Wednesday, March 9, 2011

Istimewakah Kita ??


Allah mengajar kita dalam diam. Rahsianya sukar difahami.

Apatah lagi manusia yang bermindakan gopoh dan gelojoh selalunya terpana amarah bila ditimpa ujian. Bila bahu tanggungjawab terasa terbeban. Hadirnya geram dan marah silih bertandang.

Sabtu lalu, saya berkunjung ke Hospital Pulau Pinang tatkala mendapat berita mengejut dan sedih menimpa seorang teman , anaknya yang berusia 11 tahun koma dimasukkan ke hospital dalam wad jagaan rapi ICU.

Perancangan awal untuk pulang ke kampung saya tangguhkan seketika, simpati terasa menjalar pijar ke penjuru hati untuk saya hadir member sokongan dan semangat kepada teman yang sebenarnya baru dikenali, biarlah kepulangan kami ke kampong lewat sedikit kali ini getus hati kecil saya, agenda menziarahi pesakit patut saya dahulukan kali ini.

Menziarahi pesakit adalah sunnah nabi, tapi ianya sunnah yang kurang glamour. Ia sering disisih pandang. Mungkin ianya agenda sedih dan menyayukan.

Jika ada jemputan kenduri pula, penerimaan kita agak berbeza, mungkin terbayang hidangan enak dan gelak ketawa pembasuh mulut bersama rakan, ianya lekas menggamit persetujuan kita, mungkin kerana ianya dekat dan disukai nafsu. Dengannya kita terhibur dan gembira.

Tapi menziarahi pesakit jarang kita utamakan.

Sebagaimana jarang kita budayakan menziarahi kubur dan bertafakkur seketika bersamanya.

Ianya seakan budaya pasif dan negative yang mencalarkan ceria kita.

Akhirnya ia terpinggir bak melukut ditepi gantang agama.

Anaknya seusia anak sulung saya. Berusia 11 tahun di tahun 5.

Keletahnya seperti biasa, aktif berlari, bercakap tanpa henti, bertanya semahunya, merajuk dan melenting dalam usaha mencuri empati ibubapa. Gelak dan tawanya menjernihkan keruh kepenatan.

Tengahari ia dijemput oleh ayahnya dari sekolah, langsung menaiki kereta sebelum ke sekolah agama pada sebelah petangnya.

Namun, tidak sebagaimana petang yang lain…. Petang itu kepalanya terasa berat, ia mengadu kepenatan dan kepanasan dalam dingin air cond yang menyerbu gebu pipinya.

Tatkala tangannya mencapai tombol kereta, kakinya pula mengkhianatinya. Ia tersepuk jatuh ditepian kereta. Badannya mula membahang dengan mulutnya terkumat kamit berbuih deras.

Si ayah mengusir panic yang dating dengan segera memangkunya kekereta dan memberi ruang udara dan rehat secukupnya. Matanya seakan berat untuk di buka. Ia tertidur dalam helaan nafas yang teramat berat.

Segera si ayah meminta bantuan rakan ustaz yang ada untuk menilik dan menelah simpton penyakit. Anaknya tak pernah buang tabiat sebegini. Rakan ustaznya membuat scanning, membaca potongan ayat2 syifa’, menelah dibalik celahan firasat, menganilisis dan seterusnya menasihatkan… anak ini sakit normal, tiada tanda gangguan, rasanya ia perlu segera dibawa ke klinik berdekatan.

Perjalanan sejauh 50 km terasa semakin lambat, kalaulah ada laluan serba laju bahkan boleh terbang, nescaya gerakan van ambulans yang sememangnya pantas meluncur dilebuhraya itu boleh ditingkatkan lagi. Jika ada sahabat NABI SULAIMAN yang bisa menerbangkan singgahsana, nescaya mulut ini tidak akan malu meminta dipercepatkan perjalanan ini ke Hospital Besar Pulau Pinang dengan sekelip mata cuma. Begitulah getaran harapan si ayah mengharap keajaiban sebagaimana degupan jantungnya yang berlari kencang. Mereka dirujuk segera ke unit pediatric kanak2 setelah dimbas lebih awal di hospital kulim yang agak kurang kemudahannya.

Dalam hati ini, doa dan keselematan mu duhai anak, takkan lekang dari bibir lesu si ayah yang terkumat kamit dalam wajah sayunya yang tersendiri. Moga keputusan imbasan dan rawatan doctor akan memberikan reaksi positif.

Tapi …. Allah menguji manusia. Walau dalam sepi dan gamat gempita. Kekadang dalam sendu dan senda tawa. Ianya hadir tanpa dipinta, dirancang dan dijangka.

Anaknya disahkan mempunyai tumor dibahagian otak. Tumor yang semakin membesar telah menekan dan menghimpit tempurung kepalanya yang kemudiannya terpaksa ditebuk dan dibuka. Ruangan yang ada diharap dapat menghela tekanan keluar memberi kelegaan segera kepada tisu otak yang sedang membengkak.

Sayu wajah ibunya, kesan tangisan semalam masih membekas dipipinya. Merah matanya menyengkang kantuk di dinihari, lesu pula badannya beralas dingin simen yang mencengkam sumsumnya. Namun apakan daya …. Ini ujian tuhan kepadanya.

Tiada langsung tanda2 awalnya, dia normal sebagaimana kanak2 yang lain. Dia aktif berlari dan bermain. Tak pernah mengadu sakit, apatah lagi sakit kepala sebegini. Sekadar demam2 biasa yang kebah sehari dua itu adalah.

Begitulah khabar sedih saya temui diminggu lalu, kisah yang penuh kesedaran dan keinsafan.

Kisah keagungan dan kekuasaan tuhan.

Kisah ujian dan penghargaan.

Tak pernah kita menyangka akan diduga begini. Entahlah … apa perancangan tuhan buat keluarga ini.

Tapi yang pasti, kita juga punya anak2 sebegini, aktif, riang dan cerdas. Kita bangga memilikinya, walau sekadar pinjaman cuma. Kita bangga terpilih sebagai penjaganya.

Namun , yang sama sekali kita tak pasti ialah …. Sihatkah anak2 ini ?? Siapakah antara mereka yang paling berbakti kepada kita nanti ?? atau sempatkah mereka menjaga kita ketika kita sudah berusia nanti ataupun sebaliknya, kita pula menjadi penjaga setia mereka hingga ke hujung abad. Anak yang diharap membesar sihat dan berjaya, rupanya ditimpa kemalangan tidak bermata, lumpuh dan cacat. Tak sempat kita menumpang rehat dan senang.

Namun itulah ujian tuhan, ujian yang datang tanpa diundang.

Ujian menuntut kesabaran dan penyerahan.

Kepada siapa jua ….

Kalau ia boleh terjadi kepada orang lain, bayangkan apa status dan keistimewaan kita untuk terselamat dari di uji dengan dugaan yang sama.

Dugaan tetap dugaan. Ujian tetap ujian. Yang berbeza ialah cara penerimaan dan kesabaran kita.

Samada kita memilih kesabaran cara nabi atau kebejatan cara babi, terpulanglah.

Terbentang untuk kita dua jalan, mulia atau hina ???

Yang pasti ujian akan mengulit hidup kita. Sentiasa ……

No comments:

Post a Comment