Friday, October 30, 2009

MENDENGAR KALAM HIDAYAH UST ZAHAZAN


Alhamdulillah… dalam hening subuh pagi tadi, niat untuk mencari ilmu dan mendengar kalam hidayah moga dapat melembutkan hati ini, membasuh juga luka dosa yang banyak disepanjang kehidupan ini…akhirnya tercapai jua.

Syukur kerana Allah sentiasa bermurah mengurniakan para hambanya ini kekuatan dan kesempatan untuk bertamu dan seterusnya menadah hati dan telinga mendengar tazkirah ringkas dari selebriti islam tersohor di Malaysia, Ustaz Zahazan Mohamad yang berkesempatan meluangkan masa memberi mutiara katanya mengupas isu agama, khususnya ilmu tafsir dalam kumandang radio IKIM di setiap pagi hari.

Kehadiran tetamu rumah allah dimasjid Jamek Likas pagi itu agak ramai dari biasa, masing2 dengan niat untuk menambah ilmu agama dan mendengar kuliah, jamaah yang hadir dengan anggaran 100 orang itu memenuhi ruangan hadapan masjid dengan penuh khusyuk dan tidak berganjak.


Tajuk ilmu pagi itu dimulakan Ustaz Zahazan berkisar tentang Zikrullah dan menjadi manusia yang soleh. Manusia yang selalu mengingati dan mendampingi Allah dikategorikan sebagai manusia yang berjaya, disayangi dan dilindungi tuhan Rabbul Jalil. Hadis Rasulullah berkenaan hamba allah yang berusaha merapatkan diri bertaqarrub kepada allah hingga ianya disayangi dan sgala tingkah lakunya berpandukan restu dan keizinan allah jua tanpa tergerak melakukan mungkar.

Ustaz sempat menggariskan jua pandangan ulamak seperti kelazimannya dgn menyinggung beberapa sumber rujukan yang seolah2 mulus dan spontan dilidahnya, untuk menguatkan hujjah dan sudut pandangnya…

Bersumberkan Hujjatul Islam Al Ghazali katanya , mengingati allah bukannya mudah dan ianya memerlukan pengorbanan masa dan azam yang bukan sedikit, untuk merealisasikannya al Imam meletakkan format zikir dan bilangan minima seribu kali tasbih dan tahmid untuk menjinakkan hati yang liar, melembutkan jiwa yang keras dan melenturkan hati yang condong. Dengan zikir yang banyak dan kerap pastinya akan mencairkan mata dan hati manusia untuk basah mengingati allah.

Dari Riyadhus Solehin pula dibawakan lebih 300 cara untuk ingat kepada allah dan berterusan menjadi hamba allah yang baik dan beriman…

Tazirah tamat tepat jam 5.55 pagi dengan diselangi doa oleh al fadhil Ustaz Nahar Mantamin mengakhiri barakoh memohon restu ilahi moga yang berkunjung dihari itu akan teus dititipkan rahmat allah sepanjang jalan hidupnya.

Para tetamu terus mengambil kesempatan bersalam dan bergambar dengan al Fadhil ustaz Zahazan seusai tazkirahnya. Terima kasih diatas ilmumu,ustaz…. Moga allah berikan istiqamah kepada kita semua.

KULIAH SUBUH BERSAMA USTAZ ZAHAZAN MOHAMAD

Tarikh : 30 Oktober 2009 (Jumaat)
Masa : 5-6 pagi
Tempat : Masjid Jamek Kg Likas, Kota Kinabalu

Umat Islam dijemput hadir.

Thursday, October 29, 2009

HALALKAH ALKOHOL ?

Satu hari sebagaimana biasa kakiku menapak anak tangga untuk menginjak ke kelas tingkatan 5 yang terletak di bangunan paling atas kawasan sekolah, sesudah memberi salam dan doa pagi, para pelajar seperti sepakat terus bertumpu kearahku dan bertanya dengan suara yang tak keruan...

Ustaz...apakah hukum makan tapai? Halalkah ia... bukankah ianya satu proses yang ada alkohol. kan alkohol ni haram? macamana pulak kita boleh memakan makanan beralkohol ni ustaz...kan ianya sama macam arak, lekaslah ustaz.... sebenarnya ada cikgu yang tanya kami bah ustaz... kami pun tak tau nak jawab macamana..

Begitulah antara kata-kata mereka antara soalan dan persoalan yang dikemukakan bertalu-talu kearahku...namun,lidahku kelu untuk terus menjawab takut2 tersilap fakta dan hukum.... biar ustaz buat kajian dulu dan nanti ustaz jawab semula.

Dan ... untukmu anak2 didikku :

Kenapa Tapai boleh dimakan dalam Islam sedangkan ianya merupakan proses Fermentasi atau pemeraman yang menjurus kepada perubahan kimia melibatkan alkohol.

Penjelasan :
Islam adalah satu sistem hidup yang indah dan sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Ianya bertujuan untuk mempastikan kesinambungan hidup manusia dapat berlangsung dengan baik dan sempurna.
Untuk itu , Islam menggariskan 5 perkara asas dalam kehidupaN yang harus dijaga dan dititik beratkan oleh semua manusia dan ianya juga dipanggil Dharuriyyat iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. (1)

Dalam menjaga akal contohnya : Islam memeliharanya dengan mewajibkan umat Islam menggandakan keilmuan untuk memantapkan fungsi akal dan minda seseorang, disamping itu juga Islam juga menegah dan mengharamkan segala bahan uyang boleh merosak dan mencacatkan fungsi akal seperti arak, dadah dan perkara-perkara yang memabukkan.
Arak ialah alkohol dalam bentuk ethyl alkohol dan ianya sejenis perangsang yang bertindak keatas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan seperti dadah. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau yeast cells yang bertindak ke atas karbohidrat yang terdapat dalam buah-buahan dan biji-bijian. (2)

Ianya akan terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu sebelum
mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, ingatan dan kestabilan. Ianya amat memberikan kesan negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat. Ianya disahkan boleh mengakibatkan sakit jantung,radang paru-paru, batuk kering, barah mulut serta kerongkong, radang hati serta pancreas, kanser esofagus serta perut dan melemahkan system imunisasi badan.(3) Mengikut kajian yang dijalan oleh American council for drugs education 1999 menyatakan jumlah kematian disebabkan arak di amerika adalah 100 000 orang setiap tahun.

