inggeris dan pemerintahan India.
Secara khusus, idea untuk menangani debat telah berpengaruh besar dalam jiwa dan diri beliau.
Beliau juga turut menghafaz Al-Quran sehinggakan beliau digelar Al-Hafiz.

Beberapa minggu setelah itu, Ahmad Deedat membeli Injil pertamanya dan mula melakukan debat dan diskusi dengan siswa-siswa misionaris. Ketika siswa misionaris tersebut mundur dalam menghadapi argumen balik Ahmad Deedat, secara peribadi telah memanggil guru teologi Kristian kepada siswa-siswa misionaris untuk berdebat bersamanya, bahkan pendeta-pendeta Kristian di daerah tersebut juga turut diajak berdebat bersama Deedat.


Dakwahnya

Keberhasilan-keberhasilan ini telah memacu Ahmad Deedat untuk berdakwah. Bahkan perkahwinan, kelahiran anak dan persinggahan sebentar selama tiga tahun ke Pakistan sesudah kemerdekaannya tidak mengurangi keinginannya untuk membela Islam dari penyimpangan-penyimpangan yang memperdayakan hasil dari para misionaris Kristian yang tidak bertanggungjawab.

Dengan semangat misionaris untuk menyebarkan agama Islam, Ahmad Deedat telah membenamkan dirinya pada sekumpulan kegiatan lebih dari tiga dekad yang akan datang. Beliau memimpin kelas bagi matapelajaran Injil dan memberi sejumlah kuliah ilmu.
Beliau mendirikan As-Salaam, sebuah institut untuk melatih para pendakwah Islam. Ahmad Deedat, bersama-sama dengan keluarganya, hampir seorang diri mendirikan bangunan-bangunan termasuk masjid yang masih dikenali sehingga saat ini.

Ahmad Deedat adalah anggota paling awal yang menganggotai Islamic Propagation Centre International (IPCI) dan menjadi Presidennya, sebuah posisi yang dipegangnya sampai tahun 1996. Ia menerbitkan lebih dari 20 buku dan menyebarkan berjuta-juta salinan secara percuma. Ahmad Deedat mengirim beribu-ribu materi kuliah ke seluruh dunia dan mendebat dengan pengabar-pengabar Injil pada debat umum. Beribu orang telah memeluk Islam atas rahmat Allah serta hasil usahanya yang tidak pernah mengenal erti penat lelah.

Antara perdebatan beliau yang hebat ialah perdebatan dengan Paderi Josh McDowell bertajuk ‘Benarkah Nabi Isa disalib? dan paderi Jimmy Swaggart bertajuk ‘Adakah Injil kalam Allah?’.

Karya-karyanya

Antara karya beliau yang masyhur ialah seperti ‘The Choice Between Islam and Christianity’, ‘Is the Bible God Word?’, ‘What is His Name?’ dan ‘al-Quran, The Miracles of Miracles’.

Penghargaan

Sebagai penghargaan yang tertinggi untuk prestasinya yang bersejarah itu, beliau telah dianugerahkan penghargaaan antarabangsa dari Raja Faisal pada tahun 1986. Penghargaan bergengsi yang sangat berharga dalam dunia Islam.


Akhir Hayat

Sisa sembilan tahun usia hidupnya, Ahmad Deedat hanya boleh berbaring di tempat tidurnya di Verulam, Afrika Selatan. Dan akhirnya pada 8 Ogos 2005, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah menderita sakit dan kelumpuhan hampir 10 tahun lamanya akibat terserang strok di rumahnya di Trevennen Road di Verulam, provinsi KwaZulu-Natal, Durban.

Ribuan orang dari seluruh Afrika Selatan menghantar jenazah beliau ke tempat peristirehatan terakhirnya. Keranda yang membawa tokoh cendiakawan muslim ini ditutupi kain berwarna hijau dan diusung dari tempat kediamannya di Verulam, Afrika Selatan untuk disolatkan di Masjid Wick Street. Solat jenazah itu diikuti oleh sekitar 1000 orang jemaah dipimpin oleh ulama terkemuka asal Zambia Mufti Ismail Menk. Setelah itu jasadnya dimakamkan di pemakaman umum Islam di Verulam.

Beliau dikenal sebagai pejuang dakwah. Kiprahnya dalam dakwah berhasil meningkatkan status warga muslim di Afrika Selatan, namanya dikenal juga dikenal oleh komuniti muslim di
Asia.

Moga Allah menempatkan beliau di kalangan para nabi, orang-orang soleh dan syuhada.

Selamat Menyambut Krismas

Detik 25 Disember semakin hampir.

Detik yang saban tahun ditunggu penuh ghairah oleh para penganut Kristian seluruh dunia.

Detik yang menyaksikan lanskap kotor kebejatan akidah manusia yang terpesong akhirnya terhias indah dengan kelahiran sang penyelamat umat Nabi Isa a.s.

Detik yang juga bakal menjadi mercu tanda kemeriahan yang paling gemilang sepanjang tahun apatah lagi perayaan meriahnya bakal dilanjutkan dengan kunjungan tahun baru yang serba baharu.

Tapi buang tabiatkah saya bila memulakan entry ini dengan ucapan salam krismas untuk antum saudara muslimin semua.

Harus dan harmonikah lafaz salam dan krismas ini untuk digabungkan bersama2.

Salam yang bermaksud ucapan selamat dan doa kesejahteraan islam, mungkinkah kita cemari dengan lafaz X’mas yang melambangkan kesyirikan, pemujaan salib dan kebobrokan akidah.

Bolehkah ianya kita santunkan dengan penuh hormat dan baik untuk kita lafazkan pada non muslim khususnya para penganut kristian di luar sana sebagai tanda penghargaan dan baik budi kita.

Saya sebenarnya bukanlah ingin membawa semua untuk menelusuri tempo dan rentak perbahasan fuqaha’ tentang isu ini, apatah lagi kehadiran krismas ini pastinya terus memaksimakan perdebatan isu biasa yang tak pernah tamat antaranya pemakaian topi santa, ucapan merry krismas, menziarahi rakan sejawat yang beragama kristian dan lain2 isu yang seangkatannya.

Ianya isu lama yang sepatutnya telah kita noktahkan prinsip dan pemahaman dasarnya.
Islam agama mulia dan seharusnya kontra dan berbeza dengan selainnya.

Tapi sedarkah kalian, CHRISTMAS juga membawa membawa maksud KELAHIRAN NABI MULIA ISA AL MASIH yang kita umat Islam dan seantero dunia mengkaguminya.

Kelahiran yang memecahkan kesongsangan fitrah dan akidah umatnya kearah mengabdikan jasad dan nurani kepada tuhan pencipta yang bersih dari segala penyelewengan. Betapa besarnya pengorbanan nabi istimewa nabi ini dalam menongkah arus menyaingi segala dugaan bangsa pembunuh nabi2 atau BANI ISRAEL yang ditaklifkan menjadi umatnya.

Atas pundaknyalah, tugasan mengislahkan masyarakat bukannya mudah. Mempatrikan semula kesucian agama disebalik hiasan dunia yang mempesonakan juga bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan kekuatan, keazaman, keberanian, kebijaksanaan dan bantuan terhebat dari Allah yang maha esa.

Dan nabi ISA BINTI MARYAM ini juga merupakan antara susunan terutuh dalam organisasi kenabian yang dinobatkan sebagai ULUL AZMI.

Oleh itu, alangkah baiknya jika KRISMAS yang mendatang ini kita cuba mengenali tokoh terbesar ini dalam kacamata Islam yang sebenar tanpa dipalsukan dengan propaganda kristian yang tersasar. Sudahkah kita menggali maklumat terbaik dan tersahih bersumberkan agama yang sebenarnya dalam memahami susuk manusia agung ini.

Sayangnya, entah berapa ramai di antara kita yang mampu berdiri tenang mendepani soalan, KAMI DENGAR UMAT ISLAM MENCACI DAN MENYATAKAN PERKARA YANG KARUT TERHADAP NABI KAMI, SIAPAKAH ISA PADA PANDANGAN KAMU ?

