Tuesday, June 28, 2011

Terima Kasih Saiful Islam


Dalam kesibukan menguruskan dakwah dan keluarga, juga tatkala sedang tega bersemangat menguruskan diri, Ustaz Hasrizal masih sempat menyempurnakan program yang disusun padat buat kami warga Bertam.

Ucapan terima kasih di atas perkongsian dan pencerahan yang diabadikan ustaz menncakupi tiga kumpulan sasar yang berbeza antara kanak-kanak,remaja dan golongan dewasa.

Usai kuliah subuh tempohari, alhamdulillah niat untuk bersua muka dan bertanya khabar akhirnya dimakbulkan tuhan.

Tatkala para jamaah sudah meninggalkan ruang surau, saya bangkit mengambil kesempatan. Ruang yang begitu terhad saya manfaatkan dengan memecahkan suasana majlis perpisahan itu dengan salam. Spontan beliau berpaling dan tersenyum, rupanya ukhuwwah urduniah masih membekas di ingatan beliau dan tanpa suara kami bersalaman erat, berpelukan dan bertukar senyuman.

Rupanya sudah sedekad kami tidak bertemu, dan beliau adalah merupakan senior saya di Jordan yang sememangnya popular dengan suara yang merdu dalam kumpulan nasyid melayu di Jordan iaitu Usrah Firdaus.

Namanya sering meniti di bibir kami tatkala beliau antara kumpulan pertama yang menyambut kami dan mengalunkan nasyid TETAMU DATARAN SYAM yang cukup berhantu kala itu.

Dengan paluan kompang dan alunan merdunya suara buluh perindu Ustaz Hasrizal, kami terpukau memasang azam untuk terus mengikhlaskan niat dan amal dalam mencari ilmu demi mardhatillah umpama penghuni awal bumi SYAM yang terdiri dari para anbiya' yang soleh dan ikutan jejak sahabat nabai yang cukup mulia dan gigih berjihad.

Walaupun Universiti kami berjauhan, antara utara dan selatan, beliau di Universiti Mu'tah dan kami di Universiti Al Bayt di Mafraq tetap dapat berjumpa dalam himpunan mahasiswa malaysia dibumi Jordan jika ada kesempatan majlis2 keraian yang besar.

Dan saya sering juga dapat bertemu dengannya tatkala menziarahi kota AMMAN yang menempatkan sepupu saya Ust Baihaqi dan Ust Shairazi. Sementelahan mereka adalah sahabat yang rapat, selalulah juga saya dapat bersua muka dan bertanya khabar bersama FIGURE HEBAT DAN POPULAR ini.

Bukankah Nabi pernah mengatakan : mereka yang terpilih dizaman Jahiliyyah juga merupakan mereka yang akan menjadi hebat dalam Islam sekiranya mereka berilmu dan sedar.

sempat saya menghulurkan buku transformasi ramadhan yang saya kutip di meja pendaftaran untuk ditandatangani beliau, sememangnya buku itu telah lama saya cari, namun mungkin glamournya tidak setanding buku CINTAN _CINTUN ustaz yang ditulis dengan bahasa nasihat dan santai dalam trilogi AKU TERIMA NIKAHNYA.

Mujurlah, dapat juga saya miliki naskahnya sebelum ramadhan yang mendatang walaupun isinya telah tamat saya khatam melalui buku yang saya pinjam dari adik saya, Dengannya juga saya mengulit khutbah raya pertama saya dikampung saya di kelantan dengan tangan kanan saya erat menggengam buku yang terkandung pelbagai saranan, wajaran dan praktikal dakwahnya.

Sememangnya ia banyak berguna. Mungkin kerana itu saya ingin ia menjadi antara khazanah ilmu koleksi saya.

Terima kasih di atas tips kesihatan dan pencerahan santai kepada kami. dan jangan lupa datang lagi.

Antara coretan ustaz Hasrizal di blognya seputar dakwah 2 hari di BERTAM :


“Percaya!”

“Berjaya!”

“Insya Allah!”

Bersemangat anak-anak semalam melaungkannya.

Saya mengendalikan sebuah program motivasi murid sekolah rendah anjuran Surau al-Muttaqin, Bandar Putra Bertam. Pesertanya terdiri daripada anak-anak penduduk tempatan, dengan sasaran murid UPSR tetapi ada juga semuda murid Tahun 2.


Seperti biasa, menjadikan Panda sebagai model transformasi Zero kepada Hero, banyak aspek yang berjaya dipermudahkan, terutamanya pada menimbulkan kesedaran terhadap lima perkara iaitu:

  1. Menentukan cita-cita
  2. Membezakan di antara cita-cita dan angan-angan
  3. Mengenal pasti halangan untuk cita-cita itu dicapai
  4. Meneliti potensi diri yang ada untuk mengatasi halangan tersebut
  5. Pelan tindakan.

Bukan mudah.

Anak-anak ini mahu menyebut nama pun malu. Usahkan mahu berbincang. Apatah lagi bersama ahli kumpulan yang mereka tidak pernah kenal.

Pelbagai aktiviti saya usahakan untuk memecahkan kebuntuan berkenaan.

Biar pun payah, namun akhirnya ia berbaloi.

Seorang murid tahun tiga menulis kenyataan berikut:

  1. Nama Kumpulan = HAMZAH SINGA ALLAH
  2. Cita-cita Pilihan Kumpulan = Doktor
  3. Halangan Untuk Mencapai Cita-cita itu = Kos yang Mahal Untuk Belajar di Dalam Universiti
  4. Potensi Diri Untuk Mengatasi Halangan Tersebut = Keyakinan Diri
  5. Pelan Tindakan = Kita Perlu Mengumpul Duit Untuk Belajar di Dalam Universiti

Tidak pernah terfikir, beliau dan ahli kumpulannya akan berfikir tentang hal ini. Kumpulan tersebut bersetuju untuk tidak menyusahkan ibu bapa membeli jajan, aiskrim dan lain-lain yang tidak perlu. Kena rajin berjimat untuk memastikan cita-cita tidak berakhir dengan angan-angan iaitu impian yang kosong daripada perancangan dan tindakan.

Dek kepuasan berprogram, ditambah dengan sesi mencelup ukhuwwah sambil makan ikan bakar di Din Ikan Bakaq Kepala Batas, saya terlepas pesawat pulang ke Kuala Lumpur.

Jangan bimbang orang Bertam dan Sungai Nibong, segalanya berbaloi-baloi.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
facebook.com/hasrizalabduljamil
68000 AMPANG

No comments:

Post a Comment