Friday, September 16, 2011

Polemik Sejarah

Berpuasa dari internet mematikan sedikit sebanyak informasi saya terhadap isu semasa yang sentiasa silih berganti saban hari, mungkin telahan untuk PRU semakin hampir amat tepat untuk kondisi seumpama ini.

Dan antara yang semakin mengujakan pentas politik dewasa ini apabila polemik Mat Sabu terhadap sejarah bangsa telah membangkitkan selera ramai untuk mengupas atau sekurangnya meninjau kembali topik dan silibes teks SEJARAH yang sekian lama dianggap SUBJEK TEPU dan MEMBOSANKAN.

Terjahan politikus ini umpama tepat pada masanya tatkala kita masih dibalut lembayung mega kemerdekaan yang mengekstrak warna kesyukuran untuk kita kala ini, ianya pantas juga disambar massa untuk dijadikan TEMA perbincangan hangat bagi sambutan kemerdekaan tahun ini. Terima kasih juga buatnya kerana mampu memberi sedikit kesegaran buat umat meneliti dan sekurangnya mengikuti sejarah ini dari sumber dan persepsi yang lebih meluas bukan sekadar TEKS dan SILIBES.

Agenda SIAPAKAH PEJUANG ATAU PETUALANG menjadi antara topik bualan hangat dan bibir rakyat alaf ini, semuanya umpama sejarawan dan penganalisa amatur terhadap sejarah bangsa yang serba satu ini. Warna dan kemilau kemerdekaan dirujuk sekali lagi .....
Siapakah sebenarnya WIRA dan HERO negara ??

Pernahkah kita bertanya kepada mereka yang berjuang.... Adakah mereka sengaja menempah sengsara berjuang untuk dijulang sebagai WIRA dan HERO, atau keringat mereka sentiasa bercucuran atas kesedaran total untuk mendapatken kebaikan dari kemerdekaan tulen buat negara yang terjajah kala itu.

Golongan persis Tok Janggut, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Tn Guru Hj Abd Rahman Limbung, Mat Salleh dan sebagainya akhirnya kita nobatkan sebagai PEJUANG KEMERDEKAAN setelah sekian lama mereka termomok dengan gelaran PETUALANG dan penderhaka RAJA.

Terlintaskah dibenak para tokoh yang akhirnya kita julang bersama ini untuk mengecapi nikmat kemasyhuran sebagai wira dengan menggadaikan nyawa mereka yang paling berharga?

Bagi saya, golongan PEJUANG TULEN harus berani berdepan sengsara dan penjara bukan sekadar bijak berbicara dan penuh strategi diplomasi sahaja.

Apapun hakikatnya sejarah takkan pernah berubah, namun persepsi masyarakat juga takkan mudah untuk disatukan fikrahnya, ianya subjek yang begitu subjektif dan memerlukan kajian dan sumber yang betul dan tepat berdasarkan masanya.

Biarlah kajian sejarah ini dimurnikan semula sebagaimana kekadang kita juga menuntut pemurnian sejarah islam yang segar dengan semangat keislaman yang terus berjuang, melawan dan berkhidmat ini juga terus dibugarkan.

Kebenaran pasti terserlah biarpun sekian lama disembunyikan kepalsuan dan Fitnah.....

Cukuplah nama para pejuang agama yang akhirnya dibersihkan seperti diatas menjadi saksi kebenaran ini.

Mari kita teruskan meniti episod konflik ini, bagi saya ianya amat lazat untuk kita berikan perhatian kerana ianya amat rapat dengan sejarah kita tersendiri berbanding isu2 moral yang meloyakan semata2.

Sekurang2nya ianya amat berfaedah membuka mata dan hati kita untuk mempunyai semangat patriotik yang tulen dan bukannya sekadar mengibarkan jalur gemilang usang .....

No comments:

Post a Comment