Di atas fakta dan statistik yang di utarakan menjelaskan mengapa Islam bersikap tegas dan dingin terhadap arak bahkan ianya disamakan dalam kitab suci al quran sebagai keji, permainan syaitan bahkan najis yang menyebabkan proses ibadah tidak diterima. (4)

Untuk menjelaskan persoalan di atas kita mesti mengetahui dua prinsip asas ini :
Pertama : Alkohol bukannya arak mahupun najis, manakala arak yang terjadi dalam proses pemeraman (fermentasi) dan memabukkan asalah najis dan haram diminum.
Perkara ini dijelaskan oleh Lembaga Fatwa Al Azhar dan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan teksnya berbunyi : Setiap minuman arak mengandungi alkohol bukan alkohol itu dari arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak maka hukumnya tidak najis dan tidak haram diminum. Begitu juga pandangan Sarjana Islam zaman kini ketika menyatakan bukan semua alkohol adalah najis, hanya alkohol yang sudah sampai ke peringkat memabukkan sahaja dikira najis dan haram (5) serta syeikh Sya’rawi dalam bukunya Anta tas’al wa Islam Tujib. Adapun penggunaan istilah semua minuman beralkohol adalah haram adalah berasaskan majoriti dan kebanyakan minuman ini adalah memabukkan.

Kedua : setiap perkara yang memabukkan dan mengganggu fungsi akal dikira arak dan diharamkan dalam islam. Ini berdasarkan hadis yang dilafazkan oleh nabi SAW:

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan itu adalah khamr (arak) dan setiap yang memabukkan (juga) adalah haram” (Hadis riwayat Muslim)

Alkohol ialah kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan C-OH. Dua jenis alkohol yang paling baik ialah Methyl alkohol (Methanol) atau alkohol (kayu) dan Ethily alkohol (Ethanol) atau alkohol biji-bijian.Methyl alkohol (methanol) tidak digunakan untuk minuman kerana ia merupakan racun yang kuat, manakala ethly alkohol digunakan sebagai campuran di dalam minuman keras. (6)
Pembuatan atau penyediaan makanan seperti tapai, sehingga terjadinya alkohol adalah termasuk dalam proses penapaian (fermentation). Alkohol yang wujud dalam tapai berkenaan jika belum sampai kepada tahap alkohol yang boleh memabukkan, maka tapai itu tidak haram dimakan. (7)

Ini juga berdasarkan beberapa hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim dan Bukhari yang menjelaskan bahawa nabi juga meminum Nabidz iaitu sejenis minuman yang diperbuat dari kismis , kurma atau gandum yang diperam selama kurang dari 3 hari dan belum sampai ke tahap memabukkan, imam nawawi menyatakan rendaman ini harus dan halal diminum selama mana ianya masih terasa manis, belum berubah dan belum mendidih ( antara tanda ianya memabukkan). Ianya juga adalah hokum yang diterima pakai oleh kesemua sarjana dan ulamak islam secara ijmak. (8)

Begitulah beberapa hadis yang dapat menjelaskan kedudukan alkohol dalam makanan seperti yang ada pada tapai yang belum sampai kepada tahap yang memabukkan.
Andai kata alkohol yang ada pada tapai itu sudah sampai kepada tahap yang memabukkan, maka tidak syak lagi tapai itu haram dimakan. Tapai yang sifatnya memabukkan adalah sama seperti hukum arak (haram meminumnya).

Walau bagaimanapun apabila unsur memabukkan yang ada pada tapai itu hilang, maka tapai itu halal dimakan. Hal ini adalah berdasarkan kepada qiyâs/perbandingan tentang hukum yang telah disepakati berhubung dengan air perahan daripada buah-buahan atau air perahan biji-bijian iaitu apabila ia disimpan buat seketika lamanya, maka air perahan itu akan mendidih (terdapat unsur memabukkan). Tetapi kemudian apabila ia turun dan berubah menjadi cuka, maka cuka itu halal dimakan dan ia suci selagi pertukarannya kepada cuka itu terjadi dengan sendirinya (bukan dicampur dengan apa-apa bahan) kerana sifatnya yang memabukkan itu sudah tidak ada lagi. Akan tetapi jika ketika air perahan itu mendidih dan sifatnya memabukkan, maka haram diminum air perahan buah atau biji-bijian itu dan ia juga adalah najis. Apabila sifatnya yang memabukkan itu hilang, maka ia tidak lagi dihukumkan najis dan air perahan itu menjadi suci dan halal diminum.

Begitulah dengan tapai, jika ia memabukkan haram dimakan, dan jika tidak, maka halallah memakannya.