Sedangkan inilah soalan yang dijawab tenang oleh Saidina JAAFAR AT TAYYAR ketika diajukan soalan provakasi Musyrikin Quraisy didepan Raja HABSYAH, an NAJASHI. Soalan yang cuba memerangkap persengketaan kebencian antara umat akhirnya dijelaskan secara terang dan tenang berdasarkan firman tuhan yang serba benar.

Benarlah, ISA AL Masih itu hanyalah seorang hamba Allah yang diistimewakan sebagai Kalimahnya, tanda kekuasaan Allah yang mencipta manusia tanpa syarat dan tanpa sebab musabbab, lahir tanpa ayah, menjadi ikutan dalam kebaikan, berbakti kepada bondanya MARYAM al Batul,diangkat menjadi Rasul pembawa kedamaian dan keselamatan. Membenarkan akidah tuhan yang esa, diangkat kelangit dalam misi akhir yang belum selesai dan ditugaskan memimpin kebenaran diakhir zaman memerangi Dajjal dan tenteranya yang menggila.

Inilah antara maksud petikan surah MARYAM yang sepatutnya bertunjang dalam akidah islamiah kita tanpa perlu menghadirkan krismas dengan semangat permusuhan dan menjauhi urusan dakwah terhadap bukan islam.

Moga kehadiran krismas kali ini mengubah tahap persepsi kita dalam memperjuangkan agama.

Agama Islam bukan agama kebencian tapi agama CINTA dan Kedamaian.

Mungkin sampai sudah masanya kita mengenali dan terus mendalami karya2 AHMAD DEEDAT
dalam menyediakan kalungan mutiara ilmu yang bersih dan mesra dakwah terhadap bukan islam ini.

Selamat Menyambut Krismas Dengan Penuh Kesedaran Islam.

Thursday, December 16, 2010

Mabruk Ust Murtadha



Belum terlambat rasanya untuk saya mengaminkan doa kebahagian dan keberkatan buat sahabat saya USTAZ MURTADHA yang baru melangsungkan perkahwinannya beberapa hari yang lalu.

Moga ikatan suci perkahwinan ini mampu terus memberkati kehidupannya dan membakar semangatnya untuk melahirkan lebih banyak JUNDULLAH dalam arena dakwah ini.

Marilah sama kita berdoa, mengaminkan ungkapan sunnah nabi merstui dan memberkati kedua mempelai :

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير

Ya Allah, berkatikanlah ikatan suci keduanya, berkatikanlah urusan hidup keduanya dan himpunkanlah mereka berdua dengan sakinah dan mawaddah yang berkekalan.

Selamat Pengantin Baru.

Sunnah Puasa Asyura'


Sebagai catatan dan dorongan amal, mungkin kompilasi dari hadis terbaik berhubung Asyura'ini memangkinkan kita untuk terus beramal dengan penuh ilmu dan kesedaran.
Hayatilah artikel ini :

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

“Bersempena dengan kedatangan hari sembilan (tasu’a) dan sepuluh (‘asyura) Muharram ini saya mengingatkan para pengunjung sekelian tentang kita semua disunatkan berpuasa pada hari-hari berkenaan. Sekurang-kurangnya berpuasalah pada sepuluh Muharram. Ini seperti yang ditunjukkan dalam hadis-hadis berikut;


Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.



عن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه. مُتَّفّقٌ عَلَيهِ

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

عن أبي قتادة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم سئل عن صيام يوم عاشوراء فقال: ((يكفر السنة الماضية)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)



وعن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُما قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: ((لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).

Semoga Allah merahmati kita semua dalam berlumba-lumba mendampingiNya.

Wednesday, December 15, 2010

10 Muharram



Marilah berpuasa di 10 Muharram.

Ianya adalah manifestasi kejayaan.

Juga simbol kemenangan kebenaran mengatasi kebatilan.

Tanggal ini selalunya menyaksikan sejarah ummah terdahulu tewas ekoran merajakan kebejatan, manakala zahirnya Islam dibantu kuasa tuhan.

Bersyukurlah kita dengan pertolongan ilahi ini.

Dan syukur itu sebaiknya dengan ketaatan.

Ketaatan bersendi agama, dan Rasul menunjuk jalannya.

Lalu Nabi menyatakan penuh pasti : Kami Umat Islam lebih berhak merayakan kemenangan kebenaran mengatasi kebatilan ini dari mereka(golongan yahudi yang telah menyeleweng), marilah kita berpuasa untuk marayakan syukurnya.

Dan kesyukuran ini harus berbeda zahir dan batinnya dari ritual ibadah agama yang lain.

Moga allah memelihara kita dan memberikan keampunannya pada kita semua.

Monday, December 13, 2010

Program Diskusi Ilmu


Program Diskusi Ilmu siri kedua ini disertai oleh hampir seramai 1000 orang pelajar dari Daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Ianya diadakan pada 3 November 2010 bertempat di Masjid Negeri P.Pinang.Program ini anjuran Unit Operasi Dakwah dengan kerjasama Masjid Negeri P.Pinang.

Majlis ilmu ini diisi dengan soal jawab agama dan bacaan kitab Mukhtasar al Mufid susunan Ustaz Rosli Othman yang juga selaku pembicara pada program kali ini.

Ustaz Rosli Othman merupakan Penolong Pengarah Kepimpinan Unit Operasi Dakwah SPI. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri P.Pinang


Kem Kepemimpinan Imtiyaz 2010





Kem Pemantapan Organisasi 2.5 dan Kem Kepemimpinan Imtiyaz 2010 telah diadakan pada 19 hingga 21 November 2010 bertempat di SMKA Al-Mashoor Lelaki.

Kem Pemantapan Organisasi 2.5 adalah lanjutan daripada Kem Pemantapan Organisasi siri II yang telah berjaya diadakan sebelum ini.Kem selama 3 hari 2 malam ini disertai oleh 18 orang pelajar lelaki dan 50 orang pelajar perempuan dari SMK Abdullah Munshi.

Kesemua 68 peserta kem ini dibantu oleh 11 orang fasilitator muda dari SMKA Al-Mashoor Perempuan dan 9 orang fasilitator muda dari SMKA Al-Mashoor Lelaki.

Fasilitator-fasilitator ini dibawah bimbingan Unit Operasi Dakwah SPI.

Syabas kepada semua yang telah menjayakan kem pada kali ini.

Walaupun bahang hari raya masih hangat terasa, para pelajar dan tenaga kerja dakwah dari SPI dan SMK Abdullah Munshi telah berjaya menunjukkan erti kata PENGORBANAN mereka dengan menganjurkan dan mengahdiri program yang dirangka sejak awal lagi .

Dengan menggunakan para tenaga fasi dikalangan pelajar yang dilatih menjadi AMILIN tempohari, mereka diberi kesempatan bereksperimen dengan berhadapan mad'u sebenar dalam sekolah yang berbeza.

Alhamdulillah, sesungguhnya mereka mampu melakukan.

Tahniah dan ucapan selamat berjaya juga di ucapkan kepada al Fadhil Ustaz Khairul Asfani yang banyak terlibat menjayakan program tarbiah islam di kepulauan ini.

Walaupun berat rasa hati melepaskan, akhirnya kami terpaksa relakan al Ustaz untuk berpindah dan terus melakar kerja dakwah dengan lebih berkesan di daerah yang baru.

Moga allah merahmati kita semua dan meramaikan AMILIN DAKWAH seperti al fadhil Ustaz.

Kursus Pemantapan Organisasi Siri Kedua



Kursus Pemantapan Organisasi siri kedua untuk pelajar-pelajar Sekolah Berasrama Negeri P.Pinang telah berjaya dilaksanakan pada 8 hingga 10 November 2010.

Kursus ini diadakan di Pusat Kokurikulum JPN Bukit Mertajam. Seramai 120 pelajar menyertai kursus ini dibawah bimbingan 12 orang fasilitator berpengalaman.

Majlis perasmian penutupannya disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah Md Din, Timbalan Pengarah Operasi Dakwah Bahagian Pendidikan Islam KPM.

