Thursday, March 14, 2013

Penat Persaingan




Hey kawan,

Penatnya persaingan menyukat energi yang bukan sedikit. Himpunan focus, percaturan, pengurusan dan mengacah strategi lebih menjerihkan berbanding kerahan kudrat semata-mata.

Dan Mac ini memerangkap aku untuk dibuli kepenatan takwim persaingan yang berterusan.

Aku digelecek antara tugasan kejurulatihan MTQ, pengurusan Kelab Bolasepak Alma dan juga guru penasihat bagi pasukan silat sekolah yang persaingannya berlangsung serentak pada momen yang hampir sama. Nasib baiklah beberapa percubaan silang dari PPD dapat aku tepis keluar agar tidak terus terbelenggu dengan amanah yang membebankan. Aku menolak untuk dikalungkan tugasan kehakiman kali ini namun masih tetap di lorongkan tanggungjawab penyediaan kontinjen untuk majlis ihtifal sekolah2 MISS dalam masa terdekat nanti.

Jika tugasan MTQ sudah berada di genggaman selamatku petang tadi, aku sekarang terus juga diasak untuk terus mengekang amukan penganjuran Kejohanan Bolasepak pula yang berlansung sejak 11 – 22 Mac nanti.



Kekadang aku termenung keletihan.

Sarafku kejang kelelahan.

Aku bertanya ke dalam hati : Berbaloikah aku untuk terus menumpah keringat dan kudrat pengorbanan untuk melunasi tugasan bolasepak sebegini.
Bukankah lebih baik aku kejerihan dalam berbakti pada agama dan membina generasi nusa.
Ianya lebih baik kan ??

Namun, sukma hatiku memberi respon berbeza.

Ianya mengharmonikan rasa dan jasa.
Ia menyuburkan jiwa dan menggerakkan gesa.

Lantas aku teringat catatan seorang teman di perkebunan blog ilmunya, ianya menyantuni uslub dakwah dalam gaya santai bermaklumat, ia menyulam semangat dalam coretan penuh berinspirasi. Tatapilah lahar minda yang meletus untuk menyuburkan tanih dan benih bukannya menghancurkan tanaman dan hidupan. Ianya luahan kata Ustaz Sarip Adul dari Universiti Malaysia Sabah.



Gerakan dakwah umpama permainan bola. Ada pemain di padang dan ada penyokong yg bertindak sebagai tukang sorak.

Melahirkah pemain yang hebat perlukan tarbiah yang hebat dengan manhaj yang hebat dan berterusan.

Pemain yang hebat tidak akan lahir kalau ditarbiah dengan manhaj tukang sorak. Semakin profesionalnya seorang pemain, semakin perlu ia kepada latihan/tarbiah yang mantap. Tiada istilah tamat silibus bagi seorang pemain profesional.

Andai ia malas mengikuti latihan/tarbiah...perutnya akan menjadi boroi dan langkahnya menjadi slow. Waktu itu ia sudah tidak layak menjadi pemain, ia sekadar layak duduk dibangku penyokong dan menjadi tukang sorak.

Ia juga tidak layak menjadi jurulatih kerana dikhuatiri ia mewariskan kemalasannya kepada pemain lain. Jurulatih sebenar ialah yang tidak meninggalkan latihan/tarbiah pada usia apa pun ia dan di level manapun ia berada.
Adapun penyokong, memang ia dilatih memukul gendang dan kompang sambil bersorak memberi semangat kepada kawan dan mengejek lawan. Mereka inilah yang paling bising di medan dan suka bergaduh dengan penyokong pasukan lawan.

Kadangkala mereka sanggup membakar stadium kalau pasukannya kalah.

Anak-anakku, kalian ditarbiah untuk menjadi pemain profesional di medan, maka jangan berperangai seperti tukang sorak atau berperanan sebagai penyokong semata-mata.

Kalian lah pengerak bola/agenda untuk mencapai kemenangan mengalahkan musuh. Biarlah satu stadium bersorak mengejek anda, usah dipedulikan.

Bukankah punca kekalahan itu ialah apabila anda sudah mula 'naik angin' mendengar ejekan mereka. Apatah lagi mereka itu cuma tukang sorak yang tidak ada peranannya di padang.

Fokus pada bola anda dan jaringkan gol.

No comments:

Post a Comment