Maka dengan ini kita juga mampu membuat kesimpulan bahawa alkohol semata-mata bukanlah penyebab kepada pengharaman sesuatu dan kenajisannya, tetapi ianya akibat perubahan sebatian tersebut kearah kemabukan dan gangguan kepada fungsi minda. Kerana itu kita melihat proses alkohol (C-Oh) ini berlangsung pada ketiga-tiga peringkat ini (penapaian – arak – cuka) namun yang diharamkan Islam hanyalah pada prinsip setiap yang memabukkan adalah arak dan arak diharamkan dalam Islam. (9)
Menururt resolusi Nadwah Fiqh Perubatan kali ke 8 kelolaan Pertubuhan Ilmu-ilmu Perubatan Islam di Kuwait (Mei 1995), telah memutuskan: (10)

"Bahan makanan yang ditaruh kuantiti kecil alkohol dalam pemprosesannya bagi melarutkan sesetengah bahan yang tidak larut dalam air seperti pewarna, pengawet dan lain-lain, harus mengambilnya kerana berdasarkan knsep "umumul balwa" dan kerana kebanyakan alkohol telahpun hilang semasa pemprosesan makanan itu dilakukan"
"Tidak harus menggunakan makanan yang mengandungi kuantiti tertentu arak walaupun kecil, lebih-lebih lagi yang dijual di Negara Barat seperti sesetengah makanan sejuk seperti aiskrim,gelatin dan buza-minuman yang diperbuat daripada sekoi- dan beberapa minuman bergas sebagai mengambil kira kaedah yang menjelaskan benda yang banyak pengambilannya yang menyebabkan mabuk, maka sedikitnya juga dikira mabuk. Tidak ada aspek kelonggaran dalam masalah ini.

Moga penjelasan ini dapat merungkai persoalan kita terhadap keharusan dan kehalalan beberapa perkara yang berkaitan seperti makanan tapai dan cuka juga penggunaan minyak wangi yang bersadur alkohol untuk menyebar dan semerbakkan wangiannya.

RUJUKAN ;

1. Rumusan dari buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden oleh Dr. Danial zainal abidin, (2003) PTS Millenia Sdn Bhd, Kuala Lumpur . Cetakan keenam 2007 , halaman 59-61
2. Rujuk Soal jawab bersama alahkam di http://members.tripod.com/ahkam_2/soaljawab
3. Perubatan Islam dan Bukti sains Moden , Dr. Danial Zainal Abidin (2003)
4. Rujuk Quranul Karim Surah al Maidah Ayat ke 90
5. Rumusan dari artikel Ust Zaharuddin Abd Rahman di http://dukeamienerev.blogspot.com/2008/10/hukum-sembahyang-alkohol-minyak-wangi.html
6. Rumusan dari tajuk : Alkohol dan minyak wangi di http://www.mail-archive.com/hizb@hizbi.net/msg27610.html
7. Rujuk Koleksi Fatwa Brunei di www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/
8. Ibid
9. Rujuk Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh imam ahmad, abu Daud dan Tarmizi bermaksud : Sesuatu yang kalau diambil atau diminum banyak boleh memabukkan maka sedikit pun dikira arak iaitu hukumnya haram. Begitu juga pesanan Umar al Khattab diatas mimbar Madinah : Arak ialah sesuatu yang merosakkan fungsi akal.
10. Rujuk dari al-insyirah.forummotion.com/islam-f3/perlukah-mengambil-ubatan-beralkohol

Wednesday, October 28, 2009

Masih Jua Ku ingat Jordan Saat itu ...

Masihkah kau ingat ?

Tibanya saat kaki kita menginjak bumi bertuah itu..kita disambut mesra rentak paluan kompang dan harmonisnya melodi “tetamu dataran syam”dari usrah al firdaus dan akhi hasrizal yang kini sudah popular dengan Blog Saifulislamnya. Lirik dan tempo yang tenang dan menusuk hati kita seolah ucapan salam pertama dari para senior yang sudah berkelana lebih awal semoga kita tabah dan sedar misi ilmu yang dicari dan tidakkan hanyut dengan ulitan wang biaiswa dan kebebasan dari konkongan keluarga.

Masihkah kau ingat …. Saat awal termamai-mamai mencari arah kita disapa untuk menumpang dipermukiman ilmu di Suwaileh, dengan mercu tanda masjid abd rahman bin auf sebagai pusat penjanaan minda dan juga tarbiah khususnya dari antara ulamak tersohor Jordan Dr. Solah abdel Fattah (antara bukunya ialah maá qisasis sabiqin dan diterjemahkan kedalam versi melayunya oleh zayuki mohammed – Zayuki alil bayt ke tu, entah dimana sudah dia berkelana sekarang ? ) dan Dr. Hammam Said dan sebagainya. ..

Saat inilah hati sudah seakan jatuh cinta untuk bertamu di perbukitan gabungan ilmu dan tarbiah ini, apatah lagi mesej awal dengan barisan dan gunungan kitab marajik dan masadir para senior menggamit idea kemanakah wang biasiswa nanti patut kita laburkan?? Bukankah begitu…

Masihkah kau ingat ?? Sarapan pertama…kita disuakan dengan kehangatan falafel goreng dan hummus panas untuk dicicah dengan khubuz kering yang akan menjadi antara menu utama diet pemakanan kita disini.Bayangkan juga .. dari situlah kita dipaksa menelan dan menghabiskan buah zaitun jeruk yang kelat dan laban masam yang cukup meloyakan dan memeritkan tekak kita buat kali pertama… terasa ianya tersekat di kerongkong dan tersesat tak terjumpa jalan ke usus kita tempohari….terbayang juga, bagaimanalah hari-hari yang mendatang nanti dengan hanya mengadap khubuz kering tanpa nasi beraneka rasa nanti, akan kurus dan terbantutlah kita nanti..tak kurang juga yang seperti ana mungkin terfikir, takkan ku jamah lagi menatang laban dan biji zaitun ni.. tapi percayalah sekarang , itulah rupanya juadah yang amat kita rindui sekarang. Begitu juga …sanniora, syawarma, maqlubah, samak bila ra’s dan ayam mashwi……..

