Friday, April 15, 2011

Menilai Nikmat

Terpaku saya di kerusi tatkala telinga saya menjamah secebis tazkirah pagi tadi.

Ungkapan santai nya mematikan gerak saya buat seketika, ianya pantas membuka ufuk minda menerawang semahunya keangkasa keinsafan, bahasa yang mudah dan santai kekadang boleh merobek keegoan dan kealpaan manusiawi.

Belajarlah mengenali kelemahan diri, dan belajarlah menghargai kurniaan tuhan kepada kita.

Tatkala kita mengadu sakit dan lemah, mulut pantas mengaduh dan meracau dengan pelbagai rasa gelisah dan kesakitan.

Kita mengadu sakit gigi yang memasuki hari yang ketiga, ngilunya membungkam rasa dan membuntu fikiran, kita terkapar dalam ngeri dan nyeri tanpa mampu berbuat apa2. Sedetik silap sahaja pasti mengundang amarah berpanjangan tatkala akar gigi yang kesakitan menidakkan juga kebijaksanaan akal waras.

Aduh dan aduh, sakit dan sakit, itulah wirid kita seharian.

Tapi pernahkah kita bertanya tentang gigi dan fungsinya ketika kita masih sihat.

Kalau kita diuji sakit gigi sekadar 3 hari dalam setahun, maka 362 hari yang berbaki dalam setahun seharusnya kita terlebih dahulu meletakkan pasak dan konkrit kesyukuran yang tidak terhingga kepada penciptanya.

Takkanlah ujian sakit yang sekejap memadamkan kebaikan tuhan yang bertahun kepada kita.

Takkan hujan sejenak meredakan kepanasan siang yang membahang.

Bersyukurlah…

Walau kita diterpa ujian dan masalah. Bersyukurlah…

Ianya tanda tuhan masih menyayangi kita.

Ajarlah diri untuk bersyukur. Ajarlah anak2 didik kita untuk turut menghargai Tuhan.

Tulislah pelbagai nikmat tuhan kepada kita dihari ini, secara sedar atau tidak kita akan mula menghargainya, menghargai nikmatnya dan menghargai TUHAN yang mengurniakannya.

Saya mempraktikannya suatu pagi terhadap pelajar.

Tulis 10 nikmat yang engkau rasai hari ini.

Ternyata cukup pelbagai jawapannya.

Alhamdulillah tuhan telah mengurniakan saya kedua ibubapa yang penyayang dan menghargai diri saya, Alhamdulillah tidak terkira kerana allah memberi saya akal dan pancaindera sihat yang membolehkan saya belajar dan menjadi seorang yang sempurna, Alhamdulillah saya memperoleh kawan2 yang baik dan memahami, Alhamdulillah dan seterusnya Alhamdulillah ………

Begitu banyak alhamdulilahnya dan tanpa sedar kita bersyukur menghargainya…

Alhamdulillah ya Allah.. engkau mengurniakan aku sepasang mata.

Alhamdulillah ya allah, dengannya aku mampu melihat keindahan dunia ini.

Alhamdulillah ya Allah.. aku mampu menatap wajah kedua ibubapaku yang penyayang dan banyak berkorban membesarkan aku. Dengannya aku mampu melihat bening mata keduanya yang penuh dengan kasih saying yang melimpah.

Alhamdulillah ya Allah.. aku boleh membantu ibu dan bapaku bekerja dan mencari nafkah dengan menggunakan mataku dan mengurangkan bebanan mereka.

Alhamdulillah ya Allah.. dengan keduanya aku mempelajari huruf dan kalimat alquran hingga aku mampu membaca dan memahaminya.

Alhamdulillah ya Allah.. aku mampu menggunakannya untuk mempelajari ilmu dan membaca pelbagai genre penulisan dan menggali segala khazanah ilmu.

Alhamdulillah ya Allah.. aku dapat meneruskan langkah dakwah dengan pemerhatiaan dan pandanganku terhadap suasana dan bacaan semasa. Nikmat penglihatan ilmu yang tidak ternilai.

Alhamdulillah ya Allah.. dengannya aku mengetahui kedahagaan masyarakat kepada ilmu dan agama dan tuntutan untukku turut sama mewarnainya dengan sumbangan dan kebaikan.

Alhamdulillah ya Allah.. aku mampu menatap ceria wajah comel anak2ku. Betapa aku menyayangi mereka, biar jatuhnya panahan kasih ini dari mataku kelubuk hati2 mereka menghargainya.

Alhamdulillah ya Allah.. kerana memberiku kesempatan untuk boleh menitiskan airmata keinsafan memecahkan kentalnya keegoaan diri yang dibelenggu nafsu dan maksiat.

Alhamdulillah ya Allah..

Alhamdulillah ya Allah..

Terlalu banyak nikmatmu yang kami tidak syukuri….

Nikmat Allah yang mana lagi yang mampu kita dustakan.

No comments:

Post a Comment