Syabas kepada semua yang terlibat menjayakan kursus ini.

Semoga akan melahirkan pekerja Islam yang sejati.

Dengan menjenamakan tema MENCETAK PEKERJA ISLAM , saya dan beberapa rakan fasi memegang amanah penting dalam menerapkan semangat amilin ini untuk dihayati.

Ternyata fikrah merasakan tanggungjawab islam ini dibahu mereka yang tertentu hanya akan menjadikan kerja2 islam ini semakin dipandang lesu dan ditinggalkan.

Sindrom merasakan INI BUKAN TUGAS SAYA meletakkan pelbagai aktiviti agama di sekolah menjadi kaku, bosan , dimonopoli dan akhirnya ditinggalkan. Atas semangat inilah perlunya para penggerak remaja disetiap sekolah merasai amanah BERAMAL KERANA ALLAH ini menjadi pemangkin dan pendorong diri untuk terus beramal tanpa rasa jemu dan lelah.

Kem Kecemerlangan Pelajar Islam



Antara program yang sempat saya sertai di penghujung persekolahan yang lalu.

Kem Kecemerlangan Pelajar Islam Peringkat Negeri P.Pinang telah berjaya diadakan pada 12 hingga 14 Oktober 2010 bertempat di Masjid Negeri P.Pinang.

Kem ini adalah hasil kerjasama Unit Operasi Dakwah dan Masjid Negeri P.Pinang. Seramai hampir 80 pelajar lelaki dan perempuan dari SMJKC dan Sekolah Bantuan Modal negeri P.Pinang telah menyertai kem selama 3 hari 2 malam ini.

Antara pengisian utamanya ialah pemantapan Akidah Islam dan tangungjawab sebagai seorang Muslim sejati.

Alhamdulillah, sempat saya mengeksport beberapa orang pelajar Tingkatan 4 untuk menyertainya sebagai langkah awal membina kepimpinan baru bagi menyelaras aktiviti persatuan untuk BAKTI nanti.

Respon yang amat baik apabila mereka yang pulang bertanya dengan penuh semangat untuk menyertainya lagi buat kali yang kedua.

Thursday, December 9, 2010

Salam Hijraturasul



Salam Maal Hijrah.

Salam ingatan buat semua.

Ingatan untuk kita sentiasa memperbaharui tekad dan keazaman dalam kehidupan ini.

Di setiap selekoh kehidupan, Allah akan sentiasa memboncengkan kita dengan peringatan dan pengajarannya agar kita sentiasa beringat dan memilih kejayaan.

Imbas kembali diari lama yang berlalu pergi, seawal muharram kita disemarakkan api perubahan dan keazaman dengan kedatangan hijrah rasul. Bersatu mempertahankan iman dan bersedia mendada pengorbanan.

Bersilihnya kedatangan rabiul awal yang mengkaryakan episod lakaran kelahiran insan agung penyelamat umat dengan maulidurrasul yang membumbui jiwa kita dengan kesyukuran dan kegigihan taat. Sesungguhnya kita ada rasul yang mampu diteladani dan ada penyelamat yang mampu digantung harapan syafaatnya nanti.

Seterusnya kalender besar insan mencoret tarikh rejab, syaaban dan ramadhan yang merangkai ertikata bulan ketaatan dan perhambaan yang penuh keajaibannya.

Dengan zulhijjah membarisi latar terakhir takwim , kita diungkapkan allah dengan peringatan taat, korban dan pasrah hanya kepada allah semata2.

Walaupun diari hijrah setahun yang lalu telah selamat bersemadi di khazanah waktu, namun ruh perjuangan rasul yang meniupkan semboyan kegigihan dan kepasrahan pada tuhan sentiasa mengalun segar di kelopak telinga pendengaran insani.

Dengan lenggok perjuangan dan pengorbanan inilah kita perlu sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Benarlah : Dengan Memperingati Pengajaran Kehidupan ini akan Mematangkan manfaat untuk umat sejagat.

Thursday, December 2, 2010

Tinta Murabbi

Alhamdulillah, sempat saya tamatkan pembacaan ringan berkaitan satu koleksi penulisan sejarah dan kenangan para sahabat terhadap murabbi yang dicintainya. Walaupun bertopik nostalgia dan ingatan santai namun ia berbuah iktibar dan keazaman tekad dan istiqamah yang berat untuk diamalkan oleh kita.

Tatapilah juga,getusan rasa Ustaz Ridhuan selaku pengumpul kompilasi terbaik kata2 ingatan dan salam perjuangan tanpa henti dari pendokong tegar perjuangan islam ini untuk diambil sebagai bekal perjalanan.

Moga ruh Ustaz Hasan Syukri dicucuri rahmat ilahi.



Editor : Ustaz Riduan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Recources

Harga : RM10.00

Keilmuan yang dikahwinkan dengan segudang pengalaman di medah jemaah, yang dirempuh semenjak usia belasan tahun. Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan naum beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumput hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan.

Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat, walaupun beliau seorang ahli legislatif yang berkesan di Dewan Negara. Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua, mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan.

Marah dan jerkahlah, Ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan di bawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.

Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hassan terhadap kami pimpinan pemuda, “PAS parti orang kampung, orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa, jagalah akar umbi, jagalah cawangan-cawangan”.

***

Buku ini adalah koleksi 10 artikel berkenaan Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri (71 tahun) yang telah kembali kerahmatullah pada 14 Jun 2010 Hospital Selayang Selangor. Juga satu artikel oleh Allahyarham sendiri bertajuk ‘Fikrah Pemimpin’ yang pernah disiarkan oleh Harakah pada tahun 1988.

Wednesday, December 1, 2010

Praktikal Sembelihan 4



Entahlah sesuai atau tidak tajuk entry ini.

Mungkin ada persamaannya barangkali, tapi di mana ya !

Penghujung minggu menyaksikan majlis khatan anak sulung saya ANAS HAMDI di penjuru kampung mertua saya di Kedah.

Tiada majlis rasmi yang berlangsung, hanya saya dan keluarga menziarahi sebuah klinik swasta dan melunasi kewajipan sebagai seorang ayah terhadap anak yang akan menginjak usia remaja tak lama lagi.

Pastinya kewajipan dan tanggungjawabnya bertambah.

Tentunya ia amanah tuhan yang akan dipersoalkan suatu hari nanti.

Ya allah, bantulah aku dalam mendidik dan menjaga amanah yang kau titipkan kepadaku ini, moga mereka dapatku bentuk mengikut arca yang diredhai agamamu.

Praktikal Sembelihan 3



Mencongak hari sebelum cuti sekolah sesuatu yang bukannya menyeronokkan.

Hari2 terakhir persekolahan bagi seorang guru biasanya terisi dengan kerja-kerja pengkeranian yang tidak kunjung habisnya.

Segala data aktiviti yang berlangsung setahun perlu didokumentasikan, termasuklah juga perancangan tahun akan datang serta bajet yang sudah dan akan digunakan. Semuanya memerlukan perincian dan maklumat yang dikemaskinikan teliti untuk kemudahan rujukan di masa yang akan datang.

Dengan sisa masa yang masih berbaki sebelum cuti dan menunggu kedatangan hari raya korban, sekolah kami di ST Xavier sempat mengadakan praktikal sembelihan. Ianya berlangsung sederhana dengan kekangan aktiviti dan campurtangan pentadbiran yang perlu ditangani sewajarnya.

Alhamdulillah, akhirnya semuanya terlaksana dengan sebaiknya.

15 kilometer dari sekolah saya, berjiran dengan rumah lagenda seniman agung P. Ramlee tersergam sebuah sekolah bestari yang menempatkan para pelajar elit terkawal pencapaian akademiknya, itulah SMK Abdullah Munshi yang sentiasa menjadi tempat jatuhnya pemerhatian dan pemantauan para pegawai JPN bagi memastikan kejayaan prosese pendidikan di pulau mutiara ini.

Dan di sekolah ini jugalah isteri saya merupakan salah seorang warga pendidiknya merangkap Ketua Panitia Pendidikan Islam yang berkapasiti 8 orang tenaga penggerak yang mempunyai beragam kemahiran dan kebolehan.

