Thursday, August 5, 2010

Kepulangan Nadwah 2010

Alhamdulillah, walau sisa penat masih berbaki di temulang empat kerat ini, baki kantuk juga masih bergantungan minta dilunaskan. Ianya amat mengilukan rasa fizikal diri.

Namun desakan hati untuk bercerita, berkongsi insiden terpilih, mendengar salam rakan dan taulan, menziarahi sahabat fillah di alam maya terus membuak untuk saya memilih untuk mencoret terus berita di sini.

Kontinjen Pulau Pinang akhirnya selamat pulang ke destinasinya disambut pelukan hangat keluarga tercinta yang setia menanti. Walaupun jarum jam tanpa penat menunjukkan jam 1 pagi, saya terasa ringan bahu ini dari beban amanah yang dititipkan sebagai guru pengiring ini dapat dilunaskan dengan sebaiknya.

Baki 3 orang pelajar yang tinggal berdekatan rumah saya di asrama Abdullah Munshi saya bereskan dengan bantuan sang wira hijau saya, kereta tua yang banyak berjasa dan sarat cetusan nostalgiknya. Setelah saya berpamitan dengan Pak Jaga yang agak keberatan membuka kerdip matanya, saya luncurkan kereta terus menuju ke rumah dalam dakapan malam yang pekat. Rupanya warga pulau juga terlelap tenang di hujung malam sesuatu yang belum pernah saya alami sebelum ini, kebiasaannya hidup malam saya hanya dipagari terang kamar rumah saya,



Nadwah Kepemimpinan Islam 2010 berjaya disempurnakan dengan seramah mesranya dari tuan rumahnya Kelantan pada jam 2.30 petang. Setelah makan tengahari dan bersolat jamak di Musollanya kami para kontinjen bersalaman dan bermaafan,dibalik cahaya lensa yang berkerlipan merakam detik nostalgic syahdunya perpisahan.
Dengan sulaman aktiviti serba padat dan berobjektif, para peserta diharap dapat mengunyahnya sebagai santapan ilmu dan pengalaman yang cukup berharga. Sesungguhnya pengalaman adalah sebaik-baik guru. Bukankah begitu?

Antara program yang berlangsung dan disematkan dalam jadual nadwah kali ini ialah acara explorace solat yang menuntut para pelajar berwuduk dengan air laut dan bersejadahkan pasir pantai yang memutih, menguji ketahanan fizikal dan mental diri dalam pendakian bukit keluang yang mencabar kerangka naluri diri,memecahkan ego diri dalam sedar yang terpimpin melalui slot muhasabah Alam Kauni yang disempurnakan para jurulatih yang sememangnya berpengalaman.

Juga bersama membina ukhuwwah dan keserasian kerjasama melalui pemilikan Negara Islam bersama yang perlu dipacu dengan agenda pemikiran reality dengan keabsahannya teruji melalui kekuatan teori dan praktik mencipta loga, moto, visi dan haikal organisasi juga mengarca dimensi logiknya dengan pembinaan Negara Pasir yang ampuh bertahan.

Moga ibrahnya mampu terus diamalkan semua peserta walaupun tirai nadwah ini telah lama berlabuh nanti.

Segalanya berlangsung ceria dan penuh warna warni ragam kepimpinan muda ini.

Sehingga bertemu lagi, tabir penutupan program dilabuhkan penuh indah dengan baton penganjurannya ditahun depan beralih kejap di pundak amanah kontinjen negeri Sembilan.

Kita berjumpa di sana nanti 2011. Insya allah

6 comments:

  1. Salam...ustaz... Maaf, ana tidak membincangkan tajuk di atas. Cuma ana ingin berkongsi pendapat dengan ustaz. Ana sekarang sdg bljr di polikk. & skrg berada pd tahun akhir. Semasa ana LAtihan Industri, terdetik di hati ana untuk melanjutkan pelajaran di KIPSAS dlm bidg Diploma Siyasah Syari'iyyah... Ttp, mungkin mengambil masa yg lama krn lepas ni akn dpt satu Diploma Kejuruteraan Mekatronik (InsyaAllah, Amin...). Tapi, ana minat sgt untuk mempelajari ilmu agama & minat sy dlm ilmu kejuruteraan semakin berkurangan. Oleh itu, ana minta pndgn ustaz.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Salam ...
    Terima kasih kerana bertanya. Ustaz melihat kondisi saudara sama seperti cerita sahabat yang pernah dikomentarkan akh saiful islam di blognya dengan tajuk : Hikmah Belajar Cara Socrates.

    bacalah dan cuba bina kepurusan dengan penuh hikmah melaluinya.

