Friday, April 29, 2011

Pesimis Dakwah (Siri 2)



Tipikal Daie

Hati saya berkaca sedih, rupanya tipikal ini tidak membantu kita.

Amarah dan gelojak negative para ustaz ini sama sekali tidak membantu.

Kejian dan amukan cacian untuk menimbulkan kesedaran ini bukanlah senjata tepat untuk menjala kebaikan dan keinsafan, ianya mungkin persis salakan anjing yang membingit telinga namun tidak pernah merubah keutuhan bukit yang bermegah.

Aduh tuhan…. Saya memohon maaf. Kiranya saya masih di buai tipikal jahiliyah ini.

Menuding jari dan membilang kebobrokon masyarakat hanyalah satu pesimis dakwah yang tidak akan memberi manfaatnya.

Dan leteran negative itu walau berulang hanyalah akan menimbulkan pagar yang memisahkan kesatuan hati kita, menjarakkan hubungan dan menyiram dendam dan permusuhan…

Daie BerAura Negatif

Sesuatu yang negative akan terus membawa aura negative. Formula matematik yang kita hafal dulunya juga menyatakan demikian , ianya tidak mudah menjadi penawar dan penyuci hati.

Bahkan ianya cepat meruap emosi bertentangan.

Dan sememangnya mudah untuk para ustaz membawa rungutan, leteran dan cemuhan.

Merungutlah wahai sang ustaz kerana ianya mainan kata-kata yang terlampau mudah untuk diucapkan.

Meleterlah wahai para penceramah kerana ianya bebas dan mudah mengatakan sesuatu dengan emosi yang dilepaskan kemuaranya tanpa tertahan.

Dan cemuhlah wahai para pendakwah, kerana ianya terlalu mudah untuk menghamburkan kata nista tanpa perlu dilapik alas an menjaga perasaan dan hati…

Daie Rabbani

Tapi inikah sikap para pendakwah rabbani, pendakwah yang berpakaian dengan akhlak dan keilmuan yang mulia, pendakwah yang dipuji sebagai pasukan umat yang terbaik.

Terbaikkah kita jika menjadi :

Pendakwah yang bercakap bebas tanpa berfikir. Pendakwah yang menghukum tanpa menganalisis. Pendakwah yang menjauhkan ramai hati dari menghimpunkannya, pendakwah yang mudah membuat kesimpulan berbanding mencari alternative ilmuah penyelesaian masalah.

Teringat saya dibalik rimbunan kabus dakwah yang menebal di Sabah dahulu, saya berkenalan dengan satu sosok manusia yang serba sederhana pada penampilannya, menjawat status guru matematik tambahan tidak pernah menghalangnya untuk berposisi sebagai daie dan pengislah masyarakat.

Dan ditengah keributan badai yang menerjang benih agama yang mula bercambah disana, beliau selalu mengingatkan saya dan para sahabat pemuda dakwah …

Belajarlah memberi yang terbaik kepada agama, belajarlah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu dan kesabaran, suntiklah kepada mereka dengan kebenaran dan keyakinan kepada islam

Dan antara pesanannya yang saya masih ingat , jadilah pendakwah yang bukan hanya bijak menghentam dan mengupas isu, bukan juga meniru burung kakak tua yang setia mengulang leteran dan rungutan ,bukan juga menjadi pak lawak yang membikin lelucon menjaga reputasi…

Tapi jadilah seorang pengislah masyarakat yang baik dan berilmu.

Jangan biarkan masyarakat terpinga2 mencari kesimpulan dan penyelesaian dalam lenguhnya telinga menangkap butir bicara yang berjam lamanya.

Permudahkan mereka untuk memahaminya dengan menggaris noktah penting untuk mereka hadam pada akhirnya, dan yang terlebih baik .,… nyatakan dengan jelas kepada pendengar apakah tindakan yang sepatutnya kita lakukan ….