Dan alhamdulillah ternyata mereka berjaya melaksanakan PRAKTIKAL SEMBELIHAN ini dengan penuh bergaya dan berjaya.

Dengan sample ayam untuk dikorbankan berjumlah 40 ekor, tiada seorang pun pelajar terkecuali dan duduk hanya mencuci tangan kecuali setelah mereka sendiri secara langsung terlibat dalam acara menyembelih, memegang, mencabut bulu , memotong, menghidupkan bara, memanggang dan menikmati hidangan rohani berbentuk bimbingan dan tatacara serta pengajaran dari sembelihan juga akhirnya bersama menikmati santapan fizikal yang mengenyangkan dan membangkitkan aroma selera yang mengasyikkan.

Tahniah kepada para penggerak majlis yang terdiri dari para ilmuwan pendidik islam yang berpengalaman dan berkebolehan memimpin dan mengarca acara tersebut hingga berjaya dan wajar diteruskan lagi.

Terima kasih kepada Ustaz Khairul Asfani, Ustaz Khalil, Ustaz Adham, Ustaz Hafiz, Ustazah Shamilah, Ustazah Wan Adilah, Ustazah Azidah, Ustazah Khairunnisa’dan semua guru yang terlibat.

Antara beberapa candid gambar yang sempat dirakam. Sengaja saya sertakan sebagai pembakar semangat untuk saya melaksanakan sendiri program sebegini dengan lebih berjaya dan berkesan.





Wednesday, November 24, 2010

Praktikal Sembelihan 2


Solat raya dipagi itu tenang dan damai.

Sepi dari dentuman guruh dan panahan halintar silih berganti dalam tugasan setianya sejak 2 minggu lalu.

Tenang juga dari butiran halus air hujan yang sentiasa mencurah basah.

Damai jua dari hambatan angin ribut yang meniupkan hawa panasnya.

Lembut dengan belaian keinsafan yang dituturkan Khatib di Masjid Tandop, Alor Setar itu merembes dari perdu minbar yang berjasa ke telinga dan hati jemaah yang menjamahnya.

Usainya solat kami berhimpun lagi di Taman Desa Kamela, berhimpun untuk melunasi tuntutan ibadah tanda pengabdian diri pada yang esa.

Menunggu untuk melaksanakan ibadah korban bersama Ibu Mertua saya dipagi itu. Setelah terlebih dahulu bertamu beberapa minit dirumah kenalan ibu mertua, halaman taman sudah mula dipenuhi oleh khalayak masyarakat yang sama2 berpartisipasi dalam majlis korban pagi itu.

Tak perlu menunggu lama, pemilik lembu terus membuat akad bersama para peserta korban. 2 ekor lembu akan ditumbangkan pagi itu.

Setelah berlalu ½ jam, lembu masih gagah berdiri. Meragut rumput semahunya ditepian kakinya.
Tali hidungnya belum terusik dan lembu masih mampu melenguh riang walau sesekali disentuh singgung oleh bebudak comel berbaju raya yang begitu seronok mengelilinginya.

15 minit pula berlalu, lembu semakin ceria memperagakan susuk tubuh mungilnya manakala kawanan budak mula rimas dengan gigitan sang aedes.

Saya yang bersama dipagi itu mendukung anak kecil dan bersembang sahaja bersama dengan adik2 ipar saya dan ibu mertua saya tiba2 didatangi seorang ahli surau berdekatan.

Ni, ustaz kan…., diaorang cakap ustaz pandai sembelih. Kita sedang tunggu penyembelih ni, tapi dia ada turn ditempat lain dulu barulah akan ke mari. Kalau ustaz tak keberatan, bolehlah tolong sembelihkan…. Katanya penuh adab dan berbahasa.

Senyum saya mendengar permintaannya. Tapi saying, bab menyembelih ini bukan kepakaran saya. Terasa kesal disudut hati ini kerana belum dapat menguasainya.

Sejarah saya 9 tahun bersama dengan pemuda islam di Sabah, kami berjaya melaksanakan pelbagai program yang kami serikan dengan aktiviti korban dan akikah.
Teringat saya, seawal tahun 2001 kami bertamu didada bidang bumi sabah, kalimah korban dan penyembelihan lembu sesungguhnya amat asing dibumi ini.

Tahun tersebut memperlihatkan aktiviti hari raya haji hanya disambut dengan solat raya dan sedikit ziarah. Tiada acara korban dan tiada juga pembahagian dagingnya.

Seingat saya, acara korban yang ingin dilaksanakan pun perlu dibuat di pusat ternakan dan tempat sembelihan itu sendiri iaitu di KG NYARIS-NYARIS, Membakut yang lokasinya lebih 90 km dari Kota Kinabalu. Daging yang selesai dilapah, barulah akan diagihkan kepada ahli dan rangkaian masyarakat yang terdekat.


Masjid2 yang tersergam indah tika itu disini seolah2 belum lagi berjaya membudayakan amalan dan acara korban sebegini dalam masyarakat. Namun akhirnya, dewasa kini setiap masjid bahkan surau kecil disana sekalipun sudah mampu berlumba dan mempraktikkan amali korban ini menjadi budaya islam yang dipertahankan.

Tapi sedihnya, jika tahun 2001 dahulu harga seekor lembu hanyalah sekitar RM 1500 dan seorang peserta sudah boleh mengikuti korban hanya dengan purata harga RM 210. Tapi kini seekor lembu di Sabah yang cukup umur dan sedia disembelih berharga di paras RM 2000 ke atas yang menjadikan purata harga seorang peserta ialah RM 350-400 beserta sedikit tambahan untuk kenduri dan gotong royong.

Dan sayu juga bila ada kawan saya melaporkan, ada acara korban yang tidak mampu dilaksanakan di sesetengah kawasan ekoran kekeurangan peserta hasil lambungan harga lembu yang meningkat tinggi.

Dan sepanjang nostalgia kembara pengalaman itu, saya sempat diberi peluang menyempurnakan penyembelihan seekor lembu dalam acara KORBAN PERDANA anjuran gabungan SMP dan SM Teknik Likas.

Alhamdulillah, lembunya mati dan syarat penyembelihannya sah. Terasa masih darah merah dan pekat menyembur hangat pergelangan tangan saya yang masih memegang erat hulu parang yang tajam itu. Terasa mengalirnya tanda rahmat dan permohonan moga dosa kita juga mengalir keluar sebagaimana darah tersebut.

Tersenyum puas saya melihatnya, pantas saya menoleh ke sisi. Sahabat dan juga mentor sembelih saya, Cikgu Mat Zuki mengangguk tanda puas hati dan berjaya.


Beliaulah sebenarnya tukang sembelih yang menjadi pakar rujukan untuk kami di sekitar Kota Kinabalu dalam bidang ini. Menjadi antara tempahan awal untuk acara korban di komuniti berdekatan dan beliaulah juga yang cuba untuk memprogramkan para sahabat untuk berani memegang dan mengasah pisau memotong sendiri lembu korban yang ada.

Namun tak ramai yang berani dan sanggup.

Tak ramai yang sudi dan mengangguk.

Dan kini, harapan tinggal harapan.

Saya tersenyum entah dari siapa yang mencadangkan nama saya dipagi itu.

Mungkin nama arwah bapa mertua saya yang juga merupakan pakar sembelih di daerah tersebut yang melonjakkan saham nama saya ke bursa harapan penduduk, sayangnya AYAH tak sempat menitipkan azimat dan petua sembelihan secara serius kepada saya, ilmunya tak sempat diperturunkan, kepakarannya bersemadi bersama lahad yang bernisan.

Maafkan saya pak cik, saya tak boleh. Saya belum berani dan bersedia untuk tugasan ini. Insya allah di lain kali. Kata saya menghampakan harapannya.

15 minit kemudian, akhirnya datanglah Pak Cik Man, tukang sembelih di kampong itu, namun memandangkan hanya satu yang sempat direbahkan, beliau melunasi amanahnya dengan menyembelih seekor sahaja lembu terlebih dahulu.

