Friday, April 29, 2011

Pesimis Dakwah (Siri 1)

Hati yang suram

Entah mengapa pertapaan di serambi ilmu malam itu terasa panjang. Duduk sila saya perkemas berulang kali. Tak betah dan tidak selesa.

Kitab PENAWAR HATI yang menjadi medium dakwah pada malam itu saya selak helaiannya. Kandungannya amat berguna buat mencetuskan keinsafan diri pada hati yang sering alpa dalam menjalani kehidupan yang beragam sepak terajangnya. Ianya mengembalikan kesedaran diri untuk terus tega memegang istiqamah menempuh jalan hidup yang penuh suci walau dihimpit debu jahiliyyah yang mengapung tinggi.

Penceramah malam ini juga agak baik kupasannya, sebutannya lancar dan berintonasi, beliau cekap memilih ayat al quran untuk di jadikan sendi berhujjah, bijak menghidupkan suasana dan informasinya segar dengan contoh isu semasa yang terpilih.

Suara penceramah menggegarkan podium medan dakwah malam itu. Sempurna dan tiada celanya.

Suasana malam juga tenang dan dingin seperti biasa, tiada yang luarbiasa pada malam yang dibalut selimut kegelapan itu, dengan kapasiti audiens sekitar 30 orang malam itu juga sudah memadai membangkit deria ceria dan semangat para ustaz penceramah untuk terus berkongsi berita dan cerita berselit pesanan.

Tapi hati saya terasa tawar, jiwa sedar saya terasa ngilu, pijar terasa meruap emosi saya.

Buku Penawar Hati di malam itu semakin tawar, suram dan tidak menyentuh hati.

Ratib Sang Pendakwah

Motifnya menyentuh hati dan menyucikan jiwa tersangkut dibilahan kata yang dilontarkan sang penceramah, ianya bak lahar amarah yang membuak keluar dari sebongkah gunungan kesedihan dan kesayuan melatari kesongsangan budaya dan kebejatan social tanpa batasan yang berlaku sekarang ini.

Mungkin kerana itulah sang penceramah terus meratib dan membilang tasbih kesalahan umat islam hari ini yang bergelumang dengan segala najis kekhilafan dosa yang berlaku. Petanda akhir zaman yang melanda umat ini adalah mukjizat pembuktian kebenaran kata-kata nabi mulia memaparkan sisi episode akhir yang pasti berlaku. Dan nah, dihadapan kita ianya menjadi busung barah yang sudah menanah busuk dan tiada penawarnya lagi.

Dan begitulah bila penceramah terus menuturkan hadis nabi yang mengisahkan kita di akhir usia zaman ini , Akan datang suatu masa nanti,umat islam tidak akan dikenali lagi kecuali pada namanya , quran semakin terpinggir dan terpenjara hanya pad mushafnya, masjid menjadi istana besar yang tersergam dengan kemewahan tapi miskin dengan hidayah, para ulamaknya pula adalah seburuk2 manusia yang menghuni muka bumi….

Dan beliau terus berceloteh, sama seperti watak penceramah yang tipikal, dan saya mungkin antaranya …… menuduh kebobrokan dan ketololan masyarakat, menghina generasi muda yang terus dibius keseronokan palsu, menghentam warga yang menghindar masjid , menghukum dan terus melabel kesalahan pemimpin , dan kekadang terus bijak merobek maruah diri orang lain, tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Hari ini kes buang bayi melambak di pasaran… , mengikut perangkaan JPN, anak luar nikah sudah mencecah 300 ribu orang dalam masa setahun, kalau dizaman firaun yang bertuhankan ego dan kesombongan diri, mereka cekap memilih jantina bayi lelaki untuk dibunuh dan berbeza di zaman masyarakat jahiliy yang meninggalkan hanya spesis lelaki agar terus hidup dan kekal terhormat.

Tapi kita kini terlampau bodoh untuk memilih, hauskan darah tanpa mengenal jantina, kita bunuh semuanya.

Dan minggu ini, anak2 kita semakin kreatif, bijak bercinta, bijak berzina dan bijak membunuh.

Walau pelbagai tangkapan dibuat ianya seolah gagal melumpuhkan kreativiti gila ini.

Inilah salah pemimpin…..

Salah masyarakat……

Salah ibubapa ….

Salah ……..

Tapi ? Apa penyelesaiannya ??? Apa yang boleh kami para pendengar untuk berperanan ??

No comments:

Post a Comment