Thursday, September 9, 2010

Khutbah aidil Fitri

Saya diberi tugasan menyampaikan khutbah Raya esok, di surau berdekatan rumah saya di Kampung Guchil Bayam.

segera saya mencari rujukan khutbahnya, dan pilihan saya ialah e khutbah karangan tuan guru syairazi atiqullah. moga ia membekas dihati.

Bagi mereka yang kebuntuan mencari teks khutbah pilihan, silalah ke laman abu nuha, melalui tajuk khutbah pilihan aidilfitri, beliau menyenaraikan pelbagai link khutbah pilihan untuk bacaan khatib di pagi raya. Yang tinggal hanya klik dan baca.

Saya perturunkan antara isi khutbah raya saya,

KHUTBAH PERTAMA

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 2 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-‘Ankabut :
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُون وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya : Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami telah beriman”, sedangkan mereka belum diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,
Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kita baru sahaja melalui tarbiah Ramadhan yang merupakan suatu ujian dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Setelah sebulan ditarbiah dengan melalui pelbagai ujian terhadap hawa nafsu maka tanyalah diri kita samada telah lulus dan berjaya menjadi hamba Allah yang tunduk patuh kepada segala suruhan dan larangannya atau tiada sebarang perubahan ke arah menjadi hamba Allah yang soleh. Ketika berseronok menyambut hari raya marilah sama-sama kita merenung samada kita memang layak untuk berhari raya kerana berjaya dalam menghadapi ujian tarbiah Ramadhan atau hanya menumpang tuah orang lain. Antara ciri golongan yang berjaya dalam ujian tarbiah Ramadhan ialah orang yang terus menyuburkan puasa sunat, membaca al-Quran, solat sunat, bersedekah dan berzakat, suka memberi makanan kepada orang lain, bersegera ke masjid untuk menunaikan solat Jemaah, menjaga waktu solat fardu lima waktu, menghubungkan silaturrahim sesama muslim, beriktikaf dalam masjid, bangun malam dan amalan soleh yang lain walau pun telah berlalunya Ramadhan. Ciri-ciri golongan yang ditolak amalan puasanya pula ialah orang yang gagal membuang sifat tercela daripada dirinya seperti takabbur, sombong, hasad dengki, khianat amanah, suka makan perkara haram umpama rasuah dan riba serta merasa begitu gembira dengan pemergian Ramadhan seolah-olah banduan bebas daripada penjara. Ingatlah bahawa kita semua bukan mahu berhari raya di dunia ini malah apa yang lebih penting kita mahu berhari raya dalam Syurga Allah di akhirat nanti

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
Firman Allah dalam ayat 31 surah al-A’araf :
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya : Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas
Gema takbir membesarkan Allah dan tahmid memuji Allah yang berkumandang setiap kali tibanya hari raya mestilah meresap ke dalam hati sanubari bukan setakat disebut di mulut sahaja. Pastikan laungan hari raya itu dijadikan ikrar taat setia kepada Allah dalam setiap kerja buat kita termasuk masalah pemakaian agar tidak mendedah aurat, cara berbelanja agar dari sumber halal dan diguna pada jalan halal disamping tidak melakukan pembaziran terutama ketika menyambut hari raya. Kita wajib bersyukur kepada Allah yang menganugerahkan hari raya serta menggalakkan umat Islam untuk berpakaian cantik pada hari mulia ini. Kedatangan Islam mengajar manusia supaya berpakaian cantik di mana pernah berlaku dalam sejarah Afrika, kapitalis Kristian begitu marah kepada pendakwah Kristian yang hanya berjaya mengkristiankan rakyat Afrika sedangkan jualan pakaian tidak laku kerana mengekalkan pemakaian cara lama sedangkan kawasan Afrika yang dikuasai Islam melahirkan rakyat yang berpakaian cantik yang memajukan perniagaan pakaian. Oleh itu menjadi suatu fitnah yang jahat jika Islam dituduh sebagai penyekat kepada amalan menjaga kecantikan kerana arahan dalam menjaga aurat bukan untuk menyekat sebaliknya bagi menjaga maruah terutama golongan wanita yang kini ditelanjangkan oleh musuh Islam. Kapitalis terutamanya menjadikan tubuh wanita sebagai bahan dagangan yang diperguna semaksima mungkin bagi keuntungan mereka melalui iklan, program hiburan dan sebagainya. Adalah amat malang jika umat Islam turut gembira untuk ’melacurkan’ tubuh mereka untuk didagangkan oleh kapitalis yang tidak berhati perut. Kembalilah kepada pakaian ikut syariat Islam wahai muslimat ketika ramai golongan wanita muslimat di bumi Eropah seperti Itali, Perancis yang berdepan dengan tekanan undang-undang semata-mata mahu memakai purdah. Akibat anti-Islam maka pakaian Islam dianggap bahaya sedangkan bertelanjang dianggap lambang kemajuan dan kebebasan. Kita seru daripada peringkat pemimpin sehinggalah rakyat jelata agar kembali menutup aurat bukan pada bulan Ramadhan sahaja tetapi pada setiap masa dan tempat kerana malaikat Raqib ‘Atid ada di mana-mana setia mencatat segala amalan baik dan jahat kita.