Masihkah kau ingat…. Tatkala hati sudah tercinta pada bumi suwaileh nan tenang dan dibimbingi oleh abang senior penuh dedikasi tanpa mujamalah, tiba2 kita akhirnya akur menerima berita bahawa ini bukanlah tapak rumah permukiman kita.. kita rupanya anak dagang ke bumi bertuah yang entah dimana letaknya… Mafraq dikatakan hampir 90km jaraknya dari bumi amman ini.

Dengan desas-desus benci dan tidak mau akhirnya takdir tuhan menyatakan kita harus bersama berkampung disana, hari bertuah itu tiba juga dengan beberapa buah bas mengangkut anak dagang ini bertamu dibumi gersang lagi badwi ini, kita sampai ketika usia hari sudah menginjak ke senja, sempat juga pandangan sekitar kita lontarkan dengan bayangan tersergamnya universiti elit dan eksklusif yang kita pernah bayangkan namun ianya tidak kelihatan, yang ada hanyalah bayangan berbalam-balam bangunan berkotak-kotak diselang seli dengan anak-anak kecil pohon zaitun yang baru belajar merangkak pucuknya ditanam seolah menggamit kedatangan kita dengan salam senyumnya… alahai, terseksanya batin dengan tandatanya.. mampukah kita gadaikan masa 5 tahun dibumi kontang ini ?

Mungkinkah kita akan terbazir masa disini ya…?

MASIHKAH KAU INGAT ... VERSI MEMORI PERANTAU JORDAN

MASIHKAH KAU INGAT ?

Tanggal 31 Ogos setiap tahun biasanya disambut meriah dengan nostalgia laungan kemerdekaan bergema disetiap penjuru stadium bersejarah penuh keramat iaitu stadium merdeka saban tahun kita ingati. Saat itulah meresap satu keazaman dikalbu dengan penuh rasa kasih dan perasaan patriotisme cintakan Negara membalut hati ini saban tahun.Dan tersemat azam kita … sanggup berkorban apa saja untuk menjadi anak bangsa yang berjasa dan berbudi pada agama dan bangsanya satu hari nanti.

Ya, pasti itulah azam yang tersemat di dada kita anak-anak hingusan versi merdeka ditahun 1994 dulu merangkak keluar mencari identiti dan cabaran buat diri dan keintelektualan.

Namun , masihkah kita ingat …. tarikh keramat inilah kita pernah bersama berangkat meninggalkan Negara , menuju mercu ilmu menggapai harapan menjadi anak merdeka yang bebas dan merdeka dari konkongan kejahilan.. kitalah yang menaiki kapal terbang Royal Jordanian buat kali pertama dalam hidup ini dengan penerbangan sepanjang 9 jam perjalanan. Terasa gayat, takut, sedih, gembira, bersemangat dan bimbang bercampur baur dalam hati nurani. Bagaimanakah kunjungan ilmu kita dibumi syam nanti akan diberkati dan dibuahi ranumnya ilmu dan kesarjanaan. Ya.. perjalanan yang amat memenatkan ,namun dengan ditemani rakan seperjuangan bersama 200 pelajar tajaan KPM dan Yayasan pahang menghilangkan bosan permusafiran.

Masihkah kau ingat ……. Dalam panjang khayalan mengiringi perjalanan ini, terimbas seketika pengalaman manis di IKIP di Teluk Chempedak yang tidak terlupakan. Disinilah kita dikumpulkan dari pelbagai jalur pengajian,sempadan geografi dan budaya disatukan dibawah bumbung KIBA kursus intensif bahasa arab untuk persediaan ke timur tengah sana.Dengan konsep dan budaya baru , pembelajaran disini amat meninggalkan kesan, …… masihkah kita ingat pada ust razak yang amat steady dengan songkok tingginya mendendangkan huraian bait syair dan puisi arab dengan cukup puitis dan indah, sampai kini ana masih terbayangkan suaranya yang lunak merdu dengan kefasihan kalam arabnya yang tidak terkalahkan.

Tuesday, October 27, 2009

Israk Mikraj Di Sipitang Bersama PUM

Program jelajah dakwah PUM kali pertama memilih Sipitang sebagai destinasi berlabuh dakwah sulungnya sempena Bulan Israk dan Mikraj yang lalu.

Tersentak juga bila diaju oleh moderator program Ust Akmal untuk bersama dalam program ini yang dibarisi ramai pendakwah yang sudah teruji kewibawaan mereka.Ada tujuh permintaan dari masjid dan surau sekitar sana yang menjemput dan amat berharap kehadiran wakil PUM kata Ust Akmal.Malah Program seumpama ini amat jarang untuk diadakan dan kebiasaannya para penduduk akan dihimpunkan secara besar-besaran dalam majlis yang hanya akan diadakan di Masjid Pekan sahaja tambahnya lagi.Lalu,saya angguk bersetuju, moga ada manfaatnya.

Untuk mengimbas memori dakwah ini, izinkan saya sunting tulisan Ust Akmal bertarikh 17 Julai 2009 dalam blognya Abu Nuha Corner berbicara :

Perjalanan diteruskan, walhamdulillah kami tiba di Pekan Sipitang pada jam 6.00 petang. Sebagaimana dijadualkan kami berhenti untuk makan di Restoran Sri Sipitang, milik keluarga Imam Daerah Tuan Imam Rafaee.

Ketibaan kami disambut mesra oleh wakil-wakil masjid yang terlibat dalam program ceramah. Sementara layanan dan menu makanan lautnya sungguh menyelerakan, bersesuaian dengan kehidupan ramai penduduk di sini yang berkerjaya sebagai nelayan.
Selesai solat maghrib di Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang, barulah kami dibawa ke lokasi masing-masing dan kembali ke Restoran Sri Sipitang jam 10 malam.
Bertemu di Restoran Sri Sipitang semula, masing-masing membawa cerita dari masjid yang baru diziarahi.




