Thursday, March 24, 2011

Hikmat Menziarahi Pesakit

Setelah sekian lama menyepi dari mengutus entry terbaru, saya seolah kehilangan kudrat untuk mencoret sesuatu, apatah lagi tenaga dan fokus saya terarah untuk segera bermukim di tempat yang baru.

Seminggu cuti sekolah yang berlalu, saya bersama askar2 kecil saya terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang ke kampung di kelantan semata2 untuk mengangkat barang dan menyiapkan urusan perpindahan kami ke rumah baru.

Dan untuk pengetahuan semua, alhamdulillah bermula pada minggu cuti sekolah yang lepas kami sekeluarga sekarang bermukim di TAMAN PUTRA BERTAM, KEPALA BATAS.

Dari blog sahabat saya Ust Kamil Jaafar, saya sebarkan kebaikan ilmunya untuk semua. moga ada yang berguna.

Hikmah Sakit, Menziarahi Dan Mengiringi Jenazah ke Kubur
بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله ومن تبعه ووالاه

Beberapa hari lepas terbaca dalam sebuah blog tulisan seorang blogger lebih kurang berikut : "Siapakah antara kita yang berani berpesan kepada isteri dan anak-anak bahawa dalam almari didalam bilik kita terdapat dua helai kain putih yang sudah disiapkan untuk diguna bagi mengkafankan jenazah sendiri sekiranya berlaku kematian….” mungkin ada yang mahu berbuat demikian tetapi berapa orang yang sedar dan mampu bertindak demikian???

Hamba juga teringatkan kata-kata Saidina Umar RA. : Jika hari ini orang menyebut si pulan bin si pulan telah meninggal dunia dan esoknya orang menyebut si pulan bin si pulan pula meninggal ..maka suatu masa nanti orang akan menyebut hari ini Umar bin Al-Khattab telah kembali menemui TuhanNya..

Catatan blogger dan kata-kata Saidina Umar cukup memberi inzar dan keinsafan kepada diri penulis akan persediaan kita untuk mengadap Rabb al-Jalil. Tambahan pula beberapa hari lalu, Abu Huzaifah sempat menghadiri seorang saudara kepada biras yang meninggal dunia setelah lama dalam keuzuran.

Seorang penulis (Muhammad Uzair) mengumpamakan sakit itu umpama beduk maut. Kalau beduk berbunyi maka bersiap-siaplah ke masjid, kerana itulah tandanya waktu solat telah masuk. Menziarahi orang sakit dianjurkan oleh Nabi SAW dan banyak hadis sahih yang menggalakkannya. Menziarahi orang sakit akan mengingatkan kita juga suatu masa akan sakit.

Kadang-kadang terfikir disebalik hikmah sakit dan uzur itu merupakan satu warning daripada Allah agar kita beringat bahawa kesihatan yang baik itu sebenarnya kurniaan Allah. Namun berapa ramai manusia yang sedar bahawa masa sihat dan kuat itulah masa yang sesuai dimanfaatkan untuk amal makruf dan nahi mungkar..?

Berapa ramai yang berebut-rebut untuk melakukan amal soleh? Berapa ramai yang berfikir masa sihat itulah untuk berusaha semaksima mungkin (menyimpan wang) melaksanakan rukun Islam kelima atau sibuk menukar kereta atau melancong ke Langkawi,Genting Highland, Bukit Tinggi atau sejauh Hong Kong dan London?

Menziarahi orang sakit, menghadiri dan melawat simati, mengiringi jenazah ke kubur, melihat jenazah diturunkan ke dalam liang lahad dan mendengar pak imam membacakan talqin memang menginsafkan, biarpun untuk mungkin sehari dua atau kurang 24 jam…sekurang-kurangnya hati yang masih ada iman akan insaf seketika.