Tugasannya dituntut ditempat lain seusai itu. Segera.

40 minit dan sesudah selesai melapah lembu yang pertama, barulah beliau datang sekali lagi menyempurnakan tugasan yang berbaki.

Sedih …. Kecewa …..Malu……. dan Geram ……

Itulah perasaan saya terhadap kelemahan diri ini. Tatkala tuntutan masyarakat amat perlu dan berhajat. Saya dan para ustaz yang berkelayakan, masih mampu berteleku lutut.

Insya allah, satu hari saya mesti lakukannya !!

Monday, November 22, 2010

Praktikal Sembelihan

Peperiksaan PMR baru sahaja berlalu 2 minggu yang lalu, Kaum Muslimin pula bakal menyambut kedatangan Zulhijjah 2 minggu selepas itu.

Kehadiran pelajar Tingkatan 3 semakin merosot saban hari meskipun diacah dengan denda dan amaran juga disogok dengan hiburan dan program lawatan bertema hamper setiap hari, ia dianjurkan secara silih berganti oleh pelbagai panitia yang ada disekolah bagi mengisi kekosongan waktu yang ada.

Program lepas PMR itulah antara tugasan yang diberikan untuk saya sebagai ketua panitia mengisinya dengan program keagamaan yang berfaedah, jua perlu diingat ianya perlu mencerminkan ilmu, santai dan ceria. Takut budak tak mai kata penyelaras kami Encik Lim.

Teruja dengan keakraban bulan zulkaedah dan zulhijjah serta kesyahduan ibadah korban yang sinonim dengannya, saya mencadangkan praktikal sembelihan dan penghayatannya untuk menjadi agenda dasar program tersebut nanti. Apatah lagi, topic sembelihan, akikah dan korban bakal dilalui mereka tatkala berada di Tingkatan 4 nanti.

Ianya dengan mudah dipersetujui bersama, sementelahn juga pihak kantin yang dikendalikan oleh Kak Idamiah juga menyatakan kesediaannya tanpa berbelah bahagi untuk turut sama membantu.

Kertas kerja diajukan kepada pihak pentadbir dengan jumlah tertentu yang dipohon sebagai alat pelincir majlis.

Tidak sebagaimana yang saya andaikan awal, Jumlahnya dilulus tanpa banyak bicara.

Namun yang ajaibnya, tentative dan perjalanan program pula yang menimbulkan banyak pertanyaan.

Saya dan Ustazah Asmawati berulangkali menjelaskan tentang objektif perlaksanaan, kawalan pelajar, lokaliti penyembelihan, jaminan kualiti kebersihan dan ajk bertindak serta tuntutan agama untuk umatnya mengetahui dan sensitive terhadap isu pemakanan seumpama ini.

Sayangnya ….. Praktikal Sembelihan perlu dirujuk ke peringkat pentadbiran.

Dan jawapan yang saya terima keesokannya agak memeranjatkan, pihak sekolah tidak dapat membenarkan praktikal sembelihan ini dilaksanakan atas dua alasan :

1) Kita berada di territory gereja atau brotherhood, mungkin ada pantang larangnya disini yang tidak sesuai dilanggar apatah lagi melibatkan penumpahan darah binatang, kebersihan dan sebagainya.
2) Menjaga sensitivity kaum yang pelbagai disekolah ini yang antara majoritinya beragama hindu dan Buddha yang menggangap cara penyembelihan itu nanti akan menzalimi binatang serta tidak menimbulkan rasa kecilhati para guru vegetarian yang ada.

Dengan keputusan perit itu, saya didamaikan dengan satu penyelesaian, mungkin masjid sekitar sekolah yang berdekatan boleh membantu. Dan kerananya jugalah saya sempat menziarahi dan mengenali beberapa masjid terdekat dan berinteraksi dengan jawatankuasanya.

Apapun kekangan masa dan prosuder menjadikan saya selesa meneruskan program sembelihan ini dengan teori dan objektifnya. Namun sesi praktikalnya masih lagi ada dengan jamuan ala-western food yang dinikmati para guru dan pelajar muslim serta Bakti dihari jumaat yang ceria itu.

Terima kasih kepada semua yang terlibat membantu dan menjayakan dan tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada ayam2 yang sanggup terkorban.

Antara gambar foto sesi praktikal makan ayam di surau SXI.


Bersemangat dan penuh kebuluran, pelajar yang hadir memeriahkan program.


Begitu juga rakan guru, dengan mulut yang masih penuh, mereka memuji penganjuran program dan memintanya diadakan lagi. Tak pastilah program praktikal korbannya atau praktikal makannya. Apapun layannnn ayammm dulu !


Nasi Goreng Special, sumbangan dari Kantin sekolah yang dermawan.


Coleslaw yang lemak berkrim dan diminati ramai. Licin tanpa perlu disental lagi.



SXI Fried Chicken yang awesome dan lazat. Rugi sesiapa yang tak rasa.

Korban Itu Ujian



Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

“Barang siapa yang memiliki kemampuan, namun tidak berkurban, maka janganlah sekali-kali mendekati tempat shalat kami (lapangan shalat ‘Ied).” (Shahih At Targhiib 1087)

Hadis yang tercatat di atas seakan menyatakan bukan sahaja kewajipan bahkan kemuliaan untuk mereka yang berkorban di jalan Allah, menumpahkan darah binatang sebagai tanda pengabdian diri kepada yang maha kuasa. Bahkan mereka yang leka mengabaikan, akan tersisih dari kemuliaan bersama rasulullah saw sendiri.

Kerana itulah para ulamak bersepakat menyatakan hokum sunat muakkad yang sangat dituntut untuk dikerjakan bagi seorang muslim bahkan ianya mampu ke tahap wajib bagi yang mampu.

Pengorbanan adalah citra kesetiaan dan kasih sayang.

Seseorang akan sanggup melaksanakan apa sahaja demi keunggulan cintanya.

Demi sebuah harapan, manusia juga pasti sanggup berpaut pada apa sahaja janji dan andaian, moga impiannya bisa tercapai.

Lupakah kita pada kisah persaingan cinta dan ukhuwwah yang dipertontonkan rakaman sejarah silam antara Qabil dan Habil.

Mereka diuji dengan cinta dan kesetiaan. Mereka disaring dengan integriti dan keikhlasan.

Dan penentu ujian untuk mereka ialah sebuah PENGORBANAN.

Tidakkah kita terbaca bagaimana KORBAN yang hadir dari jiwa yang suci dan penuh pengharapan mentaati sang pencipta akan mendapatkan izzah penerimaan dan makbulnya impian.

Maka untuk itulah kita juga harus memenuhi diri dengan integriti pengorbanan. Tulusnya niat beserta pembuktian cinta praktikal dengan ibadah dan pengharapan.

Moga akhirnya dipermudahkan tuhan.

(Pernah saya bertanya kepada para peserta Kem Kepimpinan Sekolah Agama yang rata2nya berada di Tingkatan 4 awal November lalu, selepas memberi sedikit intro tentang keikhlasan dan pengorbanan ; SIAPAKAH YANG BAIK , QABIL ATAU HABIL ??? Antara 13 yang ada hamper semuanya menjawab QABIL kot…. Saya bertanya kenapa kamu pilih Qabil sedangkan kamu tak pasti ? Ada antara mereka menjawab, nama Qabil lebih glamour sikit, ada pulak yang menambah entahlah saya hanya teringat tentang ekuetrian Negara QABIL AMBAK, dia pun selalu menang pingat untuk Negara, jadi QABIL baik lah kot, ujarnya. Hehehe …? Anda bagaimana ??? Bagaimana pulak jawapannya ya ?
Teringat saya kaitan mudah yang pernah diajarkan pada saya untuk senang mengingatinya QABIL = QATIL+ Pembunuh dan HABIL=HALIK+ Yang Musnah dan Mati)

Sunday, November 21, 2010

Kekeliruan Puasa 9 ZulHijjah



Tertarik saya dengan artikel dari jabatan mufti negeri johor yang mengulas tentang isu ini.