Tuan Guru Ust Hj Muchlish Ali Kasim, sememangnya kehadiran beliau dinanti oleh masyarakat Islam di Sipitang, khususnya Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang.
Berceramah di sini menjadi satu kelebihan buat beliau kerana pada awal 80an, beliau pernah berkhidmat di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Beliau memahami selok belok kehidupan masyarakat Islam sekaligus memudahkan beliau menyampaikan ceramah dengan berkesan sekali.

Ust Bungsu Aziz Jaafar pula sejak dari Kota Kinabalu telah ditempah awal oleh Masjid Kg Banting. Kehadiran beliau menarik perhatian 3 buah kampung yang berdekatan, khususnya pendekatan beliau berceramah dengan bahasa Brunei, bersesuaian dengan suku kaum Brunei dan Kedayan yang menjadi majoriti masyarakat di sini.

Ust Hj Ithnin Hashim seronok bercerita tentang pengalaman beliau berceramah di lokasi paling hujung dan jauh. Masjid Sahabat ini letaknya di sempadan 2 negeri Sabah dan Sarawak. Jamaahnya terdiri dari masyarakat 2 negeri dan sambutan yang diberikan juga sangat memberangsangkan.

Ust Hj Ahmad Hafizullah pula dihantar ke Masjid SFI (Sabah Forest Industry). Kehadiran paling ramai dicetak di sini dengan audien melepasi 200 orang. Sudah tentu ia bersesuaian dengan jiwa kepemudaan dan semangat berceramah yang dimiliki oleh beliau.

Ust Zainuddin Lateh bersama masyarakat di Masjid Kg Pantai juga tidak kurang hebatnya. Beliau memuji sambutan dan layanan masyarakat di sini. Keletihan beliau memenuhi program di Kota Kinabalu sebelum tiba di Sipitang seakan hilang dengan layanan mesra mereka.

Ust Hj Nor Azamuddin Umar bersama masyarakat di Surau Kg Naluyan. Beliau memulakan ceramah setelah selesai majlis membaca yasin dan berlanjutan sehingga 2 jam.

Ust Akmal Othman - Saya sendiri dihantar di Masjid Kg Pelakat, kampung rakan sekelas saya Ustazah Inun Mamit yang menjadi suami rakan karib saya, Ust Rahim Yahya Abd Rahman. Sebelum ceramah, saya diberi taklimat ringkas tentang sejarah dan pembangunan masjid ini.

Imam Qaryah di sini Md Ridzuan Kaplin merupakan seorang anak muda berumur 21 tahun dan masih bujang. Bukan setakat itu, Imam Ridzuan juga diberi kepercayaan sebagai Pengerusi JK Masjid. Ridzuan adalah pelajar kelahiran SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah (2000-2005).

Dalam banyak ceramah malam tadi, sayalah orang terakhir yang menamatkan ceramah pada jam 9.50 malam. Walaupun begitu, kehadiran melebihi 100 orang terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan serta anak-anak tidak berganjak sehingga majlis selesai.
Semangat gotong royong mereka juga terserlah, apabila masing-masing setiap rumah membawa juadah masing-masing untuk santapan bersama.



Bagi pihak Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah, saya mengucapkan penghargaan kepada Ust Md Sidik Ag Adi (Tim Pengarah JHEAINS), Ust Md Hafidz Ahmad (PPTA JHEAINS), Imam Hj Rafaee (Imam Daerah), semua imam qaryah, pengerusi dan AJK masjid yang terlibat.

Semoga Allah SWT memberi rahmat kepada kita semua. Insya Allah, program ini akan dilanjut dan diperbaiki daripada masa ke masa serta diperluaskan ke daerah-daerah lain.

MEMUGAR DAKWAH DI MASJID LOHAN,RANAU

Alhamdulillah…satu lagi perjalanan kecil memugar usaha dakwah bersama organisasi Islam bernama Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sabah dapat dilunaskan.

Ianya projek kedua sebenarnya selepas Program PUM Gempur Sipitang sempena Bulan Israk dan Mikraj pada Rejab yang lalu.

Senggang waktu rehat antara maghrib dan isyak di bumi tuhan yang serba dingin ini, konvensyen berhenti rehat seketika …,dan beberapa orang wakil PUM pula ditugaskan membawa misi dakwah dan penerangan islam ke tengah komuniti masyarakat sabahan ini.

Malam itu, 5 buah masjid disekitar ranau dan kundasang menjadi pentas wakil PUM ini beraksi dan berdialog dengan masyarakat setempat yang begitu gembira menyambut hamburan ilmu dan informasi islam ini kepada mereka.

Ust Norazamuddin ditugaskan ke Masjid Kundasang, Ust Alias Sulong dari Tawau di Masjid Pekan Ranau, Ust Mohammad Suaid di Masjid Libang dan Ust Abd Ghani Shamsudin di Masjid bersama pelajar di Ranau.

Saya pula ditugaskan menyampaikan Kuliah maghrib di masjid al Kauthar, Lohan yang terletak hampir 15km dari pekan Ranau . Bersama seorang rakan Azlan, pensyarah di Politeknik KK kami bergerak dalam renyai hujan yang membasahi jalan. Bertolak agak lewat dari Resort Sri Insan menyebabkan ketibaan kami ke masjid tepat jam 6.15 malam, itupun selepas berhenti menyapa orang dijalanan arah masjid yang sebenarnya.




