Saturday, August 11, 2012

A to Z - Mendambakan Malam Seribu Bulan

Oleh Dr.Norazamudin bin Umar, Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pendidikan Islam an-Nur( Tahfiz).

Apabila kerajaan mengumumkan bonus hari raya setengah bulan dan minimum 500  ringgit semua  kakitangan awam gembira dan tetapi tersenyumkah kita apabila Allah swt memberi bonus seribu bulan kepada kita pada salah satu malam dari sepuluh malam yang terakhir di bulan yang mulia ini. Firman Allah (s.w.t):
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” Surah al-Qadr ayat 3

Sabda Rasul (s.a.w):
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ  كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
“ Dari A’isyah R.anha berkata: “Adalah Rasul (s.a.w) beri’tikaf pada 10 hari yang terakhir dari bulan Ramadan dan bersabda: Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan.” Hr al-Bukhari

Dalam riwayat yang lain juga dari ‘Aisyah R.a bahawa Rasulullah (s.a.w) bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
 “Carilah lailatul-qadri itu dalam malam ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan –iaitu malam ke  21,23, 25, 27 dan 29. (HR al-Bukhari) ‏

Hakikatnya siapa sahaja boleh mendapat ganjaran lailatul Qadar mengikut amalan yang ramai yang menyangkakan lailatul qadar hanya untuk orang yang melihat tanda-tandanya lantas ramai yang mencari tanda-tandanya sedangkan malam al-Qadar merupakan anugerah Allah swt kepada mana-mana hamba-Nya yang menghidupkan malam tersebut dengan ibadat. dilakukan oleh seseorang pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan.

Sekiranya amalannya  berbuka puasa, solat maghrib di rumah, solat Isyak berjemaah dan solat terawih 8 rakaat serta witir 3 rakaat dan sahur di awal pagi maka itulah amalan yang dia perolehi pada malam al-Qadar. Ringkasnya apa jua amalan yang dilakukan antara azan maghrib sehingga azan subuh, maka ia mendapat ganjaran beribadat 1000 bulan. Sekiranya sedikit amalan yang dilakukan maka sedikitlah ganjarannya dan sekiranya banyak amalan yang dilakukan maka banyaklah pula ganjaran yang diperolehi.

Supaya kita mendapat ganjaran maksimum pada malam al-Qadr digariskan dalam perenggan yang berikut beberapa cadangan pengisian 10 malam terakhir yang boleh dipraktikkan supaya kita tergolong di kalangan mereka yang memperolehi keuntungan bonus 1000 bulan (83 tahun 4 bulan).

(a) Beriktikaf pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan. Dengan beri’tikaf bermaksud kita mendapat ganjaran beri’tikaf selama 83 tahun 4 bulan sekiranya bertepatan dengan malam al-Qadr.  I’tikaf bermaksud berdiam diri di masjid untuk melakukan ibadah. Hukumnya adalah yang sunat bagi kaum lelaki dan harus bagi perempuan dengan syarat mendapat keizinan wali. Ia sunar di setiap waktu dan diutamakan pada bulan Ramadhan, dan lebih dikhususkan sepuluh hari terakhir untuk mengharapkan datangnya Lailatul Qadr. 

Sabda Rasul (s.a.w) :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ  كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: Dari Abdullah bin ‘Umar (R.anhuma) berkata: Adalah Rasulullah (s.a.w) beri’tikaf pada 10 hari yang terakhir dalam bulan Ramadan.” Hr al-Bukhari.

Dalam riwayat ‘Aisyah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari pula dinyatakan bahawa Nabi (s.a.w) beri’tikaf pada 10 hari yang terakhir dari bulan Ramadan dan ini menjadi amalan baginda (s.a.w) sehingga baginda (s.a.w) wafat dan amalan I’tikaf diteruskan oleh isteri-isteri Nabi (s.a.w) selepas baginda wafat.

