Saturday, January 22, 2011

Kunjungan Pegawai Bahasa



Pagi Rabu yang lalu, tenang pelajar saya mengulit soalan bahasa arab Ujian Diagnostik pertama saya sebagaimana termeterai dalam janji Walid dan anak didiknya, 3 AKIK sebelum ini.

3 Akik merupakan sebuah kelas aliran agama yang mengambil subjek bahasa arab dalam penilaian PMR nanti. Kelas ini juga menjadi taruhan komitmen dan pencapaian prestasi saya selaku guru bahasa arabnya samada berjaya atau gagal. Untuk mereka saya sentiasa tiupkan semangat mampu berjaya dan tinggi motivasi untuk menundukkan ego bodoh sombong persepsi mereka terhadap bahasa arab dan juga sindrom mudah putus asa dan kemalasan yang sentiasa membelit azam mereka.

Mereka boleh berjaya, dan alhamdulillah saya juga diberi keistimewaan untuk telus memantau mereka dengan amanat sebagai GURU TINGKATAN tersandang di bahu saya.

Belum pun usai ujian pertama saya bagi menguji kekuatan dan kelemahan awal pelajar2 bahasa arab saya, gegendang telinga saya menangkap pengumuman ringkas yang menerpa melalui corong pembesar suara sekolah saya, ringkas mesejnya … DI MINTA KEPADA USTAZ HAFIZULLAH UNTUK DATANG KE PEJABAT DENGAN KADAR SEGERA.

Tersenyum kelat saya menerimanya, kekadang terasa kemudahan komunikasi PEMBESAR SUARA yang ada iras2 bunyi dan lenggok suara pramugari di airport antarabangsa pulau pinang ini banyak disalahgunakan. Pengumumannya yang berterusan tanpa senggang masa tertentu kerap memerangkap saya untuk kehilangan idea dan mood tika mengajar, kekadang hanya kerana urusan individu dan peribadi, satu sekolah terkena badi gangguannya. Moga ada penyelesaiannya suatu hari nanti.

Sengaja saya melengahkan masa, biar kertas ujian itu dijawab sempurna, saya tak mahu keputusan ujian DIAGNOSTIK itu nanti hanya sia2 dengan jawapan tidak tulen, telus atau sempurna tanpa dapat membezakan antara DINASOUR dan ITIK.

Usainya saya melangkah ke bilik pengetua.

Selang 5 minit saya sudah berada di dalamnya.

Tergamam saya melihat bersama pengetua, dua susuk manusia berkot hitam sedang tersenyum kearah saya. Kelibatnya persis pegawai dari Jabatan Pelajaran ujar hati saya.
Selepas berkenalan, ternyata agakan saya tidak meleset, mereka berdua adalah pegawai kanan BAHASA ARAB di pulau mutiara ini.

Dengan nametag di sudut poketnya yang jelas terpampang nama UST LUKMAN dan UST SUHAIMI , mereka memperkenalkan diri dan memaklumkan tujuan kedatangan.

Terasa saya sedang ditemuduga dan dipantau.

Dalam nada tenang mereka memaklumkan kunjungan ini sekadar muhibbah dan taaruf mengenali guru beropsyen bahasa arab yang tidak ramai di bahagian Pulau ini. Sempat juga diselitkan harapan untuk melihat kerjasama antara sekolah dan jabatan khususnya dalam program bahasa arab ini dapat ditingkatkan dan diteruskan, jamin mereka untuk tidak menganak tirikan DHMNA dalam pembangunan KAA dan Bahasa Arab.

Namun dalam diam, terpancar senyum cabaran mereka untuk melihat satu perubahan DRASTIK berlaku dalam pencapaian subjek ini di PMR nanti.

Kami di Jabatan tidak pernah lupa dan mengabaikan rakan seopsyen bahasa arab ini, kami sentiasa memantau dan memberi masa yang sewajarnya untuk guru beraksi baik meningkatkan kualiti dan prestasi subjek ini, namun jika sudah diberi peluang, jabatan juga akan mengambil langkah perubahan dan tindakan drastiknya yang tersendiri untuk menyelamatkan talian hayat bahasa arab ini. Kami rasa bertanggungjawab terhadap janji KPM kepada para ibubapa, kelas KAA adalah ganti nama yang sinonim dan TAMPUNGAN kepada para pelajar yang tidak dapat menyertai kelompok yang berjaya ke SMKA. Mereka akan dididik dengan cara dan standard kualiti yang sama oleh guru berpengalaman dalam bidang masing2 bahkan istimewanya mereka kerana kuantiti mereka lebih kecil berbanding pelajar SMKA yang memudahkan mereka diberi tumpuan dan pengukuhan. Tutur pegawai tersebut lembut.

Usai pertemuan, beliau menjanjikan komitmen pertolongan untuk memajukan bahasa arab ini.

Untuk maklumat, latih tubi, sukatan dan huraian pelajaran, rancangan tahunan semuanya boleh dilayari diblog :

http://bahasaarabpenang.blogspot.com/


Abu Hanan - pegawai bahasa arab dan pengasas blog

Moga bahasa agama ini berjaya diangkat ke mercunya.

No comments:

Post a Comment