Monday, January 31, 2011

Mukjizat Ajaib



Sebagaimana biasa, di malam isnin saya berkuliah di surau flet Kastam.

Mengupas topik penuh ibrah dalam tafsir Surah Kahfi yang telah sebulan saya ladeni bersama penghuni flet disini.

Dalam keterujaan audiens mengulit watak para penghuni gua yang penuh keajaiban tersebut, saya terus memperingatkan semua tentang ayat ke sembilan dari surah kahfi sendiri tatkala ALLAH melampirkan tempelaknya kepada pengkagum kisah2 misteri sebegini.

Antara maksud yang terkandung dalam ayat tersebut ialah : Adakah kamu menyangka kisah ashabul kahfi dan catatan AR RAQIM itu adalah tanda keajaiban ilahi yang terulung ?? (Bahkan tidak, ternyata lebih banyak lagi keajaiban tuhan yang lebih hebat daripada ini.)

Kerana itulah juga , saya melontarkan perkataan penuh bervisi daripada al imam ibnu kathir yang menyatakan : Kisah berkaitan gua ini berlangsung dalam banyak peristiwa sejarah, bahkan ianya pernah berlaku di zaman nabi ketika uzlahnya di gua hira' bahkan ketika berhijrah di THUR bersama sahabat setianya ABU BAKAR.

Lalu beliau menyambung lagi : Sesungguhnya kisah GUA THUR INI lebih ajaib dan lebih penuh pengajaran berbanding kisah ASHABUL KAHFI ini.

Dan sebagai contohnya juga saya menyuntik pengajaran dan keajaiban yang terkandung dalam kisah Nabi YUsuf dan ayahandanya nabi YAakub sebagaiamana yang saya petik dari blog sahabat saya perenung langit yang lantas mengamit kagum disinar galak mata audiens saya malam itu.

Mari kita bersama mengulit rahsia ajaib mukjizat tuhan ini dengan tinta Ustaz Kama sendiri :

Firman Allah SWT:

اذْهَبُواْ بِقَمِيصِي هَـَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَىَ وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيراً

“Pergilah kamu dengan membawa baju gamisku ini, lalu letakkanlah dia kewajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali…”.

(Surah Yusuf: Ayat 93)

Ketika ayat di atas dibincangkan dalam Daurah Al-Quran beberapa malam lepas, aku telah membaca satu penemuan yang telah dibuat oleh seorang saintis dari negara Mesir bernama Dr Abdul Basit Sayed Mohammed mengenai rahsia di sebalik suruhan nabi Yusuf agar bajunya dibawa kepada ayahnya nabi Ya’kob yang mengalami kegagalan fungsi penglihatan. Nabi Yaakob, sebagaimana telah diceritakan dalam Al-Quran menerusi surah Yusuf, telah menjadi putih kedua biji matanya lantaran sedih atas kehilangan nabi Yusuf dan kemudian disusuli dengan penahanan anaknya Bunyamin. Al-Quran tidak mengatakan bahawa nabi Yaakob buta kerana buta adalah satu kecacatan. Para nabi-nabi adalah bersifat ma’sum yang bermaksud bersih daripada dosa dan selamat daripada kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Buta mata merupakan satu kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Justeru, nabi Yaakob bukan buta. Dalam bahasa kedoktoran optik, ia disebut sebagai katarak (Cataract).


Menurut ensiklopedia versi maya Wikipedia, katarak ialah sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata menjadi keruh dan cahaya tidak dapat menembusinya. Keadaan ini menjejaskan penglihatan seseorang dan akan menjadi buta sekiranya lewat, atau tidak dirawat. Masalah katarak berbeza dengan masalah mata yang disebut glaukoma.


Berbeza dengan katarak, glaukoma merupakan sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta.


Menurut Dr Abdul Basit Sayed Mohammed, tanpa menafikan sisi mukjizat dari kisah baju nabi Yusuf memulihkan mata ayahnya,dia percaya terdapat unsur saintifik yang mendorong penyembuhan mata ayahnya itu. Itulah yang mendorongnya membuat kajian. Akhirnya, beliau menemui satu rahsia bahawa peluh dapat menyembuhkan katarak pada mata. Beliau berpendapat bahawa pada baju nabi Yusuf itu terdapat peluh. Peluh itu unsur yang bernilai saintifik yang boleh disandarkan sebagai ramuan penyembuhan masalah katarak mata nabi Yaakob.


Hasilnya, beliau telah mencipta ubat titis katarak mata daripada peluh dan kini hasil kajiannya itu telah mendapat paten antarabangsa.


Subhanallah!, sesungguhnya Al-Quran itu sangat kaya dengan rahsia yang belum dan tak akan pernah habis diteroka manusia.

No comments:

Post a Comment