Saturday, November 19, 2011

Berguru Dengan Jibril



Hei kawan, sudahkah kalian bersedia untuk mendengarnya ??

Andai selepas ini, kalian masih menyangka aku gila dan sasau pun aku akan terima sahabatku, dengarlah dulu penjelasanku ini !!

Malam itu semilir angin malam bulan Syaaban berhembus tenang seperti biasa. Langit hitam mendakap malam dengan cengkaman dinginnya. Gelap jalan disimbah cahaya neon memudarkan sedikit kelam warnanya.

Usai aku menunaikan solat Isyak di Masjid Abdullah Badawi di Kepala Batas ini, aku berkelana menuju teratakku di bertam putra. Entah kenapa, hatiku terasa disapa sesuatu, ianya semakin lama semakin jelas , auranya menarik dan memimpinku untuk melencong keluar dari jalanraya menuju ke suatu tempat yang bersih dan agam. Bunyi cengkerik dan unggas menjadi orchestra malam menemani langkah gemuruh perasaanku yang dihimpit misteri. Gerangan petaka apakah yang menungguku disana.

Tatkala itulah aku mula diselubungi cahaya.

Cahaya didalam cahaya.

Aku terpaku. Mataku berpinar. Tanganku seperti menyentuh sesuatu.

JIBRIL …. Ya sememangnya JIBRIL !!? Aku tidak menipu.

Ini buktinya. Kalian lihatlah sendiri …


Ianya sebuah buku yang aku temui dalam timbunan buku motivasi agama yang berselerakan diatas pangkinnya. Entah kenapa hati ini terus disapa ceria dan berbunga harapan. Mungkin ianya benar sapaan dari JIBRIL kepada ku….

Ianya sebuah buku yang ditulis oleh seorang Ustaz Muda yang mampu menghafaz 30 juzuk al Quran dan mewakafkan dirinya untuk memotivasikan orang lain untuk sama menjiwai dan hidup bersama al Quran.

Ianya diformulakan secara mudah untuk kita berjaya menghafaz al Quran, dengan kaedah 3 baris ayat sehari, 3 kali ulangan , satu muka surat seminggu dan insya allah bagi yang kekal konsisten akan dapat menghafaznya dalam tempoh 7 tahun.

Dewasa ini, semakin ramai warga Muslim yang menjauhkan diri dari al Quran.

Tuntutan membacanya dan mempelajari teknik bacaannya semakin disisihkan dari keutamaan pembelajaran alaf baru gen Y sekarang ini. Apatah lagi suruhan menyelak tafsiran makna dan hikmat tersiratnya semakin pupus para penuntutnya….

Dan kekecewaan paling besar yang saya rasakan kawanku, hari ini tak kira golongan marhaen agama dari jalur remaja dan dewasa, mahupun golongan pak tua pengungsi setia serambi masjid bagi menghabiskan sisa usia mereka juga para cendikiawan yang berstatus elit agama dalam ceramah dan ilmunya seolah2 semakin lemah dan mudah mengaku kalah , tewas dan mengangkat bendera putih tanda berundur dari perjuangan jihad suci mendokong al Quran yang mulia ini untuk menjaga dan mengHAFAZnya.

Jarang di antara kita yang masih berazam untuk menghafaz al Quran, dengan alasan umur yang menginjak 40 an kita menyalahkan potensi akal yang semakin menyusut kuasa sedutan dan scanningnya, begitu juga hambatan keluarga dan profesion yang semakin ligat menghimpit kita ke penjuru masa yang sentiasa kehabisan. Mana mungkin kita mampu mengahafaz al quran , lainlah kalau kita baru berusia belasan tahun dan belum berumahtangga dan berkerjaya, nescaya lebih mudah , berdisiplin dan terurus untuk agenda murni hafazan al Quran ini. Mungkin kita telah terlewat, biarlah sahaja anak2 kita yang mewarisinya nanti, kita pastikan mereka akan cuba dan berjaya menghafaznya nanti….. pasti ini getus hati kita yang sentiasa kreatif menyulam alas an dan helah bela diri.

Tapi tahukah kalian, para sahabat Radiallahu anhum adalah penhafaz dan penjaga alQuran yang tulen.

