Tuesday, May 24, 2016

Villa didikku

Hey kawan,
Aroma Ramadhan semakin galak menyumbat deria hidu kita di lelohong hidung dengan atmosfera baunya yang tersendiri. Ternyata ia umpama hidangan hampir siap yang segera membangkitkan rasa keterujaan yang bukan sedikit, Bukan sahaja deria rasa kita yang terpana kekaguman, bahkan deria lihat kita juga mencongak rasional kelazatan dan keistimewaan hidangan ini yang semakin siap untuk dihidang dan dinikmati. Jika semalam kita sudah menyambut nisfu syaabannya, ini bermakna hidangan ramadhan sedang semakin masak di ketuhar masanya.
Aaaah, jika aku ada umur yang panjang kawan. Kuharap agar dapat bertamu sekali lagi didada Ramadhan kali ini. Ramadhan yang diberkati dan dan didambakan oleh setiap insan yang bergelar mukmin.Aku rindu untuk bersimpuh menyimpul doa, aku giur untuk memintal munajat penuh pengharapan, dan yang terutamanya aku amat ingin memancing makbul untuk terus membuat perubahan kearah sisi tulus dalam beribadah. Aku mahu ianya menjadi reality bukan sahaja pada malam qadarnya tapi ianya mampu memjelmakan hidupku, siangku, malamku untuk menjadi kemuliaan qadar hidupku nanti. Hidup sebagai hamba yang diakui tuhannya.
Aduh, aku rasa aku sudah mendiami daerah baru ini sejak setahun yang lalu. Menyulam bicara didik untuk anak bumi tercinta dan menyantun warga rumah berkah sesekali di hujung usia senja. Aku seperti betah dan serasi dengan kehidupannku sekarang, tenang dari menunjal pedal mengharung aspal ke destinasi rutin setiap hari, lega dari disimbah ludahan hon dan percikan alam disubuh dingin, aku sebenarnya telah berpindah tempat kerjaku ke daerah baru. Daerah yang menghijau dengan sawah semangatnya, dan terus mekar menguning azam dan menuai kejayaaannya. Aku sekarang berkhidmat di SMK Permatang Tok Jaya. . .
Maafkan aku, kerana lupa menitip berita untuk kalian… bahkan yang sebenarnya aku sedang mengedit data buat mengisi cip memori travelogku. Mungkin buat tatapan ku sendiri jika usiaku sudah hanya membilang hari. Buatku tersenyum, buatku tenang . . dan buatku terus bersyukur kerana pernah berpeluang hidup dengan skrip ilahi ini. . . Aku redha. .
Tanpa suntingan, aku pamerkan untuk kalian . . . . villa didikku yang baru :
SMK PERMATANG TOK JAYA
SEJARAH SEKOLAH

Sebelum Perang Dunia Pertama, seorang pendekar Jawa bernama Kerma Wijaya telah tiba di sini dan mendapati tempat ini sangaT sesuai untuk didiami. Beliau telah meneroka hutan di sini dan diganti dengan sawah padi serta dusun.  
Kerma Wijaya telah berkahwin dengan wanita tempatan dan dikurniakan beberapa anak. Penduduk kampung mengenali beliau sebagai Tok Jaya dan tempat ini dinamakan sempena nama tersebut. Sekolah ini pula adalah sempena nama kampung ini.

