Wednesday, August 11, 2010

1 Ramadhan

Tahun ini saya solat terawih di Surau Kompleks Perumahan Kastam di Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Suasananya persis surau Flat Persekutuan Likas dahulu.

Fizikal yang sederhana, bersih dan selesa. Cumanya surau di sini ada air cond. Terasa hawa sejuknya mengigit kulit dingin.

Jemaah yang hadir ke surau ini agak ramai, mungkin mencecah 120 orang yang menginjakkan kaki memeriahkan awal ramadhan seperti lazimnya. Namun bilangannya masih kecil berbanding jumlah penduduk yang mendiami kawasan perumahan ini.

Seperti biasa, saya tetamu luar yang hadir menumpang solat dan ibadah. Terkadang menjadi imam dan selebihnya hanya makmum meluruskan genap saf.

Imam terawih disini ialah Ustaz Farid Al Hafiz, anak seorang pegawai kastam di sini yang menamatkan pengajian tahfiznya di Pakistan sejak setahun yang lalu. Ayahnya yang saya kenali sebagai pakcik Zakaria pula ialah siak dan jawatankuasa surau tersebut.

Oh ya, nama surau ini ialah MADINATUL ANBIYA’.

Terkejut saya dengan pemilihan nama yang amat glamourus dan terhormat ini, serasa saya belum pernah ada nama seumpama ini yang saya pernah dengar. Frasa sebutannya sahaja sudah cukup gah dan menggamatkan, apatah pula maknanya yang membawa maksud KOTA NABI-NABI.

Hebat surau kita kan … namanya menggambarkan tempat kita ni menjadi markas persinggahan nabi2. Entah nabi mana yang pernah sampai kat sini ya ?? Pernah terkeluar lelucon spontan saya pada ahli jamaah ketika menguliti sesi tazkirah maghrib di surau ini setiap malam isnin. Dan mungkin setelah lama bergaul, saya mengenali seorang sahabat ahli jemaah surau disini yang bernama ambiya’, juga ahli jawatankuasa surau… mungkin sempena namanya barangkali, hati saya tersenyum nakal.

Di surau ini, saya hanya pemerhati.

Menonton setiap aktiviti dan usaha gigih ahli jawatankuasa surau menghidupkan ramadhan dengan penuh keazaman memuliakannya.

Melihatnya, terkenang pelbagai impian saya memimpin jamaah surau flat persekutuan likas dahulu. Dan merenungnya, ternyata impian saya rupanya direlitikan masyarakat awam disini, semasa saya hanya banyak berekperimen mereka telah berjaya melunaskannya.

Dihadapan surau, terbentang Kain Sepanduk Ahlan Ramadhan yang membujur lalu melintang pemandangan setiap yang hadir untuk menatapnya dan disapa ajakan menunaikan tuntutan berjemaah dan memuliakan ramadhan.

Setiap kunjung maghrib mendatang, para jemaah bergilir mengadakan majlis berbuka puasa di anjung surau menggantikan kebiasaan infak makanan moreh hanya setelah usai terawih berlabuh. Hari pertama semalam, hamper 30 orang jemaah yang menjayakannya setelah bilangan maghrib ramadhan yang lalu hanya berjumlah 4 orang sahaja. Moga ianya kekal istiqamah dan diberi berkat.

Kerjasama ahli surau dan pimpinan kompleks begitu saling membahu. Peralatan jamuan dan kelengkapan surau diselia dengan kemas dan baik dalam organisasi yang teratur sekali. Terdapat bilik stor, bilik masakan dan pejabat yang mengukuhkan lagi kejituan komitmen ajk disini.

Usai terawih dan moreh, kumpulan 10 hingga 15 jemaah membuat bulatan dengan bertadarus dan membaca tilawah. Acara gamatnya tetap memeriahkan suasana.

Pernah surau ini mengadakan aktiviti ,sehari bersama surau dengan pengisian program yang pelbagai termasuk pameran dan pertandingan, juga konvoi bermotor mengelilingi masjid di daerah pulau ini, majlis qiam dan sebagainya.

Syabas dan tahniah buat mereka.

Dan izinkanlah saya ingin terus menjadi sebahagian makmum disini.

Ingin mendengar bacaan merdu al quran yang ditilawahkan, ingin bersesak bahu dan tumit bersama ukhuwwah berjemaah solat, ingin mengulit jamuan dan berkongsi khabar, ingin menjabat salam dan menumpang sudut kecil bersolat sunat seamannya.

Tapi semalam, selesai terawih lapan rakaat, pakcik zakaria mengiklankan nama saya untuk tazkirah. …..

Saya sambut amanah sewajarnya. Hanya dalam kuantiti masa yang seringkasnya, seperti selalu.

Namun saya ingin terus menikmati tilawah terawih ini di susunan saf makmum. Izinkan saya ….. bolehkah saya???

No comments:

Post a Comment