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa tiada masa minima untuk I’tikaf. I’tikaf sah walau hanya duduk seketika di dalam masjid. Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

“Adapun tentang minima tempoh I’tikaf, pendapat yang benar yang diputuskan oleh jumhur ulama’ ialah disyaratkan berada di dalam masjid, dan dibenarkan melakukannya dalam tempoh yang panjang mahupun pendek, hatta walau satu jam mahupun seketika” [al-Majmu’, 6/514] (Dipetik dari http://soaljawab.wordpress.com/2011/08/15/panduan-ringkas-itikaf/.

I’ktikaf yang paling baik ialah dilakukan di masjid yang melakukan solat Jumaat dan boleh juga dilakukan di musalla atau surau yang didirikan solat berjemaah lima waktu. Supaya mendapat pahala beri’tikaf seseorang itu perlu berniat seperti sahaja  aku beri’tikaf di masjid ini kerana Allah (s.w.t)

(b) Sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan berada dalam keadaan bersih seperti bersiwak, memakai pakaian yang cantik serta memakai wangi-wangian bagi kaum lelaki.  Sekiranya pada waktu yang biasa pun kita digalakkan berada dalam keadaan berwuduk maka lebih utama untuk kita berada dalam keadaan berwuduk pada malam yang berlakunya malam al-Qadar. Sesetengah ulama berpendapat adalah digalakkan untuk kita mandi pada setiap malam al-Qadar.

(c) Berusaha untuk menjadi muazzin(bilal) pada salah satu solat maghrib atau Isyak. Jika bertepatan dengan malam al-Qadar kita mendapat ganjaran azan 83 tahun!

(d) Berusahalah untuk berbuka puasa di masjid dan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa walaupun dengan sebiji kurma. Saya melihat amalan ini hidup di masjid al-haram. Setiap orang berlumba-lumba untuk memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan pelbagai cara. Pernah suatu petang saya diberi sebiji kurma oleh seorang hamba Allah dan saya bersolat maghrib di hadapan Ka’bah dan dengan kurma yang diberikan oleh hamba Allah tersebut saya berbuka kerana itu sahaja makanan yang ada di tangan saya.

Belilah sekotak kurma tangkai atau kurma madu dan bawalah bersama semasa berbuka di masjid, insya Allah ada orang yang akan memakan kurma tersebut dan Nabi (s.a.w) menyebut orang yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa mendapat pahala sama dengan orang yang berbuka puasa. Bayangkan kita mendapat pahala memberi makan kepada orang yang berbuka puasa selama 83 tahun!

(e) Mulakan berbuka dengan makanan yang sederhana dan sebaik-baiknya dengan buah rutob (kurma basah) atau tamar (kurma kering) seperti yang dilakukan oleh Rasul (s.a.w) supaya kita dapat melakukan solat sunat 2 rakaat sebelum maghrib dan sementara menanti iqamat isikan masa dengan berzikir,berselawat atau mana-mana amalan supaya kita tergolong dalam golongan yang benar-benar menghargai waktu yang sangat berharga. Ingatlah ia datang sekali setahun sahaja.

(f) Dicadangkan supaya Imam memanjangkan sedikit solat maghrib dari biasa untuk merebut pahala yang besar. Semakin panjang ayat yang dibaca, semakin panjang bacaan-bacaan yang dibaca dalam rukuk dan sujud, maka semakin banyak ganjaran yang diperolehi kerana ganjaran pahala adalah berasaskan kesusahan yang dilakukan,namun perlu diingat sekiranya imam mendengar tangisan bayi maka bersegeralah memendekkan bacaan dan solatnya seperti yang dilakukan oleh Rasul (s.a.w).