Sengaja saya lampirkan disini semoga ianya boleh memberi manfaat dan info ilmu kepada kita.

Saya yakin persoalannya akan berulang ditanya dan dibincang. Moga rujukan ini bermafaat untuk semua.

TAFSIRAN HADIS “AL-HAJJ ARAFAH”DAN IBADAT PUASA SUNAT 9 ZULHIJJAH

Pendahuluan

Kaedah penentuan Idul Adha yang diamalkan di Malaysia adalah dengan menggunakan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (kiraan falak) berdasarkan kepada kriteria imkanur-rukyah (kebolehnampakan) sebagaimana yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Namun begitu, masih terdapat sebahagian kecil masyarakat Islam yang tidak mengikut penetapan Hari Raya Korban (Idul Adha) tersebut, malah mempertikaikan kesahihannya.
Kekeliruan ini berlaku kerana beranggapan bahawa Idul Adha hendaklah disambut mengikut Idul Adha di negara Arab Saudi iaitu sehari selepas Hari Wukuf di Arafah sewaktu ibadat haji, sedangkan ia bercanggah dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan keputusan Majlis Raja-Raja. Antara sandaran mereka adalah hadis “Al-Hajj Arafah” yang telah disalahtafsir oleh mereka khususnya ibadat puasa sunat 9 Zulhijjah.

Mereka berpendapat puasa sunat itu hendaklah bersamaan Hari Wukuf di Arafah. Keadaan ini sedikit sebanyak akan menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam.

Tindakan menyambut Idul Adha tidak mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pihak pemerintah adalah menyalahi Fasal 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syar’iyyah 1997 Negeri Johor dan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit (RM3000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Keputusan pemerintah itu adalah demi kepentingan masyarakat Islam. Ia bersesuaian dengan kaedah;
yang bererti “tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepentingan umum”.

Hari Arafah
i. Bagi penduduk Makkah, Hari Wukuf di Arafah adalah sehari sebelum Hari Nahar (Idul Adha) mengikut ketentuan kerajaan Arab Saudi.

ii. Bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari, penentuan 9 Zulhijjah adalah mengikut ketentuan imkanur-rukyah negara masing-masing.

iii. Hari Arafah (9 Zulhijjah) mempunyai keistimewaan tertentu yang sewajarnya diambil kesempatan oleh kaum muslimin.

iv. Masa berpuasa Arafah adalah 9 Zulhijjah mengikut ketentuan rukyah awal bulan Zulhijjah negara masing-masing.



Penjelasan Hadis “Al-Hajj Arafah”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya;
“Ibadat Haji itu (sah dengan wukuf) di Arafah”.

i. Sanad dan matan hadis
Maksudnya;
…Dari Abdul Rahman bin Ya’mur berkata bahawasanya ada seorang lelaki daripada ahli Najd berjumpa Rasulullah s.a.w. Waktu itu Rasulullah s.a.w. berada di Arafah. Maka lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan seorang penyeru untuk menyeru “Al-Hajj Arafah!”. Ertinya; “Ibadat haji itu (sah dengan wukuf) di Arafah…”.
(Riwayat Imam al-Tirmizi)

Wukuf di Arafah itu adalah satu rukun yang terpenting dalam ibadat haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya;
Dari Abdul Rahman bin Ya’mar al-Diliy berkata, aku datang kepada Rasulullah s.a.w. semasa di Arafah maka satu kumpulan dari ahli Najd mengarahkan seorang lelaki bertanya persoalan ibadat haji kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda menjawab; “al-Hajj Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud)

ii. Maksud hadis
Al-Syeikh ‘Izzuddin Abd al-Salam berkata “al-Hajj Arafah”,
Maksudnya;
“Maksud daripada “Al-Hajj Arafah” ialah ibadat haji itu dapat sempurna (sah) dengan wukuf di Arafah”.

iii. Fiqh al-Hadis
Seorang tokoh ulama’ al-Syafi’iyyah iaitu Imam Abu Ishak al-Syirazi berkata:
Maksudnya;
Wukuf di Arafah itu adalah satu rukun daripada rukun-rukun ibadat haji, sebagaimana riwayat Abdul Rahman al-Diliy bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Ibadat haji itu sah dengan wukuf di Arafah, maka sesiapa yang dapat berwukuf di Arafah sebelum terbit fajar pada Hari Wukuf, sesungguhnya dia telah dapat menyempurnakan ibadat haji”.

Al-Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibari menjelaskan dalam kitabnya
Maksudnya;
Rukun ibadat haji yang kedua ialah wukuf di Arafah iaitu menghadirkan diri di bumi Arafah, di mana-mana jua daripada kedudukan Arafah walaupun seketika, sekalipun dia tidur atau lalu di bumi Arafah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, “Al-Hajj Arafah”.

Al-Imam al-‘Allamah Taqiyyuddin Abi Bakar bin Muhamad al-Husaini mengulas lebih lanjut berhubung “Al-Hajj Arafah”,Maksudnya;“Rukun yang terpenting daripada rukun-rukun ibadat haji itu ialah wukuf di Arafah sebagaimana kamu kata yang terpenting di dalam rakaat itu adalah ruku’”.

Oleh yang demikian, hadis “Al-Hajj Arafah” menerangkan:
1) Bahawa wukuf di Arafah adalah salah satu daripada rukun-rukun ibadat haji.
2) Hadis di atas tiada kaitan dengan penentuan Idul Adha kerana para ulama’ al-Syafi’iyyah tidak menghubungkan hadis di atas dengan penentuan tarikh Idul Adha.

Sebenarnya hadis di atas merupakan salah satu dalil dan hujah yang menolak penentuan Idul Adha disambut mengikut Idul Adha di negara Arab Saudi. Hadis tersebut tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa Idul Adha itu tertakluk dengan wukuf di Arafah terutamanya negara-negara yang tidak sama terbit matahari dengan negara Arab Saudi.

Dalil Dan Hujah Yang Menolak Penentuan Idul Adha Disambut Mengikut Idul
Adha Di Negara Arab Saudi (Sehari Selepas Hari Wukuf Di Arafah)


i. Hadis dari Ummi Salamah:
Maksudnya;
Daripada Ummi Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya”. (Riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa penentuan Idul Adha itu khususnya bagi penduduk luar daripada negara Arab Saudi dan negara yang tidak sama terbit matahari seperti Malaysia adalah berdasarkan kepada rukyah anak bulan Zulhijjah dan tidak ditentukan berdasarkan Hari Wukuf di Arafah.

Adapun penentuan Idul Adha bagi negara Arab Saudi adalah dengan rukyah anak bulan bagi menentukan tarikh wukuf di Arafah.

Malahan hadis di atas juga memberikan panduan agar ketetapan 1 Zulhijjah atau 2 Zulhijjah atau 9 Zulhijjah (Hari Wukuf) adalah berdasarkan rukyah. Begitu juga 10 Zulhijjah (Idul Adha).

ii. Hadis dari Abi Hurairah r.a.
Maksudnya;
Daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadhan) dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri) adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”. (Riwayat Imam al-Tirmizi)



Merujuk kepada petikan sabda Rasulullah s.a.w. "
" yang bermaksud “dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”, Rasulullah s.a.w. menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Korban (Idul Adha) dan hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah).

Hadis di atas menunjukkan bahawa ibadat korban tiada kaitan dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf di Arafah).

Ia sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan umat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, Idul Adha (Hari Raya Korban) mestilah berdasarkan penentuan awal bulan Zulhijjah iaitu dengan rukyah anak bulan Zulhijjah sebagaimana yang diamalkan oleh negara anggota MABIMS iaitu negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang bersepakat menggunakan kaedah rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (kiraan falak) berdasarkan kriteria Imkanur- Rukyah (kebolehnampakan).

iii. Hujah Mazhab al-Syafi’i
Rukyah (melihat anak bulan) mestilah tertakluk kepada matla’ yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan waktu terbit bulan.