Penubuhan Sekolah Menengah Permatang Tok jaya telah diusahakan oleh YB Datuk Seri Mohd Shariff bin Hj. Omar, Ahli Parlimen Tasek Gelugor memandangkan ketiadaan sebuah sekolah menengah bagi pelajar-pelajar di kawasan Permatang Tok Jaya. Sebelum ini semua pelajar menengah terpaksa ke sekolah menengah di Telok Air Tawar atau Kepala Batas yang jaraknya dalah jauh. Sekolah yang dibina di atas kawasan seluas 13 ekar ini telah mula dibina pada tahun 1992.
Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya telah dibuka untuk pengambilan pelajar pada tahun 1995. Pengambilan pelajar adalah dari sekolah rendah berdekatan seperti SK Permatang Tok Jaya, SK Permatang Binjai dan SK Sungai Puyu. Pada tahun penubuhannya sekolah ini mempunyai 6 kelas iaitu 4 kelas tingkatan 1 dan 2 kelas tingkatan2. Pada masa tersebut bangunan sekolah terdiri daripada 3 blok tiga tingkat bangunan akademik, 1 blok tiga tingkat makmal sains, dan 1 blok 2 tingkat bengkel Kemahiran Hidup. Terdapat juga sebuah bengkel Sains Pertanian. Penyelaras sekolah pada ketika itu ialah En. Mat Kamil bin Sudin berserta 10 orang guru.pada 2hb Oktober 1995 sekolah ini telah diserahkan secara rasmi oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ketika itu, Tn. Hj Ibrahim Said. Pengetua pertama sekolah ini ialah Tn. Hj Mohd Azli bin Mohamad. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini sehingga 5 Jun 1998.
Pada tahun 2000Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran telah dibuka di sekolah ini. Terdapat hanya 1 kelas pada peringkat awal pengenalan program ini dengan 3 pelajar. Pada tahun berkenaan juga pembninaan 2 blok akademik yang baru serta pembinaan 2 blok bangunan asrama, rumah warden dan dewan makan telah dimulakan. Bangunan-bangunan tersebut telah siap pada penghujung 2002. Bangunan asrama mempunyai kapasiti 400 orang pelajar dan pengambilan pertama ialah pada tahun 2002.

Pada tahun 2003 sekolah ini telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memulakan Program Model Khas. Konsep Model Khas ini ialah menggabungkan pendidikan rendah dan menengah di bawah satu bumbung. Pendidikan rendah berkenaan ialah di peringkat Tahap II iaitu Tahun 4, 5 dan 6. Semua pelajar tahap II ini tinggal di asrama bersama pelajar menengah yang lain.

Sehingga awal 2007 terdapat sebanyak 38 kelas di sekolah ini. 28 darinya adalah kelas menengah biasa dari Tingkatan 1 hingga 5, 6 kelas pada Tahap II Rendah iaitu dari Tahun 4 hingga Tahun 6 dan 4 kelas Pendidikan Khas. Antara program penting di sekolah ini ialah Kelas Aliran Agama. Jumlah pelajar pula telah mencecah 1100 orang pelajar.

Monday, May 9, 2016

Salam 2016

Hey Kawan,

Masih ingatkah kalian tentang aku. Seorang musafir yang pernah singgah dalam diari hidup kalian. Menyapa dan menyulam rasa bersama. Mekar menjadi ukhuwwah. Namun sayangnya, saat ini ianya hanya mampu harum dijambangan memori.

Aku sang camar putih, terbang bebas di angkasa untuk meredah atmosfera takdir. Kiranya aku tercunggap letih, lekas aku hinggap melepas lelah buat seketika di perdu angan. Jika mampu, mungkin aku lebih selesa bertenggek sekejap di belakang sang balau yang agam di petak bendang. Kontras warna hitam putih kami pastinya memberi refleks tenang pada mereka yang mencari damai.


Aku sukakan ketenangan, aaah semua manusia tentu sukakan ketenangan. Mana ada spesis manusia yang tega memilih hidup dicemeti kesibukan dalam kota serba kalut jika hanya kerana fitrah dan keinginan. Tapi tanpa sedar, hidup kita bagai dicucuk hidungnya merelakan adrenalin kalut dan sibuk memacu perjalanan kita. Akhirnya kita akan terpana keletihan mengejar bayangan angan dan impian yang belum tentu menjanjikan kejayaan. Namun yang pastinya diselekoh yang paling hujung dalam kehidupan ini, kita akan mengeluh kesal atas kealpaan dan kelekaan kita melebihkan sesuatu yang fana berbanding amalan penyelamat kita di hari kemudian nanti.

Dan , aku rasa aku tenang disini. Tenang mengulit angan. Sesekali tersenyum dibuai fantasi. Teruja di apung rasa. Gebu memugar hati. Pasrah dalam diri. . .   . . Namun yang bersisa, hanyalah satu persoalan . . . bilakah langkah musafir ku akan terhenti ???

Biar takdir yang menjadi juri.
Menghukum aku untuk redha dan akur.
Kerana kita hanya merancang,
Namun yang Maha Berkuasa juga memutuskannya . . .