(g) Jangan abaikan wirid selepas solat kerana ingin mengejar makan. Jangan lupa istighfar, ayat kursi, tasbih,tahmid, takbir masing-masing 33 x dan akhiri dengan memperbanyakkan doa kepada Allah (s.w.t). Antara doa yang dianjurkan oleh Rasul (s.a.w) untuk diperbanyakkan  yang diajar kepada Sayyidah ‘Aisyah (r.anha) sekiranya bertemu dengan malam al-Qadar ialah  اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تٌحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي   Maksudnya:“Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha pemaaf dan mulia, kamu suka memaafkan, maafkan aku.”HR Imam al-Tirmizi.

(h) Solat sunat selepas maghrib. Panjangkan bacaan anda dalam solat sunat dari kebiasaan diikuti bacaan 5 muka surat al-Qur’an sebelum makan makanan yang berat.Sekiranya berkemampuan kurangkan makanan kerana makan yang banyak boleh menyebabkan rasa mengantuk.

(i) Menjaga adab-adab ketika makan. Mulakan dengan doa dan ramai yang lupa membaca doa selepas makan. Hayati doa yang kita baca sebelum dan selepas makan. Lihat Nabi  (s.a.w) mengajar kita memohon perlindungan dari azab neraka sebelum makan dan mensyukuri nikmat Islam selepas makan. Fikirkan apa kaitan makan dengan azab neraka!!! “Ya Allah berkatilah apa yang engkau rezekikan kepada dan selamatkan kami dari azab nerakamu” dan doa selepas makan : “ Segala puji bagi Allah yang memberi makan kepada kami dan jadikan kami dari kalangan orang Islam.” Ini menunjukkan makan bukanlah matlamat!!!Kita makan supaya kita dapat beribadat yang menjadi salah satu sebab untuk menjauhkan kita dari apa neraka…

(j) Perbanyakkan membaca al-Qur’an. Letakkan target contohnya untuk mengkhatam al-Qur’an dalam tempoh sepuluh hari yang terakhir. Ini bermakna target anda tiga juzuk satu hari. Saya masih ingat saya pernah mengikut sekali beberapa orang anak muda yang menghidupkan 10 malam terakhir yang solat tahajjud seawal jam 1 pagi sebanyak 8 rakaat dan mereka khatam al-Qur’an dalam 10 malam tersebut. 3 juzuk bersamaan 60 muka surat dibahagi 8 rakaat, bermakna setiap rakaat mereka akan membaca 7½ halaman. Kita mungkin boleh mengikut amalan ini. Kalau di Mekah dan Madinah mereka akan membaca 20 juzuk pada sepuluh malam terakhir. 1 juzuk dalam solat terawih yang dilakukan sebanyak 20 rakaat. Ini bermaksud 1 muka surat setiap rakaat dan 1 juzuk dalam solat tahajjud yang dilakukan sebanyak 10 rakaat. Kalau jutaan manusia di Mekah dan Madinah mendapat ganjaran ini maka bagaimana kita?

(k) Solat sunat sebelum isyak 2 rakaat

(l) Imam memanjangkan bacaan dalam solat Isyak dan solat terawih berbanding dengan 20 hari yang awal dari bulan Ramadan

(m) Imam dan makmum jangan abaikan wirid selepas solat Isyak. Sekurang-kurangnya membaca tasbih, tahmid dan takbir 11 x atau 33x seperti yang dianjurkan oleh Rasul (s.a.w).
 
(n) Panjangkan solat sunat selepas Isyak dari kebiasaan

(o) Cubalah sedaya upaya untuk solat terawih sebanyak 20 rakaat. Ingatlah bonus 1000 bulan hanya datang sekali setahun dalam tempoh lebih kurang 11 jam sahaja, apa ruginya kita menghidupkan 11 jam x 10 hari=110 jam berbanding  24 jam x 360 hari=8640jam. Baru 1% dari kehidupan kita dalam satu tahun atau lebih kurang 4 ½ hari dari satu tahun yang kita lalui. Hanya dengan menghidupkan 4 ½ hari Allah bagi ganjaran beribadah 1000 bulan=83 tahun!!!! Sekiranya tidak mampu solatlah 8 rakaat.

