Thursday, August 19, 2010

Nikmatilah keroncong Ramadhanmu

Nikmatilah keroncong perutmu. Biarkan ianya berlagu sepuasnya.

Malam itu saya berdiri seketika.

Selepas terawih lapan rakaat dilunasi sejenak, berdiri sekadar memberi ingat. Buat diri sendiri yang lebih banyak terlupa.

Sahabat2, marilah kita menunaikan tanggungjawab ramadhan ini dengan penuh azam dan penghayatan. Jangan kita menjadi puasa Pak turut, bukan juga puasa barang permainan, atau lebih2 lagi puasa pelari marathon yang ketewasan.

Kesemuanya puasa yang tidak akan membangkitkan pengertian dan penghayatan diri pada kehendak Ramadhan yang sebenarnya.

Benarlah hadis nabi yang menyangkal puasa kita : Ramai antara kita yang berpuasa tapi tidak mendapat apa2 kecuali lapar dan dahaga. Bukankah puasa sebegini persis pelari marathon yang tewas tanpa mendapat sebarang keraian.



Ramadhan juga bukan diturunkan untuk sekadar berpuasa menahan lapar dahaga.

Ia dinamakan Ramadhan berdasarkan maknanya bara dan kehangatan, moga ianya akan membakar hanguskan dosa lama yang tersimpan di stok amalan. Moga sang nafsu juga akan terpanggang dengan kualiti pengorbanan yang terdisiplin sepanjang bulan.

Kerana itu puasa dianjak citranya oleh agama sebagai bulan kesabaran, bulan perpaduan, bulan pengabdian, bulan keikhlasan, bulan doa dan quran, bulan kesamarataan dan kederhanaan dan bermacam lagi.

Moga dengan kesiksaan batin dan kelesuan tenaga menahan pengorbanan akan tersingkap manisnya taat dan pengabdian.

Kerana itu, saya memohon marilah kita nikmati setiap saat keroncong lapar kita berlagu indah. Usah manjakannya dengan tidur berlebihan. Rasailah nikmat kelaparan ini moga ianya menyedar dan menginsafkan.

Diluar sana ramai miskin yang kelaparan.

Disudut dunia, ramai pelarian yang menangisi kebuluran.

Dipenjuru palestin, makanannya peluru dan air mata.

Dan pernah suatu ketika dulu, sang kekasih ….. rasul tercinta menahan lapar dahaga yang membelit belikat dan pinggulnya penuh seksa, membaham tubuh mulianya hanya kerana risalah islam yang dibawakannya….

Untuk kita…

No comments:

Post a Comment