Apakah kerja kita ? apakah tindakan kita ?? apakah penyelesaian yang boleh kita cuba dalam menghadapi situasi itu dan ini…

Kerja Untuk Daie Bekerja

Dan hari ini, kalau kita berjaya menyuntik motivasi dan menimbulkan kesedaran audiens… kekadang impaknya tidak lama berkekalan.

Dan untuk mengatasinya …. Kita harus mula menggariskan kerja dan tindakan. Kita harus mula beraksi dan bukannya terus dibuai mimpi.

Dan sebagaimana program2 training yang diadakan, pastinya penghujung rancangan mereka tersembul pelbagai resolusi disidang pleno yang diadakan.

Oleh itu, mengapa tidak kita para ustaz dan pendakwah sekalian, menggunakan methodhologi ini dalam berdakwah…

Jadilah manusia yang lebih bertanggungjawab ketika bercakap.

Marilah sama kita bereksperimen mencari jalan alternative dan penyelesaian.

Sampaikanlah kepada masyarakat dengan penuh kasih saying dan harapan…

Moga kita bebas dari sebongkah cubaan tuhan..

Di akhir zaman ini..

Pesimis Dakwah (Siri 1)

Hati yang suram

Entah mengapa pertapaan di serambi ilmu malam itu terasa panjang. Duduk sila saya perkemas berulang kali. Tak betah dan tidak selesa.

Kitab PENAWAR HATI yang menjadi medium dakwah pada malam itu saya selak helaiannya. Kandungannya amat berguna buat mencetuskan keinsafan diri pada hati yang sering alpa dalam menjalani kehidupan yang beragam sepak terajangnya. Ianya mengembalikan kesedaran diri untuk terus tega memegang istiqamah menempuh jalan hidup yang penuh suci walau dihimpit debu jahiliyyah yang mengapung tinggi.

Penceramah malam ini juga agak baik kupasannya, sebutannya lancar dan berintonasi, beliau cekap memilih ayat al quran untuk di jadikan sendi berhujjah, bijak menghidupkan suasana dan informasinya segar dengan contoh isu semasa yang terpilih.

Suara penceramah menggegarkan podium medan dakwah malam itu. Sempurna dan tiada celanya.

Suasana malam juga tenang dan dingin seperti biasa, tiada yang luarbiasa pada malam yang dibalut selimut kegelapan itu, dengan kapasiti audiens sekitar 30 orang malam itu juga sudah memadai membangkit deria ceria dan semangat para ustaz penceramah untuk terus berkongsi berita dan cerita berselit pesanan.

Tapi hati saya terasa tawar, jiwa sedar saya terasa ngilu, pijar terasa meruap emosi saya.

Buku Penawar Hati di malam itu semakin tawar, suram dan tidak menyentuh hati.

Ratib Sang Pendakwah

Motifnya menyentuh hati dan menyucikan jiwa tersangkut dibilahan kata yang dilontarkan sang penceramah, ianya bak lahar amarah yang membuak keluar dari sebongkah gunungan kesedihan dan kesayuan melatari kesongsangan budaya dan kebejatan social tanpa batasan yang berlaku sekarang ini.

Mungkin kerana itulah sang penceramah terus meratib dan membilang tasbih kesalahan umat islam hari ini yang bergelumang dengan segala najis kekhilafan dosa yang berlaku. Petanda akhir zaman yang melanda umat ini adalah mukjizat pembuktian kebenaran kata-kata nabi mulia memaparkan sisi episode akhir yang pasti berlaku. Dan nah, dihadapan kita ianya menjadi busung barah yang sudah menanah busuk dan tiada penawarnya lagi.

Dan begitulah bila penceramah terus menuturkan hadis nabi yang mengisahkan kita di akhir usia zaman ini , Akan datang suatu masa nanti,umat islam tidak akan dikenali lagi kecuali pada namanya , quran semakin terpinggir dan terpenjara hanya pad mushafnya, masjid menjadi istana besar yang tersergam dengan kemewahan tapi miskin dengan hidayah, para ulamaknya pula adalah seburuk2 manusia yang menghuni muka bumi….

