Friday, August 17, 2012

Aku dan Tazkirah


Tazkirah oh Tazkirah !

Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan tarbiyyah.

Allah mengajar kita untuk merasakan keprihatinan dan kebersamaan secara praktikal dan amali.

Kita diajar untuk turun ke padang merasai denyut nadi sebenar seorang hamba yang sentiasa meletakkan pergantungannya pada sang pencipta di setiap saat yang berlari. 

Bersabar dengan gigitan kelaparan yang memamah ususnya dan bersyukur pula tatkala kerongkong segar dibasahi nikmat air ketika berbuka, bersungguh pula untuk kekal berdiri dalam saf terawih para hamba yang membenarkan janji tuhannya serta bermujahadah pula untuk kekal bertenaga memburu cahaya hidayah dalam kelam malam yang menyelimuti.

Tapi, tiada maknanya ramadhan jika kita mempunyai hati yang tidak mahu dididik dan ditarbiyyah.

Meladeni ramadhan sekadar rutin dan meneruskan peribadatan sebagai adat yang kosong dari jiwa kehambaan, apatah lagi kefahaman ilmu dan jauh lagi dari merasai keseronokan nikmat ibadat itu sendiri.

Alhamdulillah, dibumi mutiara ini masjidnya subur dengan tazkirah.

Pentasnya sentiasa terisi dengan adunan ilmu yang menyegarkan minda dan jiwa. Ianya tidak pernah menghampakan, ia mempunyai peminatnya tersendiri kerana dengan mudah menghimpunkan ratusan hati untuk kekal menadah hamburan ilmu sepanjang maghrib yang berlangsung.

Jika ini fenomenanya di bulan2 sepanjang tahun, tak hairanlah jika Ramadhan kekal berseri dengan siri tazkirah pencerahan dan perkongsian.

Alhamdulillah kawan, allah memberikan aku peluang berkongsi dan menimba ilmu di pulau yang terserak mutiaranya di pasir ilmu dengan mudah dan tenang.

Namun, ada yang memandang pesimis fenomena ini dan menyatakan ianya bidaah alaf baru untuk menyuburkan perasaan membenci dan bermusuh antara umat, bahkan ianya hanya menjauhkan lagi massa dari rumah allah dibulan ibadat ini. Ianya sememangnya amat mengganggu rutin ibadat di bulan mulia ini. Benarkah ??

Emmm, bagaimana pula kalian ? Apa komen dan pandanganmu kawan ?

Aku juga sebenarnya berada dipersimpangan dilemma. Setiap perkara ada sisi positif dan negatifnya bukan.

Aku lebih suka memilih kebaikan dalam setiap perkara. Memilih yang mudah dan baik itukan prinsip dan cara berfikir nabi untuk umatnya.

Kekadang aku bersetuju dengan pesimis kata yang bersulam frasa sinis seumpama tadi, mungkin beberapa pengalaman peribadi dan omelan rakan yang menyampaikan respon kurang enak pelbagai versi tazkirah yang pernah mereka dengari sebelum ini menjadi fakta kurangnya kewajaran dan keberkesanan tazkirah ini.

Tanpa disangkal, ada beberapa pemberi tazkirah yang menggunakan pentas terawih ini untuk menjuarai isu rakyat dengan pidato mengapi-apikan isu semasa, mengajak memilih antara intan dan kaca, melunaskan dengan contoh dan perumpamaan yang segar dibenak minda namun terpaksa memilih wacana kata2 yang agak tengik dengan nista mahupun perbandingan yang terbias citra tajam negatifnya. Pastinya ia akan menikam kelompok pendengar yang hadir. Tapi belum pasti adakah tikaman itu tepat untuk membunuh dengan cara yang ihsan (mempermudahkan kematian) atau ia hanya tikaman kejam yang meluka dan menyeksakan.

Ternyata, bukan sedikit masa juga perlu diambil untuk mengupas tazkirah seperti ini yang berkapasiti besar dan serius untuk dihadam. Akhirnya, sesi tazkirah menjadi panjang menjangkau masa 45 minit hingga ke sejam. Apatah lagi ianya sengaja di susun di celah terawih untuk memerangkap para pendengar supaya terus setia dan terpaksa rela mendengar tazkirah.

