Tuesday, June 21, 2011

Sambutan Bulan-bulan Al-Quran Negeri Pulau Pinang Tahun 1432H

Sambutan Bulan-bulan Al-Quran Negeri Pulau Pinang Tahun 1432H

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menganjurkan Sambutan Bulan-bulan Al-Quran yang akan diadakan sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan pada tahun ini (1432H). Program ini bertujuan membangunkan modal insan yang berkualiti melalui penghayatan terhadap Al-Quran secara menyeluruh dari pelbagai spektrum kehidupan. Ia juga bertujuan untuk memperkasakan rasa kecintaan masyarakat yang mendalam terhadap Al-Quran selain mengukuhkan jalinan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, program ini diharapkan dapat melahirkan intelektual dan profesional Islam yang mampu bersaing dan membangun ketamadunan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Majlis Pelancaran Sambutan Bulan-bulan Al-Quran ini akan diadakan pada 29 Jamadilakhir 1432H / 2 Jun 2011M iaitu pada hari Khamis, jam 6.30 petang hingga 10.30 malam bertempat di Masjid Negeri Pulau Pinang. Majlis ini akan dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas.

Berikut merupakan senarai program dan aktiviti yang bakal berlangsung. (Klik untuk maklumat lanjut program)

Seminar Al-Quran (2 Julai 2011M)

Program Masyarakat Mendekati Al-Quran (11 Jun - 9 Julai 2011M)

Bacaan Kitab Mukhtasar Itqan fi 'Ulum Al-Quran (13 & 14 Ogos 2011M)

Bacaan Kitab Al-Wasatiyyah Al-Islamiyyah (25 Jun & 16 Julai 2011M)

Kelas Bahasa Al-Quran ( Bahasa Arab ) (12 Jun - 14 Ogos 2011M)

Hafazan dan Talaqqi Al-Quran (Setiap Isnin, Khamis & Sabtu)

Program "Tahsin Al-Quran" (Mei - Oktober 2011M)

Program "Celik Al-Quran" (Bermula Jun 2011M)

Majlis Penutup Sambutan Bulan-bulan Al-Quran pula akan diadakan pada 16 Ramadhan 1432H bersamaan 16 Ogos 2011M iaitu pada hari Selasa. Majlis dianggarkan bermula pada jam 6.00 petang dan tamat pada 9.00 malam. Majlis ini turut disempurnakan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Marilah kita sama-sama menyambut kedatangan bulan-bulan mulia ini dengan amal kebajikan untuk bekalan di akhirat kelak.

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad SAW) dari Allah dan sebuah kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya dan dengannya tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izin-Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan lurus."

Surah Al-Maidah: 15 & 16

No comments:

Post a Comment