Apa beza kita dengan mereka, kawan.

Mereka ada kerjaya dan perniagaan mencari rezeki yang memerlukan masa yang bukan sedikit , kawan. Mereka juga mempunyai anak isteri dan keluarga seumpama kita yang digalas tanggunjawabnya diatas pundak mereka sentiasa.

Namun yang lebihnya para sahabat, mereka juga di amanahkan BERJIHAD mengangkat SENJATA untuk mempertahankan agama dengan jiwa dan nyawa mereka, tapi kenapa mereka mampu menjaga dan menghafaz al Quran sedangkan kita tidak.

Berapa ramai para sahabat tua yang masih mampu berstatus HUFFAZ penghafaz al Quran tatkala mereka menerima Islam diusia yang sudah senja, adakah tua alasan mereka untuk mereka tidak menghafaznya. Adakah kesibukan mencari nafkah dan hambatan keluarga yang mengganggu menjadi alas an mereka …. , dan kita semua tahu jawapannya pasti tidak.

Mereka MAMPU menjadi HUFFAZ kerana mereka MAHU.

Kerana itulah para sahabat menyatakan teorinya, tatkala kami menerima 10 ayat al quran , tidak kami berpindah kepada ayat yang lain sebelum kami terus membaca dan memperbetulkan bacaan kami, MENGHAFAZnya, menyelediki dan mempelajari maknanya dan mengamalkannya . Dan inilah PETUA mereka yang menjadi formula keampuhan peribadi mereka.

Dan inilah sebenarnya kekuatan KAEDAH JIBRIL yang cuba dicetuskan al Fadhil Ustaz Ashraf Ayub ini bagi mengembalikan kegemilangan para penghafaz alQuran dan penjaganya di alaf gen Y ini.

Kaedah mudah dan santai , khususnya bagi mereka yang berkerjaya dan sibuk dihimpit urusan duniawi yang sepatutnya ditapis keutamaannya, ia juga buat golongan yang sedang menunggu panggilan tuhan untuk dijemput ke alam barzakh dengan muhasabah berpanjangan … tegakah kita menemui tuhan dalam pembaziran usia muda sebelum ini dengan jiwa dan dada yang kosong dari secubit ayat quran sahaja, banggakah kita dengan status keISLAMan kita nanti, juga bagi mereka yang MAHU dan TIDAK MUDAH MENYERAH KALAH untuk menjadi THE GUARDIAN OF THE HOLY QURAN ini.

Ayuh juga para agamawan yang bertitle ustaz, haji dan tuan guru dan puan guru.

Mari kita susun dan himpunkan semula hafazan ayat quran yang sedia ada, kita ulangi ia agar kental diingatan. Kita usahakan dengan hafalan yang baru walau berdikit perlahan, allah tidak akan Tanya kuantitinya tapi kita akan dihujani pertanyaan tentang usaha kearahnya.

Mari kita bernaung dibawah bayangan Quran ini, mengintai maknanya dalam siulan ayat2 quran yang kita ulangi saban hari. Ianya pasti penuh dengan hiburan jiwa melalui alunan dan rentak ketaatan. Bayangkan jua ianya akan menjadi pendorong terampuh untuk merasakan MURAQABAH dan pembenteng ajaib untuk kekal dilindungi dari virus NIFAQ dan FAHSYA’.

Percayalah, ianya penawar jiwa dan pemangkin kita untuk berani berdiri dikelam malam dengan penuh keterujaan .

Alhamdulillah, mujurlah kita sempat bertemu KAEDAH JIBRIL ini terlebih dahulu untuk menginsaf dan menyedarkan kita tentang tanggungjawab hafazan al quran ini, nasib baik kita tidak terjumpa KAEDAH MALAIKAT MAUT terlebih dahulu yang jawapannya pastilah kematian.

Adakah anda sudah bersedia untuk KAEDAH IZRAEL itu ???

Kawan, marilah kita menyahut seruan Allah ini. Allah mengajarkan kita al Quran, dan Alllah akan mempermudahkannya. Yakinlah !!

Jadilah Penjaga Al Quran !!!

No comments:

Post a Comment