(p) Disarankan supaya ada majlis tazkirah setiap malam selepas 8 rakaat antara 5-10 minit menyentuh pelbagai topik. Bayangkan dapat pahala menyampaikan tazkirah@mendengar 
tazkirah 83 tahun!!!!

(q) Selesai terawih, carilah mana-mana kumpulan tadarus al-Qur’an atau bacalah sekurang-kurangnya 1 juzuk al-Qur’an.

(r) Panjangkan solat tahajjud anda dari biasa. Disarankan supaya semua masjid menganjurkan solat tahajjud berjemaah 8 atau 10 rakaat yang diselang seli dengan amalan zikir seperti tasbih 100x, tahmid 100x, selawat 100x, istighfar 100x, tazkirah. Solat boleh dimulakan sekitar jam 2 pagi dan diteruskan selama 1 ½ jam-2 jam mengikut kemampuan. Kalau lebih kurang 2 juta umat Islam bertahajjud secara berjemaah di masjidil haram bermula jam 1 pagi maka bagaimana di tempat kita???

(s) Bagi yang berkebolehan untuk menulis, boleh mengisi malam al-Qadar dengan menulis nasihat atau ilmu mengikut kesesuaian masa. Bagi mereka yang berblog boleh menulis pengisian yang berfaedah…

(t) Sebarkan SMS nasihat-nasihat yang baik kepada rakan dan kenalan. Pilihlah 10 orang atau 20 orang atau lebih dan hantarkan 1 mesej yang berkaitan hadith Nabi (s.a.w) sebagai contoh dalam tempoh bermula azan maghrib dan sebelum  masuk waktu subuh.

(u) Akhiri menghidupkan malam al-Qadar dengan solat witir tiga rakaat. Kalau di Mekah Imam membaca doa qunut selama 20 minit dan pada malam yang ke-27 sekitar setengah jam, sekiranya solat witir dilakukan secara berjemaah disarankan Imam berdoa selesai solat witir, selepas salam membaca doa yang panjang dalam bahasa Melayu supaya ia difahami oleh jemaah. Jangan lupa mendoakan umat Islam yang sedang ditindas dan diuji seperti di Syria dan Myanmar.

(v) Manfaatkan sepenuhnya sepuluh malam yang terakhir dengan melakukan pelbagai bentuk kebaikan sama ada berupa sedekah. Lakukan sedekah setiap malam mengikut kemampuan kita mungkin RM10 atau RM 100 setiap malam, boleh dimasukkan dalam tabung masjid atau mengirim duit kepada orang yang disayangi, bank ini kepada mana-mana NGO atau pertubuhan yang  melakukan aktiviti membantu golongan fakir miskin, umat Islam di Palestin atau lain-lain.

(w) Jika masjid berkemampuan, bolehlah dianjurkan bersahur secara berjemaah dan umat Islam diberi peluang untuk bersedekah bagi menampung kos sahur tersebut.

(x) Perbanyakkan solat sunat yang lain yang dilakukan secara bersendirian atau berjemaah seperti solat tasbih, hajat, taubat, istikharah, sunat wuduk, sunat tahiyyatul masjid…

(y) Memberi hadiah. Antara bentuk hadiah yang boleh diberi ialah minyak wangi, buku, kayu sugi, majalah ilmiah seperti Solusi, Gen-Q, al-Ustaz, Q&A dan sebagainya.

(z) Menambah ilmu pengetahuan seperti membaca buku ilmiah atau majalah ilmiah, mengadakan majlis ilmu seperti kuliah maghrib kira-kira setengah jam sebelum Isyak. Menurut pemerhatian penulis, di Makkah al-Mukarramah majlis ilmu tetap diteruskan selepas maghrib walaupun pada bulan Ramadan!!!
Ini beberapa saranan untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir semoga kita keluar dari bulan Ramadan sebagai kita menjadi graduan ramadan yang berjaya memperolehi bonus seribu bulan.

No comments:

Post a Comment