    ReplyDelete
  4. Saya menerima sebuah email berbunyi:

    “Assalamualaikum ustaz. Saya nak minta pandangan ustaz tentang hasrat saya berhenti belajar. Saya sudah hilang minat dengan study saya sekarang. Untuk pengetahuan ustaz, saya sedang menuntut di sebuah IPT di dalam bidang kejuruteraan. Saya mahu belajar agama, supaya saya faham al-Quran dan al-Sunnah. Kalau boleh saya mahu jadi macam ustaz dan rasanya saya cemburu dengan ustaz. Saya bercadang untuk ke Negara Arab dan mohon ustaz tolong saya dapatkan fund untuk saya ke sana.”

    Kepada pelajar berkenaan, dan rakan-rakan yang sehasrat dengannya, saya perturunkan kisah di bawah ini sebagai panduan:

    Suatu hari, seorang pemuda datang kepada Socrates dan berkata, “saya mahu belajar dan tahu semua yang kamu tahu!”

    “Kalau itu yang kamu mahukan, mari ikut aku ke sungai” jawab Socrates.

    Dengan perasaan penuh ghairah, pemuda tersebut mengekori Socrates berjalan menuju ke sungai yang dimaksudkan. Apabila tiba di tebing sungai, Socrates memanggil pemuda tersebut, menyuruhnya merenung ke air.

    “Tengok betul-betul dalam air tu, apa yang kamu nampak?” katanya.

    “Saya tak nampak apa-apa pun”, jawab pemuda tersebut.

    “Tengok betul-betul. Dekatkan lagi kepala kamu itu ke air” tegas Socrates.

    ReplyDelete
  5. Apabila pemuda itu meniarap dan mendekatkan mukanya ke air, Socrates segera memegang kepalanya dan membenamkan ia ke dalam air! Pemuda tersebut meronta-ronta dan tangannya terkapai-kapai kelemasan.

    Terdesak!

    Bila mana pemuda tersebut kelihatan sudah seperti mahu lemas, Socrates menarik keluar kepalanya dan menyandarkan beliau ke tebing.

    “Hoi orang tua. Engkau gila ke apa?” tanya lelaki itu sambil terbatuk-batuk mencuba nafas.

    “Engkau nak bunuh akukah?” geram benar bunyinya.

    “Semasa aku benamkan kepala engkau ke dalam air, apakah benda yang paling engkau hajatkan pada detik itu?” tanya Socrates.

    “Aku nak bernafas, aku mahukan udara!” jawabnya tegas.

    “Jangan sekali-kali kamu tersilap fikir bahawa HIKMAH itu boleh diperolehi dengan mudah, wahai anak muda” kata Socrates.

    “Apabila kamu mahu belajar, seperti kamu mahu dan berhajat kepada udara sebentar tadi, barulah datang kepadaku” tegas Socrates, menyimpulkan pelajaran pertamanya petang itu.

    [petikan The 7 Habits of Highly Effective Teens - Sean Covey]

    Habiskan dahulu pengajian anda. Jika selepas setahun dan berhasil menggenggam segulung ijazah, anda masih mempunyai semangat yang sama tinggi untuk mengaji agama, maka benarlah anda memang patut mengaji agama dan mengkhususkan diri di bidang tersebut. Jika selepas menggenggam ijazah, semangat anda sudah pudar dan timbul pula hasrat-hasrat yang lain, maka bersyukurlah kerana Allah telah menyelamatkan bidang agama daripada didokong oleh orang yang semangatnya hangat-hangat tahi ayam.

    ABU SAIF @www.saifulislam.com
    68000 AMPANG

    ReplyDelete
  6. Syukran ustaz... Doakan ana supaya sentiasa istiqomah di dalam beriman kepada Allah dan terus berdakwah hingga ke akhir hayat... Amin...

    ReplyDelete