Monday, May 9, 2016

Salam 2016

Hey Kawan,

Masih ingatkah kalian tentang aku. Seorang musafir yang pernah singgah dalam diari hidup kalian. Menyapa dan menyulam rasa bersama. Mekar menjadi ukhuwwah. Namun sayangnya, saat ini ianya hanya mampu harum dijambangan memori.

Aku sang camar putih, terbang bebas di angkasa untuk meredah atmosfera takdir. Kiranya aku tercunggap letih, lekas aku hinggap melepas lelah buat seketika di perdu angan. Jika mampu, mungkin aku lebih selesa bertenggek sekejap di belakang sang balau yang agam di petak bendang. Kontras warna hitam putih kami pastinya memberi refleks tenang pada mereka yang mencari damai.


Aku sukakan ketenangan, aaah semua manusia tentu sukakan ketenangan. Mana ada spesis manusia yang tega memilih hidup dicemeti kesibukan dalam kota serba kalut jika hanya kerana fitrah dan keinginan. Tapi tanpa sedar, hidup kita bagai dicucuk hidungnya merelakan adrenalin kalut dan sibuk memacu perjalanan kita. Akhirnya kita akan terpana keletihan mengejar bayangan angan dan impian yang belum tentu menjanjikan kejayaan. Namun yang pastinya diselekoh yang paling hujung dalam kehidupan ini, kita akan mengeluh kesal atas kealpaan dan kelekaan kita melebihkan sesuatu yang fana berbanding amalan penyelamat kita di hari kemudian nanti.

Dan , aku rasa aku tenang disini. Tenang mengulit angan. Sesekali tersenyum dibuai fantasi. Teruja di apung rasa. Gebu memugar hati. Pasrah dalam diri. . .   . . Namun yang bersisa, hanyalah satu persoalan . . . bilakah langkah musafir ku akan terhenti ???

Biar takdir yang menjadi juri.
Menghukum aku untuk redha dan akur.
Kerana kita hanya merancang,
Namun yang Maha Berkuasa juga memutuskannya . . .

No comments:

Post a Comment