Monday, January 24, 2011

Pekerja Muda

Dalam kebeningan sepi pagi, awal tahun persekolahan sebegini menyaksikan para pelajar masih belum teratur, bersiponggang dalam lenggang dan lenggok masing2 bergegas menuju destinasi kelas.

Kesunyian dewata pagi akhirnya dibunuh kebisingan dialog dan gurauan para pelajar yang baru berjumpa sesama mereka setelah beberapa hari bercuti. Mereka saling bersapaan, bertolakan, bercerita dan bergosipan seolah membawa seribu satu cerita walau hanya 2 hari tidak bertemu. Dalam kemas langkah, mereka menapak anak tangga menuju ke lokasi pengajian sambil sesekali memberi salam bila berpapasan bersama Cikgu.

Panorama serba bingit dan kalut ini kemudiannya beransur sepi dan sunyi tatkala deringan loceng menjerit penuh nafsu memaklumkan permulaan waktu persekolahan baru sahaja bermula.

Masa masih kosong buat saya, jadual pengajaran saya hari ini bermula jam 9.30 pagi. Mungkin agak lewat tapi rasanya wajar sekadar memberi peruntukan ruang buat saya menghirup secawan kopi panas dipagi hari sebagai pembuka selera dan pemanas badan di dingin subuh. Dengan sarapan awal inilah menjadi modal saya untuk terus bertahan ke hujung minit 4.30 petang menghabiskan tugasan pengajaran bahasa arab yang diletakkan diluar jadual setiap isnin dan selasa.



Biasanya saya bersarapan dirumah, tapi hari ini, gatal hati saya untuk menghirup sarapan ringkas di astaka gelugor yang terletak bersebelahan sekolah saya.

Sarapan ringkas dan bersendirian.

Leka saya melihat gelagat manusiawi.

Berniaga mencari sesuap rezeki.
Seorang makcik separuh umur datang, menuding beberapa kepingan kuih kemudiannya mengunjukkan not merah, peniaga pantas menyerahkan plastik kuih ke tangannya dengan beberapa keping not biru sebagai bakinya.

Wang berpindah tangan, wajah peniaga ceria berbunga senyuman.

Tapi, kenapa janggal pula peniaga ni ? Kenapa kecil sahaja tubuhnya ? Berapakah pula umurnya ? Pasti dia masih bersekolah ,minda saya membuat telahan.

Sayangnya, umur semuda ini sudah terbeban dengan tanggungjawab mencari nafkah.

Atau umur ini terbazir bukan pada masanya dengan keseronokan menimang wang gaji, sedangkan umur sebegini wajar memberi fokus untuk menimang ilmu terlebih dahulu sebagai jaminan kelansungan hidup masa depan.

Menungan saya semakin panjang. Senyum sendirian. Santai dan tenang.

Ghalibnya pantas mengundang memori silam.

Diawal tahun 2010 dahulu, para pelajar saya di SXI ramai juga yang bekerja.

Entah kerana tanggungjawab, terikut2 atau sengaja gian dan seronok memegang wang besar dan berbelanja lebih ekskulusif.

Kerjanya tidak mengenal waktu. Asal mendapat habuan, semuanya dikira halal. Pukul berapa tamat khidmat kerjanya ? Pukul berapa pula kelibatnya baru pulang ke rumah pun tiada siapa kisah.

Dan esoknya, kantuknya merajai matanya.

Lebih banyak dia terbaring di birai katil dari terbungkam tidur dibucu meja kelasnya.

Hadirnya sama dengan ketidakhadirannya.

Kewujudannya halimunan tidak terasa rakan dan cikgu.

Aah, dia pun lebih suka begitu. Bebas dan tidak terganggu.

Dia datang ke sekolah pun dan tak mengganggu orang pun dah dikira baik.

Seingat saya, ramai juga yang bekerja sebagai penjual burger. Membantu ayah meniaga di pasar malam, pelayan menerima pesanan di restoran, cashier di pasaraya pada syif petang, penjaga tiket dipanggung wayang dan jangan terkejut jika saya katakan ada juga yang bekerja sebagai bounzer kelab malam.

Bolehkah kita bekerja dipanggung wayang ustaz ? tanya seorang pelajar saya,
Tiba2 kenangan berdialog dengan anak2 didik saya di SXI menerpa lamunan saya.

Tersentak saya seketika, segera saya melihat jam.

Aah , dah lewat ni. Saya patut bergerak sekarang untuk punch kad di sekolah sebelum jam 930 pagi.

Nanti saya bagi jawapannya kemudian……

No comments:

Post a Comment