Benarlah peringatan Rasulullah saw bahawa hak seorang muslim terhadap muslim yang lain sebagaimana saranan baginda daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, bahawasanya Rasulullah sallahualaihi wasallam telah bersabda: "Hak muslim ke atas muslim (yang lain) enam perkara;
1) apabila kamu bertemu dengannya, maka berilah ucapan salam kepadanya,
2) apabila dia menjemput kamu, maka (berikan) jawapan (respond) atas jemputannya,
3) jika dia meminta nasihat dari kamu, maka nasihatilah dia,
4) jika dia bersin, jawab dan doakan (kesejahteraan) padanya,
5) jika dia sedang sakit, maka ziarahilah dia
6) jika dia meninggal dunia, maka iringilah (jenazahnya) ke perkuburan".

Berbicara soal sakit dan penyakit..hakikatnya kita patut bersyukur kerana penyakit yang dialami oleh seseorang sebenarnya mengingatkan diri bahawa kesihatan seseorang individu itu adalah hak dan kurniaan Allah. Tuhan yang Maha Berkuasa berhak memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Seorang hamba yang ditakdirkan sakit dan dirawat di hospital pakar oleh 20 orang pakar perubatan sekalipun jika Allah tidak mengizinkan sembuh maka insan tersebut tidak dapat dipulihkan..

Dan biasa kita dengar, terdapat pesakit yang dibawa ke hospital pakar dalam tempoh beberapa hari untuk dirawat…kemudian pihak hospital menyuruh pesakit dibawa pulang oleh keluarganya dan pihak hospital tidak dapat mengesan penyakit yang dihadapi.Hal ini menunjukkan bahawa terdapat penyakit yang gagal dikesan dengan teknologi manusia sekalipun oleh para pakar…(mungkin dinafikan oleh sesetengah doktor, namun tetap ada kes demikian). Begitulah keterbatasan manusia walau betapa hebat dan canggih, peralatan yang diguna pasti ada kelemahan dan kekurangan.

Secara umumnya, kita boleh beranggapan bahawa kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh seseorang sebenarnya satu warning atau peringatan dari Allah agar kita beringat; agar segera bertaubat sebelum terlambat. Segera melaksanakan ibadah sebelum anggota dan pancaindera kita gagal berfungsi. Segera melunaskan zakat dan bersedeqah sebelum harta kita menjadi aset untuk diagih-agihkan kepada ahli keluarga. Segera melakukan amalan-amalan sunat dan memperbanyakkan zikrullah sebelum ditahlil dan ditalqinkan.

Maka sepatutnya kita tidak mengeluh apabila ditimpa musibah dan penyakit kerana itu satu isyarat amaran bahawa nikmat kesihatan, harta dan anak pinak yang kita miliki ; semuanya anugerah sementara yang diberi dan dipinjamkan oleh Allah Azza wa Jalla dan kelak semua milik pinjaman itu akan dipersoal dan dihisab pada hari yang dinyatakan Allah ; bahawa harta yang banyak dan anak-pinak yang menjadi kebanggaan insan di dunia fana tidak memberi manfaat kecuali hamba-hambaNya yang datang dengan hati yang sejahtera (yang menyerah diri keseluruhannya kepada Allah).

Wallahu a’lam bissowab.

Dar al-Mawaddah,
Besut, Terengganu

Wednesday, March 9, 2011

Istimewakah Kita ??


Allah mengajar kita dalam diam. Rahsianya sukar difahami.

Apatah lagi manusia yang bermindakan gopoh dan gelojoh selalunya terpana amarah bila ditimpa ujian. Bila bahu tanggungjawab terasa terbeban. Hadirnya geram dan marah silih bertandang.

Sabtu lalu, saya berkunjung ke Hospital Pulau Pinang tatkala mendapat berita mengejut dan sedih menimpa seorang teman , anaknya yang berusia 11 tahun koma dimasukkan ke hospital dalam wad jagaan rapi ICU.

Perancangan awal untuk pulang ke kampung saya tangguhkan seketika, simpati terasa menjalar pijar ke penjuru hati untuk saya hadir member sokongan dan semangat kepada teman yang sebenarnya baru dikenali, biarlah kepulangan kami ke kampong lewat sedikit kali ini getus hati kecil saya, agenda menziarahi pesakit patut saya dahulukan kali ini.