Aah, tahukah engkau kawan ? situasi sebegini kerap membunuh mood beribadat.

Kesannya, hati yang dilentur untuk lembut mendekatkan diri kepada pencipta menjadi keras dalam acuan benci dan amarah. Rasanya ia adalah situasi yang tidak wajar dan perlu diubah.

Aku gemar memilih method sederhana.

Sederhana dalam isi kupasannya begitu juga bersederhana dalam rangkuman masa penyampaiannya.

Sederhana dalam memilih bilahan katanya dan bersederhana dalam membidik perbandingan yang ku harap bias mengenai hati dan pemikirannya.

Melalui pengalaman, aku lebih menyukai tazkirah yang disusun bukan untuk memerangkap pendengar, walaupun ada kebaikannya memaksa jiwa dengan ilmu dan peringatan agar sedikit sebanyak mampu meresapi hati dan perubahannya, apatah lagi jika kalangan khalayak itu sememangnya terkenal sentiasa membelakangi masjid kecuali di bulan ramadhan sahaja.

Tapi tazkirah yang diposisikan sebagai pemula selepas isyak senantiasa bertindak untuk memotivasikan. Dan jika menjadi penamat selepas witir ianya menjadi peringatan bermakna bagi mereka yang sentiasa sudi dan mahu ditarbiyah. Hati lebih mudah tersentuh dan kekentalan ego  jiwa lebih cepat mencair. Tidak memaksa. Tidak terkejar2. Semuanya adalah relaks dan rela.

Aku juga menyukai tazkirah yang berdurasi sekitar 20-30 minit sahaja. Mood ibadat terawih yang menjadi tema ramadhan harus dipupuk dan disemai. Ianya perlu diperkasakan bukannya perlu digantikan dengan alternatif baru. Suburkan kesedaran beragama dan membangkit rasa meluap untuk beribadat adalah faktor utama untuk Tazkirah. Biar diri menjadi lahap untuk merebut tawaran cinta ilahi ini. Pengalamanku, tazkirah yang meleret panjang member kesan kepada kedatangan jamaah disurau ku keesokan harinya.

Nanti ada yang bertanya, mana mungkin tazkirah oleh seorang pemidato hebat hanya perlu disekat untuk masa yang singkat, mukaddimah pun biasanya setengah jam.

Maka jawapannya kawan bukan terletak padamu tetapi kepada para pemberi tazkirah yang HEBAT itu, merekalah yang perlu tahu tentang keutamaan waktu dan kewajaran situasi, merekalah yang terlebih dahulu memilih isu, berfikir tentangnya, memasakkan maklumat dan fakta berkaitannya dan memilih olahan yang terbaik buatnya. Bukanlah yang hebat namanya jika ia menghamburkan apa sahaja yang diketahuinya bak bebelan para ibu terhadap zuriatnya yang pemalas. Kalau begitu, sang ibu juga boleh dijemput kepentas tazkirah suatu hari nanti.

Teringat aku pada pandangan guruku.

Khutbah hanya perlu membidik hati dan perasaan. Ia seni menerobos dalam diri membangkit sedar dan menyuntik keinsafan. Ia kata guruku USLUB ADABIYY sepenuhnya. 

Lihatlah khutbah nabi yang dipenuhi ayat2 cinta dan keinsafan petikan dari quran semata2.
Ianya membangki jiwa dan rohani. Memangkin perubahan. Membentur diri dengan akhlak terpuji.

USLUB ILMIYY diadun dalam kuliah dan pengajian. Berwatak akademik. Lebih gemar bercakap kepada minda dan logic dengan susunan fakta dan idea yang terbaik. Ianya lebih formal dan serius.

Dan aku lebih suka untuk memilih hati dalam sesi tazkirah.

Moga ianya memotivasikan dan bukan memandulkan ibadat.

Moga ianya mendekatkan dan bukan menjauhkan.

Moga ianya menghimpunkan dan bukannya memecahbelahkan.

Moga amalanku diterimanya.

No comments:

Post a Comment