Mazhab Syafi’i merujuk kepada dalil sunnah, qias dan logik iaitu:

a- Sunnah
Maksudnya;
Kuraib menceritakan bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Syam. Kuraib berkata, “Aku tiba di Syam dan menunaikan hajatnya sedangkan pemberitahuan dan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah al-Munawwarah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan”. Katanya, “Bilakah kamu
melihat anak bulan?”. Aku menjawab, “Kami melihat pada malam Jumaat!”. Ibnu Abbas bertanya lagi katanya, “Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?”. Aku menjawab, “Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa”. Ibnu Abbas berkata, “Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal”. Aku bertanya, “Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?”.
Ibnu Abbas menjawab, “Tidak! Beginilah caranya Rasulullah s.a.w. menyuruh kami”. (Riwayat Imam Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa Ibnu Abbas tidak mengambil kira rukyah penduduk Syam dan tidak menjadi wajib atas penduduk satu-satu negeri beramal dengan rukyah yang berlaku di negeri lain (berlainan matla’).

Hadis Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya;
Daripada Ibni Umar r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. “Satu bulan mengandungi 29 hari, oleh itu jangan kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) hingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan) dan jangan kamu berbuka (berhari raya) hingga kamu melihat anak bulan (Syawal).
Jika terlindung hilal daripada pandangan kamu, sempurnakan bilangan anak bulan itu (30) hari”.
(Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Hadis ini menunjukkan bahawa wajib puasa tertakluk kepada rukyah (melihat anak bulan), sungguhpun begitu tidaklah dikehendaki setiap orang melihat anak bulan. Jika mendung berlaku pada malam itu, sempurnakanlah bilangan bulan 30 hari (atau dengan perisytiharan daripemerintah).

b- Qias
Ulama’ Mazhab Syafi’i mengqiaskan perbezaan terbit bulan dengan perbezaan terbit matahari yang membawa kepada berlaku perbezaan waktu solat.

c- Hukum akal
Syarak telah mengaitkan wajibnya berpuasa dengan timbulnya bulan Ramadhan dan permulaan Ramadhan adalah berbeza disebabkan oleh perbezaan negeri-negeri yang membawa kepada perbezaan mula berpuasa di negeri-negeri yang berlainan.

iv. Penggunaan Istilah
Istilah “Idul Adha” amat masyhur digunakan dalam hadis-hadis dan kitab-kitab feqah. Masyarakat Islam di Malaysia kebiasaannya menggunakan istilah “Hari Raya Korban” yang sememangnya bertepatan dengan istilah Idul Adha.

Akan tetapi tidak ada kitab hadis dan feqah yang menggunakan istilah “Idul Hajj” yang juga disebut oleh sesetengah masyarakat Islam sebagai “Hari Raya Haji”. Ini adalah satu kesilapan.

Sebenarnya istilah yang wujud hanyalah “Idul Adha” yang dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia sama ada yang mengerjakan haji atau tidak.

Ibadat Puasa Sunat 9 Zulhijjah

Sanad dan matan hadis
i. Matan hadis yang dibahaskan:
Maksudnya;
Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas”.
(Riwayat Imam Muslim)

ii. Makna potongan hadis:
Al-Syeikh Sulaiman al-Bajairami menjelaskan;
Maksudnya;
“Yang dikehendaki dengan makna tahun sebelum hari Arafah ialah tahun yang sempurna (cukup 12 bulan) hingga sampai bulan Zulhijjah”.

iii. Fiqh al-Hadis:
Berdasarkan hujah riwayat Imam Muslim, Imam al-Nawawi sebagai mujtahid mazhab al-Syafi’i mensabitkan bahawa berpuasa pada hari Arafah itu adalah sunat. Dengan sebab itulah Imam al-Nawawi meletakkan puasa pada hari Arafah di dalam “Bab Puasa Sunat”.

iv. Pelaksanaan Ibadat Puasa Sunat 9 Zulhijjah

a- Siapakah yang disunatkan berpuasa hari Arafah dan bilakah waktunya?

Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi berhubung dengan berpuasa pada hari Arafah;
Maksudnya;
“Dan berpuasa pada hari Arafah itu adalah pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim (Puasa pada hari Arafah dihitung di sisi Allah menghapuskan dosa seseorang pada tahun sebelum dan tahun selepas)”.

Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan
lagi;
Maksudnya;
“Adapun bagi orang yang mengerjakan ibadat haji maka tidak disunatkan baginya berpuasa pada hari Arafah bahkan disunatkan bagi dirinya berbuka puasa sekalipun dia berkemampuan untuk berpuasa. Ini kerana mengikut amalan baginda Muhammad s.a.w. berdasarkan hadis riwayatImam al-Bukhari dan Muslim. Dan hendaklah orang yang mengerjakan ibadat haji banyak berdoa. Maka berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang mengerjakan ibadat haji itu adalah menyalahi yang terlebih utama”.

Al-Syeikh Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli menambah;
Maksudnya;
“Dan pendapat fuqaha’ yang lemah bahawa makruh bagi orang yang mengerjakan ibadat haji itu berpuasa pada hari Arafah. Ini kerana hadis riwayat Abi Daud bahawasanya Rasulullah s.a.w. menegah berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang mengerjakan ibadat haji di Arafah.Ahli hadis menganggap hadis ini adalah daif kerana terdapat majhul pada sanadnya (perawi yang tidak dikenali)”.

b- Bagaimana pelaksanaan puasa sekiranya berlaku syakberhubung tarikh 9 Zulhijjah?
Syeikh Syihabuddin dalam kitab Hasyiatan menyatakan;

Maksudnya;
“(Dan hari Arafah) dan sekiranya berlaku syak berkenaan hilal Zulhijjah maka tiada haram dan tiada makruh berpuasa pada hari Arafah sebagaimana berpuasa pada hari yang ke-30 Ramadhan setelah syak pada kedudukan hilal awal Ramadhan”.

Al-Syeikh Zainuddin Abdul Aziz al-Malibari menambah;
Maksudnya;
“Dan lebih cermat lagi berhati-hati, berpuasalah pada 8 dan 9 Zulhijjah”.

Al-‘Allamah Abi Bakar Usman bin Muhammad Syata al-Dumyati mengulas;
Maksudnya;
“Kerana bahawasanya (berpuasa pada hari yang ke-8 Zulhijjah itu) kadang-kadang jatuh pada 9 Zulhijjah”.

c- Adakah puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) mengikut negara ArabSaudi ataupun mengikut matla’ negara masing-masing?

Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi;
Maksudnya;
“Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq”.

Maksud di dalam negara yang satu ialah matla’ yang sama.

Bagi matla’ Malaysia adalah terletak di dalam matla’ Asia Tenggara. Oleh itu sewajarnya penentuan tarikh Idul Adha mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama MABIMS.

Kesimpulan
Fahaman yang menyatakan “Idul Adha” disambut berdasarkan ketentuan Hari Wukuf di Arafah (sama dengan Arab Saudi) bagi negara yang tidak sama matla’ dengan Arab Saudi adalah tertolak dan tidak boleh diterima.

Ini kerana Hari Wukuf di Arafah dan “Idul Adha” adalah tertakluk kepada penentuan awal Zulhijjah menurut hisab penentuan awal bulan hijriah, ia mengambil kira cara anak bulan dilihat (Imkanur-rukyah) iaitu:

“Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut:
a) Ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2º dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3º,
ATAU
b) Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijimak berlaku”.

Oleh:
Dato’ Haji Nooh bin Gadut
Mufti Negeri Johor

Puasa 9 Zulhijjah Haram ???



“Tepat gelincir matahari petang tadi, bermulalah perhimpunan agung umat islam yang mengunjungi baitullah untuk mengerjakan haji, hari ini mereka memulakan acara kemuncak perhimpunan raksasa umat dengan berkampung dipadang arafah sebagai symbol ketaatan dan penyerahan diri kepada tuhan yang maha esa.” lancar pemberita bulletin perdana TV3 di malam itu membacakan ulasan beritanya diselangi dengan rakaman dan lintas langsung temuramah dari tanah haram tersebut.

