Wednesday, April 14, 2010

MTQ Kedua

Pertandingan MTQ bagi acara pure-tadarus ini berlangsung buat kali keduanya di SMK Bukit Gambir.

Ianya melibatkan acara tilawah al Quran dan juga hafazan. Saingannya saya lihat agak sengit dan kelebihannya sudah pasti berpihak kepada sekolah agama.

Kemampuan mengaplikasi ilmu quran bukanlah sesuatu yang mudah dan terdedah kepada umum, ianya memerlukan minat, kebolehan dan kecekalan mengharungi nafas2 seni dan indah menikmati kelazatan kalam tuhan ini.

Kerana itulah, wajaran dan rasional kemenangan ini biasanya berpihak kepada para pelajar sekolah agama.



Namun, saya suka melihat pertandingan ini dalam kacamata tarbiah islam dalam membentuk jiwa muda menemui kelazatan dan keindahan jati diri muslimnya. Kerana itulah adat pertandingan untuk melihat kalah menang itu menjadi hanya factor sampingannya sahaja.

Proses tarbiah manusia ini memerlukan masa dan usaha yang panjang dan jerih. Ianya bukan sekadar memetik suis automatic dikilang pembuatan barangan. Ianya memerlukan daya tahan dan stamina perjuangan yang bukan sedikit.

Pemupukan rasa bertuhan dan menyanyangi Islam ini dihalusi dengan kecintaan kepada asasnya yang meliputi Quran, ibadah Solat, perjuangan nabi dan sebagainya.

Moga kesan kecil pertandingan ini yang menyirami tunas muda ini untuk terus maju mencintai quran dan mendampingi quran sepanjang hayatnya. Moga tugasan ini dipilih antara amalan terbaik kita para guru pendidikan islam.



Acara ini saya bawakan dua orang pelajar baru sebagai pendedahan, baru menginjak ketingkatan dua dan tiga adalah satu tempoh yang sesuai untuk saya menyemai dan membajainya dengan persediaan sewajarnya.

Mereka ialah Zulhamizan dari tingkatan 2 yang menunjukkan komitmen jitu meneliti setiap bacaan qari akademi quran dan merekodnya dalam ingatan sebelum membacanya tenang, saya yang terkebelakang dalam ilmu tarannum ini hanya mampu menyumbang dalam pembetulan makhraj dan juga tajwid bacaannya. Untuk lagu dan tabaqatnya, saya serahkan melalui kaset Qari Abdullah Hasin untuk menunjuk ajarnya.

Alhamdulillah, pendedahan awal ini kelihatan merenjiskan ceria kesungguhan diwajahnya, moga ianya sentiasa begitu.

Syed Husaini dari tingkatan 3 pula adalah peserta hafazan kami, dengan kekuatan menghafaz 4 surah iaitu yasin, sajdah, mulk dan jumuah, saya tiupkan semangat untuknya berjaya. Kami sama2 menghafaz dan bertasmik. Ianya seolah rutin yang saya ingin terapkan baginya sebelum dan sesudah pertandingan MTQ ini nanti. Biar anak muda ini belajar dari pengalaman gurunya, jika guru boleh menghafaz pelajar juga pasti mampu melakukannya.

Ceria pertandingan akhirnya tiba ke penghujungnya.

Saya kagumi hafalan pelajar di pulau mutiara ini, ianya lebih baik berbanding hafalan anak2 kami di negeri sabah dahulu. Dan mungkin satu bonus kredit patut diberikan, kepada aura jemaah TABLIGH yang mengangkat al quran ini dan dipermudahkannya dalam dua kategori iatu HAFIZ dan ALIM yang akhirnya menjadi teras ikutan pelajar2 yang cintakan agama.

Keputusannya sebagaimana diduga, sememangnya berpihak ke sekolah agama yang mempunyai peserta yang bacaannya amat merdu, berlahjah arab dan cukup teliti tajwidnya.

Syabas pada para pemenang.

No comments:

Post a Comment