Menziarahi pesakit adalah sunnah nabi, tapi ianya sunnah yang kurang glamour. Ia sering disisih pandang. Mungkin ianya agenda sedih dan menyayukan.

Jika ada jemputan kenduri pula, penerimaan kita agak berbeza, mungkin terbayang hidangan enak dan gelak ketawa pembasuh mulut bersama rakan, ianya lekas menggamit persetujuan kita, mungkin kerana ianya dekat dan disukai nafsu. Dengannya kita terhibur dan gembira.

Tapi menziarahi pesakit jarang kita utamakan.

Sebagaimana jarang kita budayakan menziarahi kubur dan bertafakkur seketika bersamanya.

Ianya seakan budaya pasif dan negative yang mencalarkan ceria kita.

Akhirnya ia terpinggir bak melukut ditepi gantang agama.

Anaknya seusia anak sulung saya. Berusia 11 tahun di tahun 5.

Keletahnya seperti biasa, aktif berlari, bercakap tanpa henti, bertanya semahunya, merajuk dan melenting dalam usaha mencuri empati ibubapa. Gelak dan tawanya menjernihkan keruh kepenatan.

Tengahari ia dijemput oleh ayahnya dari sekolah, langsung menaiki kereta sebelum ke sekolah agama pada sebelah petangnya.

Namun, tidak sebagaimana petang yang lain…. Petang itu kepalanya terasa berat, ia mengadu kepenatan dan kepanasan dalam dingin air cond yang menyerbu gebu pipinya.

Tatkala tangannya mencapai tombol kereta, kakinya pula mengkhianatinya. Ia tersepuk jatuh ditepian kereta. Badannya mula membahang dengan mulutnya terkumat kamit berbuih deras.

Si ayah mengusir panic yang dating dengan segera memangkunya kekereta dan memberi ruang udara dan rehat secukupnya. Matanya seakan berat untuk di buka. Ia tertidur dalam helaan nafas yang teramat berat.

Segera si ayah meminta bantuan rakan ustaz yang ada untuk menilik dan menelah simpton penyakit. Anaknya tak pernah buang tabiat sebegini. Rakan ustaznya membuat scanning, membaca potongan ayat2 syifa’, menelah dibalik celahan firasat, menganilisis dan seterusnya menasihatkan… anak ini sakit normal, tiada tanda gangguan, rasanya ia perlu segera dibawa ke klinik berdekatan.

Perjalanan sejauh 50 km terasa semakin lambat, kalaulah ada laluan serba laju bahkan boleh terbang, nescaya gerakan van ambulans yang sememangnya pantas meluncur dilebuhraya itu boleh ditingkatkan lagi. Jika ada sahabat NABI SULAIMAN yang bisa menerbangkan singgahsana, nescaya mulut ini tidak akan malu meminta dipercepatkan perjalanan ini ke Hospital Besar Pulau Pinang dengan sekelip mata cuma. Begitulah getaran harapan si ayah mengharap keajaiban sebagaimana degupan jantungnya yang berlari kencang. Mereka dirujuk segera ke unit pediatric kanak2 setelah dimbas lebih awal di hospital kulim yang agak kurang kemudahannya.

Dalam hati ini, doa dan keselematan mu duhai anak, takkan lekang dari bibir lesu si ayah yang terkumat kamit dalam wajah sayunya yang tersendiri. Moga keputusan imbasan dan rawatan doctor akan memberikan reaksi positif.

Tapi …. Allah menguji manusia. Walau dalam sepi dan gamat gempita. Kekadang dalam sendu dan senda tawa. Ianya hadir tanpa dipinta, dirancang dan dijangka.

Anaknya disahkan mempunyai tumor dibahagian otak. Tumor yang semakin membesar telah menekan dan menghimpit tempurung kepalanya yang kemudiannya terpaksa ditebuk dan dibuka. Ruangan yang ada diharap dapat menghela tekanan keluar memberi kelegaan segera kepada tisu otak yang sedang membengkak.

Sayu wajah ibunya, kesan tangisan semalam masih membekas dipipinya. Merah matanya menyengkang kantuk di dinihari, lesu pula badannya beralas dingin simen yang mencengkam sumsumnya. Namun apakan daya …. Ini ujian tuhan kepadanya.

