Saturday, January 5, 2013

Salam Tahun Baru 2013

Hey Kawan,

Misteri 2012 tersingkap dengan andaian dan pembohongan. Jangkaan kiamat yang digamatkan dengan pelbagai teknik dan penceritaan sedikit sebanyak memerangkap banyak pihak untuk percaya dan memeluk gelisah sepanjang tahun.

Namun ada juga yang memanfaatkan impak kesan dogmanya dengan jalan yang berbeza dan menguntungkan, mereka mengambil peluang untuk menamatkan ajal alam ini dengan cara yang beraura positif biarpun kiamat sememangnya dijangka dahsyat dan mengerikan. Golongan ini akhirnya menemukan cara berkesan untuk memanfaatkan ketakutan ramai dengan andaian kaum MAYA ini dengan mengetengahkan KAPSUL KEDIAMAN KALIS KIAMAT, ianya diluncurkan ke tengah khalayak dengan harga KALIS DISKAUN kerana produk yang terhad dan keperluan yang mendesak.


Akhirnya bukan sedikit warga yang menatijahkan kebuntuan fikiran untuk memilih kerugian membeli barangan tanpa dapat berfikir panjang dan waras. Adakah pembelian ini berbaloi kawan ?

Rasanya kapsul ini sudah expired kan ? Ianya produk tamat tempoh dan hanya boleh digunakan untuk tahun 2012 sahaja kan.

Terzahirlah disini siapa yang bijak dan siapa yang rugi.

Yang bijak ialah yang mampu memanfaatkan setiap kepingan mozek hidupnya untuk disusun atur dalam kreativiti positif yang memajukan dirinya, manakala yang rugi ialah mereka yang memecahkan harga diri dengan kepercayaan mistik dan negatif yang memudarkan warna iman dan agamanya.

Salam tahun baru kawan,

2012 telah kita tinggalkan dengan kesan dan pengajaran yang bukan sedikit dalam kamus hidup kita.

Dan tatkala 2013 datang, ianya menjanjikan kita misteri baru pula buat kita.

Jangan sampai ada pula yang mengatakan angka 13 adalah angka buruk bagi kebanyakan bangsa. Ianya petanda malang untuk umat manusia sekali lagi. Dan pasti juga akan ada yang terpukau dan terpengaruh dengan kenyataan berbaur dusta khurafat seperti ini. Bahkan pasti bukan sedikit yang akan merelakan tengkuk mereka di belenggu rantai kebodohan kerana meyakininya sekali lagi. Tidakkah manusia patut sedar setelah sejarah panjang fakta dan kebenaran telah mengajar kita erti penipuan andaian kiamat seperti ini ??

Atau akan ada lagi manusia yang tertipu ??

Semestinya ada, selama mana manusia berjiwa gelisah, tamak dan cintakan dunia. mereka akan tertipu selamanya. Bukankah takkan pernah surut saban tahun tentang cerita mereka yang gila dan hilang waras akibat tertipu dengan pelaburan cepat kaya mereka ??

Aaah kawan, ayuh kita sedari hal ini dengan yakin dan tenang.



Rasulullah SAW bukan sekali mengkhabarkan kita tentang berita seumpama ini kepada kita, bahkan tamsilan nabi sebenarnya lebih dekat dari bilahan masa dan dekad yang berlalu antara kita. Nabi SAW menyatakan kiamat sedang melanda kita sebagaimana dekatnya perbezaan antara dua jari manusia. Namun nabi SAW masih konsisten melaungkan slogan amal, iman, akhlak, ilmu dan ibadah sepanjang karier kenabiannya tanpa selindung dan kompromi.

Para sahabat juga begitu dalam melakukan pembukaan kota untuk islam bertapak dengan penuh keamanan dan kedamaian dibawah panji rahmat tuhan melalui moto baldatun toyyibatun warabbun ghafur. Bukan mereka hanya berserah hanya dengan janji IMAM MAHDI dan pertolongan NABI ISA PENYELAMAT semata-mata.

Tuntasnya, marilah kita menjadi umat ilmu dan amal.

Kita perangi kejahilan dan was-was dengan ilmu yang benar, sebagaimana kita bentengkan diri dengan amalan istiqamah yang terbaik daripada harapan rahmat dusta dan dukacita kegagalan versi putus asa anjuran syaitan laknatullah.

Segala yang berlaku, pastinya termasuk dalam suratan amalan kita.

Yang akan datang, laluilah dengan langkah sabar dan syukur, moga kita masih diberi ketenangan dan rahmat dari yang esa.







1 comment:

  1. salam ustaz.. saya ada terbaca entry ustaz berkaitan nama anak. bole sy minta pendapat ustaz.. apa makna sebenar Nur Daania Izzara.. sy berkenan nama tu tapi masih belum jumpa makna izzara, dan sering keliru dgn makna yg pelbagai bagi daania...

    ReplyDelete