Dan beliau terus berceloteh, sama seperti watak penceramah yang tipikal, dan saya mungkin antaranya …… menuduh kebobrokan dan ketololan masyarakat, menghina generasi muda yang terus dibius keseronokan palsu, menghentam warga yang menghindar masjid , menghukum dan terus melabel kesalahan pemimpin , dan kekadang terus bijak merobek maruah diri orang lain, tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Hari ini kes buang bayi melambak di pasaran… , mengikut perangkaan JPN, anak luar nikah sudah mencecah 300 ribu orang dalam masa setahun, kalau dizaman firaun yang bertuhankan ego dan kesombongan diri, mereka cekap memilih jantina bayi lelaki untuk dibunuh dan berbeza di zaman masyarakat jahiliy yang meninggalkan hanya spesis lelaki agar terus hidup dan kekal terhormat.

Tapi kita kini terlampau bodoh untuk memilih, hauskan darah tanpa mengenal jantina, kita bunuh semuanya.

Dan minggu ini, anak2 kita semakin kreatif, bijak bercinta, bijak berzina dan bijak membunuh.

Walau pelbagai tangkapan dibuat ianya seolah gagal melumpuhkan kreativiti gila ini.

Inilah salah pemimpin…..

Salah masyarakat……

Salah ibubapa ….

Salah ……..

Tapi ? Apa penyelesaiannya ??? Apa yang boleh kami para pendengar untuk berperanan ??

Tuesday, April 26, 2011

Jumaat di Bertam Putra


Saya mendiami bumi yang bernama BERTAM.

Bertam ialah sebuah bandar satelit di daerah asalnya kepala batas.

Kemajuan dan pembangunan yang dirangka mendadak semenjak PAK LAH menaiki tampuk pemerintahan negara tempohari menjadikan nama bertam dan kepala batas meniti disetiap bibir kontraktor untuk mendapatkan bidaan kontrak yang melambak di pasaran.

Semenjak itu pelbagai perancangan bandar yang bertaraf elit dirangka di daerah yang bersempadan dengan negeri kedah ini dijangka dapat menerima tempias pembangunan pesat dibandar kedua termaju di Kedah iaitu Sungai Petani.

Bertam membangun dengan pantas seiring kepantasan pendakian PAK LAH ke mercu utama politik negara yang tidak sunyi dengan konfliks dan kemelutnya.

Dan ianya terbahagi kepada tiga kawasan yang sebenarnya merupakan 3 taman perumahan terbesar iaitu Bertam Indah, Bertam Perdana dan Bertam Putra. Infranstruktur yang mula melebar dengan jaluran jalan raya serba lebar dan tertegaknya beberapa kolej universiti antaranya usm dan uitm serta megahnya bangunan institusi pendidikan elit seperti mrsm kepala batas dan sekolah menengah sains kepala batas pantas mengundang kebanjiran penduduknya.

dengan kepadatan yang melimpah melihatkan setiap taman mula memperkemaskan susunan pola keselamatan dan yang terutamanya kerukunannya, dan yang paling utama ianya perlu dijana dengan kesatuan kerohaniaan yang tinggi bermula di surau2 kecil sekitar bertam.

berbeza dengan bertam indah yang merupakan perumahan pertam di bertam ini dan memulakan operasinya lebih awal, prasarananya lebih lengkap dan tersusun. ianya mempunyai masjid yang tersendiri dan mampu menampung ribuan jemaah.

namun bagi kami yang menghuni perumahan baru di hulu bertam, sebuah bangunan masjid besar yang akan di masyhurkan namanya sebagai Masjid Abdullah Fahim sedang dalam pembinaannya yang sedang rancak berjalan.

Dan dengan kerjasama masyarakat disini yang kental dengan jiwa agamanya, maka kebenaran awal untuk mengadakan jumaat di sebuah surau taman perumahan disini telah memudahkan dan menguntungkan banyak pihak.

dan saya antara yang bertuah menikmati solat jumaat yang berkapasiti 400 orang itu dengan damainya di perumahan saya sendiri, bertam putra.

moga kerukunan dan kedamaian taman ini akan terus diberkati yang maha kuasa.