Tiada langsung tanda2 awalnya, dia normal sebagaimana kanak2 yang lain. Dia aktif berlari dan bermain. Tak pernah mengadu sakit, apatah lagi sakit kepala sebegini. Sekadar demam2 biasa yang kebah sehari dua itu adalah.

Begitulah khabar sedih saya temui diminggu lalu, kisah yang penuh kesedaran dan keinsafan.

Kisah keagungan dan kekuasaan tuhan.

Kisah ujian dan penghargaan.

Tak pernah kita menyangka akan diduga begini. Entahlah … apa perancangan tuhan buat keluarga ini.

Tapi yang pasti, kita juga punya anak2 sebegini, aktif, riang dan cerdas. Kita bangga memilikinya, walau sekadar pinjaman cuma. Kita bangga terpilih sebagai penjaganya.

Namun , yang sama sekali kita tak pasti ialah …. Sihatkah anak2 ini ?? Siapakah antara mereka yang paling berbakti kepada kita nanti ?? atau sempatkah mereka menjaga kita ketika kita sudah berusia nanti ataupun sebaliknya, kita pula menjadi penjaga setia mereka hingga ke hujung abad. Anak yang diharap membesar sihat dan berjaya, rupanya ditimpa kemalangan tidak bermata, lumpuh dan cacat. Tak sempat kita menumpang rehat dan senang.

Namun itulah ujian tuhan, ujian yang datang tanpa diundang.

Ujian menuntut kesabaran dan penyerahan.

Kepada siapa jua ….

Kalau ia boleh terjadi kepada orang lain, bayangkan apa status dan keistimewaan kita untuk terselamat dari di uji dengan dugaan yang sama.

Dugaan tetap dugaan. Ujian tetap ujian. Yang berbeza ialah cara penerimaan dan kesabaran kita.

Samada kita memilih kesabaran cara nabi atau kebejatan cara babi, terpulanglah.

Terbentang untuk kita dua jalan, mulia atau hina ???

Yang pasti ujian akan mengulit hidup kita. Sentiasa ……

Friday, March 4, 2011

Tarikh Kelahiran Rasul : Penilaian Semula

Dari : Blog Taman Ulamak

Penilaian Semula Tarikh Kelahiran Dan Kewafatan Rasulullah S.A.W.

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wa Taala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabatnya.

Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ( Maulidur Rasul ) . Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains.

Disamping itu, sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada 12hb. Rabiul Awwal, (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi saw. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah atau sebaliknya).

Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi saw berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2, halaman 144).

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibmu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, “Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu’tazilah.” Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, “Dia seorang dajjal” (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468 – 475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.

· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.

· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam “Nurul Yaqin” (hal. 6), Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakpuri di dalam “Rahiqul Makhtum” (halaman 54), `Allamah Sibli Nu’mani di dalam “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176), Maulana Abdul Kalam Azad di dalam “Rasul Rahmat” (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w. pula, Ibnu Katsir menyebutkan dalam kitabnya al-Fushul fii siraatir Rasul bahawa Rasulullah wafat pada hari Isnin, 12hb Rabiul Awwal. Kemudian disahihkan oleh Syaikh Salim 'Ied al-Hilali dan menyatakan pada catatannya bersandarkan Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Pendapat lain menyatakan 1hb Rabiul Awwal, antaranya daripada riwayat tokoh utama sirah iaitu Musa bin Uqbah dan ulama hadis yang terkenal Imam Laith bin Saad, Abu Nua’im Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Suhaili dan Al Khuwarazmi. (Fathul Bari, Jilid 16. hal. 206, “Ar Raudhul Unuf,” jilid 7, hal. 579). Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi S.A.W. ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.

Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kami kemukakan pihak kami berharap agar masyarakat menilai semula tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. dan tidak merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi s.a.w. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.

Rujukan:
- Siri Risalah Suluhan oleh Maulana Asri Yusof dengan sedikit pindaan

- al-Fushul fi Sirah Rasul karya Ibnu Katsir

- Rahiqul Makhtum karya Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakpuri

Pengalaman di Konti



Pengalaman berbicara di konti radio bukanlah perkara yang biasa saya lakukan.