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,
Tarbiah Ramadhan sekiranya dihayati betul-betul dalam kehidupan sudah pasti masalah jenayah buang bayi yang begitu dahsyat akhir-akhir ini tidak akan berlaku. Biasanya setiap masalah ada puncanya, begitulah masalah buang bayi kebanyakannya akibat zina selain sumbang mahram dan rogol di mana jarang kedengaran anak hasil perkahwinan yang sah dibuang. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah menyarankan antaranya amalan puasa dalam menyekat hawa nafsu sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan imam Bukhari :
قال النبي  : مَنْ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya : Wahai para pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu kahwin maka berkahwinlah sesungguhnya ia lebih berjaya memelihara pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia merupakan benteng baginya (daripada syahwat)
Amalan untuk menjauhi zina juga ialah menjaga mata serta menjauhi perkara yang boleh menimbulkan syahwat kerana suatu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu yang dijalankan selama enam bulan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah. Seterusnya mesti manfaat masa kosong dengan aktiviti berfaedah seperti bersukan, berpersatuan, banyakkan mandi ketika cuaca panas, kurangkan makanan berempah, kurangkan minum kopi dan teh, tidak banyak makan daging merah dan telur, tidur secara mengiring mengadap qiblat sebagaimana amalan nabi, jauhi tidur terlentang atau meniarap dan bersahabat dengan orang soleh. Apa lebih penting terus tambah ilmu agama yang bermanfaat di mana antara cirinya-cirinya sebagaimana yang disebut oleh imam al-Ghazali iaitu [1] ilmu yang menambah rasa takut kepada Allah [2] dapat buka mata hati untuk nampak keaiban diri sendiri [3] semakin nampak cara untuk menambah amal ibadat [4] kurangkan rasa tamak kepada dunia [5] tambah rasa cintakan akhirat [6] buka mata hati untuk nampak perkara yang membinasakan ilmu sehingga sentiasa berwaspada menjaganya [7] nampak jelas tentang tipudaya syaitan dalam merosakkan kita sepanjang masa
Disamping itu, pihak keluarga bermula dengan bapa mesti suburkan sifat cemburu dengan mengawal pergerakan anak-anak di mana kita pernah mendengar bagaimana ada sahabat nabi yang sanggup menutup lubang dinding rumah kerana bimbang ada orang yang melihat isterinya, ada sahabat nabi yang sanggup memancung kepala lelaki yang mendekati isterinya tanpa tujuan. Manakala anak isteri pula wajib ada sifat malu supaya tidak terlibat dengan perbuatan tidak bermoral.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
قال النبي  : لاَ تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا ، فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ
Maksudnya: Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka.apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah azza wajalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.( Hadis riwayat Ahmad, baik sanadnya).
Masalah lahirnya begitu ramai anak zina di mana perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan jumlah 257,000 orang anak tanpa bapa didaftarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 dengan purata 84 orang sehari. Masalah kronik ini akan bertambah parah jika menggunakan fahaman sekuler yang memisahkan antara agama dan urusan dunia seperti kenyataan Kementerian Pelajaran yang sedia mengkaji cadangan memasukkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam kurikulum sekolah atau sebagai mata pelajaran teras dengan alasan ia berjaya di United Kingdom dengan menyembunyikan bahawa yang berjaya ialah mengurangkan pelajar hamil bukannya mengurang jumlah pelajar berzina. Kita tidak mahu nama mata pelajaran sahaja berbeza tetapi isi kandungan dengan pengajian seks ala barat dikekalkan iaitu menghidupkan budaya zina cara selamat dengan memandang bahawa zina bukan suatu kesalahan besar sebaliknya yang salah ialah mengandung akibat tidak pandai berzina. Ia ibarat mengajar pelajar cara mencuri dengan betul. Akhirnya penyakit semakin parah bukan semakin kebah. Begitu juga cadangan membina sekolah pelajar hamil sekiranya tidak dikaji betul-betul bakal menambahkan jumlah penzina dan anak zina. Jika sebelum ini jumlah pusat serenti sama naik dengan pembinaan universiti maka dibimbangi selepas ini jumlah sekolah pelajar hamil sama banyak dengan kelab malam. Akhirnya banyak wang rakyat terpaksa dihabiskan untuk merawat penyakit sosial yang semakin parah. Itu belum dikira dengan jumlah lebih 70 peratus daripada 87,710 penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah daripada kalangan umat Islam akibat dadah dan zina. Selagi pintu zina tidak mahu ditutup seperti kelab malam, hiburan melalaikan, rancangan tv dan majalah yang menggalakkan kepada penzinaan, kebebasan akses internet maka selagi itu kesan buruk terus timbul. Tegakkan hukum Islam disamping pencegahan seperti had pergaulan termasuk di sekolah, universiti, tempat kerja. Tiru kerajaan Acheh yang mempunyai polis Syari’e yang boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang memakai pakaian mendedah aurat dan berduaan tanpa ikatan nikah di kawasan terbuka. Mencegah lebih baik daripada berubat. Bila sudah menjadi penyakit maka habis berjuta wang pun sudah terlambat