Ketibaan kami disambut dengan ahli jamaah yang baru selesai memberi salam. Semasa menunggu mereka menyudahi wirid, kami membuat jamaah kedua dan bersolat maghrib.
Seusainya kami dijemput mesra oleh Imam Rawatib yang bertugas Ust Firdaus untuk memberi tazkirah dimalam itu, dan sebelumnya dia sudah membuat pengumuman dengan speaker yang jelas menghala keluar menyatakan betapa bertuahnya masjid menerima kunjungan dari wakil JHEINS dan Pejabat MUFTI Sabah.



Dalam kuliah maghrib yang dihadiri kira-kira 35 orang itu, sempat saya singgung betapa bencana hari ini adalah kerana kerosakan dan kelemahan yang dilakukan tangan manusia, betapa manusia hari ini meninggalkan hidayah dan tiada lagi yang berminat menjadi tetamu rumah Allah, lalu Allah memberi pengajaran kepada kita….

Dan untuk mendapatkan syurga Allah bukannya mudah dan murah sesenang berangan kosong dan serendah harga bercakap tanpa perlu beramal. Ianya menuntut mujahadah dan kesungguhan dan bukan banyak manusia yang mampu merealisasikannya. Dengan dosa dan kemungkaran yang banyak ditunganggi manusia sebenarnya sudah melayakkan diri kita untuk menempah bala dari Allah… Bala yang tidak pernah mengenal jantina, warna kulit mahupun kualiti iman kita. Namun, bilakah masanya ?? Ya allah, selamatkanlah kami semua..

Namun Allah masih memberi kita peluang untuk masuk syurganya dan menjadi tetamunya, tapi kita perlu mengharapkan ehsan dan rahmat allah sepenuhnya. Dan kunci untuk memiliki syurga ialah pengiktirafan Allah kepada kita sebagai hambanya. Tanpanya … kita hanyalah kelkatu yang terbakar di marak api yang membahang.Ramai antara kita yang mengaku sebagai hambanya namun adakah itu sudah memadai, pernahkah kita bertanya… adakah allah sudah menerima kita?

Nabi juga mensasarkan tujuan hidupnya menjadi hamba allah dan begitu teruja pabila namanya diisytiharkan tuhan sebagai hamba allah. Rujukilah ayat pertama surah Israk dan hadis aisyah menerangkan betapa gigihnya nabi bangun ditengah malam menunaikan qiam. Dan nabi berkata dengan 4 perkataan yang mendasari kehidupannya juga sebagai suluh untuk umat ini AFALA AKUUNA ABDAN SYAKUURA yang bermaksud : salahkah aku ingin menjadi hamba tuhan yang sentiasa bersyukur.

Kalau nabi pun bersungguh mendapatkan pengiktirafan tuhan sebagai hambanya, apatah lagi kita, tiada title yang lebih agung dari menjadi hamba yang diiktiraf tuhan bukannya Datuk,Tan Sri,Dato Seri, Panglima dan sebagainya….

Bagaimana kita…..?? Sudahkah kita mendapat pengiktirafan sebagai hamba tuhan.

Sedangkan allah berfirman: Wahai hamba2ku yang berhati tenang. Kembalilah kamu kesisi tuhanmu. Masuklah kamu kedalam kumpulan hamba2ku dan masuklah kamu kedalam syurgaku.

Ayuh… bergeraklah mendapatkan pengikirafan besar ini untuk syurga allah yang sentiasa menanti.

Monday, October 26, 2009

REHLAH DI KUNDASANG




Sejuk ….. itulah perasaan awal menerjah reseptor kulit ini tatkala tayar kereta wira kami terhenti di sebuah resort indah , Zen Garden pada 24 Oktober yang lalu. Kehadiran sebenarnya adalah untuk menyertai konvensyen IT dan menimba ilmu dakwah di alam siber. Ianya satu tuntutan dan metodologi dakwah yang harus diakui oleh semua agen hidayah (pendakwah) dewasa kini.

Program selama 2 hari ini berjaya mengumpulkan pemuda dakwah dari seluruh pelusuk Sabah dan dianggarkan kehadiran mencecah 150 orang.Berprogram diresort Telekom Kundasang kemudiannya berbantalkan lengan dan berselimutkan bayu ais di masjid kundasang untuk melelapkan mata, qiam dan diskusi Subuh, tidak pernah melunturkan semangat kepemudaan mereka, resort ini menempatkan sebuah Dewan kuliah yang serba sederhana dan minima infranstrukturnya, namun dapat memberi impak besar terhadap kesedaran dan usaha dakwah bersama. Inilah kali pertama slot ceramah dan penerangan begitu Fleksibel dan boleh dipilih mengikut opsyen dan tahap selera dan kemahiran peserta.

Bermula dengan Asas2 internet, Bagaimana menjadi Blogger dan Asas Kearah melahirkan Kewartawaan Berkualiti adalah antara pilihan yang boleh dibuat dan saya yang baru belajar berdakwah ini memilih Blog sebagai medium Dakwah sebagai pilihan pengajian dan berazam untuk terus menulis seusai graduasi Konvensyen ini nanti, moga dipermudahkan Allah.

Namun, perjalanan kali ini mendapat bonus tersendiri apabila ianya disertai bersama keluarga dan teman sejiwa yang begitu memahami. Inilah kali pertama dapat membawa bersama Family kecil ini dan ianya boleh juga dianggap sebagai percutian keluarga kami di kaki awan biru kundasang.



Selama ini, keluarga ini sentiasa ditinggalkan, mereka perlu dilatih untuk matang berdikari dan gagah bertawakal …. Pengorbanan, kesulitan dan kerinduan yang tersirat diharap dapat memberi kesan mujahadah dan kemanisan kehidupan yang lebih mendalam dan istimewa. Disamping mengharap barakah sentiasa menguntum ceria memayungi usrah dakwah ini… terima kasih buat isteri yang begitu mengerti.

