Wednesday, June 29, 2011

Bukan Buku Saya - Travelog Hidayah


Travelog Hidayah - kilauan tajuk buku tersebut terus menyilau mata saya, dengan segera not merah dan hijau bertukar tangan untuk saya segera membeli dan membacanya.

Walaupun bersendikan tajuk sama dengan blog saya, yang pasti... ia bukanlah buku coretan saya.

Buku saya ? Skrip dan temanya masih terawang tinggi di alam khayalan. Entah mungkin atau tidak untuk menjadi kenyataan, atau sekurang2nya meninggalkan secebis warisan penyambung entiti kewujudan dan keberkatan.

Buat masa ini, biarlah saya bergusti dengan buku dan pembacaan, meladeni karenah fikrah, emosi dan saspennya ternyata amat mengujakan. Apa sahaja bahan bacaan yang saya anggap mempunyai nilai estetika manfaat untuk saya akan lekas saya tatapi, walau dalam apa bentuk genre penulisannya sekalipun.

Dan sedekad kepulangan saya ini, kesan mengulit maklumat dan informasi pelbagai rencah ini amat berbaloi. Baik untuk perbendaharaan kata, cantik untuk mengasuh kesopanan budi , santun dalam menelusuri perbezaan hujjah, unik dan bermutu untuk menilai cerlang atau malapnya asam garam kehidupan. Moga dengannya kita mengambil pengajaran.

Bukan kah para akademia pernah berdendang : Manusia adalah apa yang dia baca dan fikirkan.

Untuk itu, jadilah manusia berguna dan bermanfaat, sementelahan ajal masih belum datang menjemput.

Bersama coretan kiasan dan mainan bahasa puitis santai sarat tarbiyyah dari Ust Ridhuan Mohd Nor pasti merentap emosi kita buat seketika mengulit jalan cerita yang berlegar pantas memugar nasihat dan teladan. Ternyata buku ini teramat sarat dengan nasihat santai dan bersahajanya lewat pengkisahan.

Moga kita dapat mengekstrak khasiat pengajarannya.

Penulis : Bob Lokman & Ridhuan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Resources

Harga : RM16 / RM18

Anak remaja ini seolah-olah melepaskan rasa dendam semasa kecilnya yang dipasung oleh bapa yang sangat prihatin dengan akhlak anaknya. Ini kerana mereka adalah legasi Tok Kenali, ulama tersohor Tanah Serendah Sekebun Bunga. Dia menggelinjang keseronokan berada di wilayah baru tanpa ayah garang yang melotot pandangan mata yang tajam. Dia berlari sesuka hati dan menjadi tarikan pesona kepada bajingan tengik di asrama yang ditakluknya sebagai ‘wilayah jajahan’.

Hukum karma akhirnya menerkam dan menikam ubun-ubunnya yang hijau di dataran kehidupan yang berupa pentas opera. Bob Lokman terkucil dengan keonaran yang diciptanya sendiri. Dia terhukum kejam dengan dibuang asrama. Bagaimana akhirnya anak muda kail panjang sejengkal ini mengharungi hidup selepas SPM dan tanpa kertas maruah yang bernama ijazah, beliau menempuh carut-marut kehidupan di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang tidak bersahabat dengan manusia malas. Dia menjadi pemandu bas dengan menyanyi riang di tengah hiruk-pikuk anak sekolah yang melemaskan, berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan, dan menjadi kuli kasar di gedung studio.

Bob Lokman akhirnya terselit di tengah-tengah fenomena rock pada dekad 1980-an. Dia menjadi pencipta lirik yang akhirnya di tengah keriuhan anak seniman, dia terus membina nama di persada seni tanah air. Bob Lokman tersungkur dengan kegemerlapan namanya. Dia tersadung dengan kesakitan. Keperitan dan kejerihan hidup bertindan-tindih menerpa, meluluh lantak jiwa seorang bapa dan suami. Ujian demi ujian yang akhirnya menyeruak dunia kegelapan kepada jalan hidup berfikir.

Dia akhirnya menyapa hidayah Tuhan yang datang, dan kini sanggup berdada dengan sebongkah ujian. Dia sanggup menjalani kehidupan yang sederhana, membuang pakaian kesombongan yang dipakainya dalam dunia seni dengan seribu sihir yang memukau. Dia telah merasai dunia ketawa, dan kini tibalah masanya untuk dunia menangis, bersama gerakan Islam untuk memanggil insan lain bagi bersama-sama merengkuh kasih-sayang Tuhan, Sang Pencipta yang penuh dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

“Aku akan mati berjuang bersama dakwah dengan panduan alim ulama. Doakan aku teman…” ujar Bob Lokman dengan lirih, juga memanggil seluruh peminatnya untuk berada di jalan hidayah ini. – TRAVELOG HIDAYAH : AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI.

1 comment: