Wednesday, January 19, 2011

Merungkai Sumpahan Bahasa



Seperti terkena sumpahan, blog saya semakin bersawang.

Semangat berkarya seperti direntap sesuatu, entah rasukan ablasa mana yang merantai rasa dan fikiran, ghalibnya saya terasa kekosongan mendalam di ufuk minda dari membenihkan pandangan dan meranumkan idea, juga seterusnya beku dari melontar kritis pengalaman dalam coretan ringkas seperti dulunya.

Menjenguk blog rakan seangkatan dan sezaman. Yang dulunya banyak menyuntik inspirasi saya berkarya juga ada pasang surutnya.Cuma segelintir sahaja yang masih konsisten menulis dan mengulas.

Dan kredit yang terbaik pastinya saya tujukan pada MUALLIM pencetus idea dakwah maya saya di sabah dahulu iaitu Ustaz Akmal dalam blog popularnya ABU NUHA CORNER. Uniknya beliau meletakkan prinsip blognya tulus dengan mencatat SENDIRI pengalaman dakwah di bumi sabah tanpa perlu copy dan paste dari sumber yang pelbagai. Moga beliau terus istiqamah dan berjaya.

Malangnya saya juga mula merasai sindrom yang sama. Kehilangan ISTIQAMAH.

Banyak peristiwa yang berlalu tanpa sempat saya kutip ibrahnya.

Perginya selaju bayu yang berhembus, wujudnya hilang hanya dingin sahaja yang terasa.

Moga kedatangan tahun baru ini tidak mengalpakan saya untuk terus menjejak hidayah. Di mana bumi yang dipijak pun pastinya terselit pengajaran kehidupan yang berguna untuk kita lumatinya dalam penghadaman kefahaman dan pengalaman.

Dengan lingkungan konkrit baru yang memagari lokasi sekolah baru ini, saya memasang agenda baru.

Agenda saya dalam permusafiran baru ini ialah melonjak semaksima mungkin martabat pengajian bahasa arab di sekolah ini.

Dengan keputusan lalu yang kurang memberansangkan, tugasan membuat perubahan kini semakin memberat dibahu saya.

Semenjak 5 tahun kelas bahasa arab merangkap kelas aliran agama ini ditubuhkan, ianya belum pernah menobatkan bahasa arab ke standard yang lebih terpuji.

Ramai pelajarnya gagal melakar kecemerlangan pelajar beridentitikan agama. Keputusan akademik arabnya juga sukar menokok ke tangga terbaik. Disini semenjak 2005, hanya C menjadi tanda aras tertinggi untuk subjek serba unik ini.

Untuk rekod , pada PMR 2009 dengan jumlah 13 calon yang ada, 3 orang mendapat C dan 3 juga mendapat D dan yang selebihnya gagal meluluskan diri dan peratusnya ialah 46.2. Manakala 41.9 peratus dicatat pada tahun lepas PMR 2010, dengan calon berjumlah 12 orang, 5 orang mendapat D dan selebihnya kandas dikolam gagal.

Yang lebih menyesak persoalan, seorang pelajar terbaiknya mencatat keputusan 8A dan 1D, dan pastinya sahabat2 sekalian boleh menduga subjek apakah yang mencacatkan pencapaian cemerlangnya.

Terasa saya seperti berada di sekolah lama semula, SMK PEREMPUAN LIKAS di Sabah dahulu dengan agenda dan nawaitu yang sama.

Dengan jumlah calon PMR berjumlah 16 orang kali ini, saya gagah menilai mereka dengan pandangan POSITIF, moga mereka mampu berjaya.

Mampukah saya melakukannya. Harap ia tidak memberi bebanan TENSION kepada saya.

Dan pagi tadi, ……. di sebalik jendela pintu bilik pengetua, saya dikunjungi khusus oleh 2 orang pegawai Bahasa Arab dari JPN Pulau Pinang. Kehadiran mereka pastinya Gah dengan reputasi dan kotnya, dan pastinya juga dengan AGENDA.

No comments:

Post a Comment