Sunday, October 25, 2009

MILIK SIAPAKAH HIDAYAH INI ....?

Tatkala kaki melangkahi tangga eskelator yang menurun dengan pantasnya, dapatlah sepasang kaki in berehat barang seketika selepas puas dipaksa menapak laju mencari barang keperluan ditingkat 2 bangunan Centre point KK yang tidak pernah lengan dari kunjungan tetamunya. Manusia bermacam budaya dan ragam sentiasa ada untuk menyerikan dan juga menyemakkan pusat jualbeli terkemuka di kk ini.

Tiba-tiba mata ini terpandang beberapa kelibat anak-anak gadis atau sumandak sabahan ini yang pada mulanya cemas dan cuba menyembunyikan diri. Mereka menyelinap di balik boot dan gerai yang ada sambil mulut mereka seperti berbisik… Ustazlah,cepat menapok nanti ustaz nampak. Namun apabila ruangan tempat yang membataskan, kita kekadang terserempak lantas memaksa dia tersipu – sipu membuka salam bicara…

Assalamualaikum… Ustaz kan ! Ustaz sihat ? Ustaz dari mana? ….

Terkejut juga disapa sedemikian, apatah lagi oleh gadis sunti yang berpakaian blouse dan jeans ketat, rambutnya dibiar lepas ke paras bahu, dengan mekap tebal dioles sekata kewajahnya persis model dikaca tv, Siapa pulak yang menegur tiba-tiba ini sedangkan wajah ini serasa tak pernah muncul dalam kotak imej mindaku sebelum ini,bisik hati sendirian.

Alhamdulillah .. baik, pelajar SMP kan… siapa nama ni ? tak perasan pulak ustaz.

Baik ustaz… saya lepasan SMP 2 tahun sudah, dari 5D dan nama saya Liana (bukan nama sebenar)ustaz tak kenal saya,saya baru je kerja kat sini, kedai kasut kat tingkat 2 ni..

Liana…Liana Abgar kan ..(bukan nama sebenar) lantas terpacul spontan saya menyebut namanya. Ya.. ustaz ingat lagi ya ! Ustaz masih kat sekolah lagi ke ?? Takpelah ustaz mintak maaf , ada kerja sikit, saya pergi dulu…assalamualaikum.

Walau sudah 2 tahun berlalu dan dianya antara ratusan anak pelajar yang mungkin diajar atau tidak, saya memang mewajibkan diri ini untuk menghafal semua nama pelajar yang saya masuki kelas mereka, dan biasanya saya akan memberi jaminan kepada kelas saya, semua nama mereka akan saya hafal dan ingat dalam masa 2 bulan… Seronoknya mereka tatkala nama mereka dingat dan dipanggil,apatah lagi saya memang sentiasa dan berstrategi menggunakan nama-nama mereka untuk dipanggil dan dijadikan contoh dalam pengajaran saya…. Mereka begitu teruja dan semakin fokus serta bersemangat meneruskan pengajian mereka…kalau nama kita diingat orang, tentunya kita bangga dan suka, apatah lagi oleh orang yang lebih berkedudukan dari kita.. ianya pasti mengujakan. Benarlah prinsip dan aplikasi dakwah Imam Hasan Al Banna apabila beliau melazimi menghafal nama setiap sahabat dan kenalannya dalam dakwah walaupun beliaulah pemimpin gerakan islam terbesar didunia ketika itu. Kita pula bagaimana ??

Tapi…. Bila nama pelajar ini saya ulangi, terimbas seketika dikotak memori lama ini, bukankah ini pelajar putri saya yang terlibat dalam organisasi dakwah dan kepimpinan islam disekolah saya dulu, terbayang wajah mulus dan suci disebalik manis tudung yang tidak tersingkap, terngiang antara bicara dan kesedaran mereka para pelajar persatuan islam yang diasuh dengan usrah dan tazkirah, dibelai dengan mathurat dan yasin, dikukuhkan dengan program penghayatan dan qiam malam.

Memori Malam muhasabah dan qiam menjelma, Sebelumnya saya sudah dedikasikan mereka dengan tazkirah, kepentingan solat, hayati agama dan ingatkan allah sehinggalah jam 12 malam. Mata baru sahaja berlabuh dengan badan masih tersisa kepenatan… Teringat lagi jam 1 pagi dipanggil bingit telefon yang berdering meminta diangkat, kesannya saya terpaksa ke sekolah mengurus pelajar histeria sedangkan jadual asalnya saya akan mengimami mereka jam 3.30 pagi. Saya gagahi juga demi melihat para pelajar ini berubah dan konsisten dengan agama dan mencintainya.

Tiba2 hati dipagut sedih, kolam hati sudah digenangi air, inikah pelajar2 putriku… inikah hasil asuhan minda dan hatiku, inikah kesan jihad dan mujahadahku….

Inikah.. inikah pelajarku yang dulunya bertudung putih dan sopan lenggok jalannya, dan kini rambutnya terserlah cuma ditutupi putih warna dyenya yang terserlah..

Inikah pelajarku yang dulu berwajah kudus dan suci sentiasa mengalunkan doa dan wirid mathurat diwaktu pagi, tapi kini sudah berwajah matang sambil dicemari pelbagai aksara warna yang garang yang terpamer diwajahnya..

Ya , Inilah pelajarku…… rasa lemah sendi hatiku, engsel cerianya bagai tercabut dan kelemasan. Maafkan aku tuhan, terasa lemah, kecewa, putus asa, sia-sia dan hilang segala semangatku. Kalau beginilah mereka, buat apa aku membazirkan masa,idea dan tenaga ini untuk mereka..kan lebih enak dan entengnya aku kesekolah hanya untuk memnuhi tanggungjawab keguruanku sahaja….

