Thursday, March 22, 2012

Rutin Masaku


Hey Kawan, Moga kalian sihat disana !

Aku disini masih di jera timbunan tugas yang menghimpit. Ku dayung langkahku laju menyonsong arus kerja yang mula beralun gelombang kesibukan. Alunan arus dalam alur sungai kerjaya ini kekadang bergerak tenang tanpa riak gelombang tapi kekadang terjahan ombaknya amat keras melambung aku ke perdu diri kepenatan.

Alhamdulillah, pagi tadi aku selesai mengadili penghakiman SYARAHAN SPONTAN bagi peringkat zon satu di bukit mertajam, acara MTQ kali ini berlangsung lancar dengan mempertaruhkan pertandingan yang berfokuskan kemampuan menghayati kalam allah yang mulia ini. Hanya acara hafazan, tilawah dan syarahan sahaja yang dipertandingkan kali ini. Itupun syarahannya sudah tidak lagi perlu bergomol dengan teks yang panjang. Hanya dengan 5 minit syarahan dan 2 minit untuk mengitari memori dengan kandungan kupasan tajuk spontan, tugasan penjurianku deras menuju penamatnya.

Pemerhatianku kawan, anak2 didik kita ini sebenarnya mampu untuk menguasai maudhuk syarahan ini dengan baik. Dengan sedikit tunjuk ajar dan juga latihan mengenai format mengutarakan pandangan melalui syarhan yang bersifat spontan ini, syarahan mereka sudah ku kira bernas dan baik prestasinya. Dalam tak terduga, ada dalam kalangan peserta tadi yang mengupas tajuk spontan dengan baik disokong dengan dalil dan fakta lagi. Terdetik dihati kecilku ..... pendedahan dan peluang sebegini tidak pernah wujud dizaman remaja ku dahulu. Moga generasi baru ini akan lebih mantap dan berinspirasi kreatif dalam uslub dakwah mereka.

Usai penghakiman, aku dijemput ke bilik penyelaras agama di PPD tengah, bertemu dengan Ustaz Sobri dan kemudiannya dengan ketua unit akademik En Azzudin banyak mengajarkan aku tentang struktur dan kerja pengurusan akademik yang penuh dengan prosuder dan semangat ingin berkongsi kejayaan sesama anggota ppd yang sama. Dipenghujungnya, aku disunting untuk turut serta berkongsi ilmu dan memartabatkan bahasa arab yang semakin hari keputusannya semakin merudum di daerah tengah ini.

Aku tersenyum kelat .... Dalam hatiku, tentera pesimis cepat meluncurkan idea buruk kepadaku, kepenatan dan kekangan masa untukku belajar pasti menghambat kudrat tulang empat keratku ini, apatah lagi minda tua ku ini. Namun tentera optimisku mula berbicara, menangkis satu persatu alasan buruk yang menelurkan kelunturan semangatku. Mereka mengangkat panji semangat UKHUWWAH dan TEGA MEMBANTU patut aku budayakan dalam kehidupan ini.
Dalam pengorbanan penat membantu rakan - Allah pasti akan melepaskan kepenatanku berdepan huru hara mahsyar nanti.

Setelah sejam berbahasa dan berbahas panjang lebar. Aku akur dan bersetuju untuk turut berkongi idea dan bukannya menongkat diri ke persada populariti. Aku hanya insan kerdil yang tidak mempunyai apa2, kelebihanku adalah anugerah Allah yang hanya dipinjamkan buat aku membantu sesama insan, tanpa izinNYA aku bukanlah sesiapa !! Terngiang ditelingaku sang raja SULAIMAN bertitah insaf tatkala meladeni nikmat tuhan yang teramat banyak untuk dirinya yang merajai dunia : Semua ini adalah anugerah tuhanku, hadirnya untuk mengujiku samada aku mampu menjadi insan bersyukur atau tertewas kufur.

Jam 2.30 aku bergegas pula kepadang SM Sains Tun Syed Shahabudin di tengah bandar Bukit Mertajam yang berjarak hampir 45 km dari rumahku. Hadirku sebagai guru penasihat kelab bolasepak yang sudak membuat sepak mula pertandingan peringkat daerah sejak awal minggu ini yang menuntutku menghabiskan masa membentuk dan mencorak pasukan bolasepak ALMA ini yang sebenarnya sudah lama tersembunyi taringnya.

Walaupun proses harianku ini menjerihkan fizikal, tapi nikmatnya kekal sempurna apabila aku pulang ceria setelah pasukan Alma ku berjaya menewaskan SMK Berapit dengan keputusan 2-0 dan sehari sebelumnya menundukkan SMJK C Jit Sin dengan keputusan 4-0. Dan esoknya , kami di adukan pula dengan SMK Machang Bubuk yang sebelum ini menang bergaya dengan jaringan besar 3-0 dan 6-0.

Esok ya !! Buku akan bertemu ruas untuk menentukan juara kumpulan.

Dan aku pulang dalam senja yang mula kelabu dengan kepuasan.

Aaah, Nasib baik malam ini tiada kuliah maghrib ku .....

3 comments:

  1. syeh, enta jadi guru penasihat b/sepak sek sains plak? enta ngajar sana plak ke?

    ReplyDelete
  2. Bisa bonar sahabat kito ni...hakim syarah + penasihat bola plak...tak sia2 lah pindah dr Sabah ke Penang

    ReplyDelete
  3. Syukran untuk sahabat berdua, pastinya antuma pun lebih sibuk dari ana kat sini.
    Ana hanya dilantik jadi guru penasihat aje, tugas kejurulatihan dipangku oleh en nizar, staf sekolah ana. Ana hanya bantu setakat mana yang mampu.
    SMK Sains tu adalah venue pertandingan di bahagian tengah iaitu kawasan bukit mertajam ni kerana punya padang yang luas dan standard.
    Memang seminggu dua ini terpaksa sibuk ke acara ko kum la pulak sebab kami dah berjaya masuk suku akhir dan lepas ni juga ada MTQ.
    Moga allah meredhai kita semua dan mempermudahkan kita, dengan cara yang dikehemdakiNYA jua.

    ReplyDelete