Berdesing telinga Mak Temah mendengarnya. “Ini yang aku tak suka ni !, Selalu sangat macam ni , kita dah rancang nak puasa arafah esok hari ….. melepaslah, kerajaan pun satu, buat kalender langsung tak nak ikut waktu mekah, kan mekah tu kiblat umat islam… macam mana la orang2 jabatan agama tu kerja…”ngomel mak temah menzahirkan rasa terkilannya malam tu, usianya yang sudah meningkat senja memotivasikan dirinya untuk memperbanyakkan ibadah, namun kekhilafan setengah pihak sebegini menyebabkan dirinya terlepas peluang agung menambah pahala.

Yalah Mak, kak long pun sama, pernah sekalai tu, dah bangun sahur dan niat puasa arafah baik2, tapi bila tiba kat sekolah semua kawan2 pakat berbuka dan sebut takde guna dah puasa hari ni, puasa arafah sempena wukuf di mekah, kalau wukuf dah lepas, takde maknanya puasa … mungkin boleh jatuh haram pulak sebab berpuasa dihari raya. Patutnya hari ni dah raya haji la, malu kak long, cepat2 sembunyi dan batalkan puasa … sampuk kak long arifah mengiakan ngomelan ibunya. Perasaan aib dan segan seolah masih tersimbah panas ke ruang wajah maruahnya.

Bagaimana pula anda ?

Adakah kita juga menjadi mangsa keadaan seumpama ini ?

Dua kerajaan gajah bertempur meletakkan takwim, kita kancil pula mati terhimpit ditengahnya, terlepas ruang dan peluang beribadat.



Asas prinsipnya mudah, semudah ajaran islam yang ringkas dan bersesuaian dengan segenap lapisan usia dan masyarakat, merentasi budaya bangsa dan geografi kaum.

Islam ditegakkan berdasarkan ilmu bukannya sentimen emosi, islam agama realiti bukannya fantasi, ia praktikal dan mudah difahami bukannya mitos penuh teka teki, dan islam agama ilahi milik tuhan bukannya kiblat buta pada mana2 pemimpin ataupun negara bangsa.

Mungkin saya melihat isu ini melalui beberapa sudut pandang berbeza :

1. Puasa Sembilan Vs Sembilan Puasa

Berdasarkan hadits yang tsabit (sah) dalam riwayat Ahmad dan Nasa’i dari Hafshah radhiyallahu ‘anha:

الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ َ أَنَّ رَسُولَاللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم كَانَ يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي

“Bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa berpuasa sembilan hari bulan Dzulhijjjah, hari ‘Asyura (10 Muharram) serta tiga hari dalam setiap bulan.”

Ternyata jelas melalui hadis rasulullah ini menyatakan tentang kemuliaan puasa sembilan hari dibulan zulhijjah, lafaz TISÁN yang bermaksud sembilan hari dan bukannya TASIÁN yang bermakna hari kesembilan di dalamnya membuktikan kewajaran pandangan ini.

Ramai antara kita yang hanya ingin mengambil kesempatan mudah dalam beribadat dan tidak mengaplikasinya berdasarkan ilmu dan dalil agama, maka kita lihat ramai yang berlumba2 untuk memprogramkan ibadah bermusim dan bukannya bervisi dan berkualiti.

Ketetapan puasa hanya pada 9 zulhijjah sahaja seperti inilah yang biasanya menyebabkan pesimis ibadah dan salah sangka. Sekiranya kita mahu benar mahu mengamalkan sunnah rasulnya, keluarlah dari kepompong ibadah program sebegini, tukarkannya dengan ibadah ilmu dan kesedaran.


Bukankah Rasul juga ada bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

“Berpuasa pada hari ‘Arafah dapat menghapuskan dosa di tahun yang lalu dan setelahnya.” (HR. Muslim)

Bukankah hadis ini menjelaskan rasul mengalakkan kita melebihkan hari 9 zulhijjah ini dalam peribadatan puasa dan memberikannya keistimewaan dengan kemuliaan wukuf di arafah ? Inikan tanda puasa 9 zulhijjah sahaja sudah memadai.!!

Benarkah begitu .....

Allah lebih mengetahui tatkala rasul meluncurkan tinta bicaranya yang akhirnya tertulis dan tersebar keseluruh buana ini, dan lafaz rasul menyatakan secara jelasnya sebagai puasa arafah dan bukannya puasa 9 zulhijjah. !!

Mungkin sang murabbi agung ini sudah mendapat visi perselisihan umat diakhir zaman nanti yang berlainan sempadan geografi dan melata penganut islamnya ini, tatkala wukuf dilaksanakan di arafah mungkin dinegara yang berjauhan tempat terbit hilal anak bulannya masih menunjukkan tanggal 8 zulhijjah. Maknanya puasa arafah di mekah bersamaan 8 zulhijjah dinegara lain.

Dan ini juga bermakna sesiapa yang berpuasa 8 zulhijjah akan mendapat pahala sunat puasa arafah dan siapa yang berpuasa 9 zulhijjah pula mendapat pahala sunat puasa sembilan hari awal dibulan zulhijjah.

Jadi, kenapa perlu melepaskan peluang ibadah keemasan seumpama ini hanya dengan andaian cetek ilmu dan malas bertanya ?

Alangkah ruginya kita.....

Sunday, November 14, 2010

Puasa Sembilan

Kita mungkin sedia maklum tentang puasa 6 di bulan syawal dan kemuliaannya, bahkan ia diangkat menjadi penanda aras kesyukuran dan penerimaan puasa kita.

Tapi tahukah anda, puasa terbaik dan hari terbaik selain Ramadhan ialah pada tanggal 9 Zulhijjah. Tatapilah tulus riwayatnya dan praktiklah seikhlas amalnya.

3. Berpuasa selama sembilan harinya (yakni dari tangal 1-9), terutama hari ‘Arafah (tanggal 9 Dzulhijjah). Berdasarkan hadits yang tsabit (sah) dalam riwayat Ahmad dan Nasa’i dari Hafshah radhiyallahu ‘anha sbb:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ

“Bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa berpuasa sembilan hari bulan Dzulhijjjah, hari ‘Asyura (10 Muharram) serta tiga hari dalam setiap bulan.”

Imam Nawawiy menjelaskan bahwa puasa tersebut sangat dianjurkan sekali. Bahkan ini adalah pendapat jumhur ulama tanpa ada perselisihan lagi, dan mereka sepakat tentang keutamaannya (lih.

Haasyiyah Ar Raudhil Murabba’ 3/452) Lebih ditekankan lagi pada tanggal sembilannya (yakni hari ‘Arafah) bagi yang tidak berada di ‘Arafah. Tentang keutamaannya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

“Berpuasa pada hari ‘Arafah dapat menghapuskan dosa di tahun yang lalu dan setelahnya.” (HR. Muslim)

4. Bertakbir dan berdzikr pada hari-hari tersebut.

Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’aala:

“Dan agar mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan.”( Al Hajj: 28)

Imam Bukhari rahimahullah meriwayatkan bahwa Ibnu Umar dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu keluar ke pasar pada sepuluh hari tersebut seraya mengumandangkan takbir, lalu orang-orang mengikuti takbirnya. Dan sangat dianjurkan bertakbir setelah shalat Subuh hari ‘Arafah sampai akhir hari tasyriq, berikut ini lafaz takbirnya:

اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ لَاِالهَ اِلَّا اللهُ اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُوَ ِللهِ اْلحَمْدُ

“Allah Maha Besar 2X, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, Allah Maha Besar, milik-Nyalah segala puji.”

Imam Ahmad pernah ditanya, “Berdasarkan hadits apa anda berpendapat bahwa takbir diucapkan setelah shalat Subuh hari ‘Arafah sampai akhir hari tasyriq?” Ia menjawab, “Berdasarkan ijma’; yaitu dari Umar, Ali, Ibnu Abbas dan Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhum.

” Dianjurkan menjaharkan suara takbirnya ketika di pasar, rumah, jalan-jalan dsb. Sunnahnya adalah masing-masing orang bertakbir sendiri-sendiri (tidak dipimpin). Ini berlaku pada semua dzikr dan do’a, kecuali karena tidak hapal sehingga ia harus belajar dengan mengikuti orang lain.