Tapi….. cepat2 aku tersedar, terhidu harumnya bau keyakinan bila ayat allah dari surah al Baqarah: 272 ku ingati, Bukanlah engkau wahai Muhammad yang memberikan petunjuk kepada mereka (tugasmu hanya menyampaikan), allah jualah yang memberi taufik dan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Dan allah membelai lagi ….. dalam ayat 56: al Qasas menyatakan : Sesungguhnya engakau wahai Muhammad tidak berkuasa mempaterikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang engkau suka dan kasihi, hanya allah sahajalah yang memberi hidayah dan petunjuknya kepada mereka yan allah sukai.

Untuk itu sahabat….teguhkan lah tekadmu, berdakwahlah… berjuanglah… bermujahadahlah.. bukan hasil yang allah Tanya, tapi apakah usaha yang kita lakukan.

ENTAHLAH HIDAYAH ......

Entah bagai dirancang dan sememangnya sudah tersurat, kelahiran blog ini amat membahagiakan. Ianya juga lantunan dari idea dan gesaan kawan – kawan yang mahukan perkongsian ilmu dan rasa ini berterusan diabadikan dan dimanfaatkan secara bersama di alam maya ini. Dan kini ianya menjadi kenyataan namun rasa rendah diri dan kekurangan terus menyerang sudut hati ini takut dan bimbang amanah ilmu yang disampaikan tersasar dari hidayat dan niat yang dipaterikan diperingkat awal terpesong jauh dari keikhlasan.Ya allah,ku pohon padamu agar usahaku ini mendapat keredhaan mu dan caraku ini tidak melalaikan dan memesongkan aku dari hidayahmu.

Dan entah mengapa ianya bagai direncanakan apabila blog ini dengan bersendikan judul Travelog Hidayah diluncurkan ke alam maya ini, rupanya ia serentak dengan kemunculan Solusi isu ke12 yang membawa tajuk utamanya Hidayah Kompas Kehidupan yang dicanang oleh Ketua editornya Sdr Pahrol Mohamad Juoi, memang ia sebuah majalah yang baik untuk tatapan umum yang dahagakan informasi agama apatah lagi ianya diulas dan diolah oleh minda ulamak yang sudah teruji kewibawaannya. Moga ianya terus membawa kebaikan untuk semua.

Sebenarnya entah mengapa hati ini terus terpaut dengan nama Travelog Hidayah ini mungkin selepas diri tergamam dan kagum dengan buah tangan penuh rasa dan airmata serta hadiah pengalaman Prof Mohd Kamil Ibrahim,yang menulis buku bestsellernya Travelog Haji dan Dakwah, seterusnya melakarkan perubahan dan hidayah luarbiasa yang mengubah sempadan iman dan amal sebelum ini.Moga blog ini juga mampu mencoret perubahan dan hidayah pada diri pemilik dan pembacanya,insya allah.

Dan memang entah mengapa, rasa ingin memiliki dan menyebarkan blog yang berorientasikan dakwah dan ilmu ini ke tengah arus masyarakat ini semakin menebal dan membuak apabila sifu sahabat blogger sabah Ust Akmal Othman dengan blog popularnya Abu Nuha Corner menyarankan usaha dakwah di alaf moden ini harus dirancakkan dengan pelbagai alternatif,strategi dan medium yang boleh dimanfaatkan.Gesaannya itu dibuat semasa membentangkan slot tarbiah dan pengenalan blogger semasa Konvensyen IT Pemuda Islam di Kundasang 24-25 okober yang lalu, ia amat bermakna dan mengujakan.Banyak manfaat yang diperolehi… moga allah memberi ganjaran.

Ya,memang entah mengapa…. Hakikat hidayah ini hanya allah yang tahu, allah memberi hidayah kepada siapa yang ia kehendaki dan allah juga akan menyesatkan mereka yang membenci agamanya ini berdasarkan apa yang ia kehendaki.

Moga allah memberikan kita hidayah dan petunjuk dan ini bukannya entahlah, tapi mohonlah dengan penuh kepastian dan keyakinan.

Wednesday, October 21, 2009

DIMULAKAN DENGAN BISMILLAH

Salam ukhuwwah fillah..

Perasaan pertama untuk memiliki blog peribadi sudah lama tersimpan di hati kecil ini tatkala melihat usaha dakwah yang kerdil mampu menjana kesan yang lebih besar dengan medan dakwah terbuka tanpa sempadan ini... ianya juga mungkin kesan dari kecemburuan yang sentiasa bergayut ditangkai hati melihat sahabat2 lain sudah mula melakar idea islah dan lantera tazkirah mereka dalam menyinari alam kehidupan yang mula sirna dan kelabu dari hidayah.

Ia juga mungkin sekadar langkah untuk mencari momentum pahala yang lebih lantaran umur berbaki yang semakin sempit dan takut tidak berkesempatan,mungkin juga rasa zulmat dosa yang banyak harus dicari noktah dan timbangan pahala sebanyak2nya untuk mengimbangi neraca amalan juga untuk menjemput rahmat dan belas ihsan pencipta pada insan kerdil lagi hina ini.

Mungkin perkataan hidayah lah yang paling baik untuk memulakan tindakan dan amalan, tanpa restu dan keizinan tuhan ... kita manusia tidak punya harga dan maruah.
Doakan moga amalan ini akan berterusan tulus dan berbunga manfaat yang tidak akan menghampakan tuannya di hari pertemuan dengan Rabbul Jalil satu hari nati.
Bukankah nabi pernah bersabda : Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain.

Harapannya agar hidayah ini akan terus menyubur dalam diri dan menjadi suluh hidup kita semua.