Bahkan inilah julung kalinya saya berada di udara untuk berkongsi idea dan memugar rasa mencintai figur terulung agama yang tak lain tak bukan ialah rasul junjungan kita.

Mengupas isu dan bercakap di konti rupanya bukanlah sesuatu yang mudah.

Walaupun berucap secara langsung dan berceramah sudah menjadi kebiasaan saya, tapi bercakap seorang diri tanpa dapat menangkap respons fizikal penerimaan audiens amat merimaskan saya. Saya seolah berada diawangan berbicara seorang diri.

Entah siapa jualah yang mendengar suara saya di petang sore sebegini.

Entah mampu atau tidak saya mengupas isu dan melangsai tanggugjawab tim radio maulidurrasul yang diamanahkan oleh sektor pendidikan islam ini untuk saya.

Entah ada manfaatkah tazkirah saya di petang itu...

Teringat pengalaman saya berjinak dalam memberi tazkirah.

Kebiasaan saya suka berada berdekatan dengan mad'u dakwah untuk bercakap dengan tone suara yang sewajarnya. Saya bimbang untuk bercakap dengan suara sumbang yang berlebihan kadar lantangnya yang hanya akan membazirkan tenaga, mengundang jelik dihati audiens dan yang lebih parahnya mengundang riak dari amarah nafsu yang memperdayakan.

Dengan menatap wajah dan anak mata pendengar serta melihat gelagat mad'u menjadikan saya lebih bertenaga untuk bercakap. Keutamaan saya untuk berucap bukanlah sekadar menghabiskan masa yang diperuntukkan tetapi lebih kepada memanfaatkan ruang berjumpa ini dengan tazkirah yang memberi makna. Kiranya fizikal dan mental mad'u telah lesu diasak kantuk atau kelaparan, rasanya lebih baik saya menukar rentak dengan menerima soalan, bercerita mahupun menamatkan bicara dalam kadar masa yang berpatutan.

Sahabat saya Ustaz Suhaizi , pegawai dakwah di JPN Penang juga penyelaras tim radio maulidurrasul ini, juga yang menjadi penunjuk jalan dan kamera man.

Tapi, ada kalanya ruangan dewan dan tempat tidak mengizinkan.

Terpaksalah mengharungi tazkirah dengan meneliti sebahagian pendengar yang kelihatan, adapun yang berbaki .... moga ianya memberi reaksi yang sama.

Pernah sekali tatkala saya diminta menyempurnakan slot ceramah maulidurrsaul di SMK SANZAC, kota kinbalu. Keluasan dewannya tidak begitu mengizinkan untuk menampung jumlah pelajar yang amat ramai.

Lalu saya diminta berucap di pentas tinggi yang sebenarnya adalah aras kedua anak tangga di tapak perhimpunan, dengan kehadiran hujan renyai juga menidakkan saya untuk beraksi secara langsung didepan audiens.

Dan realitinya, pagi itu saya seolah berucap di sebuah konti besar tanpa audiens dihadapan saya. yang ada hanyalah lapangan kosong yang telah ditinggalkan pelajar. Para pelajar pula diminta berada ditepi kelas dan dewan menghadap ke anak tangga petas konti saya, dan disitulah saya mencipta sejarah berucap tanpa audiens secara langsung ..... umpama di konti radio.

Dan di SMK HJ MOHD NOR, para ustaz guru agama di beri slot secara bergilir selama 10-15 minit untuk mengulit tazkirah sekadar mungkin, memberi informasi agama yang termampu untuk jumlah warganya seramai 800 orang. Dengan tempatnya di ruang siaraya disudut kanan pejabat, saya sempat bertamu dihadapannya sebanayk dua kali menyampaikan tazkirah, pengalaman yang seumpama konti ini rupanya membuka jalan untuk saya merasa lebih tenang dan tidak gugup didalam konti sebenar yang serba sejuk dan dingin.

Saya melunaskan tanggungjawab.

Allah menjadi saksi, moga ianya bermanfaat.