Muslimit /mat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Hari raya ialah hari kasih sayang di mana Islam telah menggariskan adab yang begitu indah jika diamalkan dalam menjaga hak sesama Islam dan juga bukan Islam. Islam menghapuskan semangat kebangsaan sempit yang mempertahankan kesesatan dan kesalahan atas alasan sesama bangsa akhirnya masalah kezaliman, pecah amanah yang menyebabkan kerugian ribuan juta wang negara berbanding penjimatan subsidi sebanyak RM750 juta yang menyiksa rakyat ditambah lagi dengan kes rasuah yang menyaksikan seramai 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah tahun lalu mengikut laporan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak dapat ditangani. Tiupan angin perkauman sempit bertujuan menutup pelbagai jenayah penyalahgunaan kuasa dalam merompak harta rakyat. Kita tidak mahu terus tertipu dan terpedaya dengan taktik kotor yang merbahaya ini sehingga keadilan gagal ditegakkan manakala pemimpin zalim terus kekal berkuasa. Jangan akibat sibuk cari makan kita tidak menghiraukan masalah negara. Ingatlah tentang bahaya dunia jika tidak pandai diurus sehingga membinasakan kita sebagaimana kata Syeikh Ibrahim Adham : Setiap umat ada berhalanya yang disembah dan berhala umat ini ialah wang dinar dan dirham. Begitu juga peringatan imam al-Ghazali : Sekiranya kita hormat kepada orang soleh kerana hartanya maka hilang setengah agama kita apatah lagi jika hormat kepada orang zalim kerana hartanya maka semakin buruk kesan padahnya. Oleh itu dengan semangat Aidil Fitri yang bererti kembali semula kepada fitrah iaitu suci daripada dosa dan sifat tercela marilah kita sama-sama kembali kepada sistem al-Quran barulah kita mulia dan bahagia dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment